April 16 2025
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Penternakan ayam dual-fungsi semakin popular dalam kalangan penternak kecil dan penghobi kerana ia mampu menghasilkan telur serta daging berkualiti tinggi. Berikut adalah tujuh baka ayam terbaik untuk penternakan di perkarangan rumah:
1. Barred Plymouth Rock
Barred Plymouth Rock (BPR) merupakan ayam unggul yang terkenal dengan keindahan bulunya yang berlorek-lorek kebiruan seakan-akan kuda belang. Tiada ayam lain yang mempunyai warna dan corak bulu sebegini. Selain cantik, BPR sangat produktif dalam penghasilan telur dan tergolong dalam baka ayam dual-fungsi serta ayam kontes. Selain menjadi baka kegemaran dalam pameran ayam hiasan, ia juga diternak untuk hasil daging dan telur.
Bulu BPR mempunyai corak garis hitam dan putih yang simetri, rapi, dan sangat jelas. Postur tubuhnya tegap dengan dada yang bidang dan leher yang panjang, menjadikannya kelihatan sangat gagah. Kakinya berwarna kuning terang, kekar, dan tebal. Perawakannya tenang, jinak, dan mudah beradaptasi dengan persekitaran. Di atas kepala terletak mahkota kemegahan berupa balung tunggal merah menyala tetapi tidak terlalu besar.
BPR mampu menghasilkan antara 200-280 biji telur setahun dengan kulit telur berwarna perang muda. Ia akan mula bertelur apabila mencapai umur matang 5-6 bulan. Pengeluaran telur meningkat sedikit demi sedikit pada peringkat awal tetapi menjadi sangat produktif pada tahun kedua hingga ketiga.
Untuk produktiviti yang tinggi, bekalan makanan harian mestilah mengandungi protein tinggi (16-18%) serta kalsium yang mencukupi bagi memastikan kualiti telur terbaik. BPR yang sedang bertelur sensitif terhadap jumlah jam cahaya dalam sehari (day length) dan memerlukan pencahayaan selama 14-16 jam sehari untuk meningkatkan putaran bertelurnya. Oleh itu, pencahayaan tambahan diperlukan pada awal pagi dan awal malam. Kebersihan kandang juga perlu berada pada tahap maksimum bagi memastikan kesihatan terbaik.
Bagi BPR yang ingin menyertai kontes, ciri-ciri yang diperlukan ialah pola bulu yang seragam, kerana ini memberikan markah tinggi. Postur tubuh mesti seimbang antara panjang leher, bukaan dada, dan sudut bukaan ekor dengan tubuh. BPR yang jinak dan mudah diurus semasa pengadilan dan pameran akan mendapat markah bonus yang tinggi.
2. White Leghorn
White Leghorn (WL) adalah baka paling popular di dunia dalam industri pengeluaran telur. Ayam putih berbalung besar berwarna merah ini berasal dari Itali tetapi telah dibaik-baka dan dikembangkan di Amerika Syarikat untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran telur. Penampilannya putih bersih dengan balung sisir tunggal yang besar dan berwarna merah terang. Kakinya panjang dan berwarna kuning dengan tubuh yang langsing serta bulu yang licin dan bersih.
White Leghorn bersifat sangat aktif, suka berkeliaran, dan mudah berdikari. Ia tahan lasak tetapi kurang mesra dengan manusia. WL mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan cuaca dan mempunyai daya tahan yang kuat terhadap penyakit. Ia juga lebih tahan terhadap cuaca panas berbanding baka lain. Penternakan WL lebih tertumpu pada pengeluaran telur berbanding daging kerana tubuhnya yang ringan dan tidak menguntungkan jika dijual sebagai ayam pedaging. Oleh itu, pengeluar telur yang serius harus memilih baka White Leghorn sebagai baka utama.
3. Ayam Wenchang/Hainan
Ayam Wenchang, juga dikenali sebagai Ayam Hainan, berasal dari daerah Wenchang di Pulau Hainan, China. Ia terkenal kerana dagingnya yang lazat dan merupakan rahsia utama keunikan rasa Nasi Ayam Hainan yang terkenal di seluruh dunia. Ayam Wenchang telah dibiak-baka dan diternak di Wenchang sejak lebih 400 tahun lalu untuk dagingnya yang berkualiti tinggi. Sistem ternakan tradisional di sana memberi ayam ini makanan seperti biji-bijian, kelapa, dan kacang tanah, menghasilkan rasa daging yang unik dan sangat lazat.
Ayam Wenchang bersaiz kecil hingga sederhana dengan kaki yang pendek tetapi tegap. Bulunya berwarna putih kekuningan, sementara kulitnya halus tetapi agak tebal, berdaging padat, dan kenyal berbanding ayam lain, menjadikannya sangat sesuai untuk masakan istimewa seperti nasi ayam. Dagingnya gurih, lembut tetapi kenyal apabila dimasak. Kandungan kolagen yang tinggi dalam dagingnya memberikan sensasi kenyal tetapi cair di mulut, terutama apabila dimasak secara perlahan (slow cooking). Oleh itu, ia lebih sesuai dimasak secara rebus bagi mengekalkan rasa semula jadinya.
Ayam Wenchang lebih menjurus kepada ayam pedaging berbanding pengeluaran telur kerana kadar penghasilan telurnya agak rendah, iaitu sekitar 60-120 biji setahun. Namun, kemampuan ayam ini untuk mula bertelur seawal usia 14 minggu menjadikannya menarik untuk dibiakkan dalam skala lebih besar.
4. Ayam Silver Sussex
Silver Sussex (SS) adalah salah satu daripada beberapa turunan baka Sussex yang berasal dari Sussex, United Kingdom. Perawakannya sangat cantik dengan temperamen yang tenang. Antara ciri yang menjadikannya popular ialah keupayaannya bertelur dengan banyak.
Silver Sussex mempunyai warna hitam yang dominan, tetapi pada hujung bulu putih terdapat warna perak. Ini memberi kesan kontras yang sangat elegan. Bertubuh sasa dengan dada yang lebar dan gempal. Sayapnya mendakap rapat pada tubuh, menjadikannya kelihatan kemas dan anggun. Silver Sussex mempunyai balung sisir tunggal yang lebar dan berwarna merah cerah.
Pialnya yang merah labuh kelihatan seperti memakai anting-anting yang mahal dengan telinga yang juga berwarna merah. Kaki SS berwarna kelabu kebiruan, pendek hingga sederhana tinggi, dan tidak berbulu.
Pengeluaran telurnya sangat banyak, antara 200-250 biji setahun, antara yang tertinggi dalam kalangan ayam baka dwi-fungsi. Telurnya berwarna krim atau perang muda, manakala dagingnya berkualiti tinggi, lembut dan sedap. SS sangat jinak, manja dan senang diurus, oleh itu ia sesuai untuk pendatang baharu yang ingin menternak ayam baka klasik.
SS mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran sama ada dikurung atau dilepas bebas. Ia tahan terhadap pelbagai keadaan cuaca dan tidak bersifat teritorial, menjadikannya sesuai dipelihara bersama baka lain. Daya penukaran makanannya (feed conversion ratio) sangat cekap.
Bagi mendapatkan hasil yang optimum seperti telur yang banyak serta bulu yang cantik dan berkilat, SS memerlukan makanan yang berkualiti. Reban perlu bersih dan kering bagi mencegah penyakit. SS perlu diberi perhatian terhadap kesihatan kaki dan bulu, terutama pada musim lembap. Silver Sussex sangat popular dalam kalangan peminat ayam hias dan peserta pertandingan ayam hias. Pengeluaran daging SS mendahului pengeluaran telur.
5. American Bresse
American Bresse (AB) adalah adaptasi daripada ayam Bresse yang berasal dari Perancis dan terkenal kerana dagingnya yang enak serta menjadi buruan chef terkemuka dunia. American Bresse sangat diminati oleh penternak rumahan kerana kombinasi keistimewaannya: daging berkualiti tinggi, penghasilan telur yang banyak, serta ketahanan dan kemudahan penjagaan yang tinggi.
Berasal daripada versi domestik ayam Bresse di wilayah Bresse, Perancis, American Bresse telah dikembangkan di Amerika Syarikat mengikut standard pemeliharaan tempatan sambil mengekalkan karakter dan kualiti unggul ayam Bresse asal. Ayam ini mempunyai beberapa varian warna bulu seperti biru, hitam, dan abu-abu, namun umumnya berwarna putih.
Ia memiliki balung tunggal yang besar dan merah terang, dengan kaki berwarna biru metalik—ciri khas ayam Bresse. Tubuhnya ramping, berotot, dan menghasilkan daging berkualiti premium. Ayam jantan American Bresse boleh mencapai berat 3 - 4 kg, manakala betinanya sekitar 2 - 3 kg.
Kelebihan utama American Bresse terletak pada kualiti dagingnya yang premium: lembut, berjus, dan kaya rasa, hasil daripada kandungan lemak antara otot (marbling) yang tinggi. Oleh sebab itu, ia sering digelar sebagai “wagyu ayam”. Untuk memastikan kualiti daging terbaik, ayam ini dipelihara secara lepas bebas di ladang tradisional.
Dalam penghasilan telur, American Bresse mampu menghasilkan sekitar 200 biji telur setahun dengan cengkerang berwarna krim atau perang muda. Ayam betina mula bertelur seawal usia 5-6 bulan.
Bagi memastikan hasil daging dan telur yang optimum, American Bresse perlu diberikan makanan berkualiti tinggi seperti bijirin dan jagung serta dilepas bebas untuk mencari makanan semula jadi. Ia boleh menyesuaikan diri dengan pelbagai cuaca dan berkembang dengan baik apabila mempunyai ruang yang luas untuk bergerak. Tambahan pula, baka ini tahan penyakit apabila diberi makanan bermutu serta ditempatkan dalam persekitaran yang bersih.
American Bresse lebih popular dalam kalangan penternak kecil berbanding baka asal kerana lebih mudah dijaga. Ia juga menjadi pilihan utama dalam pasaran ayam premium kerana menawarkan harga yang tinggi dan eksklusif.
Untuk meningkatkan keunikan rasanya, ayam ini diternak dalam kawasan luas selama beberapa bulan sebelum diberikan rejim makanan khas untuk penggemukan. Selepas itu, ia disembelih bagi memenuhi pasaran ayam premium. Disebabkan keistimewaannya, American Bresse sering digelar “Queen of Chicken” dan “Chicken of Kings”.
6. Buff Sussex
Buff Sussex (BS) adalah salah satu turunan baka Sussex yang terkenal kerana sifat dwi-fungsinya. Ia berasal dari Sussex, United Kingdom. Buff Sussex mempunyai bulu berwarna kuning dan coklat keemasan, manakala bahagian ekornya berwarna coklat gelap sehingga hitam.
BS sangat produktif, menghasilkan antara 200-250 biji telur setahun. Kulit telurnya berwarna krim atau perang muda. Mempunyai tubuh yang besar sehingga sesuai juga sebagai ayam pedaging. Induk jantan boleh mencapai berat 4-5 kg, manakala induk betina boleh mencapai berat 3-4 kg. Sifatnya yang tenang, manja dan mudah jinak menyebabkan ia sering dijadikan haiwan kesayangan oleh keluarga penternak kecil dan pempamer. BS mudah beradaptasi dengan cuaca tempatan dan sesuai diternak di iklim lembap serta panas seperti Malaysia.
Buff Sussex memiliki bulu yang tebal dan cantik, serta penampilan yang anggun penuh bergaya. Warna buff/keemasan yang menarik perhatian menjadikannya sangat dicari dalam kalangan peminat ayam hias yang mencari ayam dengan penampilan cantik dan elegan. BS sangat lasak, tahan penyakit dan mudah dirawat. BS sesuai untuk penternak pemula mahupun pempamer profesional.
7. Isabella Leghorn
Isabella Leghorn (IL) adalah salah satu baka turunan Leghorn yang terkenal dengan penghasilan telur yang tinggi. Leghorn berasal dari Itali dan menjadi baka utama dalam industri pengeluaran telur di seluruh dunia.
IL mempunyai bulu yang khas bagi baka ini sahaja, iaitu kombinasi antara warna krim pudar, abu-abu kebiruan dan sedikit taburan warna keemasan. Ia dikategorikan sebagai ayam ringan yang bertubuh ramping dan aktif. IL mempunyai balung sisir yang besar dan berwarna merah garang.
Penghasilan telurnya sangat tinggi sehingga mencapai 280 - 320 biji setahun. Telurnya bercengkerang putih dengan saiz sederhana hingga besar. Ia sangat aktif dan suka mencari makanan sendiri (foraging) apabila dilepas bebas.
Isabella Leghorn, seperti baka Leghorn yang lain, mempunyai daya konversi makanan yang sangat cekap sehingga tidak memerlukan banyak dedak untuk menghasilkan telur. Kadar tumbesarannya juga sangat laju berbanding dengan baka ayam penelur lain. Ia mempunyai daya tahan penyakit yang baik. Baka IL sangat sesuai untuk penternakan di perkarangan rumah mahupun penternakan skala besar.
Penghargaan:
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.