August 18 2025

Tanaman Kantan Jana Pendapatan Sampingan

Tanaman Kantan Jana Pendapatan Sampingan - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Bushral Karim Md Yusob

Bunga kantan merupakan tumbuhan herba tropika yang sangat sinonim dengan masakan tradisional Malaysia, khususnya dalam hidangan seperti laksa, asam pedas, nasi ulam, dan kerabu. Ia juga sesuai digunakan dalam penyediaan salad untuk memberikan aroma segar serta rasa yang unik. 

Kantan, atau dikenali sebagai torch ginger (Etlingera elatior), merupakan sejenis tumbuhan tropika yang terkenal dengan bunga berwarna cerah seperti merah jambu atau merah. Tumbuhan ini bukan sahaja menjadi hiasan taman yang mempersona, malah mempunyai nilai komersial dalam masakan dan perubatan tradisional.

Sepasang suami isteri peneroka Felcra di Perak Tengah telah mengusahakan tanaman kantan sejak tahun 2012. Pada mulanya, mereka menanam untuk keperluan sendiri, tetapi setelah mendapati terdapat permintaan untuk bunga kantan di kawasan setempat, mereka mengembangkan tanaman ini di antara pokok kelapa sawit di belakang rumah.

Pokok kantan mudah ditanam, dan mereka hanya perlu menanam pokok tambahan dari semasa ke semasa sehingga 0.5 hektar tanah dijadikan  kawasan tanaman kantan. Dengan hanya sekali tanam dan penjagaan berterusan, pokok kantan boleh memberikan hasil untuk jangka masa yang panjang, sehingga 10 tahun. 

Oleh kerana memulakan tanaman kantan tidak memerlukan modal yang besar dan penjagaannya mudah, mereka berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai dalam penanaman kantan secara komersial.

Puan Mariatol Kaftiah, seorang suri rumah bersama suaminya, Encik Nordin Hamzah, menanam kantan tanpa mengeluarkan modal yang besar. Hanya berbekalkan baja urea, dalam masa 10 tahun, beliau berjaya mengumpulkan 400 kuntum kantan setiap 10 hari dan berjaya memenuhi pasaran tempatan. 


En. Nordin seorang yang telah 10 tahun menanam kantan bersama isteri. Tugas penjagaan mudah dan berterusan mendapat hasil.

 


Beliau juga telah menukarkan produk kantan  menjadi serunding kantan dan sambal kantan untuk memperoleh nilai tambah yang lebih tinggi. Dengan harga 50 sen sekuntum, pulangan daripada menanam kantan dapat membantu meningkatkan pendapatannya.

Pelbagai Kegunaan Bunga Kantan

Bunga kantan yang mula mengembang menjadi kelopak boleh diproses menjadi serunding kantan. 

Manakala bunga kantan yang belum mengembang boleh dipasarkan kepada pemborong dan pasar tani untuk kegunaan dalam penyediaan makanan berasaskan kantan seperti laksa atau pedas.

Buah yang terhasil daripada bunga yang tidak dipetik juga boleh dijadikan bahan masakan seperti masak lemak atau diubah menjadi jus kantan apabila dicampur dengan kelopak bunga.

Kesedaran untuk memulakan tanaman kantan timbul apabila tanaman awal di sekeliling rumah mula membiak dengan mudah. Beliau meneruskan tanaman kantan di bawah pokok kelapa sawit di belakang rumah, dan sedikit demi sedikit, hasil daripada pokok kantan semakin bertambah.


Bunga kantan yang masih menguncup boleh dijual dengan harga RM0.50, tetapi yang sudah kembang boleh diproses menjadi serunding.

 


Teknik Penanaman 

Kantan mudah ditanam. Daripada  pokok yang  bercambah, akarnya dikeluarkan dan dipindahkan ke kawasan baru. Dalam satu lubang ditanam dua atau tiga akar baru dengan jarak antara setiap lubang benih kira-kira 2 - 3 meter  untuk pertumbuhan optimum. 

Pokok dibiarkan membesar selama lapan bulan. Kawasan yang ditanam perlulah terlindung daripada cahaya matahari yang kuat, dengan tanah yang sentiasa lembap, gembur, dan tidak ditakungi air. 

Oleh kerana kawasan dipilih dinaungi pokok kelapa sawit dan tumbuhan dusun yang lain, tidak diperlukan pengairan yang rumit. Pada musim kemarau panjang, penyiraman mungkin perlu dilakukan, tetapi tidak membebankan kerana kawasan tanaman sentiasa lembap.

Penjagaan Rutin Kantan

Penjagaan yang konsisten amat penting untuk  memastikan kantan tumbuh subur dan terus membiak. 

Kawasan sekitar perlu sentiasa dibersihkan  daripada rumpai dan tumbuhan pesaing. Pokok yang sudah tua dan daun-daun kering juga perlu dibersihkan bagi mengelakkan persaingan nutrien antara pokok. 

Penjagaan pokok dilakukan serentak dengan proses memungut hasil bunga kantan. Semasa mengutip kelopak atau bunga yang masih menguncup, batang-batang tua dan daun kering turut dibersihkan. 


Puan Mariatul Kibtiah yang juga memproses bunga kantan kembang menjadi serunding.

 


Tumbuhan liar yang mengganggu juga perlu dibuang. Kawasan yang terlalu kering perlu disiram untuk mengekalkan kelembapan tanah. Daun kering yang dipotong boleh dijadikan sungkupan di permukaan tanah bagi mengekalkan kelembapan.

Program Pembajaan

Baja urea ditaburkan sebulan sekali untuk mengekalkan kesuburan pokok. Baja NPK (15:15:15) pula digunakan setiap enam bulan  untuk merangsang pertumbuhan bunga. 

Dengan penjagaan yang betul, pokok kantan mampu terus menghasilkan bunga sehingga  10 tahun, dengan setiap pokok berpotensi menghasilkan 10-15 kuntum bunga setahun.

Keperluan Tenaga Kerja

Bergantung pada keluasan kawasan tanaman  kantan, bilangan pekerja yang diperlukan tidaklah terlalu ramai. Kawasan seluas 0.3 hektar yang  diusahakan oleh En. Nordin dan Pn. Mariyaton tidak memerlukan pekerja tambahan. 

Mereka berdua mampu mengendalikan tanaman ini sebagai rutin harian yang mudah - hanya memerlukan 2 jam setiap pagi selama 3 hari untuk menanam dan menjaga tumbuhan daripada rumpai dan pokok belukar. 


Buah kantan boleh juga dibuat masak lemak kantan.

 


Penjagaan tumbuhan ini tidak rumit. Hanya dua orang pekerja sudah mencukupi untuk menguruskan tanaman sehingga peringkat pengeluaran hasil.

Bagi penanaman secara lebih komersial di kawasan yang luas, diperlukan pekerja khusus untuk menyediakan kawasan tanaman dengan membersihkan kawasan, menanam di atas batas, serta menjaga kawasan daripada serangan rumput dan rumpai. 

Menanam kantan adalah mudah dengan hanya menanam rizom pada jarak 3 meter antara satu sama lain. Pokok akan membesar tanpa perlu dicabut semula. Hasil kantan boleh diperoleh secara berterusan selagi pembersihan daun kering dan batang yang rosak dilakukan secara konsisten. 

Pembajaan urea dilakukan setiap 3 bulan untuk memastikan pokok berkualiti dihasilkan. Baja organik dan kompos juga diberikan di sekitar perdu pokok kantan untuk mengekalkan kesuburan tanah. 

Penanaman kantan hanya memerlukan ruang yang kecil. Namun, untuk pengeluaran secara besar-besaran, ruang tanah yang lebih luas diperlukan bagi memenuhi permintaan pasaran.


Produk-produk yang dihasilkan oleh Puan Maria mendapat tempahan dari seluruh semenanjung hingga ke Brunai dan Malaysia Timur.

 


Kesimpulan

Kantan bukan sekadar tanaman hiasan tetapi juga peluang perniagaan yang berdaya saing, terutamanya di kawasan tropika. 

Dengan penjagaan yang konsisten dan pemasaran strategik, penanam boleh menikmati pulangan lumayan sama ada secara kecil-kecilan atau komersial. 

Keunikan kantan dalam masakan dan kegunaan harian menjadikannya tanaman serba guna yang patut diterokai!

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag