February 25 2026
Oleh: Bushral Karim Md Yusob
Ayam belanda, atau turki, sering dikaitkan dengan perayaan Thanksgiving di Barat. Namun, di Malaysia, burung yang gagah dan berisi ini semakin mencuri perhatian bukan sahaja sebagai hidangan istimewa sempena hari raya atau majlis perkahwinan, tetapi juga satu perniagaan ternakan komersial yang berpotensi menjana keuntungan menarik.
Jika anda membayangkan ladang ayan standard, fikirkan semula. Ternakan ayam belanda adalah arena yang berbeza - lebih mencabar, lebih teknikal, tetapi dengan pasaran niche yang sanggup membayar premium.
Artikel ini merujuk kepada usaha yang telah dibuat oleh Santing Agri Farm di Padang Rengas, Perak, yang diusahakan oleh seorang pemuda, Encik Zainul Hilmi bin Mohamad Wajdi, dengan sokongan ibu dan bapanya. Beliau telah berkecimpung dalam bidang ini selama lima tahun bermula pada tahun 2020.
Persediaan Awal: Bukan Tanpa Perancangan
Santing Agri Farm memiliki tanah seluas lima ekar jauh dari kawasan perumahan dan tidak menimbulkan masalah persekitaran kepada penduduk tempatan. Tanah pusaka keluarga yang suatu ketika dahulu digunakan untuk tanaman padi telah diubah bagi menempatkan 15 petak reban ayam yang setiap satu boleh memuatkan 60 ekor ayam belanda.
Sebelum membina reban atau membeli anak ayam, persediaan mental dan pengetahuan adalah kunci.
Aspek utama dalam penternakan ayam belanda ialah menentukan pasaran serta menyediakan rancangan perniagaan. Oleh kerana ayam ini tidak boleh dijual setiap hari di pasar, permintaan biasanya datang daripada pasar raya premium, hotel, restoran, majlis katering dan penyedia makanan diproses. Permintaan meningkat pada musim perayaan terutamanya Krismas, Tahun Baharu, Thanksgiving bagi komuniti ekspatriat, serta keperluan katering untuk rumah terbuka.
Berdasarkan kepada jangkaan permintaan tersebut, dapatlah dirancang berapa ekor ayam yang sesuai untuk diternak, serta masa yang sesuai untuk memulakan ternakan, dengan mengambil kira keperluan dari semasa ke semasa.
Pemilihan Baka
Dua jenis baka utama di Malaysia ialah Broad Breasted White dan Broad Breasted Bronze. Broad Breasted White merupakan jenis komersial paling popular kerana berbadan besar, mempunyai banyak daging dada, cepat membesar dan sesuai disembelih selepas 14 hingga 22 minggu. Namun, jenis ini kurang aktif dan memerlukan penjagaan rapi.
Encik Zainul Hilmi adalah pengusaha ternakan ayam belanda dibantu oleh seorang pekerja sepenuh masa.
Broad Breasted Bronze pula mempunyai bulu berwarna dan lebih digemari di pasaran tradisional kerana penampilannya lebih semula jadi.
Walau bagaimanapun, Encik Zainul Hilmi menternak baka ayam kacukan yang diperoleh daripada pasaran komersial untuk disesuaikan dengan iklim di Malaysia.
Lokasi dan Kelulusan
Pemilihan lokasi yang sesuai adalah penting bagi mengurangkan pencemaran, terutamanya aspek bau dan bunyi. Lokasi juga perlu mempunyai akses jalan yang baik untuk memudahkan pengangkutan dan bekalan, serta menyediakan ruang penyimpanan dan penempatan pekerja.
Dapatkan juga kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pihak berkuasa tempatan. Aspek ini adalah untuk memastikan operasi komersial yang sah serta membolehkan penternak mendapatkan nasihat teknikal.
Modal yang mencukupi perlu disediakan. Kos permulaan termasuk tanah, pembinaan reban yang berkualiti, pembelian anak ayam (poult), makanan, peralatan (penghawa dingin, lampu, pengumpan, penyiram), serta kos operasi sekurang-kurangnya 5-6 bulan sebelum jualan pertama.
Keseluruhan kos untuk 50 ekor ayam belanda adalah di bawah RM70,000 bagi penyediaan bangsal ternakan, pembelian anak ayam, makanan permulaan, ubat-ubatan serta peralatan asas dan tambahan.
Kawasan luas yang jauh dari kawasan kediaman, dan tidak berlakunya takungan air atau banjir.
Peralatan asas termasuk lampu pemanas, feeder makanan dan minuman, jangkasuhu, tong makanan dan peralatan pembersihan. Bagi peralatan khas, turut perlu disediakan tangki air, semburan pembasmi kuman, alat suntikan vaksin dan penimbang.
Kos operasi bagi tempoh lima hingga enam bulan merangkumi pembelian anak ayam, kos vaksin dan ubat-ubatan, lapik tanah untuk buangan najis ayam, perbelanjaan elektrik dan bekalan air, serta pembiayaan pekerja. Peruntukan bagi kos luar jangka juga perlu disediakan. Anggaran kos operasi adalah antara RM9,000 hingga RM15,000.
Berdasarkan anggaran di atas, keseluruhan kos adalah antara RM12,000 hingga RM25,000 bagi ternakan 50 ekor ayam.
Pembinaan Reban: Rumah Si Raja Unggas
Ayam belanda lebih sensitif berbanding ayam biasa. Mereka mudah stres, mudah dijangkiti penyakit dan memerlukan ruang yang lebih luas. Ayam boleh dilepaskan bebas sekiranya terdapat kawasan yang luas, namun ruang reban tertutup tetap perlu disediakan sebagai perlindungan daripada hujan dan panas.
Ruang reban perlu mempunyai dinding lengkap, sistem pengudaraan dan, jika perlu, sistem penyejukan bagi mengekalkan suhu antara 18 hingga 24°C, terutamanya untuk penempatan anak ayam.
Lantai boleh menggunakan sistem sangkar berangkai atau litter seperti habuk kayu. Sistem sangkar memudahkan pengurusan najis, manakala litter lebih selesa untuk kaki ayam belanda yang besar.
Ayam belanda memerlukan ruang yang mencukupi supaya tidak berada dalam keadaan sesak. Untuk ayam belanda komersial, kepadatan maksimum ialah tiga hingga empat ekor bagi setiap meter persegi bagi sistem litter. Kepadatan yang lebih rendah adalah lebih baik untuk mengurangkan stres dan risiko penyakit.
Reban ayam perlu menyediakan sistem air minum, sistem pengumpan makanan, perlindungan cuaca serta pencahayaan yang sesuai. Kawasan kuarantina juga perlu diwujudkan untuk mengasingkan ayam yang sakit dan bagi penempatan ayam yang baru dibeli.
Dedak ayam adalah sumber utama makanan ayam belanda, dan melibatkan 80% kos pengeluaran.
Sistem air minum menggunakan nipple drinker adalah paling sesuai untuk memastikan air kekal bersih dan kurang tumpah. Sistem feeder makanan pula perlu mencukupi dan ditempatkan pada ketinggian yang sesuai bagi mengurangkan pembaziran.
Reban ayam perlu mempunyai perlindungan daripada hujan dan panas serta pencahayaan yang tidak terlalu terang bagi mengurangkan sifat kanibalisme. Reban juga perlu kukuh dan selamat daripada ancaman anjing, musang atau ular.
Kesabaran Adalah Ibu Segala Kejayaan
Fasa paling kritikal ialah semasa anak ayam diterima. Anak ayam sangat lemah dan mudah kesejukan. Anak ayam juga masih belum mahir dan perlu diajar untuk makan dan minum pada peringkat awal. Caranya ialah dengan mencelup paruh mereka ke dalam air dan makanan beberapa kali sehari pada peringkat awal.
Bagi memastikan anak ayam tidak kesejukan, pemanas (brooder) perlu disediakan dengan suhu antara 35-38°C pada minggu pertama, dan diturunkan secara beransur-ansur sebanyak 3°C setiap minggu.
Program vaksinasi adalah sesuatu yang perlu dilaksanakan. Penyakit seperti Blackhead (Histomoniasis), Coccidiosis dan Newcastle merupakan pembunuh utama. Rujuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk jadual vaksinasi yang betul.
Gunakan makanan starter yang tinggi protein, iaitu antara 28-30%.
Pada peringkat pembesaran dari umur lapan minggu hingga masa penyembelihan, makanan boleh ditukar kepada makanan grower dengan kandungan protein 20-24% dan finisher dengan 18-20% protein.
Kos makanan merangkumi 70-80% daripada kos pengeluaran. Ayam belanda makan dalam jumlah yang banyak. Seekor ayam belanda boleh menghabiskan 40-50kg makanan sehingga disembelih.
Kesihatan ayam juga perlu diuruskan dengan memerhatikan tanda-tanda penyakit seperti lesu, tidak mahu makan dan cirit-birit. Pemeriksaan harian perlu dilakukan. Kebersihan air dan makanan hendaklah sentiasa dijaga.
Sistem ternakan tertutup menempatkan ayam sepanjang hayat memerlukan kos hingga RM70,000 bagi 4 buah reban ayam menempatkan hingga 600 ekor.
Pengurusan stres pula merangkumi usaha mengelakkan bunyi bising, gangguan haiwan lain atau perubahan mendadak. Stres boleh menyebabkan pertumbuhan terbantut dan ayam mudah jatuh sakit.
Pemasaran: Di Mana Wangnya?
Ayam belanda bukanlah jualan yang sentiasa terdapat di pasar, namun hasilnya boleh dijual pada harga yang baik. Daging segar atau sejuk beku boleh mencecah antara RM35-RM50 sekilogram bergantung kepada pasaran dan masa, dengan harga puncak sekitar musim Krismas dan Tahun Baru.
Bahagian dada, paha, sayap dan tulang sesuai dijadikan sup, manakala bahagian dada merupakan bahagian premium. Daging juga boleh diproses menjadi burger, sosej dan salami atau dipasarkan sebagai daging siap dimasak. Proses pemprosesan ini menambah nilai dan membolehkan produk dijual sepanjang tahun.
Pasaran ayam belanda boleh terus disasarkan kepada restoran dan hotel melalui hubungan terus dengan pemilik hotel atau restoran. Pasaran premium seperti Village Grocer dan Ben’s Independent Grocer juga merupakan saluran pemasaran yang baik.
Proses penetasan dalam inkubator ini membantu pengeluaran anak ayam belanda berterusan.
Pemasaran melalui media sosial dan laman web merupakan alternatif yang berkesan. Ternakan yang sihat dan bebas antibiotik mampu menarik perhatian pengguna bandar yang mementingkan kualiti.
Platform e-dagang seperti Shopee serta jualan melalui TikTok juga merupakan pilihan yang baik untuk memasarkan ayam belanda berkualiti.
Aspek utama pemasaran ialah penentuan masa yang sesuai mengikut musim perayaan. Jualan antara bulan November hingga Februari memberi peluang pengguna membuat tempahan bagi kegunaan perayaan.
Oleh itu, perancangan pembesaran ayam mesti tepat agar ayam mencapai saiz optimum pada musim tersebut.
Cabaran: Realiti Yang Perlu Dihadapi
Menternak ayam belanda, sama seperti ternakan lain, melibatkan risiko kesihatan dan kadar kematian yang tinggi. Ayam belanda, terutamanya anak ayam, sangat mudah mati.
Satu kesilapan dalam pengurusan suhu atau vaksinasi boleh menyebabkan kematian secara besar-besaran. Penyakit Blackhead merupakan antara penyakit yang paling ditakuti. Kos pengeluaran ayam belanda juga tinggi, terutamanya kos makanan yang semakin meningkat dan memberi kesan langsung kepada keuntungan. Harga jagung dan soya di pasaran antarabangsa yang tidak stabil turut mempengaruhi margin keuntungan penternak.
Ayam belanda hitam adalah baka broad breasted bronze dan yang putih adalah kacukan tempatan yang sesuai iklim di Malaysia.
Ayam belanda juga merupakan pasaran bermusim. Penternak tidak boleh menjual ayam setiap hari. Jika tersalah menentukan masa penyembelihan, tempoh penjagaan yang lebih lama bagi ayam matang akan menambahkan kos operasi.
Penternak ayam belanda turut menghadapi saingan import kerana terdapat produk ayam belanda sejuk beku yang lebih murah dari Brazil atau Eropah. Dalam hal ini, pengguna perlu diyakinkan bahawa ayam belanda tempatan lebih segar dan berkualiti.
Tenaga kerja mahir juga diperlukan untuk urusan ternakan, namun agak sukar mendapatkan pekerja yang memahami penjagaan ayam belanda. Oleh itu, penternak sendiri perlu mempunyai ilmu penjagaan yang lengkap.
Modal pusingan yang besar juga diperlukan bagi memastikan operasi ternakan berjalan lancar. Kos pembelian makanan dan operasi perlu ditanggung selama lima hingga enam bulan tanpa sebarang hasil sehingga ternakan boleh dijual.
Kesimpulan: Adakah Ia Berbaloi?
Ternakan ayam belanda komersial di Malaysia bukan untuk mereka yang ingin cepat kaya atau takut menghadapi cabaran.
Ia merupakan perniagaan untuk individu yang mempunyai minat mendalam, kesabaran serta semangat untuk terus belajar. Ia ibarat bermain permainan strategi pada tahap “hard mode” berbanding ternakan ayam biasa.
Ruang khas untuk pengurusan dan penempatan pekerja disediakan.
Namun, bagi mereka yang berjaya menguasai ilmu, mengurus risiko dan membina pasaran yang kukuh, ganjarannya amat manis. Kepuasan melihat ayam belanda yang sihat dan gemuk serta permintaan berterusan daripada pelanggan yang menghargai kualiti adalah sesuatu yang tidak ternilai dengan wang. Pasaran daging khusus (niche meat) di Malaysia juga semakin berkembang seiring peningkatan pendapatan dan kesedaran terhadap pemakanan sihat.
Sekiranya berminat, mulakan secara kecil. Beli 20-30 ekor anak ayam belanda dan jadikan ia sebagai projek pembelajaran. Dapatkan nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) atau MARA yang mungkin menyediakan program bimbingan. Hadiri kursus serta lawati ladang sedia ada untuk menimba pengalaman.
Ayam belanda mungkin bukan raja di hutan, tetapi di dalam reban yang diurus dengan baik, mereka mampu menjadi “raja” yang membawa pulangan berbaloi kepada usahawan tani yang gigih dan kreatif.
Encik Zainul Hilmi sendiri telah membuktikan bahawa dengan ketekunan dan pengurusan yang betul, ternakan ayam belanda mampu memberikan pulangan yang memuaskan.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.