March 25 2026
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Pengeluar hasil pertanian, sama ada tanaman atau ternakan, sering bergantung kepada orang tengah untuk memasarkan produk mereka. Apabila lebih ramai orang terlibat dalam rantaian pemasaran dan setiap peringkat mengambil sedikit margin keuntungan, harga produk akan menjadi lebih tinggi apabila sampai ke tangan pengguna.
Menyedari hakikat ini, Tenang Agro Farm (TAF), sebuah ladang ternakan yang terletak di Kuala Nerang, Kedah, berjaya memendekkan rantaian pemasaran dengan menjual sendiri hasil daging ternakan mereka terus kepada pengguna sejak 5 tahun yang lalu.
Buka Pusat Penjualan Daging
Pada era COVID-19, apabila masyarakat sekitar sukar mendapatkan bekalan protein harian akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), TAF mula menyembelih ternakannya sendiri dan mengedarkan daging kepada masyarakat pada harga pulang modal sebagai khidmat masyarakat. Langkah ini memberi kemudahan kepada pengguna, terutama warga tua yang tinggal bersendirian dan sukar mendapat bekalan ikan, ayam dan daging.
Sejak itu, TAF membuka sebuah pusat penjualan daging yang terletak kurang daripada tiga kilometer dari Pekan Kuala Nerang, sebuah pekan kecil yang giat berkembang kerana lokasinya yang hampir dengan projek Rubber City dan pintu masuk terbaharu ke Thailand, iaitu CIQ Durian Burung.
Walaupun berada agak terpencil, kira-kira 38 kilometer dari bandar Alor Setar, TAF tetap menerima pembeli dari sejauh Perlis dan Pulau Pinang. Ini mungkin disebabkan faktor harga terbaik yang mampu diperoleh bagi daging lembu tempatan yang disembelih pada hari yang sama.
Harga ditawar sesuai untuk pengguna dan pemborong.
Setiap hari, TAF menyembelih antara tiga hingga empat ekor lembu untuk jualan di pusat tersebut. Menariknya, lembu yang disembelih terdiri daripada baka Kedah-Kelantan (KK) dan KK Cross yang terkenal dengan dagingnya yang halus, manis serta bertulang kecil.
Pilihan Unik untuk Peminat Daging Tempatan
Di pusat jualan TAF, pengguna boleh membeli daging dalam pakej 4 kilogram pada harga RM100. Dalam pakej ini, pengguna akan menerima 3 kilogram daging segar dan 1 kilogram hasil sampingan seperti campuran tulang berdaging dari bahagian rusuk dan tulang belakang, ekor yang diproses bersama belulang, kulit atau belulang yang telah dikikis bulunya dan direbus, serta organ dalaman seperti hati, jantung dan perut. Bagi penggemar daging tempatan yang serius, ini merupakan satu tawaran yang sangat unik. Beberapa masakan tradisi berasaskan resipi unik dari daerah Padang Terap, Sik dan Baling dapat dihasilkan daripadanya.
Lebih Jimat Berbanding Harga Pasaran
Ketika berkunjung ke pusat jualan ini sebelum tengah hari, kelihatan pengunjung berpusu-pusu datang dengan pelbagai kenderaan. Paling ramai datang dengan motosikal, menggambarkan sebahagian besar pembeli terdiri daripada penduduk berdekatan. Kebetulan masa itu begitu hampir dengan permulaan Ramadan, pembeli datang untuk mengambil stok daging bagi juadah bersahur pertama mereka.
TAF memberi kebebasan pengguna memilih bahagian daging yang digemari.
Kebiasaannya ibu bapa menyediakan juadah istimewa pada makan malam dan sahur menjelang Ramadan pertama bagi memastikan anak-anak bersedia untuk mula berpuasa. Bagi kanak-kanak yang baru memasuki usia 7 tahun dan akan mula berpuasa penuh sepanjang hari, mereka akan berasa ghairah ketika bersahur dan teruja untuk menghadapi puasa pada siang hari esoknya.
Konsep pemasaran TAF agak unik. Daging ditawarkan dalam kombinasi 3 kilogram daging bersama 1 kilogram tulang berdaging atau organ dalaman seperti hati, limpa dan perut pada harga RM100. Harga ini sangat berpatutan kerana kebanyakan tempat lain menawarkan antara RM35 hingga RM45 sekilogram bagi daging segar dan tulang berdaging. Bagi potongan istimewa seperti batang pinang, musir dalam dan harimau menangis, harga yang ditawarkan ialah RM30 sekilogram berbanding kebiasaannya dijual pada harga RM45 hingga RM50. Mereka mampu menjual harga serendah ini kerana mempunyai ladang ternakan sendiri.
Herba Tempatan untuk Kebersihan & Kualiti
TAF juga mengeluarkan produk sampingan daging seperti belulang atau kikil, betis lembu beserta kuku, dan ekor yang disaluti kikil. Ketiga-tiga produk sampingan ini agak sukar diproses kerana perlu dibakar, dikikis dan dicuci bersih menggunakan daun herba tempatan seperti daun pandan, daun limau purut dan serai, diikuti cucian menggunakan tepung gandum. Produk ini dijual pada harga RM30 sekilogram, sangat berbaloi jika diambil kira kepayahan untuk menyediakannya.
Betis dan ekor bersalut kikil sangat sedap dibuat sup bersama rempah-ratus Melayu selepas direbus selama 4 hingga 6 jam sehingga lembut seperti agar-agar. Belulang atau kikil pula mempunyai rasa yang sama dan sesuai dicampur dalam gulai kawah atau sup tulang. Ketiga-tiganya menjadi pilihan peminat sup kerana kandungan kolagen yang tinggi, dipercayai baik untuk kesihatan kulit dan mengekalkan keremajaan.
TAF Sediakan Juadah Ramadan
Terdapat juga pusat tahfiz dan sekolah pondok yang datang menempah juadah untuk bulan Ramadan. Di daerah ini terdapat banyak sekolah pondok dan tahfiz, dan bulan puasa dipenuhi dengan aktiviti berbuka puasa serta moreh (jamuan selepas solat tarawih). TAF akan menyediakan gulai kawah istimewa untuk dihantar sebagai jamuan kepada anak-anak tahfiz dan pondok pada hari-hari tertentu sepanjang Ramadan, biasanya pada sahur pertama, 17 Ramadan dan menjelang Syawal, sama ada untuk moreh atau berbuka puasa.
Kombinasi 3kg daging pejal dan 1kg tulang berdaging untuk RM100 paling murah di pasaran.
Biasanya, gulai istimewa ini ditaja oleh individu atau pihak tertentu yang ingin beramal sempena Ramadan yang penuh barakah. Masyarakat Islam percaya bahawa memberi makan kepada orang berpuasa pada bulan Ramadan membawa ganjaran yang lebih besar berbanding dengan bulan lain.
Pihak TAF menyediakan gulai kawah siap hidang pada kadar RM2.40 seorang atau RM1,400 sekawah yang boleh dinikmati oleh kira-kira 450 orang. Gulai ini biasanya terdiri daripada daging dan tulang berdaging serta sedikit organ dalaman seperti hati, perut dan limpa yang dicampur dengan umbut pisang yang dikenali sebagai “reyas pisang”di sini.
Antara jenis umbut pisang yang sedap dibuat untuk gulai kerana rasanya yang manis dan kurang berserat ialah pisang hutan, pisang awak, pisang abu batu dan pisang emas. Umbut terbaik diperoleh daripada pokok pisang dara yang tidakterlalu muda dan belum mengeluarkan jantung. Umbut pisang hutan biasanya diperoleh dari belukar di pinggir hutan sejuk dan ianya organik serta pastinya percuma.
Bagi masyarakat di kawasan ini, gulai umbut pisang yang juga dipanggil Gulai Ulu atau Gulai Teloi mempunyai beberapa kepelbagaian resipi. Resipi asalnya tidak menggunakan serbuk kari langsung, sebaliknya hanya menggunakan serai, cili padi, kunyit, lengkuas dan rempah biji yang ditumbuk sebelum dijerang bersama daging tanpa ditumis.
Apabila masa berubah, demi kepantasan penyediaan, serbuk kari daging digunakan pada kadar yang sesuai, tetapi bahan-bahan asal tidak ditinggalkan. Seorang chef pernah menyediakan sekawah gulai umbut pisang di sebuah pesta makanan di Lembah Klang dan hidangan tersebut habis dalam tempoh setengah jam. Ini menunjukkan ramai yang mengenali keenakan masakan ini, namun sukar ditemui di luar 3 daerah “ulu” di Kedah.
Terkini, TAF menyediakan gulai tulang berdaging bersama kundur, sejenis sayuran daripada keluarga labu yang kini agak jarang ditemui lagi. Ia sering disalah anggap sebagai kundur biasa (Benincasa hispida). Tanaman ini termasuk dalam keluarga labu-labuan (Cucurbitaceae) dan dikenali dengan pelbagai sebutan seperti wax gourd atau winter melon.
Namun, kundur yang digunakan ini berbeza daripada kundur sayur yang biasa terdapat di pasar. Kundur ini dibiarkan tua di pokok sehingga pokoknya hampir kering. Buahnya bersaiz besar dan diselaputi debu putih apabila cukup matang, dengan berat antara 10 hingga 15 kilogram sebiji. Kundur biasanya dijadikan halwa, sejenis manisan kering yang sering digunakan dalam minuman seperti lai chi kang.
Ia dipercayai mempunyai kesan menyejukkan badan dan sesuai diminum ketika musim panas. TAF mengembalikan nostalgia citarasa lama yang mungkin hanya dikenali oleh generasi yang kini berusia 60 tahun ke atas. Gulai daging bercampur kundur menghasilkan rasa manis semula jadi yang sangat unik dan mampu mengimbangi lemak daging daripada tulang yang dicampurkan. Secara tradisional, gulai kundur juga dipercayai membantu mengeluarkan peluh ketika badan kurang sihat dan mengembalikan kesihatan.
TAF turut menyediakan khidmat bagi ibadah akikah dan korban sama ada menggunakan kambing atau lembu. Pelanggan hanya perlu membuat bayaran dan akad, manakala urusan selebihnya diuruskan oleh pihak TAF, sama ada untuk disedekahkan kepada asnaf yang layak atau dimasak bagi tujuan kenduri. Antara menu popular ialah kambing golek dan gulai kawah. Perkhidmatan penghantaran turut disediakan mengikut perjanjian yang dipersetujui semasa tempahan dibuat.
Biri-biri lebih murah untuk kenduri.
Pengguna memilih kibas untuk akikah.
Ladang TAF menawarkan pelbagai pilihan haiwan ternakan seperti kambing kampung, kambing baka, bebiri baka, lembu baka Kedah-Kelantan (KK) dan KK Cross, lembu baka import seperti Brahman, serta kerbau. Lembu di ladang TAF kelihatan sangat sihat dengan bulu yang berminyak, bonggol yang tergolek-golek, dan punggung yang kelihatan berisi. Lembu yang cukup umur untuk korban ditawarkan dengan harga RM4,000 sahaja seekor.
Perkhidmatan Melangkaui Sempadan Negeri
Terdapat juga kerbau untuk korban, yang mungkin antara satu-satunya ladang di utara tanah air menawarkan ternakan ini. Kerbau kini semakin jarang ditemui, apatah lagi untuk menikmati dagingnya. Seekor kerbau yang bersaiz hampir sama dengan lembu biasanya menghasilkan daging yang lebih banyak. Daging kerbau lebih pejal, manis dan berwarna sedikit lebih gelap.
Dalam kalangan generasi lama di daerah ini, daging kerbau lebih digemari berbanding lembu. Dahulu, kerbau banyak diternak di Lembah Ahning dan Lembah Ulu Muda/Pedu, namun kawasan tersebut telah ditenggelami air akibat pembinaan empangan. Kini masih terdapat kumpulan kerbau liar yang meragut bebas di sekitar kawasan empangan.
TAF juga mengeluarkan produk Bebiri Perap yang dibuat menggunakan perapan rempah Melayu terbaik. Selain itu, TAF turut menyediakan perkhidmatan katering bagi majlis kenduri kahwin dan jamuan korporat yang berkonsepkan kambing golek dan citarasa kampung. Perkhidmatan yang ditawarkan oleh TAF menjangkau sehingga ke negeri Perlis dan Pulau Pinang.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.