November 05 2025

AgroFest Perak 2025 Jualan Cecah RM4 Juta

AgroFest Perak 2025 Jualan Cecah RM4 Juta - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Bushral Karim Md Yusob

Foto: Jabatan Pertanian Negeri Perak & Pejabat Setiausaha Kerajaan Perak

AgroFest Perak 2025 yang telah melabuhkan tirainya berjaya mencatatkan kejayaan besar apabila menerima lebih daripada 400,000 orang pengunjung dengan nilai unjuran jualan mencecah RM4 juta daripada sasaran awal cuma RM1.6 juta. Pameran terbesar peringkat negeri dari 26 hingga 28 September 2025 itu, anjuran Kerajaan Negeri Perak, telah diadakan di Pusat Infoternak Sungai Siput (Utara). Pada hari pembukaan dan dua hari berikutnya, ribuan pengunjung tidak putus-putus hadir untuk melawat pelbagai pameran, inovasi pertanian  dan anugerah-anugerah pencapaian dalam bidang pertanian serta Industri Kecil dan Sederhana (SME).

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, berkenan  berangkat merasmikan Agrofest Perak 2025 yang berlangsung di Ladang Infoternak, Sungai Siput (U). Turut berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh YAB Dato' Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer Zubin. 

Rakyat boleh terlibat dengan pelbagai aktiviti menarik seperti kuiz, meneka bilangan biji getah dan daun getah, meneka bilangan biji sawit, aktiviti melukis untuk kanak-kanak, serta  pelbagai demonstrasi masakan berasaskan produk lokal Perak.

Platform Memperkukuh Pasaran Tani

Agrofest Perak 2025 dianjurkan oleh FAMA Perak sebagai penganjur utama dan dikelolakan bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, telah berjaya menarik minat seluruh penduduk Negeri Perak  untuk turut hadir. 


DYMM Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak berkenan melawat hasil tanaman pemenang pertandingan, diiringi oleh Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Norsiyenti (kanan).

 


Program bermula pada pukul 10 pagi hingga 10 malam selama tiga hari berkenaan. Tema festival bagi tahun ini ialah "Lestari Agro, Perak Makmur". 

Penganjuran ini menjadi platform untuk  memperkukuh pasaran hasil tani, mempromosikan produk agromakanan tempatan serta membuka  peluang kepada usahawan dan PKS untuk mengembangkan perniagaan. Sebanyak 117 usahawan tempatan dipilih, melibatkan 127 lot niaga, dengan penyertaan terdiri daripada 40 peratus usahawan wanita, 34.4 peratus usahawan muda, hampir 50 peratus usahawan baru, dan selebihnya usahawan bimbingan jabatan atau agensi. 

"Bagi penganjuran kali ini, FAMA Negeri Perak dipertanggungjawabkan menguruskan empat  kluster utama, iaitu Empayar Makanan, Industri  Makanan Asas Tani (IMAT), Florikultur, dan  Jualan Agro Madani (Pasar Tani Mesra," ujar EXCO Pertanian Negeri Perak.

Program Dwi-Tahunan Sektor Pertanian

Agrofest Perak adalah program dwi-tahunan yang memberi peluang kepada petani,  penternak, usahawan, dan agensi-agensi kerajaan untuk mengetengahkan pencapaian dan penemuan mereka dalam usaha pertanian, penternakan, dan perikanan. 


DYMM Sultan Nazrin Shah (kanan) menyampaikan Anugerah Nelayan Muda Cemerlang 2025 kepada pemenang. Turut hadir dari kiri, Exco Datuk Zolkafly dan Menteri Besar Datuk Seri Saarani.

 


Pengunjung berpeluang membeli barangan jualan MADANI dengan potongan harga sehingga 30%. Pelaksanaan jualan MADANI mendapat kerjasama daripada beberapa agensi pertanian, termasuk Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Daging), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (Buah dan produk berasaskan nanas), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan - FAMA (Buah-buahan Tempatan), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (Ikan Segar), dan Lembaga Pertubuhan  Peladang (Ayam). Terdapat juga usahawan  yang menjual dengan harga promosi produkproduk lokal serta anak benih pokok buah-buahan  dan tanaman hiasan. 

Dalam ucapan perasmian, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad, memaklumkan bahawa Kerajaan Perak memberi tumpuan untuk memperkukuh peranan belia tani melalui program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan sektor pertanian terus berdaya  saing serta menjadi tonggak keterjaminan makanan negeri. 

Beliau menegaskan, Agrofest Perak menjadi medan untuk memperkenalkan TVET bidang pertanian dan menyemarakkan teknologi  pintar dalam sektor pengeluaran makanan negara. Menurutnya, program yang berlangsung selama  tiga hari itu melibatkan penyertaan lebih  60 jabatan dan agensi dengan pelbagai pengisian, termasuklah Forum Perdana yang bertemakan Bumi Subur, Hati Makmur dan Pertanian Satu Ibadah. 

Beliau juga menekankan tentang agenda keterjaminan makanan negeri diperkukuh dengan pelaksanaan hala tuju Ekonomi Biru negeri Perak yang telah dilancarkan pada bulan Februari. 

Ekonomi Biru bukan sekadar pertumbuhan, tetapi keseimbangan antara kemakmuran, kelestarian dan kesejahteraan rakyat.


Menteri Besar Datuk Seri Saarani (tengah) berhenti di ruang pameran bawang, menzahirkan tekad untuk mempromosikan penjenamaan bawang tempatan.


"Kopi Perak" dianggap sebagai komoditi baharu bernilai tinggi, berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu dan menembusi pasaran antarabangsa.

 

Hala Tuju Ekonomi Biru Perak

Pelan ini menetapkan hala tuju pembangunan perikanan, pelabuhan industri marin, pelancongan serta pemeliharaan biodiversiti. Dengan dokongan kerajaan, sokongan sektor swasta, bimbingan para akademik serta kesungguhan nelayan, pesawah, penternak dan usahawan tani, Menteri Besar yakin Perak berupaya muncul sebagai peneraju utama ekonomi biru negara. 

Inisiatif Bawang Perak sedang diperluaskan penanaman di seluruh daerah bagi meningkatkan pengeluaran dengan usaha Jabatan Pertanian. Bawang keluaran tempatan mula mendapat perhatian dan permintaan daripada pengguna. Ia menjadi lambang kejayaan pengeluaran bahan  makanan berkualiti dalam negara. 

Mengambil kesempatan daripada trend minum kopi yang semakin meningkat, kerajaan negeri turut merintis usaha penanaman kopi di Perak sebagai komoditi baharu yang bernilai tinggi. Aktiviti penanaman kopi bukan sahaja berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu, malah berupaya meletakkan Perak dalam peta pengeluar kopi dunia.

Peserta dan Kluster Pameran

Peserta utama yang menyediakan pameran  termasuklah FAMA, FELCRA Seberang Perak, Lembaga Padi dan Beras Negara, RISDA, MAJU IKAN, serta syarikat-syarikat swasta pengeluar baja, racun makhluk perosak, dan jentera pertanian. 

FAMA Negeri Perak dipertanggungjawabkan  menguruskan empat kluster utama, iaitu Empayar Makanan, Industri Makanan Asas Tani, Florikultur, dan Jualan Agro Madani (Pasar Tani Mesra). 


Pameran pertanian ini menampilkan 12 pavilium bertema utama, merangkumi bidang pertanian, padi hingga inovasi teknologi, yang memperlihatkan hasil penyelidikan dan pembangunan terkini.

 

Pengunjung boleh melawati laman-laman utama seperti Laman Ekonomi Biru, Laman Pertanian,  Laman Padi, Laman Nanas, Laman Agro Madani,  Laman Inovasi dan Teknologi, Laman Perikanan, Laman Ternakan, Laman Empayar Makanan,  Laman Florikultur, Laman Inovasi & Teknologi, Laman Produk Usahawan Tempatan, Laman  Pameran dan Jualan Agro Industri, serta Laman Aktiviti dan Pendidikan Veterinar dan Zoo Taiping. Laman Empayar Makanan pula menghimpunkan  pelbagai juadah oleh usahawan tempatan. 

Pameran ternakan juga membolehkan pengunjung  melihat baka-baka lembu, kambing, dan rusa yang dibawa ke tapak pameran. 

Terdapat juga dua ekor gajah betina dari Zoo Taiping untuk tontonan pengunjung. Tebu dan  buah-buahan dijual bagi memberi peluang kepada kanak-kanak khasnya untuk memberi makan  haiwan gergasi itu.

Kejayaan dan Impak Agrofest

Secara keseluruhannya, AgroFest Perak 2025  telah berjaya menarik penduduk negeri Perak untuk melawat pelbagai pameran menarik, daripada teknologi pertanian terkini dan produk segar hingga aktiviti interaktif, serta memberikan kepuasan kepada pengunjung. 

Mereka telah merasai pengalaman pertanian yang mengujakan, menemui pakar industri, dan membawa pulang inspirasi baharu untuk gaya hidup sihat dan lestari.


If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag