September 22 2025
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Buah apakah yang berbau busuk di hidung orang Eropah tetapi disanjung sebagai "Raja Buah Tropika" oleh penduduk Asia dan Kepulauan Pasifik? Ya, tiada lain melainkan durian. Sebagai Raja Buah, durian ditawarkan dengan harga yang tinggi, yang semakin meningkat dari tahun ke tahun dengan pembukaan pasaran baru di China. Thailand, Vietnam, dan Malaysia adalah antara negara pengeluar durian terbesar di dunia.
Tetapi tahukah anda terdapat satu segmen pasaran durian yang mampu menjial durian sekitar USD 100 per kilogram (RM480)?
Durian yang dikatakan mempunyai rasa yang sangat unik dengan berat 2.5 kilogram berjaya dijual dengan harga USD 380 sebiji (RM1,825) di Nonthaburi, kira-kira 20 kilometer di selatan kotaraya Bangkok, Thailand.
Dalam kes lain pada tahun 2019, sebiji durian Nonthaburi dijual dengan harga USD 48,000 kepada seorang ahli perniagaan Thai dalam sebuah lelongan awam.
Tentu timbul persoalan, mengapa buah berduri dengan aroma yang menyengat dari Nonthaburi ini mendapat perhatian yang begitu luas dan sanggup dibayar dengan harga berpuluh kali ganda berbanding durian dari wilayah lain di Thailand?
Pada musim durian di Nonthaburi, yang sedikit berbeza dari musim tuaian utama di daerah seperti Chantaburi, Rayong, dan Chumphon, ramai penduduk Bangkok dengan pakaian berjenama terkenal mengunjungi dusun-dusun di sekitar Nonthaburi untuk menikmati durian kelas dunia yang ditempah setahun sebelumnya.
Anak-anak dari ibu bapa profesional kelas elit ini terpegun melihat durian yang bergayutan di dahan, yang selama ini mungkin hanya mereka tonton di kaca televisyen.
Sejarah Durian Nonthaburi
Durian Nonthaburi bukanlah ditanam hanya pada era moden, tetapi telah wujud sejak 400 tahun dahulu. Di sinilah tempat lahirnya varieti klasik komersial yang masih produktif hingga hari ini, seperti Monthong, Chanee, dan Ganyao. Monthong, misalnya, menjadi varieti eksport utama Thailand ke luar negara. Dengan pembukaan pasaran China, Monthong dicari oleh peraih untuk memenuhi permintaan eksport yang sangat besar, yang mungkin tidak dapat dipenuhi walaupun terdapat saingan dari Vietnam dan Malaysia.
Lokasi dan Keunikan Nonthaburi
Nonthaburi terletak kurang dari 20 km atau 30 minit perjalanan dari pinggiran utara kotaraya Bangkok. Kawasan ini berfungsi sebagai "paru-paru hijau" bagi Bangkok, dipenuhi dengan tumbuhan hijau.
Perjalanan dari kotaraya Bangkok menuju Nonthaburi disambut dengan pemandangan yang sangat menarik, seolah-olah sebuah oasis dalam hutan batu-bata bandar, dengan terusan hijau yang saling bersilangan dan jalan yang disambungkan dengan jambatan konkrit yang sempit.
Kadang-kala, kenderaan terpaksa berhenti untuk memberi laluan kepada kenderaan dari arah bertentangan. Pemandangan sebegini jarang terdapat di kawasan durian, tetapi lebih mirip dengan kawasan tanaman padi di Minburi.
Pemandangan ini mungkin mempunyai sedikit persamaan dengan kawasan tanaman durian di Delta Mekong, Vietnam. Malangnya, Delta Mekong diancam oleh kemasukan air masin dari laut, yang mengancam tanaman durian akibat pembinaan beberapa empangan di sepanjang Sungai Mekong.
Keistimewaan Nonthaburi
Keistimewaan Nonthaburi berasal dari Sungai Chao Phraya. Setiap kali berlaku pasang surut, air dalam terusan dan parit turut berubah, umpama jantung yang mengepam darah dan menyebarkan oksigen.
Air pasang membawa bersamanya lumpur yang kaya dengan bahan organik, mineral, dan unsur garam. Apabila air surut, mendapan yang subur itu ditinggalkan dan dikeruk bersama tumbuhan akuatik seperti duckweed untuk dijadikan baja bagi pokok buah-buahan.
Pokok Dedap India (Erythrina sp.) ditanam di tebing parit untuk mengawal tebing daripada runtuh, menyejukkan persekitaran, memecah angin, dan meneutralkan unsur garam yang berlebihan. Di permukaan tanah antara barisan pokok durian, ditanam tanaman pakis pucuk paku yang boleh dijual dengan harga yang sangat mahal dan popular di restoran makanan laut di sini.
Varieti Durian Nonthaburi
Selain bagus untuk menyejukkan tanah di musim kemarau dan mengawal hakisan, paku-pakis ini juga menstabilkan unsur garam dalam tanah, seperti juga pokok dedap.
Varieti durian yang ditanam di Nonthaburi bukanlah varieti luar biasa atau terkini seperti Black Thorn atau Ochee, tetapi Ganyao dan Monthong. Ini adalah dua varieti utama yang ditanam dari sejumlah 234 varieti yang terdapat di Thailand.
Durian istimewa ini lebih dikenali sebagai "Nont Durian," yang merujuk kepada durian khas dari Nonthaburi. Durian ini sering dijadikan buah tangan di kalangan VVIP dan ahli perniagaan kaya, sinonim dengan lambang status, harga premium, dan kualiti terbaik.
Penjagaan dan Penanaman Durian Nonthaburi
Durian Nonthaburi bukan sekadar durian biasa yang ditanam secara besar-besaran secara mekanikal, tetapi seolah-olah produk buatan tangan yang diteliti satu persatu.
Tanpa baja kimia, petani membuat baja organik sendiri dengan memeram sisa-sisa ikan bersama molases dan buah-buahan busuk yang dibuang oleh penjual di pasar. Rumput dan rumpai yang dipotong dijadikan kompos bersama tinja ternakan.
Setiap pokok durian akan dilakukan penjarangan buah, di mana hanya 5 hingga 10 biji durian dibiarkan tumbuh mengikut saiz pokok dan taburan buah pada dahan. Ini bagi memastikan pokok dapat menyokong setiap buah dengan maksimum, menghasilkan buah yang cukup manis, isi yang tebal, dan bentuk yang sempurna.
Kualiti dan Harga Durian Nonthaburi
Setiap buah akan dibungkus dengan plastik untuk melindunginya daripada serangan serangga. Ada juga yang dibungkus dengan jaring mata pukat untuk mengelakkan serangan tupai, manakala yang lain digantung dengan ubat gegat untuk mencegah serangga.
Tidak kurang lucunya, ada durian yang dilindungi dengan payung, menunjukkan betapa berhati-hatinya petani menjaga Nont Durian, yang berbaloi dengan harga tinggi yang bakal dikenakan kepada pelanggan.
Nont Durian sememangnya mempunyai karakter yang sangat berbeza. Isinya berwarna kuning cair, manis secukup rasa, dan tidak terlalu manis seperti sesetengah durian. Aromanya sederhana lembut, tidak menjadi masalah bagi hidung orang Eropah, dan teksturnya berkrim serta cair di mulut.
Kualitinya sangat premium berbanding durian biasa yang beraroma kuat dan tekstur isi berair.
Cabaran dan Ancaman
Penjagaan yang sangat cermat dan persekitaran yang unik, kaya dengan bahan organik serta garam galian dari air laut, menjadikan Nont Durian sangat premium berbanding durian dari tempat lain.
Walaupun terpaksa dijual dengan harga yang tinggi memandangkan kesukaran menghasilkannya, Ganyou Nonthaburi terus mendapat permintaan. Permintaan yang melebihi pengeluaran menyebabkan harga terus melonjak naik. Kedudukan kawasan tanaman durian yang terbuka dan berhampiran sungai menyebabkan ia terdedah kepada ribut dan banjir.
Banjir pada tahun 1995 dan 2011 memusnahkan majoriti tanaman durian di Nonthaburi. Tanaman semula hanya akan berproduksi selepas 6 tahun, menjadikan buah yang terhasil dari pokok muda kurang berkualiti berbanding pokok yang lebih tua.
Kesimpulan
Walaupun dianggap mahal untuk sebiji durian, Nont Durian tetap akan diburu oleh penggemar durian kelas atasan. Durian "handmade" ini tidak akan diperoleh jika tiada petani yang sanggup bersusah payah menghasilkannya.
Jika Burgundy, Perancis, terkenal dengan anggur sejak Zaman Pertengahan, Nonthaburi tidak kurang hebatnya dengan durian terbaik Thailand sejak 300 tahun dahulu.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.