October 07 2025
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Peningkatan kos sara hidup menyebabkan ramai ahli masyarakat terpaksa bekerja keras untuk mencari pendapatan tambahan. Ada yang bekerja lebih daripada satu tugas dalam sehari. Malah, ramai yang berniaga secara kecil-kecilan untuk mencari wang lebih bagi menampung kos utiliti dan sewa rumah. Tidak kurang juga yang menjadi pengumpul bahan yang boleh dikitar semula. Semuanya dilakukan demi hidup yang lebih selesa.
Antara pilihan lain yang tidak ramai beri perhatian ialah bertani dan beternak di kawasan yang relatifnya sempit.
Walaupun nampak sukar, ramai yang berjaya menghasilkan keluaran yang mampu dijual selain untuk makanan sendiri.
Dalam kemelut isu jaminan makanan dalam kalangan rakyat yang bukan sahaja menjadi isu setempat malah menjadi isu global, pengeluaran bahan makanan dalam jumlah kecil tetapi dijalankan oleh setiap keluarga asas akan memberi impak berganda.
Berkaitan dengan ini, satu lagi aspek yang perlu dipertimbangkan ialah kemampuan untuk berdikari, dengan maksud setiap aktiviti bercucuk tanam dan beternak tanpa mengeluarkan kos atau dengan kos yang minimal, menggunakan apa yang ada bukannya mengada-ada.
Contohnya, pasu untuk menanam sayur boleh menggunakan kotak-kotak polisterina terpakai yang boleh didapati di pasaraya dengan percuma.
Media untuk bercucuk tanam boleh menggunakan kompos yang boleh dibuat sendiri daripada sampah organik dan sisa-sisa dapur. Baja boleh dibuat sendiri menggunakan air beras, perut ikan dan nasi sejuk yang difermentasi.
Kegagalan lalu kempen bertani menggunakan sistem hidroponik memerlukan masyarakat membeli benih, baja dan peralatan. Kegilaan hanya bertahan semusim, selepas itu ia pudar begitu sahaja kerana modal terpaksa dikeluarkan demi hasil yang sedikit, kadang-kadang lebih murah dibeli daripada ditanam sendiri.
Taman Key-Hole
Sebagai latihan menanam dan mengeluarkan tanaman bermutu dengan memanfaatkan sisa dapur sebagai baja ialah dengan membina 'key-hole garden'.
Taman tanaman tumbuhan ulam, ubat-ubatan herba, rempah-ratus dan sayur-sayuran ini mendapat nama sedemikian kerana dilihat sebagai lubang kunci jika dilihat dari atas.
Ia sesuai dibuat di atas tanah di samping rumah, paling berkesan jika paling hampir dengan pintu dapur. Ia boleh juga dibuat di samping bangunan malah di tingkat bumbung (roof-top) bagi bangunan yang sesuai.
Untuk membina taman Key-Hole, bahan terpakai seperti atap genting, pecahan konkrit atau batu-batu disusun dalam bentuk separuh bulatan.
Lapisan paling bawah diletakkan bahan-bahan yang mudah membiarkan air mengalir dan poros diikuti dengan timbunan kompos bercampur tanah dan arang sekam atau arang kayu dengan tinggi di tengah dan condong ke tepi.
Satu corong daripada jaring ayam atau paip PVC yang dilubangi diletakkan di tengah-tengah tetapi hampir dengan lorong untuk akses.
Corong ini perlu ditutup bagi mengelakkan haiwan seperti tikus dan serangga serta mengelak air berlebihan apabila hujan.
Di dalam corong inilah diletakkan sisa organik seperti sisa potongan sayur, perut ikan, darah selepas membasuh ikan atau ayam dan air basuhan beras.
Rakyat perlu sedar bahawa dengan mengeluarkan makanan sendiri, mereka bukan sahaja dapat mengurangkan kos keluarga, malah turut membantu mengatasi masalah jaminan makanan.
Fermentasi bahan-bahan organik ini akan menghasilkan baja yang unik untuk membantu sayur-sayuran yang bakal ditanam. Pengairan tanaman juga dibuat melalui corong ini.
Air yang disiram akan melarutkan asid amino yang terhasil dan menyebar ke seluruh taman key-hole bagi membaja tanaman secara automatik.
Hasilnya adalah tanaman yang subur, bersaiz besar, manis dan rangup. Jika sentiasa diisi dengan bahan sisa dapur organik secara berterusan,taman key-hole akan membekalkan sayur-sayuran secara berterusan kepada keluarga bertahun-tahun lamanya selagi ia terus ditanam.
Antara tanaman yang sesuai ditanam adalah tanaman yang mudah dan dapat dituai berkali-kali dengan sekali tanam.
Antara kumpulan yang dicadangkan ialah:
Herba untuk ubatan: misai kucing, serai wangi, bangun-bangun, sambung nyawa, serai kayu, belalai gajah, temulawak, kunyit hitam, saderi, limau nipis, limau purut, dan betik.
Rempah-ratus masakan: kunyit, serai, lengkuas, cekur, kantan, daun kari, daun selasih, pandan, cili api, dan daun kesom.
Sayur-sayuran: cili kulai, tomato, terung (terung ungu, terung bulat, terung telunjuk, terung pipit), kangkung, bayam, sawi, pucuk keledek, timun batang, jagung, dan labu manis.
Ulam-ulaman: ulam raja, timun huma, selom, geti, peria pantai, kacang kelisa atau botor, dan tenggek burung.
Pemilihan dan Penjagaan Tanaman
Tanaman ini boleh dipilih gabungan yang sesuai mengikut keperluan keluarga. Kebanyakan diperlukan dalam kuantiti yang sedikit untuk sekali makan.
Sayur seperti kangkung atau bayam tidak perlu dicabut tetapi dipotong bagi menghasilkan tunas untuk boleh dipetik lagi pada lain kali.
Tanaman jenis pokok seperti daun kari atau limau purut boleh dibuat pruning bagi mengecilkan pokok dan tidak memerlukan ruang yang luas.
Dalam keadaan tertentu, tanaman yang memerlukan ruang luas seperti kantan atau lengkuas boleh ditanam dalam bekas kitar semula yang dilubangi di bawahnya supaya senang diubah dan disusun.
Bekalan Benih
Ramai beranggapan sukar mendapatkan bekalan benih bagi tanaman yang disyorkan. Sebenarnya, benih boleh dihasilkan sendiri jika ingin berdikari.
Tidak perlu menggunakan benih hibrid atau F1 yang mahal jika sekadar untuk tanam dan makan sendiri. Keratan kangkung, bayam atau bawang daun boleh ditanam semula selepas bahagian atasnya digunakan sebagai sayur.
Kunyit, bawang merah, saderi dan lengkuas, misalnya, boleh digunakan daripada lebihan yang tidak habis dipakai dan tumbuh kembali. Daripada dibuang ke dalam tong sampah, lebih baik ditanam kembali.
Limau purut boleh ditanam daripada biji, walaupun lambat pertumbuhannya, tidak menjadi masalah jika sekadar untuk menggunakan daunnya. Tetapi apabila sudah besar, boleh ditut dan ditukar dengan kawan-kawan.
Berternak 10+1 Jana Pendapatan
Di mana yang sesuai dijalankan, menternak ayam kampung asli bermula dengan 11 ekor induk (10 induk betina dan seekor jantan) dan guna sisa dapur sebagai makanan (tanpa kos pada permulaannya) mampu menjana pendapatan bulanan sehingga RM5 ribu sebulan setelah dibina hanya dalam tempoh setahun.
Pertambahan penduduk yang meningkat secara drastik di dalam negara dan di dunia memerlukan lebih banyak bahan makanan dihasilkan.
Menariknya, ia tidak mengeluarkan bau busuk seperti yang disangkakan oleh ramai orang. Ia bukan sahaja sekadar usaha sampingan malah mampu dijadikan usaha tetap dalam ruang sekadar 10m x 10m, diusahakan dalam kejiranan yang padat dan menggunakan sistem penternakan yang disyorkan. Ini diakui Bill Gates, pengasas Microsoft yang kini giat membantu golongan asnaf melalui yayasannya dengan beternak ayam.
Dalam sistem penternakan ayam kampung asli seperti di atas, setiap bulan sebanyak minimum 200 ekor anak ayam (DOC) akan dihasilkan. Jika dibesarkan dalam tempoh dua bulan dan mencapai berat purata satu kilogram, 100 ekor ayam jantan dapat dijual dengan nilai 100 kg x RM18/kg menghasilkan RM1,800 sebulan bagi membeli makanan untuk 100 ekor betina yang disimpan sebagai induk untuk penghasilan DOC selanjutnya.
Sistem kompaun ini akan menghasilkan minimum 500 ekor ayam induk betina dalam setahun dan mampu menghasilkan 600 ekor ayam kampung asli pedaging sebulan pada tahun kedua dengan nilai 600 kilogram x RM18/kg menghasilkan RM10,800 atau pendapatan bersih RM5,400 sebulan.
Semangat Warisan Agraria dalam Bandar
Bertani dalam bandar dengan menggunakan segala ruang yang ada walaupun terbatas dapat menimbulkan semula semangat bertani dan berternak yang wujud dalam darah yang diwarisi daripada nenek moyang.
Masyarakat agraria dahulu sangat malu jika terpaksa membeli serai, cili api atau telur. Ini bukan kerana mereka tidak mampu tetapi malu dengan diri sendiri tidak mampu menghasilkan serai sebatang atau telur sebiji.
Orang dahulu akan menghadiahkan sepasang ayam kampung dan benih rempah-ratus serta ulaman kepada pengantin baru yang mahu menduduki rumah sendiri. Ini meneruskan kesinambungan untuk mempunyai kebun dapur sendiri dan amalan makan herba serta ulaman tradisi.
Kepentingan Aktiviti Berkebun dan Berternak
Jelas, aktiviti berkebun dan menternak di laman dapat menghasilkan makanan baik di bandar mahupun di kampung. Kesedaran ini bukan sahaja timbul mutakhir ini tetapi telah disedari sejak dahulu lagi dan ia perlu diteruskan.
Sikap hidup moden yang terlalu khusus dalam aktiviti ekonomi dan membeli segala-galanya daripada sekecil-kecil sayuran perlu dibuang.
Ia bukan sekadar menjimatkan belanja tetapi menanam semangat untuk mengeluarkan makanan sendiri dalam kalangan generasi muda.
Mereka dapat mengenali setiap bahan makanan semula jadi dan herba ubat-ubatan sebagai remedi penyakit ringan.
Tekanan permintaan tinggi terhadap hasil pertanian dapat dikurangkan dan peningkatan harga dapat dibendung. Pertambahan penduduk yang meningkat secara drastik di dalam negara dan di dunia memerlukan lebih banyak bahan makanan dihasilkan.
Dengan pengurangan kawasan pertanian akibat proses perbandaran bagi menyediakan kawasan perumahan, teknik penghasilan bahan makanan tanpa perlu bergantung kepada tanah pertanian subur perlu dicari.

Banyak negara berinovasi dalam reka bentuk bangunan supaya atas tapak yang sama dapat digunakan untuk perumahan dan bercucuk tanam. Bangunan direka supaya dapat bercucuk tanam di atasnya dengan taman bumbung.
Di sini, mereka bukan sahaja menanam sayur- sayuran secara menegak malah mengusahakan sawah padi, kolam ikan, ternakan ayam dan buahbuahan daripada sitrus hingga ke avokado.
Faedah Pertanian Bandar dalam Komuniti
Pembangunan pusat pengeluaran makanan komuniti di kawasan perumahan berkapasiti tinggi seperti PPR bukan sahaja membantu golongan B40 untuk mengurangkan perbelanjaan malah dapat mengeratkan hubungan antara penduduk supaya dapat hidup dengan harmonis.
Aktiviti berkebun menjadi riadah dan terapi untuk warga emas untuk terus aktif dan sihat. Kawasan tanah kosong dapat digunakan dengan berfaedah, menurunkan suhu sekitar, mengurangkan kos menyelenggara landskap dan menyerap air hujan yang berlebihan serta mencegah banjir kilat.
Masyarakat perlu diberi kesedaran untuk mengeluarkan makanan sendiri yang lebih selamat dan bebas sisa baki kimia pertanian.
Tanaman herba dapat dijadikan ubat dan jamu bagi mengurangkan penyakit ringan serta sumber perubatan alternatif. Kerajaan tempatan boleh menyediakan kemudahan asas bagi penubuhan kebun komuniti. Ini membantu mereka mengurangkan masalah sampah dan sisa organik.
Kesejahteraan komuniti dapat diwujudkan dengan menggalakkan riadah dan terapi terutama bagi warga emas. Bantuan kepada golongan ini lebih tepat kerana dikelompokkan dalam kumpulan yang aktif dan saling mengambil berat.
Kesimpulan
Rakyat mampu mengeluarkan makanan sendiri bagi mengatasi masalah jaminan makanan. Perlu diberi kesedaran bahawa mengeluarkan makanan sendiri dapat mengurangkan kos makanan keluarga.
Walaupun nampak murah membeli, amalan ini memberi penjimatan yang besar dalam jangka panjang. Ilmu untuk bercucuk tanam dan beternak di laman sempit boleh dipelajari melalui internet dan dalam kebun komuniti.
Kerajaan tempatan perlu menggalakkan pertumbuhan komuniti dengan mengambil inisiatif memulakannya serta menyediakan kemudahan asas, bekalan air dan elektrik.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.