November 13 2024

Warna Warni Dunia Ikan Hiasan

Warna Warni Dunia Ikan Hiasan - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Wizilla Janti Joshua

WK Akuarium merupakan sebuah   perusahaan industri ikan hiasan yang   terletak di Gopeng, Perak. Ia adalah   pemain industri ikan hiasan tempatan dan antarabangsa yang diasaskan oleh Encik Lee Wah Hean. Perusahaan ini bermula dengan langkah kecil iaitu   penternakan ikan hiasan air tawar.   Namun, berkat dedikasi dan minat yang mendalam, WK Akuarium kini   berkembang menjadi pengumpul dan pengeksport ikan hiasan dengan pasaran eksport melangkaui sempadan, termasuk ke Singapura dan Mauritius.


Kawasan kuarantin ikan hiasan sebelum ianya dieksport ke pasaran luar negara seperti Singapura dan Mauritius. -Foto: Wizilla Janti Joshua

 


Industri ikan hiasan di Malaysia mempunyai potensi besar. Ia selari dengan permintaan yang semakin meningkat dari pencinta ikan hiasan di seluruh   dunia. Ikan hiasan air tawar, khususnya, menjadi   pilihan ramai kerana ia lebih mudah dijaga dan   sesuai untuk pelbagai jenis akuarium. Warna-warni dan corak yang unik pada spesies seperti ikan emas dan arowana menjadikan ikan-ikan ini sebagai   pilihan utama untuk menghiasi ruang kediaman dan pejabat. WK Akuarium memainkan peranan penting dalam memenuhi permintaan industri ini. 

Kejayaan Encik Lee Wah Hean telah mencerminkan potensi besar industri ini untuk terus berkembang, menjadikan ikan hiasan sebagai salah satu sektor pertanian bernilai tinggi yang mampu menyumbang kepada ekonomi negara. 

Dengan peluang eksport yang luas, industri ikan hiasan di Malaysia bukan hanya tentang   kecantikan ikan-ikan yang menghiasi akuarium,   tetapi juga tentang kepakaran dalam penternakan, penjagaan berkualiti, dan pasaran global yang   semakin berkembang. Di antara ikan hiasan yang ada di WK Akuarium serta ciri-ciri uniknya melalui perkongsian dari Encik Lee Wah Hean ialah:

Ikan Oranda Cina / Chinese Oranda

Ikan Oranda Cina, yang berasal dari negara China, merupakan hasil kacukan antara ikan karp dan ikan emas. Ia dikenali sebagai “bunga dalam air” kerana gaya renangnya yang anggun dan ciri fizikal yang menawan. Di antara ciri fizikal lain ikan ini ialah kepalanya yang melengkung serta mempunyai sirip yang cantik. Pada kebiasaannya, ikan ini berwarna oren dan putih tetapi ada kalanya berwarna merah dan hitam. Ikan ini adalah omnivor, bersaiz dalam   20 - 30 cm, bersifat tenang, senang dijaga sesuai   untuk pencinta ikan hiasan yang baru   menjinakkan diri. Ia hidup dalam air tawar dan   memerlukan sistem penapisan yang baik dan   oksigen yang tinggi serta pergerakan air yang tidak kuat. Ikan ini juga boleh mencapai jangka hayat   sehingga 15 tahun bergantung dengan penjagaan dalam akuarium.

Threadfin Acara (Acarichthys heckelii) 

Spesies ikan ini berasal dari utara Lembangan   Amazon yang merangkumi Brazil, Columbia, dan Peru. Ia telah diperkenalkan ke Singapura dan seluruh Asia Tenggara sebagai ikan hiasan. Dengan saiz mencapai sekitar 20 cm, ikan ini adalah omnivor dan memiliki warna asas biru atau hijau yang akan berubah menjadi lebih terang setelah mencapai   kematangan. Ikan ini mempamerkan corak yang menawan dengan bintik-bintik dan jalur yang menarik, serta sirip dorsal yang panjang dan   berfilamen. Ikan jantan mudah dikenali melalui   filamen yang lebih panjang berbanding ikan   betina. Walaupun ikan ini bersifat tenang dan   pemalu, ia boleh menjadi teritorial apabila perlu. Salah satu kelebihannya adalah ketahanan yang t inggi terhadap penyakit, menjadikannya mudah dijaga. Dengan penjagaan yang baik, ikan ini boleh hidup sehingga 8 hingga 10 tahun.

Flagtail Prochilodus (Semaprochilodus insignis)

Ikan Flagtail Prochilodus berasal dari Lembangan Amazon. Ia boleh mencapai saiz sehingga 35 cm. Ia dikenali sebagai omnivor, tetapi lebih cenderung dengan pemakanan seperti herbivor kerana ia   adalah pemakan alga. Ia tidak sesuai untuk   diletakkan bersama tumbuhan hiasan akuatik   kerana ia akan memakannya. Ikan ini bersifat   agresif jika diletakkan dalam kumpulan kecil tetapi boleh simpan dalam kumpalan ikan sebanyak 6 ekor ke atas. Ikan ini juga sensitif dengan pertukaran persekitaran seperti pertukaran air, oleh itu   penjagaan yang teliti adalah penting.

Mottled Bichir (Polypterus weeksii)

Spesies ini dijumpai di beberapa tempat di   Lembangan Sungai Congo. Ia dikenali sebagai spesies purba dan keunikan ikan ini ialah pundi   renangnya terbahagi kepada 2 bahagian. Salah satu pundi berfungsi sebagai organ pernafasan dan boleh digunakan untuk bernafas luar air pada   satu-satu masa asalkan dalam keadaan persekitaran lembab. Selain itu, ia adalah ikan karnivor dan   dietnya terdiri daripada udang, cacing tanah dan kerang. Ikan ini tidak mudah untuk menerima makanan atau diet dalam bentuk pelet. Ia adalah spesies nokturnal dan mempunyai penglihatan yang lemah dan menyebabkan ia bergantung dengan   deria bau untuk mencari makanan. Akuarium besar yang mempunyai lantai yang luas adalah paling   sesuai untuk ikan ini. Ia boleh mencapai panjang   sehingga 55 cm. Akuarium hendaklah ditutup rapi dan ketat kerana ikan ini mempunyai keupayaan   untuk melompat keluar.

Short body platinum butterfly koi

Spesies ini turut dikenali sebagai Platinum Oranda. Keunikan dan tarikan utama ikan ini ialah kilauan pada badannya seolah-olah seperti logam dan sirip yang bergerak elegan seakan-akan kupu-kupu. Ia mendapat permintaaan yang tinggi dalam kalangan pencinta ikan hiasan. Harga ikan ini adalah berbeza mengikut saiz, umur serta kualiti kacukannya. Akan tetapi, ia memerlukan penjagaan rapi termasuklah pertukaran air secara berkala dan penapisan yang baik. Beberapa parameter penting yang perlu   diperhatikan untuk ikan ini ialah tahap pH, ammonia, nitrate dan nitrite kerana ia penting untuk kesihatan ikan.

Peacock bass (Cichla kelberi)

Peacock bass merupakan spesies air tawar yang   berasal dari Amerika Selatan. Keunikan ikan ini adalah warna emas-kekuningan pada badannya. Ia mempunyai naluri pemangsa yang kuat. Selain itu, ianya adalah ikan diurnal, iaitu spesies yang aktif pada waktu siang dan tidak aktif pada waktu malam. Kadar tumbesaran ikan ini adalah cepat dan boleh mencapai saiz sehingga 25 - 45 cm. Ia juga boleh mencapai jangka hayat sehingga 15 tahun   dalam keadaan yang optimum.

Platinum Alligator Gar (Atractosteus spatula)

Ikan tawar ini berbentuk badan yang panjang dan lansing serta ekor heteroserkal. Ia turut dikenali sebagai spesies ikan “purba-hidup” kerana fizikal luaran yang berprasejarah. Selain itu, ia hanya   sesuai untuk akuarium bersaiz besar dan dilengkapi oleh sistem penapisan yang mampu menapis sisa buangan ikan ini. Keunikan tambahan ikan ini ialah kebolehan untuk mengadaptasi dengan keadaan air yang berlainan, menjadikannya spesies yang sesuai untuk akuarium. Ia turut mempunyai kebolehan   untuk bernafas dalam air dan juga di daratan.   Permukaan air dalam akuarium haruslah   mempunyai ruang untuk udara bagi melengkapi keunikan ini. Ikan ini tidak bersifat teritorial dan agresif dalam akuarium dan sesuai untuk disimpan dalam kelompok 3- 6 ekor dalam akuarium. Spesies ini sangat aktif dibiak di kawasan Asia oleh pencinta ikan hiasan. Permintaan yang tinggi di Jepun dan China menjadikan ikan ini bernilai tinggi.

Geophagus Eartheater (Geophagus surinamensis)

Ikan ini berasal dari Amerika Selatan. Ia adalah spesies omnivor dan boleh mencapai saiz dalam   25 - 30 cm. Ia turut dikenali sebagai spesies yang tahan lasak dan tidak mudah dijangkiti bakteria atau virus. Nama Eartheater diberi kerana ia akan membuka mulut dengan besar dan sekaligus   memakan kerikil dan pasir ketika mencari makanan dan mengeluarkan semula bahan yang telah   ditapis melalui insang. Ia mengambil masa selama   2 - 3 tahun untuk mencapai saiz maksimum dan purata. boleh mencapai jangka hayat selama 5 ke 6 tahun secara Secara semula jadinya, ia   mempunyai sifat yang tenang. Ia tidak memerlukan rutin penjagaan yang rumit dalam akuarium serta mudah dijaga. 

True Piraiba Catfish (Brachyplatytsoma filamentosum)

Spesies ini berasal dari Amerika Selatan dan   merupakan salah satu spesies ikan keli (catfish) air tawar yang terbesar di dunia. Ia boleh mencapai saiz sehingga 300 cm dan berat sehingga 1800 kg. Ia merupakan pemangsa dan dietnya terdiri   daripada pelbagai jenis ikan dan krustasea. Ikan ini cuma sesuai untuk akuarium yang bersaiz besar seperti akuarium awam. Ia juga memerlukan sistem penapisan yang baik serta penyelenggaraan yang kerap.

Six-barred Distichodus (Distichodus sexfasciatus)

Ikan ini mempunyai 6 jalur unik pada badan yang selari dengan namanya “Six-barred Distichodus”. Ia mempunyai sifat yang luar jangkaan kerana spesies ini boleh bergaul dalam kumpulan yang sama dan juga boleh bersifat agresif pada satu-satu masa. Oleh itu, ia memerlukan penjagaan khusus dan rapi.   Juvenil ikan ini menunjukkan sifat yang tenang   dalam akuarium manakala ikan dewasa akan mula menjadi agresif sesama ikan lain dan memerlukan pengasingan. Ia mempunyai pertumbuhan yang cepat dari tahap juvenil dan memerlukan hiasan akuarium seperti batu untuk bersembunyi. Ia adalah omnivor dan akan memakan tumbuhan   berdaun lembut menjadikan tumbuhan hiasan akuarium kurang sesuai untuk diletakkan dengan ikan ini.

Short body flowerhorn

Ikan ini merupakan antara pilihan ikan hiasan yang popular. Spesies ini tidak dijumpai di habitat liar kerana ia adalah hasil kacukan pelbagai spesies   cichlid. Ia mempunyai warna yang menarik serta bahagian kepala yang benjol dikenali sebagai “Kok”. Ia mula dikenalkan dalam pasaran ikan hiasan pada tahun 1990-an dan mula dijumpai di pasaran ikan hiasan Malaysia pada tahun 1993. Ikan ini dianggap sebagai “pembawa tuah” dalam sesetengah budaya di Asia. Ia boleh didapati dalam pelbagai warna termasuklah merah, kuning, ungu dan biru dan boleh mencapai saiz sehingga 30 cm. Selain itu, jangka hayat ikan ini adalah dalam 10 - 12 tahun mengikut jenis penjagaan diet dan parameter air yang bersesuaian. Ia bersifat agresif dan teritorial serta boleh menjadi sangat agresif kepada ikan lain dan juga manusia.

Super Red Arowana

Ikan Super Red Arowana merupakan salah satu ikan hiasan termahal di dunia. Warna kemerahan pada badannya menyerupai naga dan dipercayai   membawa tuah oleh budaya di Asia. Ia bersifat   teritorial dan boleh mencapai saiz sebesar 90 cm. Oleh itu, ia memerlukan kawasan akuarium yang luas. Warna pada badannya akan menjadi lebih menarik pada usia yang matang, selalunya dalam masa 3 tahun. Ia turut dikenali sebagai ikan naga dan bentuk badannya memanjang diliputi oleh sisik besar dan mempunyai 3 warna. Ia kebanyakannya dibiak di kawasan Asia, dan dalam diternak dalam kolam.


Fasiliti tempat pengumpulan ikan hiasan di WK Aquarium yang terletak di Gopeng, Perak. -Foto: Wizilla Janti Joshua

 


Blood-red parrot cichlid

Spesies ini berasal dari Amerika Selatan. Ia berwarna merah terang serta mempunyai bentuk badan unik dan mulut berbentuk seakan-akan paruh burng kakak tua. Badan ikan jantan adalah lebih panjang berbanding ikan betina yang lebih pendek dan   berbentuk bulat Ciri-ciri tersebut merupakan   tarikan ikan ini. Ia bersifat tenang dan sesuai untuk pencinta ikan hiasan yang mempunyai pengalaman sederhana. Selain itu, ia boleh bergaul dalam   kumpulan ikan yang sama dan dengan ikan lain. Ia bersifat omnivor dan boleh mencapai saiz sebesar 12 cm. Akan tetapi, ikan ini mudah dijangkiti   penyakit dan memerlukan penjagaan yang khusus.


Pengasingan dan penggredan ikan hiasan seperti Chinese Oranda atau Ikan Oranda Cina sebelum ia dieksport dan ini menjamin kualiti ikan hiasan keluaran WK Aquarium. -Foto: Wizilla Janti Joshua

 


If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag