October 09 2024
Oleh: Wizilla Janti Joshua
Paya bakau merupakan salah satu tempat yang kaya dengan biodiversiti dan menjadi habitat kepada pelbagai jenis hidupan seperti ikan, burung, ular dan monyet. Keadaan tumbuhan dan fizikal persekitaran di paya bakau juga menjadikannya sebagai sauh dan penghalang yang melindungi kawasan persisiran dan daratan daripada fenomena air pasang surut dan ribut yang kuat dari kawasan laut serta bencana alam seperti tsunami. Dalam konteks akuakultur, apakah kesinambungan aktiviti ini terhadap kelestarian paya bakau?
Fungsi dan kekayaan ekosistem di paya bakau telah diterokai secara berleluasa seawal abad yang kedua puluh untuk aktiviti akuakultur. Tiga spesis utama yang pada kebiasaannya diternak dalam paya bakau adalah ikan, udang dan ketam. Ini telah meningkatkan kadar penukaran paya bakau untuk aktiviti tersebut selari dengan peningkatan permintaan makanan global. Senario ini telah mengakibatkan kemusnahan paya bakau dan sekaligus menganggu ekosistem dan habitat hidupan liar di kawasan tersebut.
Interaksi ekosistem yang aktif di paya bakau telah menarik pelbagai pihak dalam usaha untuk memelihara dan memulihara kawasan ini dalam jangka masa yang panjang. Salah satu usaha yang dijalankan oleh institusi pengajian tinggi awam, Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama dengan beberapa universiti tempatan dan luar negara serta pihak industri tempatan adalah pengurusan sumber akuatik lestari dalam ekosistem paya bakau melalui aplikasi internet pelbagai benda (IoT) atau turut dikenali sebagai sustainable aquatic resource management in mangrove ecosystems via internet of things application (MEITA).
Projek ini telah dilancarkan pada 29 Jun 2024, diketuai oleh Prof. Dr. Natrah Ikhsan dari UPM dan Taman Rekreasi Paya Bakau Kampung Sijangkang di Telok Panglima Garang telah dipilih untuk menjadi lokasi yang pertama untuk penyelidikan ini. Misi projek ini adalah bertujuan untuk memperkasakan komuniti global dalam pengurusan ekosistem paya bakau melalui pengunaan aplikasi internet pelbagai benda (IoT) dan memberikan pendedahan tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan paya bakau serta biodiversiti akuatik yang sedia ada kepada orang awam.
Tanam Rekreasi Paya Bakau Kampung Sijangkang - Bekas Tempat Pelupusan Sampah
Latar belakang kewujudan Taman Rekreasi Paya Bakau Kampung Sijangkang ini adalah sangat menarik. Pada tahun 2015, ia dibina di kawasan yang dahulunya merupakan bekas tempat pelupusan sampah.
Kerjasama dan aktiviti sukarela oleh penduduk kampung Sijangkang dan bantuan dari syarikat Lebuhraya PLUS dalam membersihkan dan memulihara kawasan paya bakau tersebut telah membuahkan hasil selepas ianya menarik publisiti pelbagai pihak. Aktiviti yang berkonsepkan eko-pendidikan turut telah dibangunkan di kawasan rekreasi ini, termasuklah penggunaan kod QR yang mengandungi informasi untuk mengenali setiap jenis pokok yang ada di paya bakau tersebut.
Projek MEITA ini telah dirasmi oleh YBhg. Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT) dan dihadiri lebih dari 200 orang tetamu termasuklah pihak Majlis Perbandaran Kuala Langat, penyelidik dari UPM, UKM, UMT dan UTM, pihak industri tempatan iaitu Agromate Holdings Sdn. Bhd. dan Edgenta Infrastructure Services Sdn. Bhd., penduduk kampung Sijangkang serta para pelajar UPM dan pelajar sekolah menengah dan Sekolah Rendah Telok Panglima Garang.
Menurut ucapan Prof. Dr. Azlinda Azman, beliau berharap bahawa perkongsian dan pemindahan ilmu dalam bidang teknologi seperti aplikasi internet pelbagai benda (IoT) dapat diterapkan secara berterusan dalam jangka masa yang panjang oleh pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang sebagai salah satu usaha untuk menjaga kelestarian paya bakau di Kampung Sijangkang.
Kelengkapan peralatan sensor IoT telah dipasang di beberapa lokasi yang tertentu di sekitar kawasan taman rekreasi tersebut dan ianya digunakan untuk memantau keadaan paya bakau dari segi pertumbuhan dan perubahan di kawasan sekelilingnya. Ini termasuklah parameter seperti suhu sekeliling, pH dan keasidan tanah serta aktiviti pasang surut air di kawasan bakau.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.