September 27 2024

Pemangsa Akuatik Agresif Gugat Ekosistem Sungai

Pemangsa Akuatik Agresif Gugat Ekosistem Sungai - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Wizilla Janti Joshua

Istilah pemangsa dalam dunia akuatik adalah organisma yang menyerang atau memburu dan memakan organisma lain, iaitu mangsa, untuk kelangsungan hidup. Interaksi di antara pemangsa dan mangsa ini adalah hubungan yang berterusan dalam keadaan persekitaran semula jadi. 

Jika buaya dikenali sebagai reptilia pemangsa yang gemar akan kawasan paya dan air payau, baung ekor merah pula terkenal sebagai ikan pemangsa di sungai air tawar. 

Baung ekor merah atau nama saintifiknya, Hemibagrus wyckiodes telah menempah populariti sebagai ikan pemangsa yang agresif. Ia adalah spesis ikan air tawar yang boleh dijumpai di Asia Tenggara dan dilaporkan merupakan spesis asal dari Kemboja. Selain itu, populasi ikan ini turut dikesan di sepanjang kawasan perairan sungai Mekong di China, Kemboja, Laos dan Vietnam. Di Thailand, ikan pemangsa ini turut dijumpai di kawasan perairan sungai Chao Phraya. 

Di Malaysia, ia dikategorikan sebagai ikan pendatang kerana menurut Institut Penyelidikan Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia, pada mulanya ikan ini dibawa secara haram oleh para penternak akuakultur ke Malaysia kerana sifat tumbesarannya yang cepat berbanding dengan spesis ikan baung tempatan. Akan tetapi, ikan ini telah terlepas ke sungai-sungai tempatan seperti di kawasan sungai Pahang dan mendominasi ekosistem tersebut. 


Ikan baung ekor merah merupakan ikan pendatang dan pemangsa yang telah dikenal pasti di beberapa kawasan sungai air tawar di Semenanjung Malaysia. -FB: Bobby Fisherman

 



Para kaki pancing menggelar ikan baung ekor merah sebagai "kerbau sungai" dan bersaing untuk menjoran ikan yang terbesar sesama komuniti kaki pancing yang lain. -FB: Mohd Hanapiah dan River Monster Hunter Malaysia

 


Makan Spesis Ikan Tempatan

Pemangsa sungai ini mampu mencecah saiz seberat 70-80 kilogram dan panjang hingga 1 meter. Seperti pemangsa-pemangsa akuatik yang lain, ikan ini juga bersifat agresif terutamanya di dalam kawasan habitatnya. Selain itu, ia membiak dengan cepat sehingga mendominasi kawasan sungai dan menganggu ekosistem yang sedia ada dengan memakan spesis ikan tempatan yang ada di sungai. 

Berdasarkan informasi tambahan dari Institut Penyelidikan Perikanan, aktiviti penternakan dan amalan akuakultur yang tidak bertanggungjawab seperti penternakan ikan baung ekor merah secara haram dan terlepas akibat jaring yang rosak telah menjejaskan perairan Sungai Perak. 

Senario ini telah memberi impak yang serius terhadap ekosistem sungai yang menjadi habitat kepada spesis yang mempunyai nilai yang tinggi di Malaysia seperti udang galah. Populasi ikan pemangsa ini turut meningkat dan semakin bermaharajalela di kawasan Sungai Pahang dan juga Sungai Selangor. 


Di antara usaha yang di ambil untuk mengurangkan populasi ikan baung ekor merah ialah dengan menglibatkan penduduk tempatan seperti di Kuala Lipis dengan aktiviti pertandingan memancing ikan ini. -FB: Fiz Ma

 


Ini telah mewujudkan saingan dengan spesis ikan lain yang sedia ada di sungai-sungai tersebut. Ikan pemangsa ini sering kali menjadi sasaran para kaki pancing dalam usaha mengurangkan populasi ikan ini dalam kawasan sungai tempatan. Malah ada yang mengelar ikan pemangsa ini sebagai “kerbau sungai” dan bertanding untuk menjoran ikan baung ekor merah yang terbesar dan terberat sesama kaki pancing yang lain. 

Cabaran Dalam Mengurang Populasi

Usaha untuk mengurangkan populasi ikan baung ekor merah adalah satu cabaran yang agak rumit kerana sifatnya yang membiak pada kadar yang cepat. Salah satu langkah yang diambil oleh pihak Jabatan Perikanan ialah meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terutamanya individu-individu yang bergiat dalam bidang akuakultur mengenai risiko dan keburukan kemasukan ikan ini ke perairan sungai. 

Pendedahan ilmu yang berkaitan dengan sifat semula jadi ikan baung ekor merah yang agresif, pemangsa dan cepat membiak ini juga boleh diambil walaupun pada hakikatnya memerlukan usaha yang berterusan. 

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag