February 04 2026

Potensi Profigs Jengka Lokasi Agro Pelancongan Buah Tin

Potensi Profigs Jengka Lokasi Agro Pelancongan Buah Tin - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Nik Sukry Ramli

Apabila disebut mengenai Buah Tin atau 'Figs' dalam bahasa Inggeris, kita biasanya secara spontan berfikir bahawa tanaman ini hanya subur di negara-negara Timur Tengah. Namun, berdasarkan catatan sejarah, Buah Tin juga dikatakan tumbuh meliar di Afrika, Asia Barat serta negara-negara sekitar Laut Mediterranean sejak ratusan juta tahun lalu.

Pokok ini sangat sesuai ditanam di atas tanah berpasir dan kering, selain memerlukan sistem pengairan yang konsisten.

Ketika Zulkefli Ramli, 45, dan adiknya, Zainul Abidin Ramli, 43, memulakan usaha menanam pokok Buah Tin di FELDA Ulu Jempol, dekat Maran, Pahang, pada tahun 2021, ramai rakan mereka bimbang usaha itu bakal menghadapi masalah. 

Dengan menjenamakan kebun tersebut sebagai 'Profigs Jengka', usaha mereka akhirnya membuahkan hasil.


Kebun Profigs Jengka diusahakan Zulkefli Ramli, 49, dan Zainul Abidin Ramli, 43, di FELDA Ulu Jempul, Maran, Pahang menjadi tumpuan penggemar Buah Tin dari dalam dan luar Pahang.

 


Pengusaha bersama kebun Buah Tin Profigs Jengka, FELDA Ulu Jempul, Maran.

 


Walaupun struktur tanah FELDA tidak serupa dengan tanah di negara asal tanaman ini, pokok Buah Tin yang mereka tanam hidup subur dan menghasilkan buah yang tidak kurang kualiti   berbanding di tempat asalnya. 

Kesesuaian Pokok Buah Tin dengan Cuaca

"Sebenarnya, pokok Buah Tin lebih mudah dijaga dan subur dengan cuaca negara kita. Paling penting ialah kita tahu cara menguruskan penyiraman dan pembajaan pokok tersebut," kata Zainul Abidin ketika ditemui di kebun tanaman Buah Tin di FELDA Ulu Jempol, dekat Maran. 

Proses Pembelajaran dan Permulaan 

Berkongsi lanjut pengalaman mengusahakan ladang seluas tiga ekar itu, Zainul Abidin memaklumkan bahawa dia banyak belajar daripada abangnya dalam menguruskan kebun tersebut. 

"Abang lebih awal menjinakkan diri dengan tanaman ini. Sekitar tahun 2020, dia bersama dua rakan pernah mengusahakan kebun Buah Tin di Sungai Soi, Kuantan. 

Kebun Profigs Jengka diusahakan di atas tanah seluas 3 ekar bukan hanya menawarkan pengalaman memetik Buah Tin segar dari pokok, tapi turut menjual anak pokok kepada pengunjung.

 

"Kami hanya mula mengusahakan tanaman ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19, iaitu sekitar hujung tahun 2021 jika tidak silap," jelasnya. 

Sokongan dan Pengurusan Ladang 

Zainul Abidin memberitahu, dia dan abangnya mendapat sokongan penuh daripada pengurusan FELDA Ulu Jempol untuk mengusahakan tanaman berkenaan. 

Katanya, tanah milik FELDA seluas tiga ekar di situ kini mempunyai kira-kira 600 pokok Buah Tin dan mengeluarkan hasil sepanjang tahun. 

"Kami mengusahakan tanaman ini secara tiga peringkat. Maksudnya, setiap tiga bulan sekali, kami boleh menuai hasil. 

"Buah Tin yang dihasilkan di kebun kami turut mendapat sambutan baik daripada pengunjung   dari dalam dan luar Pahang," tambahnya. 

Ditanya mengenai prospek Buah Tin, dia berkata permintaan daripada pelanggan sangat baik dan buah yang dihasilkan di kebun itu sering kali tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan tersebut. 

Buah Tin dari spesies Matsui Dauphine iaitu buah merah yang berasal dari Jepun, Constantine de Algerie (CDA) buah kuning dari Algeria dan Iraqi buah hitam dari timur tengah Iraq antara yang subur di Profigs Jengka.

 


"Memang tidak sempat untuk dibawa ke luar, biasanya habis dijual ketika masih di kebun lagi. 

"Pengunjung boleh datang dan memetik sendiri Buah Tin di kebun kami, terus memetik dan   membeli. Jadi, memang tidak cukup untuk dijual di luar sana," ujarnya. 

Penjagaan dan Tenaga Kerja 

Mengenai penjagaan Buah Tin pula, Zainul Abidin menjelaskan bahawa tanaman itu tidak terlalu sukar dijaga, namun perlu disiram dengan air dan diberikan baja sekurang-kurangnya empat kali sehari. 

"Buat masa ini, kami dibantu oleh lima pekerja dan mereka telah bersama kami sejak awal kami mengusahakan kebun ini," katanya. 

Rancangan Masa Depan 

Selain menawarkan pengalaman memetik Buah Tin secara terus dari pokok, dia juga bercadang untuk menjadikan kebun itu sebagai sebuah destinasi agro pelancongan.


Menggunakan sistem penyiraman dan pembajaan yang konsisten membantu perkembangan pokok Buah Tin yang juga sesuai ditanam di negara beriklim Khatulistiwa.

 


"Kami sedang menyiapkan kertas kerja dan berharap dapat diberikan geran daripada pihak berkaitan. 

"Potensi untuk menjadikan kebun ini sebagai lokasi agro pelancongan sangat tinggi kerana ia boleh dikatakan sebagai tanaman yang agak 'jarang' di Malaysia," tambahnya lagi. 

Anak Pokok dan Potensi Komersial 

Selain menerima pengunjung untuk memberi pengalaman serta pemahaman mengenai Buah Tin, Zainul Abidin juga memaklumkan bahawa kebun itu turut menyediakan antara 400 hingga 500 anak pokok yang sedia untuk dibeli oleh pengunjung. 

Tambahnya, pokok Buah Tin boleh ditanam dan dikomersialkan di Malaysia kerana iklim Khatulistiwa yang sesuai dengan tanaman tersebut.  

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag