October 25 2024

Puan Awaeang Wanita Pelopor Eksport Lada Sarawak

Puan Awaeang Wanita Pelopor Eksport Lada Sarawak - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Wizilla Janti Joshua

Walaupun Malaysia bukanlah pengeluar terbesar, Lada Sarawak telah lama terkenal di   kalangan pengguna di seluruh dunia kerana kerana kualiti dan keunikan rasanya. Sebagai satu komoditi yang berharga, Lada Sarawak mahupun Lada Sarawak seakan-akan menjadi duta kepada Sarawak. 

Sedikit sebanyak ia dapat menarik minat masyarakat dunia untuk   mengetahui mengenai Sarawak malah berkunjung ke sana sebagai sebagai pelancong. Diversiti alam sekitar, flora, fauna dan kehidupan masyarakat Sarawak yang unik dapat digunakan bagi menarik pelancong untuk datang berbelanja dan mengukuhkan ekonomi tempatan. 

Aktiviti pengumpulan dan pengeksportan lada ini bukan sahaja menyokong ekonomi   tempatan malah membawa keistimewaan Lada Sarawak ke persada global. Hasil dari   dedikasi pekebun yang mengusahakan ladang-ladang kecil, lada ini diproses dan dieksport dengan kualiti yang tinggi, menjadikannya pilihan utama di kalangan penggemar rempah dan chef terkemuka di dunia. 


Aktiviti melawat ke kebun lada di kawasan Serian, Sarawak di mana Puan Awaeang dapat melihat sendiri kualiti lada yang ditanam oleh pekebun tempatan. -Foto: Awaeang Kwasin

 


Peranan peraih, pengumpul dan pengeksport juga tidak kurang pentingnya. Dalam ribuan orang yang terlibat dalam industri ini, majoritinya   lelaki, ada seorang wanita Bidayuh berhati waja: Puan Awaeang Anak Kwasin, wanita pertama bergiat dalam bidang ini dan memiliki lesen untuk mengeksport lada dan telah mencipta sejarah dalam industri Lada Sarawak. 

Dengan keberanian dan visi yang jelas, beliau mengumpul lada daripada pekebun-pekebun tempatan, memprosesnya di kilang dan membawa lada Sarawak ke pasaran antarabangsa. Usaha beliau telah memberi manfaat besar kepada para pekebun Lada Sarawak yang selama ini berdepan dengan   pelbagai cabaran terutama untuk memasarkan   produk mereka. 

Lada Sarawak yang dikumpul oleh Puan Awaeang daripada para pekebun diproses di dua buah kilang miliknya yang terletak di Demak Laut dan Halal Hub Melaka. Kedua-dua kilang ini mematuhi   standard ketat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan status Amalan Pengilangan Baik (GMP). Proses ini memastikan kualiti lada dijaga rapi, sesuai untuk eksport ke   pasaran luar negara yang sentiasa menuntut produk berkualiti tinggi. 

Beli Lada Daripada Pekebun Pada Harga Tetap

Sebagai pengumpul dan pengeksport, Puan   Awaeang membeli lada daripada pekebun pada harga pasaran semasa berdasarkan harga komoditi lada di peringkat dunia. Namun, cabaran utama yang dihadapi oleh pekebun adalah harga lada yang semakin jatuh. Menurut Puan Awaeang, senario ini telah membuatkan ramai pekebun kurang motivasi untuk terus menanam Lada Sarawak. Orang tengah pula sering kali membeli lada pada harga terlalu murah lalu menyebabkan banyak pekebun beralih kepada tanaman lain seperti kelapa sawit yang tidak memerlukan buruh yang banyak dan dilihat lebih menguntungkan dalam jangka masa pendek. 


Lada yang dikumpul dari para pekebun tempatan akan diproses di kilang Puan Awaeang bagi memastikan kualiti lada dijaga rapi dan sesuai untuk eksport. -Foto kredit: Awaeang Kwasin

 


Puan Awaeang mengambil inisiatif untuk   menyelesaikan masalah ini dengan membeli lada secara langsung daripada pekebun pada harga   kontrak yang tetap tanpa mengira turun naik   harga di pasaran global. Malah, beliau turut   membawa pelabur dari Jepun dan United Kingdom untuk membeli lada terus daripada pekebun pada harga yang konsisten. Langkah ini memastikan   pekebun di kampung-kampung mendapat   pendapatan yang stabil, meskipun harga lada global mengalami penurunan. 

Selain itu, Puan Awaeang turut aktif menggalakkan para pekebun untuk terus menanam lada. Menurut beliau, ramai pekebun tidak tahu jenis lada yang sepatutnya ditanam mengikut bakal produk yang akan dikeluarkan. Sebagai contoh, Lada Kuching terkenal untuk penghasilan Lada Sarawak manakala   varieti Semenggok Aman dan Semenggok Emas   untuk penghasilan Lada Sarawak. 


Puan Awaeang melawat kawasan yang sedia untuk penanaman lada. Beliau ingin menjadi teladan bagi pekebun lain dengan menanam lada sendiri dan aktif menggalakkan komuniti di kampungnya di Kampung Semban, Padawan, Sarawak untuk terus menanam lada. -Foto: Awaeang Kwasin

 


Pada masa yang sama, Puan Awaeang menjadi teladan bagi pekebun lain dengan aktif menggalakkan komuniti di kampungnya untuk terus menanam lada. Beliau sendiri menanam lada di Kampung Semban, Padawan, Sarawak sebagai komitmennya terhadap industri ini dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk mengikuti jejaknya. Dengan harga yang lebih terjamin, para pekebun dapat menjana pendapatan lebih konsisten berbanding tanaman lain yang mungkin lebih mudah tetapi tidak menawarkan nilai tambah yang sama. 

Sebagai pengumpul dan pengeksport lada, Puan Awaeang tidak memilih hanya satu jenis lada tetapi membeli pelbagai jenis yang dihasilkan oleh pekebun tempatan. Beliau sentiasa memastikan kualiti lada yang dibeli memenuhi standard yang ditetapkan oleh Lembaga Lada Malaysia (MPB). Ia adalah sebuah badan yang memainkan peranan penting dalam memastikan Lada Sarawak kekal   berada di kelas dunia. 

Tetamu dari Jepun dan Singapura yang dibawa ke kebun tempatan sebagai salah satu inisiatif untuk memperkenalkan Lada Sarawak ke negara luar. -Foto:Awaeang Kwasin

 

Untuk mengekalkan kualiti yang tinggi, Puan Awaeang menggalakkan para pekebun untuk   menghadiri kursus yang dianjurkan oleh MPB.   Kursus-kursus ini memberi pendedahan dan latihan mengenai teknik penanaman dan pemprosesan lada berkualiti. Dengan cara ini, pekebun mendapat ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk memastikan lada yang mereka hasilkan mampu bersaing di pasaran global. Semakin berkualiti lada yang dihasilkan, semakin tinggi harga yang boleh diperoleh. Justeru, ia memberikan pendapatan yang lebih stabil kepada para pekebun. 


Proses pengeringan Lada Sarawak secara tradisional menggunakan tikar dan ia mengambil masa sehingga 10 hari. -Foto: Awaeang Kwasin

 


Sebagai salah seorang ahli Lembaga Pengarah MPB bagi bahagian industri, Puan Awaeang terus   berperanan aktif dalam membantu komuniti pekebun untuk menjual lada dengan lebih baik.   Beliau berpendapat bahawa untuk berjaya dalam industri ini, pekebun tidak seharusnya bersaing dari segi kuantiti semata-mata. Para pekebun juga perlu memberi tumpuan kepada kualiti lada yang dihasilkan. Dengan menghasilkan lada berkualiti tinggi, pekebun dapat mengekalkan harga yang baik dan memperkukuh kedudukan mereka di pasaran. 

Beliau melihat industri lada ini sebagai satu komuniti, di mana setiap pemain termasuklah para pekebun, pengumpul, dan pengeksport saling bergantung antara satu sama lain untuk memajukan industri ini. Pendekatan ini bukan sahaja   menguntungkan individu tetapi juga memberi kesan positif kepada seluruh ekosistem Lada Sarawak. Puan Awaeang percaya bahawa masa depan Lada Sarawak masih cerah jika setiap pekebun dan pemain industri mengambil inisiatif untuk   meningkatkan kualiti dan inovasi. 

Walaupun berdepan cabaran seperti harga yang tidak menentu dan peningkatan kos, beliau yakin bahawa dengan sokongan yang betul dan strategi yang bijak, Lada Sarawak akan terus mendapat tempat di pasaran antarabangsa. Dengan komitmen untuk melindungi pekebun tempatan dan meningkatkan kualiti lada, Puan Awaeang telah membuktikan bahawa wanita Bidayuh juga mampu memimpin industri lada ke tahap yang lebih tinggi. 


Puan Awaeang bersama-sama dengan pekebun tempatan dalam aktiviti latihan in-situ di bawah Projek Pembangunan Lada Premium di Rh. Lidom, Sg Paya di bawah anjuran Lembaga Lada Malaysia (MPB), di mana pembelajaran secara teori dan latihan praktikal di kebun lada dijalankan terutamanya proses penghasilan lada premium. -Foto: Awaeang Kwasin

 

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag