January 22 2025
Disediakan oleh: Ali Hanafiah
(FACULTY OF DURIAN)
Apabila musim buah berakhir, pengusaha perlu menganalisis semula hasil yang dikeluarkan dari ladang. Analisis hasil merangkumi kadar pengeluaran buah keseluruhan ladang, pengeluaran buah per pokok, agihan gred jualan, dan corak harga jualan.
Artikel kali ini akan membincangkan kadar pengeluaran buah mengikut sistem penggredan. Salah satu cabaran utama dalam perancangan aliran kewangan ialah kejatuhan gred buah disebabkan oleh perosak Mudaria magniplaga atau ulat pengorek biji durian.
Dari Gred AA kepada Gred "Chai" atau "Kosong"
Melalui pengurusan ladang yang betul seperti pembajaan, pengurusan air, pengurusan rumpai, dan penjagaan ladang, buah durian boleh dihasilkan dengan bentuk bulat serta bersaiz premium. Namun, kesilapan kecil boleh menyebabkan penurunan gred atau menjadikannya tidak bernilai langsung.
Implikasi Serangan Mudaria magniplaga
Sejauh manakah impak serangan Mudaria magniplaga kepada hasil buah?
Serangan ini boleh merosakkan buah, termasuk isi buah, tanpa mengira bentuknya. Penilaian gred buah juga terjejas akibat kesan serangan serangga ini. Buah yang rosak akibat serangan tidak dapat memasuki pasaran, malah ia juga dilarang untuk tujuan eksport.
Kerosakan buah dapat dikenal pasti melalui kehadiran lubang dan frass (sisa buangan larva) pada kulit buah. Jika serangan terlalu serius, kulit buah akan dijangkiti kulat akibat kerosakan tersebut. Tahap serangan merangkumi kulit, aril buah (isi), dan biji buah.
Konsep Serangan
Kupu-kupu Mudaria magniplaga mula menyerang semasa peringkat tumbesaran bunga dengan mencucuk kudup bunga untuk bertelur. Larva yang menetas akan memakan isi dan biji buah sebagai sumber makanan. Kawalan serangan ini lebih menekankan kepada pencegahan dan tindakan awal sebelum serangan berlaku.
Kaedah Kawalan
i) Tempoh kawalan bermula dari peringkat kudup bunga terbentuk. Pencegahan perlu dijalankan pada fasa ini melalui penyemburan racun pencegahan.
ii) Racun serangga yang disyorkan mengandungi bahan aktif Lambda-cyhalothrin, yang bertindak secara spektrum luas, dan digilirkan dengan Chlorfluazuron, yang berfungsi mengawal telur serta larva.
iii) Penyemburan dilakukan setiap dua minggu sekali. Kawalan ini dijalankan sebanyak tiga hingga empat pusingan sahaja sebelum bunga mekar.
iv) Kaedah penyemburan halus dan rata amat penting untuk memastikan kawalan serangan dilakukan dengan berkesan. Penyeliaan yang teliti diperlukan bagi mencapai objektif kawalan perosak.
v) Penjarangan bunga yang terlalu rapat memainkan peranan penting untuk memastikan kawalan serangan dapat dijalankan sepenuhnya.
vi) Pemasangan perangkap lampu UV juga disyorkan untuk memantau populasi kupu-kupu (Mudaria magniplaga) sebagai langkah persediaan awal.
vii) Panduan penggunaan racun, pengendalian, serta pengurusan bekas racun perlu mematuhi piawaian Amalan Pertanian Baik (APB) seperti yang disyorkan oleh pihak Jabatan Pertanian.
Rujukan:
1.Jabatan Pertanian, Pakej Teknologi Tanaman Durian, 2024
2.Durian Academy, CK Lim, Pest and Disease on Durian, 2022
3.Faculty of Durian, Ali Hanafiah, pengurusan Tanaman Durian, 2022
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.