April 15 2026

Projek Sawah Padi Kampung Budu Harapan Sekuriti Makanan Pahang

Projek Sawah Padi Kampung Budu Harapan Sekuriti Makanan Pahang - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Nik Sukry Ramli

Program berimpak tinggi ini dirasmikan oleh Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Abd Razak, yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan inisiatif bersepadu tersebut. 

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak memberikan penerangan kepada peserta yang mengambil peluang menyertai Program Lembaran Baru 2026 - Padi Kampung Budu 'Kampung People' di kawasan Paya Tengah, dekat Lipis, Pahang.

 

Dua Komponen Utama Projek

Menurutnya, pembangunan Projek Padi Paya Budu merangkumi dua komponen utama, iaitu Paya Besar (Tengah) seluas 11.04 ekar yang dilaksanakan melalui peruntukan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama Kerajaan Pahang, manakala kawasan Paya Beluan seluas 52 ekar ditanggung oleh pihak pemaju. Projek ini diterajui Syarikat Kilang Beras Melayu Jati Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang berpengalaman luas dalam industri padi dan beras negara. 

Mohd Soffi menegaskan, objektif utama projek ini adalah untuk menukar tanah paya terbiar kepada tanah pertanian bernilai tinggi dan meningkatkan pengeluaran beras tempatan. 

Di samping itu, ia juga dapat memperkukuh kemandirian makanan serta memastikan pengusaha memperoleh pulangan ekonomi yang mapan. Projek ini memaksimumkan penggunaan geran dan bantuan kerajaan bagi pembangunan infrastruktur serta penyediaan input pertanian berkualiti. 


Pengunjung dan penduduk kampung berpeluang mengimbas kembali kenangan menanam padi secara tradisional.

 


Program Lembaran Baru 2026 - Padi Kampung Budu 'Kampung People' antara inisiatif kerajaan Pahang dalam menjayakan agenda keterjaminan makanan.

 


Semangat Penyatuan Komuniti

Namun yang lebih penting, Program Lembaran Baru ini dilihat sebagai medium penyatuan komuniti kampung. 

“Melalui pendekatan gotong-royong dan kerjasama antara kampung, projek ini bukan sahaja menyelesaikan masalah secara kolektif, malah mengeratkan silaturahim, membangunkan ekonomi setempat dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat. 

“Konsep ‘Kampung People’ yang diketengahkan mencerminkan semangat kebersamaan sebagai teras kejayaan pembangunan luar bandar,” katanya. 


Pengunjung dibawa menaiki tram khas bagi melihat perkembangan projek Padi Kampung Budu di kawasan Paya Tengah, dalam daerah Lipis, Pahang.

 


Agropelancongan hingga Tarikan Belia

Impak yang diharapkan daripada projek ini turut melangkaui pengeluaran padi semata-mata, antaranya ialah pembangunan agropelancongan, pemulihan paya terbiar, tarikan kepada belia tani melalui program ‘Jom Ke Sawah’, serta mewujudkan sumber kekayaan baharu yang mampu memperkukuh sekuriti makanan di Pahang untuk jangka panjang. 

Kerajaan Pahang, jelasnya, kekal komited untuk memperkasa sektor agromakanan melalui pengenalpastian tanah terbiar, penyediaan geran dan bantuan input, pembangunan infrastruktur pengairan, perancangan pelan induk pertanian, serta penyelesaian isu tanah terbiar akibat penghijrahan generasi muda ke bandar. 

Mohd Soffi berharap projek itu menjadi pemangkin perubahan landskap pertanian padi di daerah Lipis dan seluruh Pahang agar lebih produktif, mampan dan menguntungkan, selari dengan aspirasi keterjaminan makanan negara. 


Selain membawa pengalaman mengusahakan sawah, penduduk kampung juga berpeluang menangkap ikan darat dalam petak sawah di kawasan projek berkenaan.

 


Kerjasama antara Kerajaan Pahang dan Persekutuan dalam menjayakan projek Padi Kampung Budu 'Kampung People' bakal menghidupkan semula semangat kebersamaan dalam komuniti. 

 


Simbol Permulaan Baharu 

Kejayaan program ini adalah sebagai langkah awal kerjasama semua pihak dan satu simbol permulaan baharu buat Padi Kampung Budu, dari paya terbiar kepada harapan masa depan. 

Pada majlis itu, sesi ‘Paya Tour’ turut diadakan dari Dewan Indera Gajah Budu menuju ke Paya Beluan dan seterusnya ke Paya Tengah, Kampung Budu. Para tetamu berpeluang merasai pengalaman baharu dengan menaiki trem yang disediakan oleh pihak jawatankuasa penganjur, sekali gus menambah keunikan penganjuran program ini. 

Harapan Masa Depan 

Tetamu jemputan bersama kepimpinan masyarakat setempat turut berpeluang turun ke kawasan bendang bagi menyempurnakan gimik penanaman padi. Majlis diselang-selikan dengan acara menangkap ikan keli di dalam paya, yang mencerminkan keakraban komuniti serta menghidupkan kembali warisan tradisi setempat. 

Program ini menjadi satu kenangan indah dalam menyambut tahun 2026, apabila kawasan paya yang terbiar selama lebih 50 tahun kini kembali diberi nafas baharu melalui penanaman padi. Semoga projek ini terus berkembang maju dan menjadi pemangkin kepada pemerkasaan industri sekuriti makanan negeri Pahang.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag