November 11 2024

Masa Depan Lada Hitam Malaysia

Masa Depan Lada Hitam Malaysia - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Wizilla Janti Joshua

Industri lada hitam Malaysia diterajui oleh Sarawak yang telah menyumbangkan lebih daripada 95% pengeluaran lada hitam negara. Ini menunjukkan bahawa negeri ini merupakan tunjang utama dalam pengeluaran lada tempatan. 

Walaupun begitu,   industri lada Malaysia sedang berada di   persimpangan yang memerlukan perhatian serius kerana masalah-masalah di kalangan petani lada hitam tetapi dalam masa yang sama terdapat   peluang besar untuk berkembang. 

Prospek ini   dipacu oleh peningkatan permintaan global lada, terutamanya dalam sektor farmaseutikal dan   kosmetik sepanjang tahun 2024. Ini memberi   peluang besar kepada Malaysia untuk   memperkukuhkan kedudukannya sebagai   pengeksport lada berkualiti tinggi di peringkat   antarabangsa. 


Pihak MPB menjalankan latihan in-situ tanaman lada Pejabat Wilayah Semenanjung Malaysia dengan berkongsi pengetahuan dan memberi penerangan mengenai tanaman lada. -Foto: MPB

 


Keadaan semasa di negara-negara pengeluar lada utama seperti Brazil, Vietnam, dan Indonesia menunjukkan pengeluaran yang menurun akibat fenomena cuaca ekstrem seperti El Niño.   Fenomena ini telah menyebabkan kerosakan   tanaman lada di negara-negara tersebut,   mengurangkan hasil pengeluaran lada global.   Di samping itu, ramai petani di negara-negara ini juga telah beralih kepada tanaman yang lebih   menguntungkan seperti durian, koko dan kopi yang menawarkan pulangan yang lebih cepat dan stabil. Peluang yang signifikan ini harus dimanfaatkan oleh petani Malaysia untuk mengisi kekosongan dalam pasaran lada dunia.

Cabaran Malaysia

Malaysia turut menghadapi cabaran tersendiri. Di Sarawak, pengeluaran lada menurun daripada 19,000 tan pada tahun 2022 kepada 17,000 tan pada tahun 2023. Penurunan ini sebahagiannya   disebabkan oleh peralihan petani kepada tanaman lain yang tidak memerlukan buruh yang banyak seperti kelapa sawit. Walaupun demikian, peluang untuk industri lada Malaysia berkembang masih terbuka luas, terutamanya melalui langkah-langkah strategik yang telah mula diambil oleh pihak   kerajaan dan industri untuk memulihkan   pengeluaran lada. 


Keadaan penanaman lada di Sarawak sebagai penyumbang kepada lebih daripada 95% pengeluaran lada negara. -Foto: Awaeang Kwasin

 


Dalam menghadapi cabaran ini, Kementerian   Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama Lembaga Lada Malaysia dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah melancar pelbagai inisiatif untuk memperkenalkan teknologi moden seperti Internet of Things (IoT) dan pertanian pintar kepada   pekebun kecil lada di Sarawak. Teknologi ini   dijangka dapat meningkatkan kecekapan dalam   memperbaiki kualiti pengeluaran lada serta   mengurangkan kos operasi. Dengan teknologi ini, pekebun kecil dapat memantau dan mengawal   kualiti lada mereka dengan lebih baik terutamanya dalam penghasilan lada putih. 

Kejayaan pelaksanaan teknologi ini memerlukan sokongan yang berterusan daripada kerajaan dan agensi berkaitan. Walaupun inisiatif ini merupakan langkah positif ke hadapan, cabaran besar masih   terletak pada kemampuan pekebun kecil untuk   mengadaptasi teknologi tersebut. Sokongan kewangan dan latihan berterusan perlu diberikan bagi memastikan diimplementasikan teknologi dengan ini berkesan. dapat   Tanpa   insentif yang jelas, terdapat kemungkinan bahawa ramai pekebun kecil mungkin akan sukar untuk   menerima dan menggunakan teknologi ini sepenuhnya. 

Selain daripada aspek teknologi, Malaysia juga   perlu menangani isu kualiti dan reputasi lada di   pasaran antarabangsa. Lada Sarawak telah lama dikenali sebagai komoditi premium dengan rasa dan aroma yang unik, menjadikannya pilihan utama di kalangan pengimport di Eropah dan Asia.   Walau bagaimanapun, isu penyeludupan lada dari   negara lain yang dicampur dengan lada Sarawak telah menimbulkan kebimbangan. Timbalan   Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, baru-baru ini menyuarakan kebimbangan mengenai aktiviti penyeludupan ini, yang bukan   sahaja boleh menjejaskan kualiti lada Sarawak   tetapi juga merosakkan reputasi negara sebagai pengeluar lada berkualiti tinggi. 

Industri lada Malaysia masih mempunyai peluang besar untuk kembali pulih dan berkembang melalui peningkatan global. -Foto: Awaeang Kwasin

 


Perkembangan industri lada dijalankan di peringkat kebun-kebun di beberapa negeri selain di Sarawak termasuklah Sabah, Johor, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang. -Foto: Amaris Plantation

 


Isu penyeludupan ini perlu ditangani dengan serius kerana Malaysia mungkin akan kehilangan   kedudukan sebagai pengeluar lada premium.   Selain itu, negara-negara pengimport seperti di Eropah mungkin mula mempersoalkan ketulenan lada yang dieksport. Ini boleh membawa kepada sekatan perdagangan atau kehilangan kepercayaan dalam pasaran global, yang akhirnya akan memberi kesan negatif kepada keseluruhan industri lada di Malaysia.

Potensi Malaysia

Melalui peningkatan permintaan global, Malaysia masih mempunyai peluang besar untuk kembali   pulih dan berkembang dalam industri lada. Sektor farmaseutikal dan kosmestik dijangka menjadi salah satu pemacu utama permintaan lada di peringkat antarabangsa dengan pelbagai produk berasaskan lada kini mendapat tempat dalam pasaran.   Malaysia berpeluang untuk memanfaatkan   perkembangan ini dengan menghasilkan lada berkualiti tinggi yang boleh memenuhi keperluan industri tersebut. Di sinilah pentingnya peranan   kerajaan dalam memberikan sokongan kepada pekebun kecil, bukan sahaja dari segi teknologi dan latihan tetapi juga dari segi bantuan kewangan dan pemasaran. 

Satu lagi faktor yang boleh membantu   mengembangkan industri lada Malaysia ialah   pembangunan nilai tambah dalam pengeluaran lada. Lada bukan sahaja boleh dijual sebagai   bahan mentah, tetapi juga boleh diproses menjadi produk bernilai tinggi seperti ekstrak lada, minyak lada, dan produk makanan premium yang   menggunakan lada sebagai bahan utama. Dengan   mengembangkan produk-produk ini, Malaysia   bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan   industri lada tetapi juga dapat memperkukuhkan kedudukannya di pasaran antarabangsa. 


Lada hitam mempunyai potensi untuk dikembangkan melalui produk-produk inovasi seperti ekstrak lada hitam dan ini dapat menambah nilai tambah dalam pengeluaran lada. -Foto: Awaeang Kwasin

 


Selain itu, penekanan kepada penghasilan lada   organik juga boleh menjadi langkah strategik untuk meningkatkan daya saing Malaysia dalam   pasaran global. Permintaan terhadap produk organik   semakin meningkat di seluruh dunia dan lada   organik Malaysia boleh menjadi produk premium yang diminati oleh pengguna yang mementingkan kesihatan dan alam sekitar. Dengan melabur dalam kaedah penanaman lada yang lebih lestari dan   mesra alam, Malaysia boleh menarik perhatian   pasaran global yang semakin menghargai produk yang dihasilkan secara bertanggungjawab.

Kesimpulan

Walaupun industri lada Malaysia sedang   menghadapi pelbagai cabaran, potensi masa depan industri ini sangat besar. Dengan sokongan   berterusan daripada kerajaan, penggunaan   teknologi pintar, serta fokus kepada pengeluaran lada berkualiti tinggi dan bernilai tambah, Malaysia berpeluang untuk memanfaatkan   peningkatan permintaan global dan menjadi   peneraju dalam industri lada dunia. 


Lembaga Lada Malaysia turut menerima kunjungan dari syarikat pengeluar dan pemprosesan makanan utama dari negara Jepun dan membincangkan kerjasama kemampanan pasaran lada di semua peringkat rantaian. -Foto: Lembaga Lada Malaysia (MPB)

 



Ketua Pengarah MPB YBrs. Encik Vincent Sawat hadir memberi sokongan di MAHA 2024. -Foto: MPB

 


Masa depan   industri lada Malaysia tidak hanya bergantung   kepada kuantiti pengeluaran, tetapi juga kepada strategi jangka panjang yang dapat mengukuhkan kualiti dan nilai produk lada Malaysia di pasaran global. 

Dengan pelaksanaan strategi yang betul dan   sokongan yang menyeluruh, industri lada Malaysia masih berpotensi untuk bangkit sebagai   pemimpin global dalam pengeluaran lada berkualiti tinggi. Pihak kerajaan, pekebun kecil, dan pemain industri lain perlu bekerjasama dalam   merealisasikan potensi besar ini. 

Masa depan   industri lada Malaysia bergantung kepada tindakan segera dan komitmen yang berterusan daripada semua pihak. Jika peluang ini diambil dengan bijak, Malaysia berpotensi bukan sahaja untuk memenuhi permintaan global, tetapi juga untuk memacu   industri lada ke tahap yang lebih tinggi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag