June 04 2025

Sejarah Penanaman Koko di Malaysia

Sejarah Penanaman Koko di Malaysia - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Nik Sukry Ramli

Pokok koko pertama kali dikesan di Melaka pada tahun 1778. Namun, tanaman itu dipercayai mula dibawa masuk ke Malaysia sejak awal 1700-an lagi. 

Di Sabah, pokok koko dilaporkan ditemui seawal tahun 1882, tetapi penanaman secara komersial hanya bermula sekitar tahun 1950-an. 

Pada tahun 1931, Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia mengimport beberapa jenis koko Forastero dan Nicaragua. Namun, tanaman itu tidak berjaya dengan baik di plot percubaan di Negeri Sembilan dan Serdang, Selangor. 

Sehingga tahun 1934, Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia mencuba menanam koko dari jenis Trinitario di plot tanah seluas 0.2 hektar. Biji benih dari kawasan percubaan ini kemudiannya diedarkan dan dikembangbiakkan di plot percubaan di Cheras, Selangor dan juga di Kuala Lipis dan Temerloh, Pahang. 

Secara umumnya, terdapat sebanyak 22 spesies berkaitan dengan koko dengan spesies ‘Theobroma cacao’ merupakan yang ditanam secara meluas di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. 


Terdapat kira-kira 22 spesies koko ditanam secara meluas di dunia dan paling popular adalah spesies'Theobroma Cocoa' yang turut diusahakan di Malaysia.

 


Asal Usul Tanaman Koko

Pokok koko sebenarnya berasal dari benua Amerika iaitu kawasan hutan tropika Amerika Tengah dan Selatan. Taburan kewujudan semula jadinya merentasi Mexico, Bolivia dan Brazil. 

Pokok koko boleh tumbuh dengan baik di kawasan antara 18° utara hingga 15° selatan Garisan Khatulistiwa. 

Perkembangan Industri Koko

Minat terhadap penanaman koko meningkat selepas Perang Dunia Kedua disebabkan program kerajaan mempelbagaikan tanaman selain getah. Ini juga disebabkan pada masa tersebut terdapat kawasan yang amat luas dan sesuai diusahakan dengan koko. 

Pada tahun 1950, Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia mengimport 4,956 anak benih koko jenis Amelonado. Daripada jumlah itu, sebanyak 3,649 anak benih diedarkan di Semenanjung Malaysia, 570 di Sabah dan 583 di Sarawak. 

Bahan tanaman ‘Amelonado’ ini didapati sesuai ditanam di Semenanjung Malaysia dan disyorkan untuk ditanam secara komersial. 

Di Sabah, 570 anak benih ‘Amelonado’ ditanam di kawasan berjenis tanah ‘volkanik’ di daerah Tawau. Manakala di Sarawak pula, biji benih sama ditanam di Stesen Penyelidikan Tarat. 


Tanaman koko sangat sesuai dengan iklim Khatulistiwa seperti di Malaysia, Mexico, Bolivia dan Brazil.

 


Buah koko berkualiti tinggi dihasilkan menerusi kajian oleh Lembaga Koko Malaysia memberi jaminan pendapatan lumayan kepada pengusaha.

 


Ladang Komersial Koko Pertama di Malaysia

Ladang koko yang ditanam secara komersial pertama terletak di Jerangau, Terengganu yang   diusahakan pada tahun 1950. Bagi negeri Sabah, Borneo Abaca Limited (BAL Plantation Sdn Bhd) menanam koko secara komersial di kawasan seluas 76 hektar. Bahan tanaman yang ditanam adalah dari jenis ‘Trinitario’ dan ‘Amelonado’. 

Pembukaan kawasan bagi tujuan penanaman koko berkembang dengan pesat menjelang   pertengahan tahun 1970-an dan 1980-an. Ini disebabkan dua faktor iaitu harga komoditi yang t inggi dan program mempelbagaikan tanaman yang diperkenalkan kerajaan. 

Penanaman koko mencapai kemuncaknya pada awal tahun 1990-an. Walau bagaimanapun,   kawasan penanaman koko menurun selepas itu berikutan harga komoditi yang tidak menggalakkan. Harga komoditi minyak sawit yang lebih baik juga menjadi faktor utama menyebabkan kawasan yang sebelumnya ditanam dengan koko ditukar kepada kelapa sawit. 

Varieti Tanaman Koko Malaysia

Terdapat variasi ketara antara jenis koko dan populasi koko. Antaranya jenis warna dan bentuk buah, warna daun serta warna dan bentuk biji. 

Pada masa lalu, jenis koko dibezakan dan dinamakan mengikut bentuk buah. Oleh kerana keadaan iklim mempengaruhi ciri-ciri fizikal buah, maka pengelasan jenis koko disemak semula. Secara umumnya, terdapat 3 jenis rumpun koko iaitu Criollo, Forastero dan Trinitario. 


Permintaan terhadap bekalan koko di peringkat global sentiasa meningkat saban tahun bagi memenuhi penghasilan produk berasaskan tanaman itu.

 


• Criollo 

Rumpun populasi koko ini mempunyai warna buah yang hijau hingga merah pekat. Permukaan buah menggerutu dan terdapat lima pasang alur yang jelas. Kulit buah selalunya tipis dengan sedikit lapisan ‘sklerotik’. 

Populasi ini mempunyai saiz biji yang besar dan berbentuk montel atau bujur. Warna biji ialah putih hingga ungu muda. Biji koko ini memerlukan jangka masa pemeraman yang singkat iaitu 3-4 hari sahaja. 

Pokok jenis ini adalah kecil dengan bentuk kanopi yang padat tetapi lemah. Saiz daun adalah kecil dan berwarna hijau pekat. Tempat asal bagi populasi koko ini adalah dari Amerika Tengah dan Mexico. Kumpulan utama populasi ini ialah Criollo Amerika Tengah dan Criollo Amerika Selatan. 

• Forastero 

Warna buah populasi ini selalunya hijau. Walau bagaimanapun terdapat juga yang berwarna sedikit kemerahan. Permukaan buah adalah licin hingga sedikit menggerutu. 

Pada permukaan buah terdapat lima pasang alur yang sederhana tetapi jelas. Kulit buah boleh   disifatkan sebagai tipis hingga tebal. Lapisan ‘sklerotik’ pada populasi ini juga amat jelas. 

Saiz biji populasi ini agak kecil berbanding dengan Criollo. Bentuk bijinya adalah bujur dan ada juga yang leper. Warna biji selalunya ungu. 

Pokok jenis ini adalah lebih subur daripada Criollo dan indeks daun adalah tinggi. Populasi ini lebih tahan terhadap penyakit berbanding Criollo. Antara jenis-jenis yang terdapat dalam populasi ini ialah Matina, Pajarito, Nacional, Para dan Commun. 

• Trinitario 

Variasi bentuk, saiz, warna dan permukaan buah adalah luas. Dipercayai bahawa populasi ini wujud hasil kacukan Criollo dan Forastero. 

Pokok populasi ini adalah subur dan lebih tahan terhadap penyakit berbanding dengan Criollo.  

Memahami Bahan Tanaman Koko (BTK)

Bahan tanaman yang sesuai adalah antara faktor penentu pulangan lumayan daripada usaha   perladangan yang diceburi. Potensi hasil sesuatu bahan tanaman dipengaruhi oleh faktor genetik dan persekitaran tempat ia ditanam. 


Coklat berkualiti premium yang terdapat di pasaran dihasilkan oleh tanaman koko diusahakan di Malaysia yang mendapat pemantauan kualiti oleh Lembaga Koko Malaysia.

 


Koko yang asing di negara ini melalui proses penyesuaian dan penilaian sebelum ianya   disyorkan untuk ditanam secara komersial. Oleh kerana kesesuaian BTK dipengaruhi faktor   persekitaran, pekebun koko hendaklah memilih BTK yang disyorkan oleh agensi penyelidikan yang diakui. 

Kriteria BTK yang perlu diambil kira adalah mempunyai hasil yang tinggi, ciri biji yang baik, kandungan kulit biji yang rendah, memiliki lemak koko dan mempunyai daya tahan terhadap   ancaman penyakit dan serangga. 

Jenis BTK Hibrid

Hibrid adalah BTK yang dibiakkan daripada biji yang diperoleh hasil kacukan bebas ataupun terkawal dalam kebun biji benih dan stesen penyelidikan. 

Sifat pertumbuhan hibrid adalah unik di mana ia mempunyai satu batang utama yang tegak dan lurus. Batang utama ini akan membentuk 3-5 dahan utama dikenali sebagai ‘jorquette’. Terdapat variasi yang luas antara sifat buah dan bunga. 

Di Malaysia, hibrid diperoleh daripada kebun biji koko berbilang klon. Hibrid ini diperoleh melalui kacukan bebas. 

Klon koko pula diperoleh melalui pembiakan tampang daripada pokok-pokok individu yang   berhasil tinggi dalam sesuatu percubaan progeny. Klon yang disyorkan melalui proses penilaian dan penyesuaian pada sesuatu lokasi. 

Pembiakan tampang klon adalah dengan keratan, tut dan cantuman. Walau bagaimanapun, kaedah pembiakan tampang yang selalu diamalkan ialah cantuman matatunas dan baji sisi. 

Sesuatu klon yang terhasil melalui pembiakan tampang mempunyai sifat morfologi pokok, buah, biji dan bunga yang sama. Perbezaan hasil antara pokok bagi sesuatu klon seharusnya tidak wujud. 

Walau bagaimanapun, pertumbuhan dan hasil klon koko dipengaruhi oleh persekitaran tempat ianya ditanam.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag