September 02 2024

Koperasi Harumanis di Chuping, Perlis

Koperasi Harumanis di Chuping, Perlis - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Industri tanaman mangga di Malaysia diterajui oleh varieti Harumanis (MA 128) yang sangat sinonim dengan negeri Perlis. Walaupun ada ditanam di pelbagai negeri, Harumanis yang ditanam di Perlis sahaja dapat menghasilkan buah premium dengan keharuman dan rasa yang memenuhi kriteria unggul. 

Ditanam dengan keluasan yang agak signifikan di Melaka, Perak dan Kedah, hingga kini belum ada ladang yang mampu menghasilkan Harumanis setanding dengan ditanam di Zon A negeri Perlis, menganjur dari Chuping yang bersempadan dengan Thailand hingga ke Batu Pahat berhampiran Kangar. 

Zon B adalah dalam kawasan MADA (Muda Agriculture Development Authority) yang mendapat pengairan bagi tanaman padinya. Kawasan ini ada ditanam dengan Harumanis tetapi tidak mendapat kualiti seperti di Zon A. Kini Perlis mempunyai keluasan 2,000 hektar tanaman Mangga Harumanis yang diselia oleh Jabatan Pertanian Perlis, majoriti sedang berbuah.

Cikgu Asri Ikon Harumanis Chuping

Menurut En. Muhammad Asri Md Yusuf, seorang pesara guru yang lebih mesra disapa Cikgu Asri, kini menjadi pempengaruh sosial terutama dalam bidang tanaman dan pemasaran Harumanis, kriteria tanah di Zon A Negeri Perlis adalah anugerah Illahi kepada penduduk di sini. Analogi Cikgu Asri sangat mudah, katanya “Jikalau laut di Terengganu dikurniakan dengan petroleum, penduduk di Perlis dikurniakan tanah yang subur dan cuaca yang sesuai untuk penanaman Mangga Harumanis. Hanya mereka yang berusaha dan mengambil peluang akan menikmati kurniaan ini”. Pernah seorang penyelidik dari Thailand membawa balik beberapa pohon Harumanis dari Cikgu Asri untuk ditanam di sana, tetapi mendapati hasilnya sangat jauh untuk mencapai kualiti yang dihasilkan di Chuping. pH tanah dan komposisi elemen dalam tanah di Chuping secara semula jadi memang khas untuk Harumanis dan ianya tidak berupaya ditiru manusia. 


Encik Muhammad Asri bin Mohd Yusuf @ Cikgu Asri, Pengasas Koperasi Harumanis Y.A dan pelopor pemasaran melalui dalam talian.

 


Beliau juga mengaku tiada mangga selazat Harumanis boleh ditemui di Thailand walaupun negara Gajah Putih itu mempunyai pelbagai jenis mangga dan mengeksport mangganya ke pelbagai negara. Cikgu Asri dikesan penulis melalui seorang rakan yang sama-sama menuntut dalam bidang pertanian di era 1980-an, Tengku Mohzan Tengku Daud. Berkebetulan beliau yang dikenali masyarakat setempat sebagai Pak Engku tinggal di kampung yang sama dengan Cikgu Asri di Kampung Pangas, Chuping, Perlis. Tengku Mohzan juga seorang bekas pendidik tetapi kini turut mengusahakan ladang Harumanis peninggalan aruah bapanya. 

Mengikut kajian dan pembacaan Cikgu Asri, lokasi negeri Perlis pada zaman pra-sejarah adalah kawasan laut yang cetek manakala Zon A di Perlis adalah teluk yang menerima timbunan cengkerang siput hasil dari hantaran ombak Lautan Andaman. Beribu-ribu tahun berlalu, cengkerang siput zaman pra-sejarah bertukar menjadi tanah mineral yang kaya dengan kandungan Kalsium, Magnesium dan pelbagai mikronutrien lain yang membantu pokok menghasilkan buah yang lebat dan bermutu. Ini terbukti dengan bukit-bukit batu kapur yang terdapat di seluruh negeri Perlis dan fosil hidupan laut boleh dijumpai sehingga di puncak bukit-bukit berkenaan. Bagi Cikgu Asri, inilah sebenarnya rahsia mengapa Harumanis Perlis kulitnya halus, isinya manis bersari dengan aroma yang sangat unik, tidak dapat ditandingi oleh Harumanis dari negeri lain walaupun dari Kedah yang berjiran dengannya. 


Cikgu Asri tekun mengesan IFR dan serangga di sebalik kulit sebiji Harumanis.

 



IFR yang berjaya dikesan Cikgu Asri.

 


Sejarah Penanaman Harumanis Y.A

Harumanis bukanlah tanaman yang baru bagi Cikgu Asri. Sejak 1972 lagi pegawai-pegawai dari Jabatan Pertanian mengunjungi rumahnya bagi mengajak bapanya Yusuf Awang untuk menanam mangga Harumanis. Atas malu alah dengan pegawai pengembangan Jabatan Pertanian yang saban minggu berkunjung ke rumahnya, bersama beberapa orang jiran, bapa Cikgu Asri mula menanam Harumanis. Mereka sebenarnya tiada pilihan kerana tanah di Chuping sangat kering walaupun untuk menanam getah. Pokok getah tumbuh tidak sempurna dengan susu yang sedikit kerana kekurangan hujan. Tanah kerajaan yang luas berhampiran kampung mereka ditanam dengan tebu bagi pengeluaran gula oleh Perlis Plantation, sebuah syarikat yang kerajaan negeri mempunyai kepentingan dan FELDA Chuping. 


Lanskap semula jadi Chuping, pengeluar Harumanis premium.

 


Wajah cekal seorang petani Harumanis.

 


Rakyat boleh bekerja di situ tetapi masih banyak tanah yang terbiar tidak diusahakan. Menurut pandangan pegawai pengembangan Jabatan Pertanian, hanya tanaman mangga sesuai di situ. Berkat dari keazaman dan usaha mereka berjaya menghasilkan buah yang agak banyak. Malangnya oleh kerana tiada program pemasaran yang berstruktur, petani dibayar dengan harga yang tidak setimpal dengan usaha mereka. Ada peraih yang datang mengambil buah secara berhutang tetapi tidak munculmuncul lagi tanpa sebarang khabar berita. Sejak dari itu Cikgu Asri bertekad akan melakukan sesuatu bagi membantu petani harumanis di kampungnya. 

Asal Usul Harumanis

Menurut pengetahuan dan pengalaman Cikgu Asri, mangga asal dipercayai dibawa masuk dari Indonesia dan ditanam di Sungai Nibong, Kuala Selangor. Jabatan Pertanian mendapati mangga ini mempunyai kriteria yang baik dan bermutu lalu didaftarkan dengan klon MA128 - Harumanis pada tahun 1971. Banyak lagi varieti mangga didaftarkan oleh Jabatan Pertanian, tetapi Harumanis dipilih untuk menjadi varieti utama bagi penanaman di Perlis kerana kualitinya dan adapatasi yang baik dengan tanah dan cuaca di sini. 

Dengan itu, mangga varieti Sala yang juga popular, banyak pohon ditukar menjadi pohon Harumanis dengan dibuat cantuman jemala (top working) akibat dari “demam harumanis” yang mendapat sambutan hangat dan harga yang tinggi. 


Open prunning ke atas sepohon Harumanis.

 


Dalam teknik ini, pohon Sala yang dibuat cantasan berat (heavy prunning) dan mengeluarkan tunas yang sesuai dicantum kira-kira 2 bulan kemudian, dibuat cantuman baji (cleft budding) menggunakan scion (keratan pucuk) dari induk Harumanis yang bermutu. Apabila matang dan berbunga, buah Harumanis dihasilkan tanpa perlu menanam semula dan terpaksa menunggu 4 - 5 tahun untuk berproduksi dengan ekonomik. 

Penubuhan Koperasi Harumanis Y.A

Masa berlalu pantas, Cikgu Asri sibuk membina kerjayanya sebagai pendidik. Harumanis masih di hatinya tetapi kekangan tugas membuatnya terpaksa menangguhkan hasratnya untuk petani Harumanis. Sehinggalah pada tahun 2017, beliau meneruskan legasi bapanya terhadap Harumanis dengan menubuhkan Koperasi Harumanis Y.A dengan meletakkan akronim nama bapanya sebagai penghormatan dan nostaljia. Seramai 280 orang petani di Kampung Pangas bersatu di bawah nama ini secara legal. Cikgu Asri mengusahakan 15 ekar tanah sendiri dan 25 ekar yang disewa bagi menanam Harumanis. Lagi 360 ekar diusahakan di bawah Koperasi Harumanis Y.A dengan pengurusan dan penyenggaraan berstruktur seperti yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian. Ini penting bagi tujuan mendapat hasil maksimum dan kualiti buah yang premium. 

Mana-mana ladang yang tidak mampu diusahakan oleh pemilik warga emas atau ditinggalkan kepada anak-anak yang berkerjaya di bandar, koperasi akan mengambil alih. Pemilik akan dibayar hasil jualan buah mengikut keluasan tanah dan sumbangan buah dari ladangnya. Bagi yang masih mampu mengusahakan sendiri, koperasi membeli buah pada harga pasaran mengikut gred. Malah pusat pengumpulan Cikgu Asri menerima kotak-kotak untuk dikirim dari petani indipenden kepada pelanggan mereka secara percuma sebagai khidmat masyarakat.


Tunjuk arah ke Koperasi Y.A.

 


Pemasaran Dalam Talian

Pada tahun 2017 juga bermulanya teknik pemasaran dalam talian bagi mangga Harumanis. Cikgu Asri melihat bagaimana demam pembelian dalam talian menjadi trend di Malaysia dan bagaimana trend ini boleh dimanipulasikan untuk pemasaran Harumanis. Pelanggan membeli dari kedai dalam talian yang besar seperti Shopee tetapi masih curiga dengan pembelian terus kepada petani. 

Berbekalkan nama Koperasi Harumanis Y.A yang baru didaftarkan supaya nampak gah, Cikgu Asri melantik agen-agen pemasaran secara dropship. Walaupun terpaksa membayar sedikit komisyen, sistem dropship lebih berkesan seolah-olah mempunyai kakitangan yang ramai. Iklan penjualan buah ‘Harumanis Perlis Premium’ disebarkan melalui media sosial terutamanya Facebook yang lebih menonjol pada waktu itu. Alhamdulillah, syukur sangat sambutan yang diterima sangat memberangsangkan. 


Buah Harumanis dicuci dari kesan kulapuk dan getah.

 


Cikgu Asri terpaksa merekrut dan melatih belia-belia tempatan sehingga berjumlah 15 orang untuk memproses pesanan dan membungkus. Bekalan buah juga kehabisan stok dalam masa yang singkat. Dalam keghairahan menemui teknik pemasaran baharu yang sangat berkesan ada masalah yang datang bersamanya. Sebanyak 3 metrik tan buah dipulangkan kerana kerosakan oleh IFR (Insidious Fruit Rot) di mana buah kelihatan cantik di luar tetapi seolah reput di dalam selain dari masalah berulat pleh lalat buah. Sesuatu mesti dilakukan, jika tidak industri ini tidak akan ada masa depan. 

Teknik Jentik Cikgu Asri

Mulai dari saat itu Cikgu Asri meletakkan tanggungjawab untuk mengadakan kawalan mutu (QC) buah Harumanis keluaran koperasi di bahunya sendiri. Kerja sia-sia mengirim buah dengan penuh harapan kemudian dipulangkan semula dengan komen yang pedas-pedas tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja. Tindakan perlu diambil, siapa lagi kalau bukan dirinya sendiri. 

Selama berbulan-bulan Cikgu Asri menjentik buah bagi mendengar sonar/gema yang dihasilkan dan meneka apa yang ada atau tiada di dalam buah. Ia seakan-akan menjentik buah tembikai atau cempedak untuk menentukan sama ada sudah masak atau sebaliknya tetapi pada paras yang lebih tinggi. Buah mangga perlu dijentik di pangkal, di tengah dan di hujung dan diulang sebelah satu lagi. Bermakna 6 spot perlu dijentik sambil mengingati gema bunyi yang dihasilkan. Kemudian Cikgu Asri akan membelah buah berkenaan, menganalisa struktur isi buah dan menghubungkan keadaan buah dengan bunyi yang dihasilkan yang dingati dalam mindanya sahaja. 


Harumanis dijual di pinggir jalan di Sg Batu Pahat.

 


Proses jentik itu diulang lagi, dibelah dan dibuang. Beribu-ribu biji Harumanis dibelah dan dibuang berulang-ulang, berjam-jam sehari sehingga berbulan-bulan lamanya. Orang kampung sudah berbisik-bisik di kedai kopi kerana bimbang adakah pemimpin mereka ini sudah hilang kewarasan. Memusnahkan bertan-tan Harumanis yang baik dan yang busuk, tidak tahu apa yang dicarinya. 

Setelah berbulan-bulan lamanya menjentik dan membelah buah, Cikgu Asri mampu berdiri gagah penuh dengan pengetahuan dapat meneka apa yang ada di sebalik kulit sebiji Harumanis. Maka bermulalah rutin harian Cikgu Asri apabila tiba musim menuai Harumanis. 

Dengan dibantu oleh 25 orang pekerja, beliau mengurus pusat pengumpulan di rumahnya sendiri yang dibina 2 tingkat dengan sangat tinggi bagi menggunakan ruang di bawahnya dengan selesa untuk pengredan dan pembungkusan Harumanis. Pemandangan begini hanya dapat dilihat di Thailand seperti di Chanthaburi yang menghasilkan durian dengan banyaknya dan dibuat pengredan di rumah pengusahanya. 


Buah siap dirawat dan dibungkus, sedia dikutip oleh syarikat kurier.

 


Pada kemuncak pengeluaran Cikgu Asri menerima 2.5 metrik tan sehari atau lebih dari 5,000 biji buah Harumanis. Setiap biji buah akan melalui tangan Cikgu Asri untuk dijentik bagi mengesan apa yang ada di sebalik kulit. Bayangkan terpaksa menjentik buah sebanyak itu sehari. Biasanya bermula pada jam 8 pagi dan berakhir pada jam 4 petang, berhenti untuk solat dan menjamah makanan tengahari. Beliau pernah melatih beberapa penggantinya tetapi hingga sekarang belum ada yang mendapat kemahiran berkenaan. 

Jika lulus QC buah akan diletakkan dalam bakul mengikut gred sama ada Premium, A,B,C atau Off-gred. Buah off-gred akan dijual kepada pengusaha projek hiliran seperti kodial, jus RTD (ready-to-drink juice) dan marmalade berasaskan Harumanis. Seterusnya buah siap digred akan dibasuh dari sisa-sisa fungus dan getah. Kemudian akan dikeringkan terlebih dahulu dan dirawat dengan kimia peranum cecair (riquid ripener) seperti Ethephon 52%w/v dengan merendam di dalamnya yang telah dicairkan kurang dari 5 minit. Buah akan dikeringkan di bawah kipas sebelum dimasukkan ke dalam kotak dan ditulis tarikh bila boleh dimakan, ditampal stiker maklumat pos dan dikirim kepada pengguna keesokkan harinya dengan kurier yang akan memungutnya di pusat pengumpulan Cikgu Asri. 


Mesin pengredan oleh UNIMAP.

 


Alat Scanner UNIMAP

Kisah Cikgu Asri menjentik buah Harumanis hingga berkematu jari tersebar luas di seluruh negeri Perlis. Ramai yang datang untuk belajar. Cikgu Asri memberi petua dan membuat demo kepada sesiapa sahaja yang datang sama ada dari agensi kerajaan atau petani biasa sepertinya. Sebagai bekas pendidik beliau tidak lokek ilmu. Menurutnya semua adalah ilham dari Illahi. Antara yang datang untuk meninjau adalah pasangan suami isteri Dr Fathinul Syahir Ahmad Saad, Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), seorang profesor madya dan isteri Dr Noor Shazliana Aizee Abidin, Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia Program Teknologi Makanan di universiti yang sama. 


Rutin harian Cikgu Asri menjentik 5000 biji Harumanis.

 


Dr Noor Shazliana pernah membantu Cikgu Asri semasa proses rekacipta produk hilirannya berupa Kopi Harumanis dan Kordial Harumanis. Dr Shahir lebih berminat kepada mencipta alat pengesan IPR dan benda asing di dalam buah. Di rumah Cikgu Asri ada sebuah mesin yang diciptanya semasa PKP yang lalu tetapi masih dalam pengubahsuaian kerana masih ada buah rosak yang terlepas berbanding teknik jentik Cikgu Asri yang hampir sempurna. Alat ini juga mempunyai penimbang bagi mengred buah mengikut berat seperti parameter yang ditetapkan oleh FAMA. 

Cikgu Asri sangat berharap alatan seperti ini dapat digunakan dengan segera bagi menjamin masa depan industri Harumanis Perlis yang sedang mendapat sokongan masyarakat. Takut-takut jika ada buah rosak yang terlepas kepada pasaran akan mencemar nama baik industri. Beliau tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada 3 agensi kerajaan yang sangat membantu iaitu Jabatan Pertanian, FAMA dan Jabatan Pembangunan koperasi. Tidak ketinggalan kepada UNIMAP dan Pejabat Menteri Besar yang menyokong industri Harumanis Perlis sehingga menjadi ikon negeri.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag