December 26 2024

Revolusi IoT: Ke Arah Kelestarian

Revolusi IoT: Ke Arah Kelestarian - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Wizilla Janti Joshua

Industri akuakultur kini berkembang pesat untuk memenuhi keperluan rantaian makanan global. Perkembangan ini didorong oleh pemodenan yang melibatkan pelbagai teknologi inovatif, termasuk Internet Pelbagai Benda (IoT). 

Teknologi IoT telah merevolusi pengurusan sumber air dan ternakan akuatik dengan memperkenalkan sistem pemantauan dan pengumpulan data kualiti air secara masa nyata. 

Teknologi ini membantu penternak membuat keputusan yang pantas dan tepat, meningkatkan produktiviti, serta mengurangkan risiko kematian ternakan. 

Dengan automasi dan analisis data yang menyeluruh, IoT turut memberikan pandangan yang mendalam mengenai pola tingkah laku ikan dan membantu meramalkan hasil pengeluaran yang lebih stabil.


Peranti yang digunakan untuk menghubungkan penderia, mengumpul bacaan parameter air dan menghantar data masa nyata (real-time data). Ia merupakan sebahagian daripada sistem IoT.

 


Menurut En. Muhamad Zudaidy bin Jaapar, Pegawai Penyelidik Kanan dari Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi, IoT kini menjadi keperluan tambahan dalam meningkatkan kecekapan dan produktiviti akuakultur. Pada awalnya, teknologi ini digunakan untuk pemantauan kualiti air, tetapi kini ia membolehkan tindakan dilakukan secara kawalan jauh, walaupun penternak tidak berada di lokasi. Sebagai contoh, dalam penternakan intensif yang bergantung kepada sistem pengudaraan, sebarang gangguan seperti terputus bekalan elektrik boleh diatasi dengan pantas menggunakan IoT. Teknologi ini membantu mengurangkan risiko kematian ternakan secara besar-besaran, menjadikannya keperluan penting bagi aktiviti akuakultur berskala besar dan bernilai tinggi. 

Pemantauan dan Pengurusan Efisien

IoT memberikan kelebihan besar dengan  penghantaran data masa nyata. Penternak tidak lagi perlu sentiasa berada di lapangan untuk memantau parameter air, terutamanya apabila kolam atau sangkar ikan terletak di kawasan terpencil. Contohnya, kini pemberian makanan boleh dilakukan melalui aplikasi pintar berdasarkan maklumat terkini di lapangan. 

Menurut Dr. Noor Faizah dari IPP Glami Lemi, teknologi IoT masih dalam peringkat awal penyelidikan, seperti dalam sistem tangki ternakan ikan tilapia merah. Pemantauan parameter kritikal seperti pH, oksigen terlarut, suhu, dan ammonia membantu menentukan kadar hidup serta prestasi tumbesaran ikan. Bagaimanapun, cabaran seperti ketahanan sensor dan ketepatan bacaan   dalam persekitaran air yang berbeza masih perlu   ditangani. 

Penderia atau alat pengesan pada sistem IoT yang digunakan di Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi tertumpu pada pemantauan kualiti air seperti pH, oksigen terlarut dan suhu.

 


Kos dan Manfaat Jangka Panjang

Kos tinggi sistem IoT, terutama pada peringkat awal, menjadi cabaran utama. Walaupun begitu, manfaat jangka panjangnya jauh lebih besar. Pemantauan berterusan sepanjang masa membantu mengurangkan risiko kematian ternakan, meningkatkan produktiviti, dan menjadikan akuakultur lebih mampan. Penternak yang telah mengadaptasi IoT di lapangan mendapati teknologi ini memberikan kelebihan besar dari segi   pengurusan dan pengeluaran. 

Keperluan Pemahaman Asas dan Pendidikan

Penggunaan IoT tidak hanya melibatkan teknologi tetapi juga memerlukan pemahaman asas   mengenai pengurusan kualiti air, pemakanan, dan kesihatan ikan. Jabatan Perikanan melalui IPP dan Pusat Pengembangan Akuakultur memainkan   peranan penting dalam memberikan pendidikan kepada penternak mengenai konsep dan aplikasi IoT. Pemahaman ini penting agar penternak dapat mengambil tindakan yang tepat apabila parameter air berada di luar julat sesuai. 


Penggunaan IoT di Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi untuk tujuan penyelidikan pada sistem tangki ternakan ikan tilapia merah.

 


Cabaran Perubahan Iklim

Dalam menghadapi perubahan iklim, IoT membantu penternak mendapatkan data masa nyata untuk bertindak cepat terhadap perubahan cuaca yang tidak dijangka. Selain itu, ia meningkatkan penjejakan rekod dan memberikan gambaran jelas mengenai keadaan ternakan pada setiap masa. Walaupun IoT tidak sepenuhnya   menggantikan tenaga kerja manusia, ia   menyumbang besar kepada keberkesanan operasi, terutama dalam penternakan berskala besar. 

Kerjasama dan Masa Depan Akuakultur

Pengadaptasian IoT memerlukan kerjasama erat antara penyedia teknologi dan penternak untuk memastikan sistem berfungsi dengan berkesan. Contohnya, IPP Glami Lemi bekerjasama dengan pengusaha sangkar untuk memantau ternakan ikan patin di Sungai Pahang menggunakan IoT. 

Pemantauan kualiti air dapat diakses melalui telefon mudah alih dan ini dapat memudahkan para penternak.

 


Maklum balas daripada pengguna membantu meningkatkan keupayaan sistem. Dengan sokongan berterusan daripada penyelidik, seperti di IPP, dan komitmen penternak, masa depan akuakultur di Malaysia   berpotensi berkembang ke arah lebih positif,   produktif, dan lestari. 

Ringkasnya, IoT membawa potensi besar dalam merevolusikan industri akuakultur Malaysia, bukan hanya dari segi produktiviti tetapi juga kelestarian. Dengan teknologi ini, sektor akuakultur dapat terus maju sebagai penyumbang penting kepada sekuriti makanan negara.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag