September 23 2024

Durian Kampung Simbol Tradisi & Kegigihan Pekebun Kecil

Durian Kampung Simbol Tradisi & Kegigihan Pekebun Kecil - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Wizilla Janti Joshua

Durian tanpa mengira varieti umumnya dipanggil sebagai “Raja Buah”. Ia mendapat populariti dan permintaan yang tinggi sepanjang tahun dari rakyat Malaysia. 

Sejarah menyatakan penanaman awal durian di Malaysia menghadapi pelbagai jenis cabaran. Ini termasuklah ketidaksesuaian klon, serangan penyakit dan perosak serta persepsi para penanam atau pengusaha durian. 

Merujuk kepada cabaran tersebut, durian kampung pada awalnya sering menjadi pilihan para penanam kerana ia tahan dari serangan penyakit.

Selain itu, durian kampung mampu mencecah usia berpuluh malah beratus tahun dan dikenali sebagai durian OG (original atau asal). Bagi sesetengah lapisan masyarakat, durian kampung mempunyai rasa dan aroma yang unik berbanding dengan klon-klon durian yang lain. 


Puan Siya dan Encik Toh ketika ditemubual di kebun mereka. Di belakang mereka merupakan pokok durian kampung yang berusia lebih dari 70 tahun dan anak pokok durian Musang King yang berusia 2 tahun.

 


Usia pokok durian kampung yang ditanam bertahun lamanya mungkin mempengaruhi rasa buah tersebut. Corak penanaman durian kampung pula dapat dikaitkan dengan pekebun-pekebun kecil yang mengusahakan tanaman ini atas tanah warisan atau tanah keluarga. Oleh itu, penanaman durian kampung pada dasarnya memiliki nilai sentimental dan tradisi dalam masyarakat tempatan. 

Bagi Encik Toh Kim Wat dan Puan Siya Kak Kuwa, durian kampung mungkin tidak semegah klon durian moden seperti Musang King, Duri Hitam, Udang Merah, IOI dan lain-lain lagi, tetapi, penanaman durian kampung bagi pasangan suami isteri ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memelihara dan meneruskan tradisi penanaman durian kampung di tanah warisan tinggalan generasi yang sebelumnya. 

Pasangan ini telah menanam durian kampung di Bukit Pasir, Muar pada keluasan 1 ekar dan mempunyai sekitar 40 pohon pokok yang dijaga semenjak lebih 50 tahun lalu dan mengelar pokok-pokok tersebut sebagai “pokok tua”. Melalui penanaman durian kampung kecil-kecilan seperti ini, ekonomi penduduk tempatan dapat diraih melalui penjualan hasil pada musim-musim tertentu. 


Pokok-pokok durian kampung yang diusahakan oleh pasangan suami isteri, Encik Toh dan Puan Siya di Bukit Pasir, Muar. Ia berkeluasan 1 ekar dan mempunyai 40 pokok.

 


Menanam Durian Berdasarkan Kaedah Tradisional

Menurut Puan Siya, teknik penanaman dan penjagaan durian kampung adalah berdasarkan kaedah tradisional yang diwarisi dari generasi ke generasi. Penjagaan pokok durian kampung dari peringkat anak pokok hingga matang adalah menggunakan amalan organik dan semula jadi. Faktor kekurangan akses kepada teknologi moden dan kewangan yang terhad bagi pekebun kecil telah memberi impak ke atas kualiti penanaman dan hasil tuaian buah durian kampung. Cabaran lain seperti serangan perosak dan penyakit turut disuarakan oleh Puan Siya dan suami.

Encik Toh turut berkongsi bahawa hasil tuaian durian kampung dari kebun mereka pada tahun ini dapat dilihat berkurang berbanding dengan tahun lepas. Faktor cuaca turut menyumbang kepada pengurangan hasil tuaian, terutamanya keadaan hujan yang berterusan. Beliau menganggarkan bahawa setiap pokok durian kampungnya boleh menghasilkan sehingga lebih dari 20 biji durian kampung.

Pokok durian kampung tua juga mampu menghasilkan buah pada dahan yang rendah.

 

Selain itu, beliau berharap bantuan khas untuk pekebun kecil yang menanam durian kampung dapat disalurkan, dari segi teknik penjagaan dan juga penuaian. 

Harga Ladang Hanya RM0.80/kg

Prospek dan pasaran durian kampung dari kaca mata pekebun kecil seperti pasangan ini berpandangan bahawa harga durian kampung masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan klon-klon durian yang lain. Menurut Puan Siya lagi, jualan durian kampung kepada pengumpul hanyalah bernilai RM0.80 per kilogram. 


Hasil tuaian durian kampung dari keun Encik Toh dan Puan Siya.

 



Isi durian kampung umumnya berwarna putih hingga kekuningan. Selain itu, rasa dan aroma juga berbeza.

 


Pengumpul pula selalunya akan memilih kualiti setiap durian yang dihantar ke gerai dan mengklasifikasikan durian kampung tersebut mengikut saiz dan keadaan permukaan buah. Jualan kepada pengemar durian, terutamanya pelancong dari Singapura pula hanya mencecah RM3 hingga RM5 per kilogram. 

Kualiti Durian Susah Dikawal

Selain itu, menurut Encik Toh, kualiti durian kampung tidak dapat dikawal dengan mudah. Sebagai contoh, isi durian dari pokok yang sama ada kalanya mempunyai warna serta rasa yang berbeza. Ini menyebabkan kualiti durian kampung terjejas. Ini telah membuatkan durian kampung sukar untuk bersaing dengan durian klon moden di pasaran tempatan mahupun antarabangsa. 


Puan Siya telah menjaga tanaman durian kampung di tanah warisan yang turunkan dari generasi sebelumnya semenjak 50 tahun lalu.

 



Buah durian kampung berbeza dari segi saiz, bentuk dan tidak konsisten walaupun buah tersebut dari pokok yang sama.

 


Akan tetapi, Encik Toh masih berharap bahawa durian kampung mendapat peluang yang sama untuk pengeksportan dan memasuki pasaran antarabangsa bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil. Bagi beliau, durian kampung mempunyai potensinya yang tersendiri dan pelbagai usaha dari segi latihan, bantuan teknikal dan penyelidikan untuk meningkatkan kualiti durian kampung daripada agensi kerajaan dan NGO dapat diberikan khususnya kepada para pekebun kecil. 

Pada masa yang sama, beliau juga mengatakan bahawa generasi muda memainkan peranan yang penting dalam meneruskan tradisi penanaman durian kampung serta memodenkan industri ini supaya setaraf dengan klon-klon durian seperti Musang King.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag