December 28 2023
oleh: Mas Idayu / Jamaludin Mat Rashid
Penyakit matirosot adalah disebabkan oleh bakteria Erwinia papayae. Simptom pertama boleh dilihat ialah pokok layu seolah-olah kekurangan air diikuti dengan daun kering seperti terbakar. Kemudian pelepah daun mula patah dan kesan lepuh merebak ke pucuk, buah dan batang. Jika dibiar lagi batang akan patah dan penyakit turun ke bawah hingga akar semua reput berair dan busuk. Pada peringkat ini pokok di kiri dan kanan sudah pun dijangkiti dan terus merebak ke kawasan yang lebih luas.
Erwinia mallotivora yang menyerang semua jenis betik ini adalah bawaan air. Ia juga merebak melalui pekerja, peralatan ladang dan kenderaan yang keluar masuk antara satu ladang ke ladang yang lain. Oleh itu, amalan biosekuriti sangatlah mustahak dipatuhi. Ia sangat cepat merebak pada cuaca lembap kerana hujan dan berselang-seli dengan cuaca panas tiba-tiba.
Buah-buahan tropika telah mendapat tempat di hati pengguna seluruh dunia. Dengan kemudahan kargo udara yang semakin baik, kerja mengekspot buah-buahan tropika yang lebih perishable menjadi lebih cekap. Buah-buahan dapat sampai ke destinasi pengimpot dalam keadaan yang segar dan tahan lebih lama. Antara yang mendapat permintaan tinggi ialah betik. Namun industri penanaman betik di Malaysia dibayangi oleh penyakit matirosot (dieback), membuatkan tidak ramai petani berani mengambil risiko untuk menanamnya.
Untuk merungkai skeptikal petani terhadap penyakit bawaan bakteria Erwinia papayae ini, pihak Agrimag telah menemui seorang sifu industri betik yang masih muda hingga diberi jolokan Prince of Papaya Idustry oleh lingkungan rakan taulannya. Beliau ialah Encik Alvin Lo, pemilik pengasas Kia Shing Importers & Exporters Sdn Bhd yang berpengkalan di Kulai, Johor.
Usahakan 500 ekar Kebun Buah-Buahan
Alvin Lo mengusahakan 500 ekar kebun buah-buahan di Johor dan Pahang. Selain betik yang menjadi tanaman utama, beliau juga menanam pisang, jambu batu, durian, cempedak dan kelapa pandan. 25% hasil ladangnya diekspot berupa buah-buahan segar ke Singapura, Hong Kong dan UAE, manakala bakinya dijual segar di pasaran tempatan dan diproses.
Mengenang kembali pembabitannya dalam industri pertanian sejak 22 tahun dahulu, beliau bermula dengan menanam sayur-sayuran bersama keluarga. Pasaran sayur tempatan kurang menarik dengan turun naik harga yang tidak dapat dijangka. Kadang-kadang harga sayur terlalu murah sehingga tidak dituai, dibiar mereput di ladang.
Pada tahun 1996, beliau mula menanam betik kerana faktor harga dan permintaan yang besar. Percubaannya memang membawa tuah. Sejak dari itu beliau tidak menoleh ke belakang lagi, memberi fokus sepenuhnya kepada tanaman yang memberi harapan baru kepadanya.
Alvin Lo memilih betik (Carica papaya) varieti Sekaki untuk dikembangkan ke pasaran ekspot kerana karektor betik ini yang unggul berbanding varieti lain. Antara varieti lain yang juga ditanam secara luas ialah Eksotika, Subang, Solo/Hawaii, Piola dan California/Callina. Varieti Callina ditanam meluas di Indonesia dan mempunyai sifat-sifat yang menarik. Varieti Subang pula ditanam untuk buah potong dan koktel bagi dibekalkan untuk katering industri perhotelan dan penerbangan.
Mengikut pendapat Alvin Lo, varieti Sekaki dinamakan begitu kerana buahnya panjang sekaki (25 -35 cm) dan berbuah rendah, sekaki dari tanah. Juga dipanggil Betik Hong Kong mungkin kerana banyak diekspot ke sana.
Mula-mula ditanam pada tahun 1991 di Daerah Batang Padang, Perak. Hasilnya dianggarkan sebanyak 8 mt/hektar pada tuaian tahun ke 2 dan ke 3, meningkat hingga 32 mt/hektar pada tahun ke 4 da ke 5 jika dijaga dengan baik. Buahnya sederhana besar (1.5kg - 2.5kg sebiji ) berbanding dengan varieti lain seperti Subang dan tidak terlalu kecil seperti Eksotika dan Solo.
Ia dipetik pada indek kematangan 3 dan masak sepenuh pada indek 5 dengan warna kuning-oren yang sangat cantik. Indek 3 sesuai untuk perjalanan ke destinasi pasaran dan masak dengan tekstur dan kemanisan maksimum, 12 peratus Brix (sangat manis). Baunya harum dan isi pejal dan rapuh, sesuai untuk buah potong dan koktel.
Alvin Lo telah merangka satu prosidur operasi yang rigid bagi memastikan kejayaan operasinya. Betik varieti Sekaki ditanam di ladang mengguna anak benih yang disemai terus (direct seeding) dalam polibeg 6x9 inci ketika berumur 2 bulan dengan kepadatan 500 pokok seekar. Menjadi amalan pekebun komersial meletak 3 biji benih dalam satu polibeg bagi mendapat 2-3 anak pokok setiap polibeg bagi tujuan pemilihan jantina nanti bila pokok mula berbunga. Hanya pokok hemoprodit (bunga ada 2 jantina) disimpan pada tiap lubang tanaman (planting point). Pokok hemoprodit memberi buah yang berisi tebal dan bentuk yang cantik. Pokok bunga betina (tiada bunga jantan) mengeluarkan buah bentuk bulat, isi nipis berwarna kuning dan bergetah. Betik Sekaki mula dituai pada bulan ke 10 selepas ditanam di ladang.
Varieti Sekaki memberi respon yang baik pada tanah lom berpasir (sandy loam) dengan saliran yang baik dan kandungan bahan organan yang tinggi. Pengairan biasanya menggunakan rain tape atau pun teknik drip dibuat sekali sehari jika tiada hujan.
Semburan racun kulat dan serangga diberi secara berselang-seli tiap 3 -4 hari sekali jika ada wabak penyakit dan serangan serangga yang serius.
Penyakit Matirosot/Dieback
Penyakit matirosot Erwinia mallotivora (nama lamanya Erwinia papayae) adalah disebabkan oleh bakteria nama yang sama. Simptom pertama boleh dilihat ialah pokok layu seolah-olah kekurangan air diikuti dengan daun kering seperti terbakar. Kemudian pelepah daun mula patah dan kesan lepuh merebak ke pucuk, buah dan batang. Jika dibiar lagi batang akan patah dan penyakit turun ke bawah hingga akar semua reput berair dan busuk. Pada peringkat ini pokok di kiri dan kanan sudah pun dijangkiti dan terus merebak ke kawasan yang lebih luas.
Erwinia mallotivora yang menyerang semua jenis betik ini adalah bawaan air. Ia juga merebak melalui pekerja, peralatan ladang dan kenderaan yang keluar masuk antara satu ladang ke ladang yang lain. Oleh itu, amalan biosekuriti sangatlah mustahak dipatuhi. Ia sangat cepat merebak pada cuaca lembap kerana hujan dan berselang-seli dengan cuaca panas tiba-tiba.
Pertama kali dikesan pada tahun 2003 di Johor, matirosot diisytiharkan merbahaya dan tertakluk kepada Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.
Mana-mana ladang yang mengalami penyakit ini mesti memusnahkannya dengan menggali-buang seluruh pokok hingga ke akarnya (roughing) dan membakarnya. Teknik yang mudah ialah pembakaran menggunakan tayar terpakai bagi melupuskan bahan tanaman yang basah itu dengan berkesan. Boleh juga ditanam ke dalam tanah pada kedalaman yang munasabah.
Pada tahun 2017 MARDI ada mengeluarkan Dieback Buster menggunakan teknik Teknologi Kerintangan Sistemik Teraruh (ISR) bagi mengawal penyakit ini.
Alvin Lo menyarankan petani yang ingin mengekspot betik mengamalkan Amalan Ladang Baik Malaysia (myGAP) dan menganggotai persatuan-persatuan pengeluar buah-buahan tropika bagi mendapat maklumat dan nasihat seperti Persatuan Pekebun Buah-Buahan Malaysia yang diterajuinya bersama.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.