May 20 2026
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Krisis antara Amerika dan Iran di Selat Hormuz menyekat laluan kapal pengangkut minyak mentah, yang majoritinya untuk pasaran Asia. Kira-kira 20 hingga 30 peratus bekalan minyak dunia datang daripada pengeluar minyak dalam Majlis Kerjasama Negara-negara Teluk (Gulf Cooperation Council – GCC) seperti Bahrain, Kuwait, Qatar, Oman, UAE dan Arab Saudi. Selat sempit ini, pada titik terkecilnya hanyalah 33 kilometer, menghubungkan Teluk Parsi dan Teluk Oman. Penutupan Selat Hormuz yang telah melangkaui sebulan menjadikan keadaan kacau-bilau di seluruh dunia dengan gangguan bekalan minyak, gas dan baja.
Kemajuan teknologi pertanian telah menjadikan mesin sebagai salah satu faktor pengeluaran. Penggunaan mesin, terutamanya dalam pengeluaran bijirin makanan seperti beras, perlu menggunakan bahan api petroleum untuk menggerakkan mesin membajak, menuai dan pam air.
Dengan sukarnya mendapat bekalan bahan api dan mahal jika ada, margin keuntungan yang sedia nipis akan menjadi lebih parah. Petani yang sedianya miskin akan menjadi papa, malah mungkin menghadapi kebuluran jika tindakan proaktif tidak diambil dari sekarang.
Rantaian Pengeluaran Baja Terancam
Selain itu, kekurangan bekalan minyak mentah secara langsung akan menyebabkan kekurangan baja. Pengeluaran baja urea dan ammonium menggunakan gas metana daripada hasil sampingan loji penapis minyak mentah.
Meningkatnya harga minyak mentah secara langsung akan meningkatkan harga urea. Lebih parah jika bekalan minyak mentah terputus, urea juga akan lenyap dari pasaran sedangkan pengeluaran bijirin makanan seperti beras, gandum dan jagung adalah bersandarkan kepada urea.
Sebahagian bahan alas baja juga menggunakan bahan sintetik petroleum seperti pengeluaran baja berbutir dan baja slow release. Kebanyakan racun serangga dan racun kulat juga menggunakan bahan berasaskan petroleum.
Krisis tenaga global kini sampai kepada pengguna akhir dengan meningkatnya kos bahan makanan. Kenaikan kos input pertanian, pengangkutan dan kos bahan api akan meningkatkan kos pengeluaran sehingga 30 hingga 40 peratus. Kos ini akan dilepaskan kepada pengguna akhir di seluruh dunia.
Negara Pengeksport Pertimbang Sekatan
Pakar ekonomi menjangkakan lebih daripada 50 peratus penduduk dunia akan menjadi miskin secara mendadak dengan jatuhnya nilai petro-dolar AS. Nilai saham, nilai mata wang dan nilai hartanah akan jatuh mendadak di penghujung krisis ini, mengalahkan krisis global terdahulu seperti Great Depression (1929–1939), Great Recession (2007–2008) dan OPEC Oil Price Shock (1973).
Kekurangan bekalan baja, terutamanya kepada pengeluar makanan utama dunia seperti India, Vietnam dan Thailand, menggugat bekalan beras. India yang menjadi pengeksport beras yang menjadi makanan ruji bagi separuh penduduk dunia sudah mula mempertimbangkan sekatan eksport. Begitu juga dengan Vietnam dan Thailand.
Pengeluaran beras bergantung pada bahan api petroleum untuk menggerakkan jentera dan pam air.
Bagi negara yang tahap sara diri bagi beras hanyalah 60 peratus, ini adalah suatu yang membimbangkan. Ada wang belum tentu boleh membeli jika tiada produk yang ditawarkan di pasaran. Apatah lagi pengeluaran tempatan dijangka berkurang akibat kemarau. Jelapang padi utama seperti kawasan MADA di Kedah dijangka akan keciciran satu musim akibat keringnya tiga empangan utamanya, Pedu, Muda dan Ahning yang menjadi punca bekalan air bagi pertanian padi, begitu juga kawasan padi yang lain di Selangor dan Kelantan.
Dengan situasi ini, negara mungkin terpaksa mengimport tambahan 10 hingga 20 peratus bekalan beras dari negara luar. Bagaimana ia boleh dilakukan jika negara pengeluar utama melarang eksport beras?
Bekalan Minyak dan Baja Semakin Sukar
Pengumuman AS untuk menghalang pelayaran kapal-kapal pengangkut yang menggunakan pelabuhan Iran meningkatkan lagi kebimbangan sukarnya mendapat bekalan minyak mentah dan baja untuk aktiviti pertanian. Banyak kapal hanya tidur di pelabuhan dan mengganggu rantaian bahan mentah termasuk bekalan makanan. Mana-mana yang masih mampu belayar terpaksa menanggung kos insurans yang sangat tinggi, menjadikan kos muatannya, terutamanya makanan, sangat tinggi sehingga kepada harga yang tidak lagi rasional apabila tiba ke pengguna.
Kekurangan bekalan baja, terutamanya kepada pengeluar makanan utama dunia seperti India, Vietnam dan Thailand, menggugat bekalan beras.

Harga bahan api yang lebih tinggi memaksa keluarga menjadi miskin. Kilang-kilang terpaksa mengurangkan pengeluaran, malah gulung tikar. Pekerja terpaksa diberhentikan, pertumbuhan ekonomi akan terbantut. Eropah akan mengalami kesan yang mendalam dan jutaan orang akan menjadi miskin serta bergantung kepada ehsan kerajaan untuk meneruskan hidup. Bekalan gas dari Eropah sangat berkurang dan terpaksa bergantung kepada pasaran gelap dari Rusia yang menerima sekatan ekonomi Amerika. Jika bekalan gas tidak sampai menjelang musim sejuk yang akan datang, jutaan orang diramal akan mati kesejukan selain tidak menerima bekalan makanan.
Alternatif Mapan
Saintis dan penggiat pertanian lestari/regeneratif mencadangkan beberapa langkah untuk menyerap kesan daripada kekurangan bekalan baja kimia dengan menggunakan baja organik. Antara teknik yang boleh diamalkan bagi penghasilan baja organik adalah melalui penghasilan kompos, baja hijau dan pertanian organik yang memulihkan dan menyuburkan tanah.
Berbanding baja kimia, baja kompos memerlukan jumlah yang sangat banyak. Di ladang yang luas, aplikasi memerlukan tenaga yang besar dan jentera yang efektif. Bekalan bahan api masih diperlukan, malah mungkin dalam kuantiti yang lebih besar, bukannya menjimatkan. Ini tidak aplikabel melainkan bagi skala yang kecil atau untuk kegunaan persendirian dan bersifat berdikari dalam pengeluaran bahan makanan.
Bahan asas pengkomposan memerlukan tinja haiwan, perlu dimulakan dengan penternakan sama ada ruminan atau unggas. Jadi untuk memulakannya memerlukan masa yang munasabah, tidak dapat diganti dengan segera.
Selat Sempit Jadi Rebutan
Selama ini tidak ramai memberi perhatian kepada selat sempit yang menghubungkan Teluk Parsi dengan laut lepas yang menjadi penghubung antarabangsa bagi kapal mengangkut minyak, gas dan baja antara benua sehingga tercetusnya krisis antara Amerika-Israel menentang Iran. Sebagai negara berdaulat, tentunya Iran akan membuat apa sahaja yang terdaya bagi mempertahankan maruah negaranya yang diserang atas alasan memusnahkan ancaman senjata nuklear.
Selat Hormuz yang menjadi titik strategik yang dikuasai Iran dipergunakan sepenuhnya bagi menyekat kepentingan ekonomi Amerika melalui penguasaan sumber minyak negara-negara dalam GCC. Negara GCC menjual minyak dalam mata wang USD yang memberi kekuatan ekonomi Amerika sehingga digelar 'petro-dolar'. Sebagai balasan, Amerika memberi perlindungan kepada negara-negara GCC dengan menubuhkan pangkalan-pangkalan tentera di setiap negara dalam GCC.
Mengapa Amerika Tidak Puas Hati
Iran telah 25 tahun dikenakan sekatan ekonomi oleh Amerika. Ia tidak boleh menjual minyaknya di pasaran antarabangsa sehingga terpaksa menjual di pasaran gelap kepada Rusia dan China dengan harga yang jauh lebih murah daripada pasaran terbuka. Sebagai balasan, kedua-dua negara ini mengeksport teknologi baru kepada Iran dalam pelbagai bidang dari pertanian, pengairan, pendidikan hingga ke teknologi dron dan misil. Selama 25 tahun Iran bersabar dan membina kekuatan dalaman secara senyap.
Negara GCC menjual minyak dalam mata wang USD yang memberi kekuatan ekonomi Amerika sehingga digelar 'petro-dolar'.
Pakar ketenteraannya memerhati bagaimana Amerika menjatuhkan Iraq tempoh hari menggunakan teknologi udara. Amerika membina peralatan canggih yang mahal melalui syarikat-syarikat seperti Textron, Boeing, Lockheed Martin dan Gulfstream. Amerika menempatkan jet-jet tercanggihnya seperti F22 dan F35 di Israel bagi mengawal kepentingannya di Asia Barat, terutamanya negara-negara GCC. Iran masih menggunakan jet F14A Tomcat yang dibekalkan Amerika sebelum Revolusi Islam 1979, tetapi diam-diam membina dron dan misil pada harga yang murah tetapi dalam jumlah yang sangat banyak dan dapat sampai ke Israel dan negara-negara GCC bila dilancarkan dari dalam negara.
Apabila bertelagah dengan Amerika-Israel, Iran melancarkan dron dan misil yang sangat banyak. Amerika-Israel terpaksa menggunakan peralatan canggih untuk mencegat dron dan misil Iran. Peperangan yang masuk ke bulan kedua menjadi perang ekonomi sehingga Israel terpaksa memohon dana tambahan kepada Amerika dan presiden Amerika terpaksa menghadap senatnya untuk memohon dana perang tambahan.
Malangnya, senat memberitahu presidennya Donald Trump bahawa mereka tidak pernah merestui perang dengan Iran, sementara rakyat Amerika berdemontrasi bagi mengetepikan Trump. Secara logiknya, Trump mesti mencari alasan yang munasabah untuk keluar dari Iran sedangkan musuhnya yang dikatakan akan tewas dalam 48 jam masih dapat bertahan hingga bulan kedua.
Gencatan Senjata yang Gagal
Dunia menjadi lega sementara apabila mendengar Iran bersetuju duduk berunding dengan Amerika apabila Pakistan bersetuju menjadi mediator untuk membawa kedua-dua pihak ke meja rundingan. Semua orang mengharapkan Selat Hormuz dapat dibuka semula kepada pelayaran dan krisis bekalan tenaga global berakhir. Amerika menghantar empat orang perwakilan diketuai oleh Naib Presidennya untuk berunding, manakala Iran datang dengan 70 orang perwakilan terdiri daripada Pengerusi Parlimen, Menteri Luar, Ketua Hakim, Gabenor Bank Negara dan Panglima Perang bersama anggota lain. Ini menunjukkan Iran bersedia untuk berdamai. Malangnya, setelah 21 jam berbahas, tiada apa yang dapat dicapai. Satu perkara yang menjadi batu penghalang ialah mengenai senjata nuklear yang sebelum ini telah menjadi alasan Amerika menyerang Iran.
Jadi ia berbalik kepada kedudukan asal ketika perang bermula tanpa kata sepakat dapat dicapai.
Kapal-kapal yang terperangkap di dalam Teluk Parsi, sebahagian daripadanya siap berisi muatan dan yang lain masih kosong. Beberapa kapal yang siap berisi muatan dari beberapa negara sahabat Iran dilepaskan, termasuk dari Malaysia, untuk meneruskan pelayaran tetapi enam buah masih terkandas. Kapal baru tidak boleh masuk ke perairan Teluk Parsi. Pemilik kapal dan pihak insurans tidak berani mengambil risiko memasuki teluk yang mungkin mengancam harta benda dan nyawa kakitangannya. Jika ada penyelesaian dalam masa terdekat, tempoh berbulan-bulan mungkin diperlukan bagi keadaan menjadi normal semula.
Apabila bekalan tenaga terganggu, pengeluaran bijirin seperti padi, jagung dan gandum turut terjejas.
Kekurangan air akibat EI Nino mengurangkan pengeluaran makanan global.
Menurut pakar ekonomi FAO, kesan sebenar kekurangan bekalan makanan dan paras harga belum menunjukkan situasi sebenar. Walaupun harga input pertanian telah pun meningkat secara beransur-ansur, harga barang makanan belum menunjukkan trend kenaikan sebenar. Ini berpunca daripada penghasilan yang baik bagi penuaian 2025 yang menjadi stok penimbal yang boleh bertahan selama 3 bulan. Ini tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menunjukkan kestabilan bekalan makanan. Masalah kekurangan bekalan makanan global akan muncul apabila krisis ini masuk bulan keempat, bermula dengan negara-negara yang bergantung kepada bekalan makanan import sepenuhnya.
Minggu-minggu mendatang ini adalah fasa yang paling kritikal kerana petani akan mula menyemai benih bagi musim akan datang. Jika petani mengesan kekurangan input, terutamanya baja dan kos penyediaan tanah, mereka akan mengecilkan saiz tanaman atau menukar jenis tanaman mengikut modal yang ada. Dalam pertanian, input yang tiba lewat dikira input yang tiada kerana masa tidak boleh berpatah balik.
Pembajaan yang terlepas jadual tidak boleh diulang lagi. Ini akan mengurangkan jumlah bekalan makanan bagi musim tuaian akan datang dan berkurangnya hasil bagi bijirin tertentu.
Ini belum mengambil kira kekurangan hasil akibat daripada kemarau terburuk yang diramal bakal berlaku mengikut pusingan fenomena El Nino setiap lima tahun sekali. Harga barang makanan dijangka akan meningkat dengan drastik menjelang akhir tahun ini atau awal tahun hadapan.
Rantaian Saling Bergantung
Risiko melangkaui seluruh rantaian pengeluaran makanan. Sumber tenaga daripada minyak memberi kesan terhadap semua aktiviti pengeluaran bahan makanan daripada jentera perladangan seperti traktor untuk membajak, jentera tuai dan lori untuk pengangkutan, manakala baja khususnya urea dan ammonium yang menggunakan gas asli metana daripada loji penapis minyak untuk mengeluarkannya sangat kritikal bagi menanam bijirin makanan seperti padi, jagung dan gandum.
Kesan pengurangan minyak mentah melibatkan seluruh dunia. Negara pengeluar beras seperti India, Vietnam dan Thailand terkesan dengan harga baja dan bahan api yang meningkat drastik tetapi masih perlu digunakan bagi memberi hasil yang setara, manakala negara-negara pengguna beras di seluruh Asia akan terkejut dengan kenaikan harga beras yang wajib mereka bayar untuk mendapatkan bekalan.
Keluarga yang mungkin mempunyai sekitar 10 peratus tabungan daripada pendapatan bulanan akan menghadapi defisit pendapatan sehingga 50 peratus jika harga bahan makanan meningkat pada kadar yang sama.
Risiko Paras Tinggi
Harga minyak yang meningkat mendadak memberi insentif kepada petani untuk menukar tanaman daripada bijirin kepada tanaman bio-fuel seperti tebu, jagung dan oilseed bagi pengeluaran biofuel.
Ini memesongkan fokus daripada penghasilan makanan kepada pengeluaran bahan api. Jumlah penghasilan bijirin makanan akan mengecil dan mencetuskan peningkatan harga kepada yang lebih tinggi.
Menurut pakar ekonomi FAO, kesan sebenar kekurangan bekalan makanan dan paras harga belum menunjukkan situasi sebenar.
Menurut ramalan pakar ekonomi, keadaan akan menjadi lebih buruk apabila negara-negara pengeluar makanan melarang eksport bagi menjaga situasi politik dalam negara masing-masing. Rakyat akan berteriak jika kekurangan makanan dalam negara.
Kerajaan biasanya akan menggunakan larangan ini demi untuk mengawal masalah dalam negara dahulu walaupun mengurangkan potensi mendapat tukaran asing.
Ditambah dengan kemarau panjang daripada fenomena EI Nino yang membuatkan tanaman tidak mendapat air yang cukup dan memberi hasil yang kurang, kebuluran akan berlaku, terutamanya di negara-negara yang bergantung kepada import dan mempunyai daya beli yang rendah akibat daripada mata wang yang murah.
Krisis Global Memberi Kesan Tempatan
Walaupun krisis tenaga berlaku di Asia Barat, tetapi kesannya menjangkau hingga seluruh ceruk rantau. Negara-negara di Asia yang mengonsumsi beras sebagai makanan asas dan negara di selatan khatulistiwa dijangka menerima kesan paling buruk kerana krisis berlaku menjelang musim menanam yang bakal tiba. Dengan ketinggalan satu pusingan tanaman padi, bekalan beras akan putus tiga bulan selepas stok penimbal bagi musim lalu habis digunakan dan perlu menunggu tiga bulan lagi sebelum tanaman musim boleh dituai. Itu pun jika krisis selesai sebelum musim menanam berikutnya dan El Nino berlaku tidak seburuk yang dijangka.
Situasi buruk akan memberi kesan kepada peringkat keluarga dan pihak kerajaan. Harga bahan makanan yang tinggi akan memberi kesan kepada rakyat termiskin (B40) dahulu dan meningkat menjelang masa bertambah. Inflasi yang tinggi akan menyebabkan kerajaan menarik balik perlaksanaan pemberian subsidi dan bantuan-bantuan kebajikan. Polisi kewangan mungkin diketatkan, menyebabkan ekonomi tumbuh pada kadar yang sangat perlahan dan kadar hutang menjadi tinggi.
Petani terbeban dengan kos pengeluaran yang sangat tinggi sehingga tiada margin keuntungan. Mereka akan keluar daripada industri tertentu yang berasaskan modal tinggi dan risiko tinggi seperti penternakan ayam pedaging dan penelur. Bahan makanan ayam mahal dan sukar diperoleh membuatkan mereka muflis. Bekalan makanan rakyat akan menjadi lebih mahal dan lebih ramai rakyat akan bergantung kepada kebajikan daripada kerajaan.
Usaha berdikari bantu keluarga kekal berdaya tahan dalam situasi tidak menentu.
Kesan Besar kepada Rakyat
Pakar ekonomi seluruh dunia menyeru kerajaan dan institusi kewangan supaya bertindak cepat membantu rakyat. Tindakan kecil seperti membataskan sekatan perdagangan, membantu isi rumah melalui perlindungan sosial dan membantu petani mendapat modal perniagaan melalui kredit mudah dan pembiayaan import. Dalam jangka panjang, kerajaan patut mempertimbangkan insentif bagi tenaga hijau seperti tenaga suria, bio-fuel dan hidro elektrik, memperkukuhkan jaringan infrastruktur dan kenderaan awam yang murah dan cekap. Kakitangan kerajaan boleh bekerja dari rumah dan menjimatkan tenaga di bangunan kerajaan.
Bagi isi rumah, mereka yang mampu boleh mula menanam tanaman untuk survival dalam jangka panjang seperti pisang, ubi kayu, keledek, keladi dan jagung. Sekiranya beras tiada, tanaman ini boleh dijadikan makanan sementara menunggu tibanya bekalan.
Padi mungkin boleh ditanam dalam polibeg menggunakan bekalan air hujan. Sayuran wajib dihasilkan di sekeliling rumah cukup bagi kegunaan keluarga. Haiwan seperti ayam, itik, kambing dan ikan harus dipelihara bagi mendapatkan bekalan daging, telur dan ayam. Jika semua bertindak proaktif, biar Selat Hormuz ditutup setahun lagi, masyarakat Malaysia mampu bertahan!
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.