October 29 2024

Ke Arah 100% Pensijilan MSPO

Ke Arah 100% Pensijilan MSPO - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Isu pencerobohan dan penggondolan hutan hujan tropika telah digunakan sebagai sentimen tertinggi   untuk memboikot produk sawit, kononnya bagi   membela petani mereka yang mengeluarkan minyak sayuran lain. 

Sebagai tindak balas untuk memenangi pasaran,   mereka menggunakan aktivis alam sekitar untuk   mengadakan kempen anti penebangan hutan hujan tropika bagi membuka ladang sawit. Sawit juga dituduh sebagai saturated tropical fat yang sangat jahat untuk kesihatan sehingga boleh   menyempitkan salur darah dan menyebabkan jantung tersumbat. 

Suatu ketika kempen anti sawit ini   telah memuncak sehingga mempengaruhi pengeluar   bahan makanan siap supaya mencetak logo No Palm Oil pada pembungkus yang menjamin produk mereka tidak mengandungi lemak tropika dari sawit. 

Dalam ikhtiar untuk mempertahankan diri dari kempen anti sawit dan mengambil langkah proaktif untuk menyimpan maklumat yang boleh dikesan dari produk sawit sehingga ke FFB malah hingga ke lubang di mana anak benih ditanam, kerajaan mewujudkan MSPO - The Malaysian Sustainable Palm Oil Certification Scheme. Ini   adalah sebuah skim kebangsaan Malaysia untuk ladang sawit, pekebun kecil sawit baik yang   bergerak sendirian ataupun bergabung di bawah organisasi tertentu dan fasiliti pemprosesan   kelapa sawit untuk mendapat pensijilan mematuhi   kehendak dalam piawaian MSPO. 

Hampir 100% ladang sawit, pekebun kecil dan   kilang memproses sawit di dalam negara telah mendapat Sijil Kelapa Sawit Mampan Malaysia (Malaysian Sustainable Palm Oil - MSPO). Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata   Malaysia yakin pengeluaran sawit secara mampan adalah pendekatan yang sangat wajar dan menjadi amalan berterusan bagi industri sawit di Malaysia. 

Sejarah MSPO

Malaysia telah memperkenalkan skim pensijilan mandatori MSPO semenjak 2015, mengubah suai piawaian pada MSPO 2022 (skim pensijilan) yang memberi fokus kepada ketelusan; keselamatan dan kondisi pekerjaan dan perlindungan alam sekitar, biodiversiti dan eko sistem. “Malaysia berbangga sebagai pengeluar kedua terbesar dunia bagi produk sawit dengan menyumbang 31% dari 87.39 juta minyak sawit yang   dikeluarkan di peringkat dunia pada tahun 2023,” ujar Perdana Menteri dalam ucapan   perasmian Kongress Kebangsaan Sawit MPOB dan Pameran 2023 (PIPOC 2023). 

Matlamat besar MSPO adalah bagi memberi   keyakinan dan kredibiliti kepada pembeli minyak sawit mentah dan pengguna akhir produk sawit, bahan mentah bagi produk berasaskan sawit yang mereka guna datang dari ladang yang diusahakan secara mampan. Bagi ladang besar, MSPO tidak mendatangkan sebarang masalah kerana mereka mempunyai rekod lengkap yang boleh dirujuk ke belakang dengan mudah tetapi pekebun kecil   berada di dalam dilemma. 

Piawaian baru MSPO MS2530:2022 telah   bermula semenjak tahun 2023 dengan 18 bulan tempoh transisi sehingga penghujung tahun 2024. Menjelang tahun 2025, piawaian baru ini akan   dikuatkuasakan terhadap semua pemain industri sawit negara pada semua peringkat. MPOC akan membuat hebahan apabila tiba masanya. 


Penggunaan Internet Kebendaan (IoT) membantu pengurusan ladang sawit dengan lebih berkesan.

 


Sementara itu, RSPO membekal segala maklumat secara terperinci dan panduan mengenai hak-hak pekerja, kesihatan dan keselamatan pekerjaan, MSPO memerlukan polisi mengenai hak-hak   pekerja selaras dengan peruntukan undang-undang negara. 

Mempunyai pensijilan MSPO menunjukkan   pekebun kecil itu berjanji akan melaksanakan   tugas untuk mengeluarkan hasil sawit mampan yang disijilkan (certified sustainable palm oil - CSPO) dan melaksanakan usaha mampan di setiap   peringkat rantaian bekalan seperti yang termaktub dalam 7 prinsip MSPO berdasarkan 3 teras   kemampanan. 

Prestasi memberansangkan sektor kelapa sawit juga adalah hasil sumbangan pekebun kecil yang berjumlah 28% kawasan dari jumlah keseluruhan pengeluaran sawit. Atas sumbangan pekebun kecil itu, Perdana Menteri telah mengumumkan insentif bagi tanam semula sawit sebanyak RM 100 juta di bawah belanjawan 2024. Beliau berharap   pekebun kecil akan mengambil sikap proaktif   dengan menanam semula kelapa sawit tua mereka dengan baka baru dari klon terkini yang dapat memberi hasil FFB tertinggi. 

Pekebun Kecil Persendirian (PKP) Vs Pekebun Kecil Berkelompok (PKB)

Pekebun kecil paling ramai di Johor diikuti oleh Sarawak dan Sabah. Hampir 350,000 pekebun   kecil telah dilesenkan di bawah MSPO. Pekebun kecil secara madatori mesti mempunyai Sijil MSPO menjelang Disember 2020. Menjelang 2022 hampir 600,000 hektar kawasan sawit milik pekebun kecil telah dianugerah dengan Pensijilan MSPO. Terdapat 2 kategori pekebun kecil, Pekebun Kecil Persendirian (PKP) dan Pekebun Kecil Berkelompok (PKB). PKP adalah pekebun kecil yang mengurus dan mengusahakan kebun secara bersendirian dan keperluan lesen apabila mencapai maksimum 40,46 hektar kawasan bertanam. 

Sementara itu bagi PKB, kebun mereka diusahakan secara berkelompok dan diuruskan agensi   negeri atau persekutuan seperti FELDA, FELCRA, SALCRA dan SLDB. Bagi PKP, hasil sawit merupakan pendapatan utama mereka dan diuruskan sebagai suatu perniagaan. Mereka mempunyai jentera   untuk memuat dan mengangkut sawit dan mengupah pekerja bagi menuai dan melaksana kerja-kerja penyenggaraan ladang. Ada juga yang mengusahakan secara separuh masa dengan   mempunyai usaha lain seperti makan gaji, berternak atau mengusahakan tanaman lain seperti menanam tanaman kontan seperti pisang atau sayur-sayuran. Mereka mengupah pekerja mengikut keperluan   operasi dan menyewa jentera sesama pengusaha.

Teknologi Canggih Majukan Bidang

Perkembangan teknologi turut mengubah cara pekebun kecil menjalankan usaha mereka   melibatkan operasi, komunikasi dan informasi. Penanaman kelapa sawit telah berubah dengan penggunaan teknologi bagi kecekapan operasi yang dapat menurunkan kos. Di peringkat tapak semaian misalnya Internet of Things (IOT) telah digunakan dengan meluas dalam sistem pengairan dan   penggunaan dron bagi meracun serangga dan memberi baja foliar. 

Hubungan melalui   telekomunikasi memendekkan rantaian pengurusan dan dapat menjimatkan kos upah yang sangat   banyak. Tiada lagi kesilapan teknikal dalam   kerja-kerja pembajaan dan kawalan rumpai di   kawasan terpencil. Kos alat komunikasi yang   murah membolehkan pemilik meletak pekerja di   setiap ladang dan menyelia mereka dari masa ke masa menggunakan telefon. 

Mereka boleh mendapatkan maklumat pasaran dan kos input ladang di hujung jari bagi mendapatkan harga semasa dan menghindar dari ditipu pembeli FFB dan pengedar input pertanian. Pemilik juga boleh mengakses laman dan portal MPSO bagi   mengesan kemampanan operasi mereka. Ini   membantu pekebun kecil mempunyai daya saing dalam usaha mereka dan mendapat keuntungan maksimum dari operasi perladangan sawit.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag