September 30 2024
Kunjungan kami ke Ketereh, Kok Lanas, Kelantan, menemui seorang usahawan muda yang mengusahakan Cili Solok atau Lada Solok, Encik Muhammad Fida'iy bin Abdul Halim.
Beliau mempunyai pendidikan formal dalam bidang industri perladangan dari UiTM Arau, malah pernah mengikuti kursus dalaman pengurusan ladang dengan sebuah syarikat gergasi perladangan sawit. Mungkin nasib lebih memihak untuk menjadikannya beliau seorang usahawan, syarikat tidak mengikatnya dengan sebarang kontrak.
Beliau kembali ke kampung untuk mengusahakan 3 plot ladang fertigasi gantung milik keluarga, 1000 beg tiap plot dengan tanaman kontan seperti timun batang, peria, Cili Kulai dan Cili Solok. Akan tetapi, Cili Solok lebih membawa tuah kepadanya kerana pernah mencapai penghasilan yang sangat tinggi, purata 5 kilogram hasil cili bagi setiap pokok.
Cili Solok sangat unik kerana hanya ditanam di Kelantan dan Terengganu bagi membuat satu resepi cili sumbat pelengkap nasi kerabu pantai timur yang dipanggil Solok Lada. Cili ini berwarna putih, dinding buah (mesokap) agak nipis dan mempunyai kepedasan sederhana yang akan berbaur sempurna dengan isi sumbatnya. Cili Solok akan dituris memanjang membentuk poket bagi disumbat isinya yang dibuat dari isi ikan selayang atau kembung yang dikisar halus bersama bawang, cili api, lada hitam, halia, lengkuas, kunyit dan kelapa parut. Ia kemudiannya dikukus beberapa minit sehingga masak. Untuk resepi ini, Cili Solok yang bersaiz besar menjadi pilihan bagi memudahkan kerja menyumbat dan lebih menarik.
Ciri-ciri Cili Solok
Cili Solok berwarna putih, agak montok di pangkal dengan bahu yang pepat dan berkedut-kedut sehingga ke bahagian tengah buah. Menurut Encik Muhammad Fida'iy, tiada syarikat yang mengusahakan biji-biji sayuran mengeluarkan varieti ini melainkan varieti Thailand yang hanya putih tetapi sama bentuk dengan Cili Kulai dengan mesokap yang tebal menjadikannya kurang sesuai untuk dibuat Solok Lada melainkan Cili Solok Kampung yang mempunyai mesokap yang nipis tetapi tidak pecah selepas dikukus.
Varieti Cili Solok Kampung atau varieti tradisional ini diturunkan kepada generasi sekarang oleh nenek moyang terdahulu yang membuat seleksi bagi mendapat karektor yang tepat untuk Solok Lada sejak berabad-abad dahulu. Encik Muhd Fida'iy sendiri mendapat benih Cili Solok Kampung dari seorang senior dalam penanam Cili Solok yang kebetulan turut berada di Kok Lanas. Petani ini sangat berdedikasi menanam Cili Solok supaya benihnya tidak terputus dan hilang dari masyarakat. Bagi menjamin kualiti dan ketulenan, petani ini hanya mengambil buah dari cabang yang ke 6 hingga cabang yang ke 9 untuk diambil bijinya.
Menurut Mohd Fida’iy, selepas dipetik, biji Cili Solok untuk dijadikan benih terpaksa melalui regim proses yang sangat teliti bagi menjamin ketulenan dan ia tetap bernas bagi mencapai peratus percambahan yang tinggi. Pohon Cili Solok mempunyai percabangan yang lebih tirus menjadikannya tidak rimbun seperti varieti Kulai. Pengurusan pokoknya juga agak berbeza berbanding varieti Kulai.
Kesan Baik Selepas Guna Produk BASF
Cili Solok menjadi favourite Mohd Fida’iy kerana harga yang tidak pernah jatuh di bawah RM10 per kilo dan menjadi rebutan peraih sayur-sayuran. Pada bulan Jun, harga Cili Solok mencapai RM21/kg bagi gred A dan RM18/kg bagi gred B. Permintaan terhadap Cili Solok akan lebih meningkat menjelang bulan puasa kerana lebih ramai peniaga menjual nasi kerabu di bazaar Ramadan. Permintaan ini tinggi bukan sahaja di pantai timur tetapi merebak ke seluruh negara.
Saban tahun menjelang Ramadan, Mohd Fida’iy akan membekal Cili Solok kepada pemborong di Pasar Borong Selayang, Pasar Tani Gombak dan Pasar Tani Shah Alam. Terdapat juga permintaan dari masyarakat muslim di Selatan Thai pada ketika bulan puasa, anakanak kelahiran Kelantan dan Terengganu yang berada di perantauan ramai yang berniaga nasi kerabu terutama di Lembah Klang semasa bulan mulia menjadikan permintaan terhadap Cili Solok naik mendadak.
Mohd Fida’iy juga turut menggunakan racun dari BASF kerana bagi memenuhi audit Pensijilan myGAP di mana beliau terpaksa menghantar sampel sayuran secara berkala bagi menentukan keselamatan pengguna. Walaupun saiz ladangnya sederhana sahaja tetapi semangatnya tetap besar untuk memberi hasil yang tinggi dan mendapat harga yang terbaik.
Terdapat pelbagai penyakit yang menyerang terutama dari kutu trips dan mites. Kutu trips sangat sukar dikawal terutama jenis hitam dan beliau membuat pusingan penggunaan racun serangga yang berlainan bagi mencegah serangga membina kekebalan terhadap racun makhluk perosak. Untuk mites beliau menggunakan Chlorfenpyr + Alpha-Cypermethrin dari BASF dan beliau mendapat keputusan yang sangat baik.
Apabila meneliti prestasi Cili Soloknya, didapati kadar pembungaan sangat baik dan kualiti buah sangat cemerlang - besar dan berkilat. En. Fida’iy berkongsi penemuannya, beliau dapati kesan berkenaan diperolehi selepas menggunakan racun kulat Phyraclostrobin dari BASF. Beliau diperkenalkan Racun Kulat BASF Phyraclostrobin tidak berapa lama dahulu dan tetap menggunakan sehingga sekarang bagi mengurus penyakit. Kawalan penyakit didapati sangat berkesan dan keadaan pokok sangat sihat.
Beliau sangat berpuas hati dengan pencapaian tanamannya yang berkualiti dan menghasilkan pendapatan yang lumayan bagi menyara hidupnya dengan bertani. Mohd Fada'iy adalah seorang rol model yang mempunyai minat dan usaha yang mendalam dalam bertani sejajar dengan tagline BASF - demi cinta untuk bertani, tugas terpenting di muka bumi.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.