April 21 2026

Ternakan Ikan Air Tawar Di Sungai Perak

Ternakan Ikan Air Tawar Di Sungai Perak - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Bushral Karim Md Yusob

Artikel ini akan mengupas secara mendalam tentang industri ternakan ikan patin dan ikan tilapia dalam sangkar di Sungai Perak, merangkumi aspek persediaan, rutin penjagaan, potensi pasaran, dan hasil yang boleh diraih, berdasarkan pengalaman Encik Mohd Rizal Zubil yang telah memulakan ternakan ikan pada tahun 2020. 

Latar Belakang Penternak Ikan

Encik Mohd Rizal Zubil dari Bota Kiri di Perak Tengah adalah seorang kontraktor binaan. Beliau mula memulakan ternakan ikan dalam sangkar di tebing Sungai Perak dengan modal RM40,000 dengan membina 4 buah sangkar ikan dan pada masa ini terdapat 20 buah sangkar yang boleh memuatkan hingga 500 ekor ikan setiap sangkar. Sehingga sekarang, permintaan yang tinggi untuk ikan patin dan tilapia merah di Perak Tengah membolehkan ternakan ikan terus berkembang dan dengan bantuan kerajaan juga, beliau telah berjaya menjadikan ternakan ikan dalam sangkar sebagai kerjaya sepenuh masa. 

Apa yang membezakan patin yang diternak di Sungai Perak? Daripada penerangan Encik Mohd Rizal, kawasan ternakan ikan beliau tiada pencemaran langsung bermula dari hulu sungai hingga ke kawasan Bota Kiri. 

Kualiti air Sungai Perak yang masih bersih dan kaya dengan mineral semula jadi memberikan impak besar terhadap rasa dan tekstur daging ikan. "Air sungai secara semula jadi bersih dan mempunyai sifat mineral tersendiri yang dapat membantu ikan patin dan tilapia merah membesar dengan sempurna," terang Encik Mohd Rizal. 

Hasilnya, ikan patin Sungai Perak digambarkan memiliki daging yang lebih pejal, manis, dan yang paling penting, tidak berbau lumpur atau hanyir seperti yang sering menjadi masalah ikan ternakan di kawasan lain. Ciri-ciri inilah yang menjadikannya semakin digemari, terutamanya pada musim perayaan seperti Tahun Baru Cina. 

Persediaan dan Permulaan Ternakan

Memulakan projek ternakan ikan patin dalam sangkar bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan secara sambil lewa. Ia memerlukan persediaan rapi, terutamanya dalam pemilihan lokasi dan pembinaan infrastruktur. 

1.Pemilihan Lokasi yang Strategik 

Lokasi sangkar menentukan kejayaan ternakan. Penternak biasanya memilih kawasan sungai yang tidak terlalu deras arusnya dan jauh daripada sumber pencemaran. Terdapat ramai penternak ikan dari Kampung Mandah, Manong hingga ke Bota dan mereka berada di lokasi terbaik kerana terletak di pertengahan laluan sungai, bebas daripada sisa hulu dan hilir, sekaligus menjamin kualiti air yang optimum untuk ternakan. Air yang bersih ini juga mengurangkan pergantungan kepada pelet kerana ikan turut mendapatkan makanan semula jadi dari sungai. 

2.Pembinaan Sangkar 

Struktur sangkar yang dibina oleh Encik Mohd Rizal adalah kukuh untuk menghadapi cabaran alam seperti arus deras, musim kemarau dan musim tengkujuh. Oleh kerana Encik Mohd Rizal adalah bekas seorang kontraktor binaan yang mempunyai bengkel kimpalan sendiri, beliau membina sangkar atas usaha sendiri, dan untuk pembinaan sangkar baru beliau memperoleh bantuan kewangan daripada kerajaan. Setiap sangkar besi berukuran 3m x 3m x 2m tinggi dilapisi dengan kanvas untuk memastikan ikan yang diternak bebas di dalam sangkar dan tidak diserang oleh binatang perosak di samping memastikan makanan yang ditabur tidak keluar dari sangkar. 

Ikan yang diternak oleh Encik Mohd Rizal adalah dari spesies patin biasa dan juga tilapia merah. Patin spesies ini digemari oleh penduduk tempatan, dan permintaan untuk tilapia merah juga tinggi. Bagi ikan gred A, ia disediakan juga untuk pasaranrestoran mewah di Ipoh. Encik Mohd Riza juga dalam proses menyiapkan restoran terapung di atas pelantar yang dibina, dan akan menjalankan operasi restoran dengan ikan dipilih terus dari dalam sangkar. 

Memberi makan pelet setiap pagi adalah rutin harian En Rizal. Beliau juga perlu mengasingkan ikan yang mati jika ada.

 


Rutin Penjagaan Harian 

Penjagaan yang konsisten adalah kunci utama untuk memastikan ikan membesar dengan sihat dan mencapai saiz pasaran dalam tempoh yang ditetapkan. Antara rutin harian termasuklah penyediaan anak ikan, pengurusan makanan, pemantauan kualiti air, penggredan ikan dan penjualan secara langsung kepada pengguna yang datang terus ke pelantar.

 1.Pengurusan Makanan 

Aspek terbesar dalam kos operasi adalah makanan. Kebanyakan penternak menggunakan pelet sebagai makanan utama. Bagi mengoptimumkan kos dan tumbesaran, pemberian makanan perlu dijadualkan dengan teliti. Terdapat juga laporan mengenai penternak asing yang menggunakan alternatif lebih murah seperti perut ayam, namun amalan ini tidak disarankan kerana berisiko mencemarkan sungai dan menjejaskan kualiti air. 

2.Pemantauan Kualiti Air 

Kualiti air adalah penentu segala-galanya. Penternak kini semakin peka terhadap parameter air seperti pH. Dengan bantuan agensi kerajaan seperti Perak SADC, penternak juga menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) dan peralatan khas untuk memantau tahap pH air Sungai Perak. Bacaan pH yang ideal adalah antara 6.5 hingga 8.5, yang mana ia dapat meminimumkan risiko kematian ikan, memastikan tumbesaran lancar, dan mengurangkan serangan penyakit. 

En Roshidi Ahmad dari Ipoh adalah generasi ketiga membekalkan ikan air tawar di Pasar Besar Ipoh sejak tahun 70-an.

 

Oleh kerana faktor cuaca mempengaruhi paras air sungai, Encik Mohd Rizal akan mengambil tindakan segera mengeluarkan ikan yang mati akibat daripada keadaan kemarau yang menjejaskan suhu air sungai, dan pada masa banjir juga boleh menimbulkan tekanan tinggi kepada ikan akibat daripada pengaliran deras air sungai. 

Tempoh pemeliharaan bergantung kepada jenis patin dan saiz pasaran yang disasarkan. Ikan patin dan tilapia yang diternak mengambil masa dari 8 bulan hingga setahun untuk mencapai saiz ideal iaitu 1.5 kg seekor untuk ikan patin dan 0.5 kg seekor untuk ikan tilapia merah. 

Potensi Pasaran yang Luas 

Permintaan terhadap ikan patin Sungai Perak jauh melebihi penawaran. Ini adalah prospek yang sangat menggalakkan buat penternak baru. Permintaan terhadap patin di Perak sahaja mencecah 70 hingga 80 tan metrik seminggu, namun pengeluaran semasa masih belum mampu menampungnya. 

Kekurangan bekalan ini menyebabkan ikan patin Sungai Perak bukan sahaja dipasarkan di negeri Perak dan Lembah Klang, malah telah mula menembusi pasaran negara jiran seperti Singapura walaupun dalam kuantiti kecil. Pelanggan dari negeri seperti Pahang, Kuala Lumpur, dan Selangor juga antara pembeli tetap. 


Tilapia merah mendapat permintaan tinggi masyarakat tempatan.

 


Harga Pasaran (2026) 

Harga ikan patin berbeza mengikut varieti dan peringkat jualan (runcit/borong): 

•Patin Buah: Varieti termahal dengan harga runcit RM40 sekilogram (borong RM38/kg). 

•Patin Emas & Patin Lawang: Dijual pada harga runcit RM25 sekilogram (borong RM20/kg). 

•Patin Biasa: Paling berpatutan pada harga runcit RM16 sekilogram (borong RM12/kg). 

Menariknya, harga patin Sungai Perak masih lagi lebih murah berbanding di negeri lain, di mana patin biasa boleh mencecah RM22 sekilogram. Encik Mohd Rizal berharap agar harga ikan di pasaran dikekalkan untuk menampung kos penyediaan makanan dan juga pembiayaan gaji pekerja. Pada masa ini, beliau dibantu oleh seorang pekerja bagi menguruskan ternakan ikan. 

Model Ladang Kontrak 

LKIM Perak memperkenalkan Projek Ladang Kontrak LKIM Negeri Perak sejak 2023 untuk membantu penternak. Model ini bukan sahaja menyediakan bantuan peralatan seperti tangki gentian dan kereta sorong (dengan kos keseluruhan RM121,421 sejak 2023), malah yang lebih penting, ia menjamin pasaran dan menyediakan struktur penternakan berisiko rendah. Hasilnya sangat positif. Sebagai contoh, pengeluaran patin di bawah projek ini melonjak daripada 10 tan metrik pada 2023 kepada 31.21 tan metrik bernilai RM149,400 pada 2025. Encik Mohd Rizal sendiri berjaya memperoleh pendapatan memuaskan selepas empat tahun dalam industri ini. 

Hasil Ternakan dan Kisah Kejayaan 

Industri ini terbukti mampu mengubah taraf hidup. Encik Mohd Rizal kini meraih pendapatan bersih sekitar RM3,500 sebulan hasil jualan ikan, selain membantu menjana ekonomi setempat melalui jualan di pasar-pasar berdekatan. 

Di peringkat lebih luas, potensi ekonominya sangat besar. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, memaklumkan bahawa daerah Hilir Perak merupakan pembekal utama ternakan ikan sangkar dengan rekod sebanyak 1,326.9 tan metrik bernilai RM22.5 juta setahun. Ini membuktikan bahawa ternakan ikan sangkar,termasuk patin, penyumbang penting kepada ekonomi negeri selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menggalakkan sekuriti makanan dan keusahawanan. 

Cabaran dan Masa Depan Industri 

Walaupun cerah, industri ini tidak kebal cabaran. Kos makanan berasaskan pelet merupakan cabaran utama kepada penternak. Selain itu terdapat juga pencemaran yang berlaku pada musim banjir, akibat daripada air dari hulu sungai yang dikotori oleh keladak dan tumbuhan yang dibawa oleh banjir. Penternak asing yang mengamalkan makanan buangan daripada sumber ayam juga boleh menjejaskan kualiti ikan.

Kesimpulan 

Industri ternakan ikan patin dalam sangkar di Sungai Perak menawarkan prospek yang amat cerah. Dengan keistimewaan rasa yang tiada tandingan, permintaan pasaran yang tinggi, serta sokongan padu daripada agensi kerajaan seperti LKIM dan Perak SADC melalui latihan, bantuan kewangan, dan model ladang kontrak, bidang ini merupakan antara pilihan terbaik untuk usahawan yang ingin menceburi sektor akuakultur. 

Bagi mereka yang berminat, mulakan dengan persediaan rapi, pelajari teknik penjagaan yang betul, dan manfaatkan sepenuhnya bantuan yang disediakan. Seperti yang dibuktikan oleh para penternak di Kampung Mandah, Manong, Bota dan Kampung Ekor Lambat, dengan kegigihan dan pengurusan yang baik, ternakan ikan patin bukan sahaja mampu menjana pendapatan yang lumayan, malah turut memartabatkan kembali keistimewaan Sungai Perak sebagai sumber makanan negara yang tidak ternilai.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag