August 15 2025

Penternakan Itik Berkecekapan Tinggi

Penternakan Itik Berkecekapan Tinggi - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Penternakan itik tidak seharusnya hanya bergantung pada kaedah tradisional, tetapi merupakan satu proses yang memerlukan gabungan pengurusan saintifik dan amalan praktikal, di mana pembinaan reban itik, pengurusan makanan dan teknik penternakan secara lepas adalah sangat penting.

Pengurusan Terperinci

Teknologi penternakan moden dapat meningkatkan kecekapan pengeluaran itik dengan membolehkan  penternak melaksanakan pengurusan lebih terperinci dalam operasi harian, seterusnya  meningkatkan tahap kesihatan ternakan dan keuntungan pengeluaran. 

Kejayaan penternakan itik bermula dengan  pembinaan reban dan pengurusan persekitaran yang tepat. Reka bentuk reban yang baik  memainkan peranan penting dalam memastikan pertumbuhan itik yang sihat. Sebuah reban yang ideal bukan sekadar memerlukan pengudaraan yang optimum, tetapi juga harus mencegah  pengumpulan kelembapan berlebihan. 

Reka bentuk sistem pengudaraan perlu disesuaikan  dengan perubahan musim dan lokasi geografi. Pada musim panas, reban perlu mengekalkan pengaliran udara yang baik serta suhu yang  nyaman untuk mengelakkan tekanan haba  terhadap itik. Manakala pada musim hujan, suhu dan tahap kelembapan yang sesuai perlu dikekalkan bagi memastikan kesihatan kawanan itik tidak  terjejas oleh cuaca sejuk.

Lantai reban biasanya disyorkan diperbuat  daripada simen. Kaedah ini bukan sahaja memudahkan pembersihan dan saliran, tetapi juga mengurangkan pembiakan bakteria dan parasit. 

Sementara itu, reban harus dilengkapi  dengan bekalan air yang mencukupi. Kebersihan air minuman memberi kesan langsung kepada kesihatan itik. Pengurusan sumber air yang baik merupakan asas pencegahan penyakit. Oleh itu, pembersihan berkala peralatan air dan penyediaan air bersih adalah amat kritikal.

Perkadaran Nutrien dalam Makanan

Dalam aspek pengurusan makanan, keperluan  nutrien itik berbeza mengikut peringkat pertumbuhan. Pada peringkat anak itik, sistem penghadaman mereka belum berkembang sepenuhnya. Justeru, makanan berprotein tinggi dan mudah hadam amat diperlukan bagi merangsang pertumbuhan pesat serta  mengukuhkan sistem imun. 

Secara umumnya, kandungan protein dalam  makanan anak itik perlu dikekalkan pada 20% hingga 22% bagi menyokong pertumbuhan awal mereka dengan berkesan. Apabila itik membesar dan memasuki fasa pertengahan, kadar protein dalam makanan boleh dikurangkan secara  berpatutan kepada 16% hingga 18%, namun  perkadaran makanan bertenaga perlu ditambah bagi memenuhi keperluan pertumbuhan daging yang pesat. 


Reban itik yang baik bukan sekadar memerlukan pengudaraan mencukupi, tetapi juga harus mencegah pengumpulan kelembapan berlebihan.

 


Inti pengurusan makanan terletak pada  pelarasan kandungan nutrien mengikut peringkat pertumbuhan itik, iaitu perlu memastikan nutrien mencukupi tetapi tidak membazir. Penternak juga harus mengelakkan penggunaan makanan  tunggal secara berterusan kerana ini bukan sahaja  akan menyebabkan ketidakseimbangan pemakanan itik, malah mungkin mengurangkan kadar penggunaan makanan. 

Untuk mengurangkan kos makanan dan  meningkatkan keuntungan penternakan, penternak boleh mempertimbangkan untuk  menambahkan makanan buatan sendiri seperti campuran bijirin dan kekacang secara sederhana bersama makanan komersial. Kaedah ini dapat meningkatkan kepelbagaian makanan sekaligus  memenuhi keperluan nutrien itik pada pelbagai peringkat pertumbuhan.

Teknik Penternakan Bebas

Teknik penternakan lepas, sebagai salah satu  kaedahmoden yang mesra alam dan menjimatkan kos, semakin mendapat perhatian dalam kalangan penternak sejak kebelakangan ini. 

Lantai reban itik lazimnya diperbuat daripada simen atau jaring. Bahan ini bukan sahaja memudahkan proses pembersihan dan saliran, tetapi juga berkesan mencegah pembiakan bakteria serta parasit.

 

Kelebihan utama penternakan lepas terletak pada kebebasan itik bergerak aktif dalam persekitaran semula jadi. Ini bukan sahaja  dapat mengurangkan risiko penyakit, dan juga meningkatkan kualiti daging itik. 

Selain itu, itik yang diternak secara lepas  mempunyai daging yang lebih enak dan berotot kerana aktiviti fizikalnya yang lebih tinggi.  Selain itu, itik-itik ini juga boleh mencari  sebahagian makanan sendiri seperti serangga dan  biji-bijian dalam persekitaran semula jadi, yang secara tidak langsung dapat mengurangkan  penggunaan makanan ternakan. 

Pelaksanaan teknik penternakan lepas  memerlukan pemilihan lokasi yang sesuai.  Secara umumnya, kawasan dengan ruang gerak yang luas serta memiliki kawasan air dan  padang rumput merupakan persekitaran ideal  untuk penternakan lepas. 

Sumber makanan semula jadi seperti  tumbuhan air, ikan dan udang dalam kawasan air bukan sahaja menyediakan sumber nutrien  yang kaya untuk itik, tetapi juga dapat  mengurangkan input makanan ternakan oleh penternak. Padang rumput sebagai kawasan  utama aktiviti itik perlu dielakkan dari  pijakan berlebihan. Amalan penggiliran kawasan  penternakan lepas perlu dilaksanakan secara  berkala untuk membolehkan pemulihan padang rumput dan pemuliharaan ekosistem.


Penternak harus mengelakkan penggunaan makanan tunggal dalam jangka panjang. Ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan nutrisi dan menurunkan kecekapan penggunaan makanan.

 


Walau bagaimanapun, penternak masih perlu memberikan makanan tambahan secara berkala. Terutamanya ketika sumber makanan semula jadi  tidak mencukupi atau apabila bilangan itik terlalu banyak, makanan tambahan diperlukan  untuk memastikan setiap itik mendapat nutrien yang mencukupi.

Lepas pada Siang Hari, Tutup pada Malam

Penternakan lepas tidak bermakna pengurusan sepenuhnya bebas. Penternakan lepas secara saintifik perlu digabungkan dengan kaedah  tertutup untuk mencapai hasil yang lebih baik. Lazimnya, penternak boleh mengamalkan kaedah  penternakan lepas pada siang hari dan penternakan tertutup pada malam hari. Kaedah  ini bukan sahaja memanfaatkan sumber persekitaran semula jadi pada waktu siang, malah melindungi kumpulan itik daripada ancaman pemangsa pada waktu malam melalui penternakan  tertutup, di samping memudahkan pemantauan kesihatan dan pengurusan itik. 


Itik yang diternak secara lepas memiliki otot yang lebih kuat dan daging yang lebih enak akibat aktiviti fizikal yang lebih tinggi. Tambahan pula, itik-itik ini dapat mencari sebahagian daripada keperluan makanannya sendiri dalam persekitaran semula jadi.

 


Penternakan tertutup pada waktu malam  memudahkan penternak memantau status  kesihatan ternakan serta memerhati tingkah laku dan pola pemakanannya. Dalam sistem  penternakan lepas, penjagaan kebersihan  ternakan amat kritikal, khususnya pengurusan bekalan air. Air yang tercemar bukan sahaja akan menimbulkan wabak penyakit, malah boleh  menyebabkan mortaliti tinggi dalam kawanan itik. Justeru, penggantian air secara rutin dan  penyelenggaraan kebersihan sumber air  merupakan keperluan asas dalam amalan  penternakan lepas. 

Walau bagaimanapun, melalui pembinaan reban itik yang terancang, pengurusan makanan yang terperinci, serta model penternakan lepas yang berasaskan sains, penternak bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan pengeluaran  secara signifikan, malah mampu memperoleh produk itik berkualiti tinggi di pasaran. Model  sedemikian memenuhi keperluan pembangunan mampan penternakan moden, sekaligus mampu memberikan pulangan ekonomi yang lebih tinggi.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag