January 12 2026

Masih Suburkah Tanah Ladang Kita?

Masih Suburkah Tanah Ladang Kita? - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Oleh kerana pendapatan daripada bertani yang tidak menentu, profesion bertani – antara yang tertua di dunia ini – hampir dilupakan. Sedangkan makna TANI itu sendiri membawa maksud T – tawakal, N – niat yang baik untuk manusia, dan I – ibadah. Seharusnya bertani diteruskan walaupun tidak memberi untung yang besar kerana ia adalah ibadah yang memberi keberkatan, mendekatkan diri kepada Yang Maha Berkuasa, dan memberi manfaat kepada manusia sejagat.

Sejak tumbulnya kesedaran mengenal isu jaminan makanan, bidang pertanian mula dianggap penting. Jika dahulu ibu bapa mahu anak-anak menjawat empat profesion utama (doktor, jurutera, peguam, dan arkitek), kini sudah ada yang menggalakkan anak-anak menjadi   usahawan dalam bidang pertanian. 

Kesan daripada itu, ramai yang berjaya mengeluarkan produk pertanian, sama ada tanaman mahupun ternakan, dalam skala besar secara komersial untuk pasaran tempatan malah dieksport.

Rintangan dalam Bidang Pertanian

Seperti kerjaya sebagai nelayan, bertani juga mempunyai pelbagai cabaran dan masalah.   Pendapatan yang tidak menentu ini menyebabkan profesion sebagai nelayan dan petani dipandang rendah. Anak muda lebih rela bekerja di kilang walaupun terpaksa mematuhi sistem tiga syif sehari daripada menjadi petani. Antara punca pendapatan petani tidak menentu ialah ancaman serangga dan penyakit, rumpai, cuaca yang menyebabkan hasil tidak menentu, dan faktor harga keluaran (pasaran) yang tidak setimpal.

Cabaran Pasaran dan Amalan Pertanian

Apabila ekonomi dunia melonjak tanpa arah, faktor- faktor pengeluaran dalam aktiviti bertani menjadi mahal sedangkan harga keluaran pertanian tidak berubah. Rantaian pasaran di Malaysia masih tidak berubah, lebih memihak kepada orang tengah walaupun ada agensi penampan seperti FAMA. 

Petani mendapat harga yang tidak setimpal, sedangkan pengguna masih membayar harga yang mahal. 

Keterbukaan pasaran serantau membolehkan hasil pertanian luar, terutama dari Thailand, China, dan Vietnam, membanjiri pasaran tempatan. 

Lambakan produk import menyebabkan petani tempatan terpaksa bersaing pada padang yang tidak rata; kerap kali petani tempatan tewas dengan produk import yang "kelihatan" berkualiti dan berharga rendah, kadang-kadang tidak masuk akal. 

Pergeseran Amalan Tradisional ke Moden

Sejak awal tahun 1980-an, penggunaan baja kimia menjadi sesuatu yang normal. Atas nama   pemodenan, segalanya menggunakan bahan sintetik daripada baja, racun serangga, hingga racun rumpai. Amalan lama seperti mencelup anak benih padi dengan baja tahi kelawar (guano) sebelum dicemuk, ditinggalkan oleh petani padi atas nama pembaharuan dan kemudahan bekerja. Baja bakar, baja kompos, dan tinja haiwan yang direputkan dilupakan oleh petani sayur kerana lebih mudah menggunakan urea dan baja NPK. 

Kesan Amalan Pertanian Moden

Akibatnya, menjelang tahun 2020, majoriti petani berteriak kerana sawah menjadi gersang dan tidak mampu menyimpan air. Tanah yang masam menyebabkan akar padi menjadi pendek dan mengeluarkan anak yang sedikit, seterusnya mengurangkan bilangan tangkai per rumpun.   Bilangan biji padi per bulir juga berkurang; bagaimana hasil mahu meningkat? 

Rumpai yang dahulunya tidak pernah wujud, kini muncul secara mendadak sebelum teknik   membasminya ditemui. Hendak diharapkan kepada kerbau, haiwan itu sendiri telah lama pupus. Sukar untuk dilihat lagi, apatah lagi untuk digunakan bagi membajak sawah. Sawah dan kebun merindui tinja lembu-kerbau yang suatu ketika dahulu menjadi agen menyebarkan mikroorganisma yang menyuburkan tanah.

Isu Kesuburan Tanah

Tanah yang tidak memberi hasil seperti dahulu lagi menjadi isu bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia. Sains mula menyelidik isu ini sejak tahun 1960-an, tetapi NGO dan persatuan yang berkempen untuk mengekalkan kesuburan tanah dan melindungi pencemaran air tumbuh dengan pesat sejak tahun 1980-an. Mengekalkan status kesuburan tanah diperkenalkan melalui aktiviti bertani dengan melindungi tanah yang disebut sebagai Pertanian Lestari (Sustainable Farming), Pertanian Regeneratif, Permakultur (Permaculture), Pertanian Organik, dan juga kaedah kuno seperti Pertanian Tanpa Bajak (No-Till Farming) dan Pertanian Minima Bajak (Minimum Tillage Farming). Semuanya mengutamakan kesuburan tanah, mengurangkan input kimia, serta bekerja selaras dengan alam sekitar. 

Kembali kepada Amalan Semula Jadi

Situasi tanah yang semakin merosot menuntut supaya tanah dilayan dengan pendekatan semula jadi atau kembali kepada sistem alami seperti yang diamalkan oleh nenek moyang dahulu kala. Orang dahulu sudah mengamalkan aktiviti mengitar semula tinja lembu-kerbau ke sawah setelah dilonggok beberapa ketika. Ini dinamakan sekarang sebagai Permakultur (Permaculture). Pendekatan ini meniru ekosistem semula jadi. 

Mereka mewujudkan sistem pertanian yang lestari dengan menggabungkan pelbagai elemen seperti tanaman, ternakan darat, ikan, dan air dalam satu sistem kitaran yang lengkap. Itik, misalnya, diternak supaya menjadi mesin penghancur dedaunan bagi makanan ikan herbivora seperti gurami, kap, dan tilapia. 

Sebelum sampai ke kolam, tinja itik akan melalui kolam cacing sutera dan petak keladi bunting sebagai sumber makanan hidup (live baits) bagi ikan dan penapis air semula jadi. Keladi bunting akan dituai dan direbus untuk makanan itik setelah dicampur dengan sedikit jagung. Mereka mendapat bekalan telur atau daging itik serta ikan dengan usaha yang sangat minima. 

Pertanian Lestari dan Regeneratif

Pertanian Lestari (Sustainable Agriculture) pula mengurus sumber dengan bijak untuk memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang. Status kesuburan tanah dipertahankan agar tidak gersang, malah bertambah subur supaya generasi selanjutnya dapat mengeluarkan bahan makanan dengan lebih banyak. 

Pertanian Regeneratif pula memfokuskan kepada memulihkan kesihatan tanah dan meningkatkan biodiversiti. Tanaman penutup bumi (cover crops) dan baja kompos dimanfaatkan bagi mencapai keseimbangan tanah dari segi kandungan unsur untuk tanaman melalui peningkatan kandungan flora dan fauna tanah di dalamnya. Amalan mengutip air basuhan beras, darah, sisa ikan, dan sisa-sisa sayuran, difermentasi dan dikembalikan kepada tanah untuk makanan mikroorganisma dan haiwan penggembur tanah seperti cacing. 

Konsep Pertanian Tanpa Bajak

Dalam konsep Pertanian Tanpa Bajak (No-Till Farming), petani akan meminimumkan gangguan terhadap tanah dengan tidak membajak untuk mengekalkan struktur tanah, kelembapan, dan   hidupan mikroorganisma tanah seperti asalnya. Mereka hanya membiarkan lembu memijak-mijak tanah lalu ditaburkan benih supaya tanah atas tidak hanyut semasa hujan. 

Pemulih Tanah

Tanah yang digunakan bertahun-tahun akan berkurang kesuburannya walaupun tanaman diberi baja kimia seperti lazimnya. Ia seolah-olah tanaman tidak mengambil baja tersebut. Antara simptom yang dikesan ialah daun kuning, akar bergumpal, pendek, dan berwarna perang. Secara kimia, pengapuran dilakukan bagi meningkatkan kembali pH tanah yang berasid. 

Tetapi harga kapur pertanian bukanlah murah dan kuantiti yang banyak diperlukan. Jika berjauhan dengan kilang pemprosesan batu kapur, harga akan terus meningkat. Ini tidak dapat dijangkau oleh petani miskin. 

Pemulihan Tanah Secara Semula Jadi

Pemulih tanah (soil amendment/ soil conditioner) sebenarnya boleh dilakukan sendiri dengan kos yang murah. Penggunaan air beras dan nasi sejuk untuk membiak mikroorganisma yang diperoleh daripada tanah diambil di bawah pohon buluh atau pinus dapat dikembangkan dan disembur pada tanah ladang. 

Tanah yang masam akan bertukar menjadi neutral. Tanah yang dahulunya tandus akan bertukar menjadi gembur. Kandungan mikroorganisma dan cacing akan meningkat mendadak, menjalankan aktiviti biologi mereka dan membebaskan unsur- unsur baja sedia untuk diambil oleh tanaman. 

Kelebihan Aplikasi Pemulihan Tanah

Kelebihan yang timbul daripada aplikasi pemulihan tanah ialah organisma baik akan meningkat dan organisma merbahaya akan berkurang. Bahaya daripada logam berat menurun. Penguraian bahan organik yang bermanfaat menjadi lebih cekap. Tanaman mengeluarkan potensi sebenar, secara langsung meningkatkan hasil. Serapan dan simpanan air tanah lebih baik; tanah tahan terhadap hakisan. Tahap pengambilan nutrien (nutrient uptake) oleh tumbuhan meningkat. 

Petani Mengeluarkan Baja Organik Sendiri

Antara isu mengapa aktiviti bertani tidak memberi untung ialah kos input pertanian yang mahal. Ini menyebabkan petani terpaksa bergantung kepada pemberi kredit. Hasil pertanian terpaksa dijual kepada pemodal dengan harga yang ditentukan oleh mereka. Oleh kerana kitaran modal ini dicipta supaya petani tidak bebas daripada kredit, petani akan tetap berada dalam kemiskinan. 

Antara elemen yang digunakan ialah bekalan baja, antara kos terbesar dalam pengeluaran hasil pertanian selain kos benih, racun serangga, membajak, dan menuai. Jika petani dapat membuat baja sendiri menggunakan tinja haiwan yang diternak (ayam, kambing, dan lembu), mengeluarkan benih sendiri, dan menggunakan jentera membajak dan menuai milik koperasi di kalangan mereka, petani di Malaysia adalah antara warga yang terkaya seperti petani di Jepun, Amerika Syarikat, dan Australia. 

Kembali kepada Asas dengan Pertanian Lestari

Dalam konsep Pertanian Lestari yang dicadangkan ini, petani perlu kembali kepada asas bertani dengan memelihara ayam, kambing, dan lembu untuk mengambil kencing dan tinjanya. Bahan buangan haiwan yang selama ini dianggap membawa masalah sehingga penternakan seolah-olah diharamkan dalam komuniti sebenarnya lebih berharga daripada haiwan itu sendiri. 

Dengan menggunakan bakteria tempatan dari lumpur sawah, bakteria pengurai dari bawah pohon buluh, sisa makanan rumah tangga, dan dedak padi, baja urea cecair dan baja padat NPK dapat dihasilkan lengkap tanpa memerlukan baja kimia. 

Oleh kerana baja ini dikeluarkan di tempat ia bakal digunakan dengan bahan tempatan yang hampir percuma, harganya pasti sangat murah sehingga kurang daripada 20 peratus berbanding baja kimia. Penjimatan ini sahaja akan menyebabkan pendapatan petani meningkat, belum lagi hasil yang meningkat berpunca daripada prestasi tanah yang berubah menjadi baik secara semula jadi. 

Tiga Pilar Pertanian Perlu Dalam Kawalan Petani

Tiga kunci pertanian yang perlu berada dalam kawalan petani untuk menjadi kaya dalam bidang ini ialah baja, benih, dan pengolahan tanah. Dasar ini jangan diabaikan sama sekali dalam apa-apa amalan pertanian, sama ada Regeneratif, Lestari mahupun Organik. 

Mengolah Tanah Permukaan

Pantang dalam bertani sayur, misalnya, ialah memijak-mijak batas walaupun ketika penuaian. Jika tanah tidak padat, dengan sedikit penggemburan, batas boleh ditanam lagi. 

Orang yang memijak batas adalah kerana dia tidak pernah ikut mencangkul. Kini sudah ada mesin ringan dan mampu milik yang dapat mengurangkan beban mencangkul. Cuma ia perlu digunakan pada tahap kelembapan tanah yang tepat. Kaedah terbaik menyediakan batas tanaman ialah dengan menarik dan membawa semua tanah bahagian atas sedalam 10 cm ke hujung. 

Tanah bawah yang biasanya lebih merah perlu digembur menggunakan cangkul seperti garpu. Jangan dipijak; gunakan alas papan di mana perlu bagi mengelakkan tanah menjadi padat dan air tidak dapat meresap sempurna. 

Tanah atas yang dikumpul di hujung batas dicampur dengan baja 'emas hitam' yang dibuat sendiri dan diratakan kembali. Tanah batas setinggi 30 - 50 cm sudah memadai untuk kebanyakan sayur dan jagung. Pembajaan selanjutnya diberi pada 10 cm kedalaman. 

Kepentingan Baja dalam Pertanian 

Baja membekalkan unsur-unsur makanan kepada tumbuhan dari dalam tanah. Lazimnya ia dari sumber kimia yang lebih dikenali ramai, atau dari bahan organik yang ditukarkan kepada bentuk yang mudah diambil tanaman melalui proses biologi dengan bantuan mikroorganisma. 

Unsur-unsur ini dalam bentuk unsur baja makro (diperlukan dalam kuantiti besar) termasuk Nitrogen (N), Fosforus (P), Kalium (K), Kalsium (Ca), Magnesium (Mg), dan Sulfur (S), manakala unsur mikro (diperlukan dalam kuantiti yang kecil sahaja) termasuk Ferum (Fe), Mangan (Mn), Zink (Zn), Kuprum (Cu), Boro (B), Molibdenum (Mo), dan Klorin (Cl). Semua unsur ini penting untuk pertumbuhan tanaman, fotosintesis, dan metabo lisme. 

Penempatan dan Pengeluaran Baja Organik

Baja perlu diletakkan sekitar 10 cm sahaja dari permukaan kerana aktiviti mikroorganisma yang membantu pengambilan baja berada pada paras ini dari permukaan tanah. Baja organik boleh   disediakan sendiri dengan membuat timbunan kompos bagi pengeluaran 'Emas Hitam' (Black Gold). 

Dalam dunia perkebunan, 'Emas Hitam' dirujuk kepada kompos hitam yang lengkap dengan nutrisi tumbuhan yang berasal dari bahan organik yang terurai seperti rumpai, sisa tanaman yang tiada nilai ekonomi, tinja haiwan, sisa makanan, dan ranting-ranting pokok. Dengan bantuan kelembapan dan mikrob, bahan-bahan ini ditukar menjadi penggalak kesihatan tanah dan memberi nutrisi kepada tanaman secara semula jadi. 

Nisbah antara bahan hijau (sumber N) dan bahan perang (sumber karbon) yang sesuai, serta kelembapan yang mencukupi, dapat membantu mikrob memecahkan semua bahan dengan cekap dan menukarkannya kepada kondisioner tanah yang bernilai tinggi. Segala sarap dalam kebun dapat dihapuskan dengan berhemah dan memusnahkan sarang bagi punca penyakit dan serangga. 

Faedah Pengeluaran Baja Sendiri

Pengeluaran baja 'Emas Hitam' sendiri dapat menjimatkan kos membeli baja sehingga 35 peratus kos pengeluaran. Selain daripada itu, ia dapat mengasuh minda supaya tidak bergantung kepada orang lain yang membantutkan semangat berdikari. 

Kepentingan Benih dalam Kawalan Petani

Dunia pertanian telah diracuni dengan tanggapan bahawa benih perlu dibeli setiap kali mahu   menanam. Pengeluar benih sengaja mengeluarkan benih hibrid supaya varieti berkenaan akan   berprestasi sekali sahaja. Petani perlu membeli lagi benih untuk pusingan tanaman berikutnya. 

Pasaran juga dimomokkan dengan varieti-varieti baru supaya pengguna terus mencuba produk yang kelihatan terkini dan persepsi yang belum pasti benar. Adakah ia perlu? Sebenarnya, petani boleh mengeluarkan benih sendiri bagi tanaman yang diturunkan daripada nenek moyang (heirloom). 

Benih-benih ini telah diseleksi sejak berzaman supaya tahan penyakit, sesuai dengan cuaca tempatan, dan dapat dituai dalam jangka masa yang lebih panjang. Antara yang boleh disebut ialah bayam, terung (pelbagai jenis), labu, bendi, kangkung, maman, dan jagung pulut. 

Contoh Pengeluaran Benih Sendiri: Bayam

Menurut seorang penggiat tanaman sayuran, benih bayam yang agak mahal jika dibeli boleh   dihasilkan sendiri. Semasa sayur bayam dituai, sisakan beberapa pokok dalam jarak yang sesuai untuk menghasilkan benih. Bungkus bunga bayam  dengan plastik dan tunggu hingga matang. Biji benih yang terbentuk dan matang akan terkumpul dalam plastik dengan sedikit gegaran pada batangnya. Biji benih ini boleh disimpan untuk beberapa tahun dengan dicampur kapur tohor. 

Menariknya, batas yang menyimpan induk bayam ini akan ditumbuhi anak-anak bayam daripada biji benih ranting yang tidak disarung plastik. Hanya cabut sedikit rumpai yang tumbuh, tabur 'Emas Hitam', dan siraman yang cukup, anda mendapat sebatas bayam yang hampir percuma. 

Falsafah Pertanian Lestari/ Pertanian Regeneratif (Harwood, 1983)

Pertanian mestilah mengeluarkan hasil yang tinggi, berkhasiat, dan bebas daripada sisa kimia   pertanian. Pertanian sewajarnya meningkatkan produktiviti tanah, bukannya menurunkan   produktiviti dengan menambah kedalaman, kesuburan, dan ciri fizikal lapisan atas tanah.   Sistem aliran nutrisi tanah dengan integrasi flora dan fauna dalam pola yang lengkap akan lebih cekap dan kurang memberi impak negatif kepada alam sekitar serta memastikan tanaman mendapat nutrisi yang sempurna. Sistem ini akan menyempurakan aliran nutrisi ke atas dalam profil tanah, mengurang atau menyingkir terus kesan buruk terhadap persekitaran. Secara definisi, ini adalah proses genesis tanah. 

Prinsip Pengeluaran Berasaskan Biologi

Pengeluaran hasil pertanian mestilah berasaskan interaksi biologi demi kestabilan dan menghapuskan kebergantungan kepada bahan sintetik. Penggunaan bahan yang dapat mengganggu struktur biologi sistem perladangan seperti penggunaan kimia pertanian sintetik yang diamalkan hari ini tidak seharusnya digunakan. Pertanian Regeneratif memerlukan struktur biologinya suatu hubungan intim antara pengurus/peserta sistem dengan sistem itu sendiri. Sistem integrasi yang kebanyakan bersifat sara diri dalam bekalan nitrogen melalui ikatan nitrogen secara biologi mesti dimanfaatkan sepenuhnya.

Pengurusan Ternakan dan Aspek Sosial

Haiwan ternakan mesti diberi makan dan dikandang tanpa penggunaan hormon dan antibiotik yang bakal wujud dalam makanan manusia. Aktiviti bertani sewajarnya meningkatkan peluang pekerjaan. Pertanian regeneratif memerlukan perancangan peringkat kebangsaan tetapi penglibatan yang tinggi dan sikap berdikari pada peringkat pelaksanaan untuk melengkapkan putaran aliran nutrisi. 

Kesimpulan

Bertani di abad ini memerlukan perubahan paradigma. Tanah tapak bertani harus dipelihara   supaya terus subur secara semula jadi. Teknik berternak dan mengumpul kencing serta tinja   bagi menghasilkan baja perlu diperhalusi dan dikembangkan sehingga menghasilkan produk yang stabil dan memenuhi kehendak pengguna. Mereka yang berjaya memproduksi pada kos paling rendah dan hampir dengan pelanggannya adalah raja. Penghasilan baja organik sendiri adalah salah satu daripadanya. 

Hasil Pertanian Bebas Residu dan Perubahan Pola

Hasil pertanian harus bebas daripada sisa kimia kerana pengguna masa depan hanya akan memilih makanan yang selamat. Pengeluaran yang tidak mengikut spesifikasi tidak mungkin mampu dipasarkan. Perlu dibuat ramalan ke hadapan tentang produk yang perlu dikeluarkan pada masa depan selari dengan kehendak pengguna yang berubah. Pola makanan generasi depan tidak akan sama dengan generasi hari ini. Perubahan perlu dibuat sedikit demi sedikit bagi menghadapi perubahan tersebut. 

Bertani tidak akan luput walaupun 30 tahun ke hadapan. Manusia masih memerlukan makanan walau apa yang terjadi. Jadi, memilih untuk bertani tidak akan pernah silap, bukan terpaksa menjadi petani kerana tiada pilihan lain yang lebih baik seperti nenek moyang kita dahulu. Anak-anak perlu diturunkan dengan kemahiran bertani menurut perkembangan teknologi semasa kerana pada zaman mereka, bertani akan menjadi tren untuk orang menjadi kaya. Perniagaan tani pada masa ini perlu dikukuhkan dengan asas yang kukuh supaya dapat berkembang menjadi perniagaan yang relevan pada masa depan. 

Orang kaya hari ini menjadi kaya bukan kerana usaha mereka sahaja, tetapi kerana pemikiran ke hadapan (forward thinking) nenek moyang mereka yang mampu meramal masa depan. Marilah kita bertani!

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag