November 11 2024

Long dan Lin Laplae: Dua Varieti Durian Unggul

Long dan Lin Laplae: Dua Varieti Durian Unggul - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Fenomena kegilaan masyarakat China mengkonsumsi durian bukan sahaja   mencetuskan kegawatan untuk mengeluarkan durian dengan banyak di tiga negara pengeksport utama seperti Malaysia, Thailand dan Vietnam malah memaksa daerah- daerah terpencil yang menghasilan durian   secara organik kepada penggunaan baja kimia dan racun perosak. 

Daerah Laplae di utara Thailand yang selama ini tidak diketahui kerana dibayangi oleh bandar peranginan Chiangmai dan Chiengrai, peraih-peraih yang mewakili pengeksport sudah bertapak dan tinggal tetap bagi mengawal perdagangan dua varieti langka yang sangat lazat dan mendapat tawaran   harga yang sangat tinggi iaitu Long Laplae dan Lin Laplae.


Dituai 80% matang.

 


Kelahiran dua varieti unik ini di Laplae dalam wilayah Uttaradit, bukan daerah pengeluaran   utama durian seperti Chantaburi adalah sesuatu yang menarik untuk diperhatikan. Laplae bukanlah satu daerah yang subur. Tanahnya berpasir dan   taburan hujan yang sedikit, tertumpu pada bulan   tertentu tetapi turun dengan lebatnya pada satu-satu ketika sehingga menyebabkan hakisan   permukaan yang menghakis permukaan atas tanah subur. Tiada kawasan yang pamah bagi penanaman durian skala besar yang boleh dimekanisasi. Pendek kata sangat tidak sesuai untuk pengeluaran   durian komersial. Cuma oleh kerana berada di luar kawasan utama, Laplae mengeluarkan durian di luar musim utama, menjadikan buahnya ekslusif dan   tiada persaingan.

Kedudukan Tersembunyi dan Penuh Misteri

Laplae adalah daerah di utara Thailand yang penuh misteri. Ia seolah-olah daerah baru yang tidak   pernah wujud sebelum ini. Lapan dari sepuluh orang yang ditanyai di Bangkok bagaimana untuk   berkunjung ke sana tidak mempunya jawapan   tetapi 8 dari sepuluh yang ditanyai tahu mengenai durian mahal yang lazat bernama Long Laplae dan Lin Laplae. Penduduk tempatan Laplae sangat yakin orang yang berniat tidak baik tidak   akan menjumpai Laplae kerana kejujuran sangat   disanjung di sini. Laplae berada di cerun gunung yang berbukit-bukau di barat daya wilayah   Uttaradit, bermaksud suatu tempat yang   tersembunyi. 

Hanya terdapat dua batang jalan utama - satu jalan mati dan satu lagi melilit gunung dan berakhir di puncak. Pada sekitar tahun 2022, masih tiada kemudahan pengangkutan awam ke sini dan tiada hotel mahupun bilik-blik   penginapan. Anda boleh berkhemah di kawasan wat dan bersiap dengan bekalan makanan kerana   perniagaan akan ditutup pada jam 5 petang.   Menjelang malam semua orang akan berada di   dalam rumah dan tidak akan keluar sehinggalah   fajar muncul di awal pagi. Jikalau begitu terasing dan tiada kemudahan,   mengapa mahu mengunjungi Laplae? 


Monthong Uttaradit di luar musim utama mendapat harga terbaik.

 


Bagi pemburu durian yang memburu maklumat dan   mendokumentasikan asal usul sesuatu varieti   durian Laplae wajib dikunjungi kerana di sini   tempatlahirnya 2 varieti durian yang sangat sedap, mendapat harga tertinggi dan menjadi buruan pengemar durian - Long Laplae dan Lin Laplae.   Kehadiran kedua-duanya menjadi pelengkap antara satu sama lain, bukannya sering bersaing di antara satu sama yang lain. Dua varieti ini sering ditanam bersama-sama di dalam dusun termasuk varieti Monthong yang menjadi varieti komersial dan   varieti tempatan yang lain. 

Long dan Lin Laplae menjadi signature crop bagi penduduk Laplae, setiap penduduk mempunyai hubungan langsung dengan 2 varieti ini, sama ada sebagai pemilik dusun, pekerja yang menuai dan pengangkut buah mengguna motosikal scrambler yang diubahsuai dengan raga besi di belakang dan peraih yang mengumpul dan menjual kepada peraih luar. Jika diajukan soalan kepada penduduk   tempatan mana yang lebih sedap antara Long   Laplae dan Lin Laplae, mereka akan teragak-agak untuk memilih seolah-olah ditelan mati emak,   diluah mati bapak. Mereka mencintai kedua-duanya pada satu masa, tidak sanggup memilih dan   mendukacita yang satu lagi. Jika durian adalah raja kepada segala buah-buahan, di sini Long Laplae dan Lin Laplae adalah raja bagi segala jenis durian. 

Benih Lin dan Long Laplae sudah boleh diperolehi di sini.

 

Kedua-dua mempunyai rasa yang hampir sama,   hanya connoiseur durian dapat membezakannya tanpa melihat kulitnya. Lin Laplae mempunyai rasa lemak dan pahit yang mengubah rasa manis   kepada rasa berbaur yang sangat enak dan cair di mulut. Bentuk buah jenis belimbing yang   mempunyai 5 pangsa yang jelas, dapat   membayangkan saiz ulas di sebalik kulitnya yang sederhana tebal dan berwarna hijau zaitun. Hujung buahnya mendatar sehingga boleh diletak berdiri dengan sendirinya. Bijinya kempet/ganja atau   hampir tiada biji langsung. 

Long Laplae mempunyai rasa manis yang tulen   berbentuk bulat, isi yang tebal, halus dan kuning seperti mentega dan rasa karamel strawberi yang sukar dilupakan. Terdapat satu lagi varieti yang   dijual di Pasar Durian Laplae iaitu Puen Mueang yang jauh lebih murah. Ia sudah lama bertapak   di sini, sezaman Long dan Lin Laplae ditemui.   Ia mempunyai rasa pahit berbaur manis dan isi yang sangat pejal seakan-akan isi varieti Monthong. 

Sejarah Penemuan

Penemuan varieti Long dan Lin Laplae bermula   sekitar tahun 1942 apabila Lom dan Long Uppara menanam benih durian kampung Laplae yang   mempunyai rasa dan bentuk yang berbeza dari   biasa tetapi dijual dengan harga seperti durian- durian kampung yang lain. Selama berabad-abad ia menjadi rahsia penduduk setempat menikmati durian yang sangat lazat itu. Sesuai dengan   kedudukan Laplae yang terpencil dan jarang   dikunjungi oleh orang luar, rahsia ini tersimpan lama dengan baik sehinggalah pada tahun 1977, jabatan pertanian setempat telah mengadakan   pertandingan bagi mendapatkan varieti unggul   sekitar Uttaradit termasuk daerah Lablae. 

Lin   Punlad memenangi pertandingan ini dengan   keluarga Long secara juara bersama kerana hakim tidak berupaya membezakan yang mana satu harus menjadi juara. Dengan bantuan jabatan pertanian, 2 varieti ini dibangunkan menjadi lagenda dan diberi nama mengikut nama 2 famili iaitu Long dan Lin dan daerah Laplae   menjadikan nama Long Laplae dan Lin Laplae. 


Lin Laplae yang menggoda.

 


Harga Lebih Tinggi daripada Monthong

Pada musim terakhir baru-baru ini harga borong di ladang bagi varieti Lin Laplae ialah 800 bath per kilogram manakala Long Laplae berharga 650 bath per kilogram. Harga ini menjadi dua hingga tiga kali ganda apabila tiba di pasaran runcit di Kota   Bangkok. Dengan adanya permintaan dari peminat durian di China, harga mungkin menjadi 5 - 10 kali ganda di sana, itu pun jika ada bekalan. Jika dibandingkan dengan harga Kanyao (Tangkai Panjang), Chenee dan Monthong (Bantal Mas), 3 varieti tradisional yang sangat popular di   Thailand sama ada untuk eksport atau untuk   konsumsi tempatan, harga Long dan Lin Laplae   sangatlah mahal, hampir-hampir menandingi harga Kanyao Nonthaburi yang menjadi kegilaan golongan elit di Bangkok. 

Harga yang tinggi sebenarnya bukanlah sengaja   diada-adakan oleh pekebun mahupun peniaga.   Kebetulan semasa durian di Laplae gugur, tiada tempat lain menghasilkan durian. Berasaskan daya bekalan dan permintaan serta kualiti, rasa yang unik dan pengeluaran yang sedikit paras harga terjadi berasaskan faktor ini. Daerah Laplae   sebenarnya mengeluarkan varieti Monthong dan varieti kampung dengan banyak. Antara pokok pokok Monthong dan durian kampung inilah   terdapat pokok-pokok Long dan Lin Laplae. Ia   tumbuh di kawasan yang sukar dilawati dengan   suhu yang lebih dingin. Mungkin ada persamaan dengan durian batu di Lojing dan Cameron   Highlands milik orang asli yang semakin sejuk   lokasinya, semakin lazat buahnya. 


Long Laplae lebih bulat.

 


Seorang petani mungkin terpaksa mengharungi turun naik bukit sejauh 3 kilometer bagi   mendapatkan beberapa butir buah yang mahal ini. Buah biasanya dipetik pada kematangan 85%.   Pokok setinggi 20-30 meter terpaksa dipanjat oleh seorang yang pakar dan seorang lagi menunggu di bawah untuk menyambut menggunakan sekeping guni jut. 

Buah diturunkan dengan teknik baling dan sambut dari satu teres ke beberapa teres di   bawahnya yang mempunyai lorong motosikal. Tiada sebuah ladang pun di Laplae yang ditanam di tanah pamah dan boleh dimasuki trektor untuk mengangkut buah. Muka bumi Laplae yang   begunung-ganang membuatkan pokok durian   ditanam secara semula jadi dalam hutan dengan lorong perhubungan yang sempit, berlopak dan cerun yang tinggi. Hanya motosikal scrambler dan penunggang berhati cekal dapat menurunkan   durian seberat 50 kilogram setiap trip dalam   bakul dari dawai chain-link di belakangnya. 

Untuk mendapat upah sekitar 500 bath sehari, mereka   terpaksa membuat 4-5 trip sehari dengan   perjalanan menuruni dan mendaki bukit sejauh 5 kilometer setiap trip. Semua ini melibatkan kos yang tinggi menjadikan harga yang ditawarkan juga tinggi. Kerana kualiti dan kelazatannya serta   pengeluaran durian di luar musim utama, pengguna sanggup membayar harga yang ditawarkan. 

Hasil dari perdagangan durian ke China, sudah ada pedagang membuka pusat pengumpulan baru yang lebih teratur dan kemas berbanding tempat lama seperti pekan sehari dengan atap zink yang   berkarat berhampiran wat. Kisah kelazatan Long dan Lin Laplae sudah sampai kepada peminat durian tegar di China. 

Mereka mendampakkan keenakan dua varieti lazat ini. Pengeksport sekitar Uttaradit mula memaksa petani menggunakan baja kimia   dan racun kulat bagi meningkatkan jumlah   pengeluaran. Bagi mereka pengeluaran organik   secara semula jadi merugikan kerana tidak dapat membekal durian dengan kuantiti yang banyak dan   mengeksploitasi harga pasaran eksport ke China yang tengah memuncak. 

Namun petani daerah Laplae yang tinggal di kawasan pedalaman ini   t idak sanggup berubah demi menjaga keaslian dan kelazatan dua varieti unggul mereka, Long dan Lin Laplae antara durian termahal di Thailand. Biarlah mereka asli seperti di zaman mereka tidak   bernama dan keenakan menjadi rahsia masyarakat   setempat.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag