November 28 2023

Wahida Hambali Wanita Besi Pejuang Pertanian Lestari

Wahida Hambali Wanita Besi Pejuang Pertanian Lestari - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

disediakan oleh: Jamaludin Mat Rashid

Wahida Hambali, wanita besi ibu kepada 8 orang anak ini mendukung tagline: “pencinta alam, santuni mikrob, hidup lebih tenang” di internet. 

Beliau memulakan kerjaya pertanian organik dan lestari apabila suami tercinta meninggal dunia akibat kegagalan organ penting kerana lama terdedah dengan racun rumpai dan racun makluk perosak ketika bekerja di ladang. 

Dengan itu, beliau bertekad tidak akan menggunakan lagi racun kimia merbahaya dan akan berkongsi maklumat mengenai kawalan perosak alternatif yang selamat dan memelihara alam kepada seramai insan yang ditemuinya dan melalui media sosial. 

Wahida Hambali bergambar di tapak Projek Trial Produk Kawalan Organik yang terletak di Felcra Seberang Perak.

 

Jika kita membuat carian di internet mengenai “pertanian lestari”, pasti akan terjumpa nama “Wahida Hambali”. Wanita besi ibu kepada 8 orang anak ini mendukung tagline: “pencinta alam, santuni mikrob, hidup lebih tenang”. 

Dilahirkan sebagai Nur Wahidah Hambali pada 27 Julai, 1980 dari keturunan Jawa Banjar. Beliau aktif menulis dan berkongsi di Facebook sejak Oktober, 2009 dengan beberapa group diskusi mengenai padi, sayuran organik dan membuat baja organik. Puan Wahida berkongsi di laman facebooknya mengenai pelbagai tanaman dan bunga-bungaan dari sudut pandang seorang petani organik dan pertanian lestari. 

Tidak kurang juga berkongsi mengenai topik keibu-bapaan dan mengurus anak istimewa. Kebetulan suami dari perkahwinan kali keduanya mempunyai dua orang anak yang cacat penglihatan. Puan Wahida telah menguruskan kebajikan dua anak ini sejak 8 tahun dahulu.

Bermula kariernya dalam bidang pertanian dengan meyertai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Agrotek Bistari Jaya, Batang Berjuntai, Selangor pada tahun 2004. Sebuah kerusi simenfero masih disimpan menjadi momento dan saksi bisu peritnya beliau mecari pengalaman di TKPM Agrotek Bistari Jaya bersama seorang rakan karib.  Atas kerusi itulah beliau merenung air kolam bekas lombong dan melakar masa depan. Momento ini boleh dilihat di kafe adiknya DkebunStall, Kampung Raja Musa, Kuala Selangor,  walau 20 tahun telah berlalu. 

Beras organik yang diproses oleh Wahida Hambali.

 

Pada tahun 2008, Puan Wahida menyertai Jabatan Pertanian. Selepas 2 tahun berkhidmat beliau telah berjaya mendapat Anugerah Agen Pengembangan Terbaik Peringkat Negeri Selangor, Jabatan Pertanian Negeri Selangor. Pada tahun 2013 pula diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Kementerian Pertaniaan dan Industri Asas Tani dan berjaya memenanginya selama 5 tahun berturut-turut. Walaupun mendapat pengiktirafan yang begitu besar, naluri dan cita-citanya adalah untuk menjadi usahawan.


Suami Pertama Meninggal Akibat Racun Rumpai

Ujian besar menimpa apabila menjadi mula usahawan. Suami tercinta jatuh sakit akibat kegagalan organ penting kerana lama terdedah dengan racun rumpai dan racun makluk perosak ketika bekerja di ladang. Puan Wahida terpaksa mengambil cuti 6 bulan untuk menjaga suami. 

Namun suami pergi jua. Sedih dan peritnya hanya tuhan yang tahu. “Yang pergi tidakkan kembali, hidup perlu diteruskan.” Saat pemergian aruah menjadi titik-tolak perubahan beliau ke pertanian organik dan lestari. Beliau bertekad tidak akan menggunakan lagi racun kimia merbahaya dan akan berkongsi maklumat mengenai kawalan perosak alternatif yang selamat dan memelihara alam kepada seramai insan yang ditemuinya dan melalui media sosial.

Tidak lama pertolongan tuhan datang berupa jodoh baru dengan seorang mualaf berbangsa Iban. Amanah tuhan datang dengan anak-anak. Seorang anak perempuan dan dua lelaki OKU cacat penglihatan. Semua mengikut jejak bapanya kembali kepada ugama fitrah. Hasil perkongsian dengan suami baru Puan Wahida mendapat seorang lagi anak perempuan yang dibawa bersamanya ke Brunei. Bergabung dengan empat lagi anak dari perkahwinan pertama, jadilah sebuah keluarga besar seramai sepuluh ahli. Berat juga cabaran mendidik anak-anak dan suami dari latarbelakang budaya yang berbeza. Puan Wahida berketurunan Jawa Banjar bertemu dengan suami baru menjadi Islam berketurunan Iban. Berkat sabar ribut taufan yang melanda tetap berjaya diharungi bersama.


Benih anak pokok di mini bendang Dkebun Stall bertumbuh dengan baik.

 

Dapat Kerjaya Cemerlang di Brunei
Selama 11 tahun mengusahakan ladang sendiri. Bermula dengan 5 ekar dan membesar hingga menjadi 15 ekar. Pada tahun 2016 berhijrah ke selatan tanahair untuk membuka ladang jagung dan ubi. Projek berjalan sangat baik tetapi jodoh dengan projek tidak panjang. Sikap percaya buta-tuli kepada rakan kongsi membawa padah dan pengajaran yang sangat mahal harganya.   Setelah kerugian ratusan ribu ringgit, pada 2017 kembali  ke Selangor dan meneruskan Bengkel Baja Sri Organik. Hanya bengkel ini dan formulasi baja organik dalam kepala yang tinggal untuk dijadikan sumber pendapatan.

Pada 2017, Puan Wahida dijemput ke Brunei untuk memberi kursus mengenai pertanian organik dan lestari oleh followernya di sana.  Terkejut beliau kerana mendapat sambutan yang hebat. Lebih dari 100 orang hadir. Permata di bumi sendiri tidak dipandang orang tetapi disanjung di negara lain. 

Atas kejujuran dan keiklasannya berkongsi ilmu, hampir setiap bulan Puan Wahida terbang ke Brunei memberi kursus hinggalah satu breakthrough muncul pada Januari, 2019. Rezeki besar datang bersama bayi yang baru dilahirkan. Lepas 2 minggu bersalin anak bongsu satu panggilan telefon dari Brunei masuk menawarkan dan menemuduga bagi jawatan  Rice Specialist.  Keesokannya diminta untuk hantar resume dan disuruh melaporkan diri sebaik sahaja habis berpantang.


Benih anak pokok padi MR297 kelihatan subur.

 


Pucuk dicita, ulam mendatang. Cita-citanya untuk mempraktikan pertanian organik dan pertanian lestari terbuka luas. Tawaran dari sebuah syarikat yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan Brunei untuk membangun sebuah Agrobusines mencabar dirinya. Program ini berobjektif membangun belia dalam industri padi organik. Pada Februari 2019, dengan menggendung bayi kecil berusia sebulan beliau melaporkan diri untuk bertugas.

 


Penyediaan awal petak mini bendang saiz 5x10 ft.

 

Bukti Padi boleh Tanam Komersial Tanpa Racun Serangga

Menurut Puan Wahida, beliau menerima undangan dari Kerajaan Brunei sebagai ‘Rice Specialist’ bukanlah untuk mendapat keuntungan material semata-mata tetapi untuk mencabar dirinya bagi membuktikan tanaman padi dan melon boleh ditanam untuk tujuan komersial tanpa racun serangga dan racun kulat kimia walaupun menggunkan baja NPK untuk padi dan baja AB untuk melon. 

Menjelang pemergiannya ke Brunei masih ramai petani di Malaysia bertanggapan negatif terhadap kaedah menanam secara lestari dengan menggunakan kawalan biologi. Ramai menganggap menanam secara organik merugikan dan menanggung kos yang tinggi. 


Padi kawalan organik.

 

Beberapa minggu awal berada di Brunei digunakan untuk membangun Modul Latihan. Sebagai orang yang lebih terdedah dengan kerja-kerja lapangan secara hands-on dan tiada pengalaman dalam bidang pendidikan, sukar juga pada mulanya. Pengalaman bertugas selama 7 tahun dalam industri padi di IADA Barat Laut Selangor digunakan sepenuhnya.  Akhirnya siap juga Modul Pembelajaran Industri Padi diikuti dengan sesi penggesahan modul oleh Jabatan Pertanian Brunei dan Institute of Brunei Technical Education.

Hadapi Cabaran Dengan Cukup Keberanian

Walaupun sebagai seorang yang sudah sebati dengan kerja-kerja ladang, menyelia 15 orang pekerja dan 10 orang pelajar bukanlah suatu yang mudah. Apatah lagi sawah yang dikerjakan bukanlah sawah yang telah ditanam bertahun-tahun tetapi sawah yang baru diterokai dari hutan dara. 

Bekalan air sangat terhad dan permukaan tanah tidak rata. Untuk mengawal air dengan berkesan dan memudah pengurusan tanaman padi batas-batas kecil terpaksa dibina secara manual. Setiap hektar sawah dipecahkan kepada antara 2 ke 3 petak tanaman. 

Sebagai sawah baru, banyak akar dan kayu tertinggal semasa kerja mencuci tanah. Jadi terpaksalah dikutip dengan tangan satu per satu.

Pekerja bertungkus-lumus mengejar waktu bagi mencapai target musim penanaman pertama pada November, 2019. Menjelang Ogos sawah siap dibajak diikuti dengan kerja-kerja manabur kapur bagi mengurangkan keasidan tanah.

Dari 11 hektar yang ditanam pada pusingan pertama, semuanya menggunakan kawalan organik. 9 hektar menggunakan baja NPK komersial, 1 hektar menggunakan baja organik dan 1 hektar selebihnya menggunakan teknik penanaman SRI (System of Rice Intensification). 

Tanam Bunga Bagi Tingkatkan Populasi Predator Semulajadi

Puan Wahida juga menanam bunga bagi meningkatkan populasi predator semulajadi. Antara bunga yang ditanam ialah bunga Tunera, Lantana, Marygold, Cosmos dan Bunga Matahari. Penanaman bunga-bungaan bagi pertanian lestasi ini dapat menurunkan kadar populasi Ulat Pengorek Batang dan Bena Perang sehingga di bawah 5 peratus. Banyak predator akan berkampung pada pohon bungaan ini, sebelum larva menetas ia akan di kosumsi oleh predator semulajadi ini.

Musim pertama berlalu dengan jayanya. Padi kawalan organik berjaya dihasilkan pada kadar 8.5 tan metrik per hektar. Misi program adalah meningkatkan hasil sehingga 10mt/hektar.

Sepanjang MCO selama 2 tahun, Puan Wahida berada di Brunei, terpisah dengan anak-anak dan suami. Hanya anak bongsu yang dibawa bersama ketika habis berpantang menjadi buah hati pengarang jantung. Rindu, bimbang bercampur baur. Kalau ikutkan kontrak boleh bersambung tiap dua tahun hingga maksimum 10 tahun. Tapi hati ibu mana yang dapat bertahan dengan berkeluarga secara jarak jauh. Akhirnya Puan Wahida tewas juga. Kontrak baru tidak disambung dan pulang ke Malaysia demi anak-anak.

Kerjaya “Gila” Membesarkan Anak

Usahawan kental ini mengeluar produk Sri Organik sejak 12 tahun dahulu. Berupa baja dan kawalan serangga dan penyakit, produk ini dibuatnya sendiri di rumah bermula dengan sebiji baldi hinggalah kini bengkel tempat pengeluaran bajanya penuh dengan ratusan drum biru 200 liter. Pernah pada permulaan usahanya ditertawakan dan dianggap gila apabila mengutip kangkung parit untuk dibuat baja. Kerja gila itulah yang memberi pendapatan  kepadanya untuk membesarkan anak-anak. Paling sulung 17 tahun kini sudah belajar di politeknik dan paling bongsu 4 tahun menjadi peneman di rumah.

Kini selain mengeluar dan menjual Sri Organik, Puan Wahida menghabiskan masa terluang menghiasi DkebunStall milik adiknya dengan konsep ala agrowisata. 

Sedia Kongsi Teknik Tanam & Kawalan Penyakit

Baru saja dibuat satu mini sawah padi untuk pengunjung bergambar dan melihat rupa “pokok beras”. Perkongsian mini sawah padi ini di facebook baru-baru ini telah mendapat komen yang sangat hebat dan menaikan bilangan pengikutnya lebih dari seribu orang sehari. Pengunjung boleh menikmati hidangan kampung seperti laksa, kuih kampung dan aneka minuman ala café kayangan pada harga rahmah. Pengunjung boleh berborak mengenai tanaman dengan Puan Wahida secara percuma. Beliau sedia berkongsi teknik menanam dan kawalan penyakit pelbagai tanaman dari melon hidroponik, sayuran berdaun, bunga-bungaan hinggalah ke tanaman padi yang menjadi cinta abadinya. 


Puan Wahida dan anaknya bekerja di Inovasi tanaman Rock Melon.

 

Varieti MR 467-01.

 

Kalau anda peminat tanaman dan bercadang untuk mengeluarkan makanan anda sendiri yang bebas racun, termasuk beras, kunjungilah puan Wahida Hambali, Wanita Besi pelopor pertanian lestari di DkebunStall, Kampung Raja Musa, Kuala Selangor.








If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag