May 07 2025
Oleh: Nik Sukry Ramli
Perjalanan dari jalan lama Sungai Buloh ke Sungai Panjang, Selangor, adalah satu pengembaraan yang menyeronokkan serta pengalaman menarik bagi mereka yang gemarkan suasana alam semula jadi.
Sebagai sebuah mukim dalam kawasan Sungai Besar, sudah tentu Sungai Panjang memiliki kawasan sawah padi yang terbentang luas, selain ladang kelapa sawit. Aktiviti ekonomi utama di sini berasaskan pertanian dan perladangan.
Lebih 50 peratus tanah daerah Sabak Bernam digunakan untuk tanaman kelapa, padi, kelapa sawit, koko, sayuran, dan buahan.
Sebahagian besar penduduk di sini adalah masyarakat Melayu berketurunan Jawa, Banjar, Kampar, dan Bugis.
Keunikan suku masyarakat Melayu ini dapat dilihat apabila mereka berbual menggunakan loghat, adat yang berlainan, dan pengkhususan kawasan tempat tinggal di kalangan suku yang berbeza.
Misalnya, Kampung Batu 40, Kampung Sungai Bugis, dan Kampung Sungai Panjang didiami oleh penduduk berketurunan Bugis dan Jawa.
Ladang Mangga Sungai Limau
Antara tempat persinggahan yang menjadi tumpuan adalah Ladang Mangga Sungai Limau, yang diusahakan oleh orang kampung tempatan. Lokasi ladang ini terletak kira-kira lima hingga tujuh kilometer (km) dari pekan Sungai Besar.
Sekiranya melalui jalan sekitar Sabak Bernam, deretan penjaja menjual pelbagai buahan hasil kebun mereka seperti keledek, jagung, jambu air, dan ciku.
Tambah menarik, setiap kali musim buah mangga, berderet gerai di sepanjang jalan antara Kuala Selangor dan Teluk Intan menjual buah mangga yang terkenal dengan kemanisannya.
Peluang berbual dengan penjual buah di tepi jalan mungkin membolehkan anda sebagai pengunjung atau pengembara dibawa melawat ladang mangga.
Pekan Sekinchan
Seterusnya, pengunjung juga boleh menjelajah ke pekan Sekinchan, yang sudah terkenal sebagai antara kawasan pembekal beras utama di negara kita.
Penduduknya dikenali secara meluas sebagai petani, bukannya nelayan.
Di sini, anda boleh melawat kilang beras dan mengetahui proses penanaman padi, jenis beras, serta membeli beras terhad yang tidak dijual di pasaran.
Selain itu, jangan lupa singgah menjenguk perkampungan nelayan, yang turut menempatkan jeti bot nelayan.
Inap Desa Sungai Haji Dorani
Tidak lengkap kunjungan ke Sungai Panjang dan Sekinchan jika tidak menikmati pengalaman menginap di Inap Desa Sungai Haji Dorani, yang terkenal sebagai destinasi popular pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa.
Sejak pengenalan konsep inap desa, pembukaan kampung diadakan secara berperingkat, dan hingga kini, sudah ada lebih empat buah kampung inap desa etnik Jawa.
Kelebihannya, persembahan kebudayaan unik seperti kuda kepang, barongan, gamelan, dan jawa kompang tidak boleh dilepaskan.
Makanan yang mencerminkan adat dan tradisi Jawa, permainan gogoh ikan (mengagau ikan keli dalam bendang), mempelajari pembuatan layang-layang tradisional, wau, dan aktiviti melukis batik atau bermain boling padang menanti anda.
Kesimpulan
Jadi, jangan buang masa dan datanglah berkunjung ke Sungai Panjang untuk menikmati segala pengalaman menarik ini.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.