March 30 2026
Oleh: Ali Hanafiah (Faculty of Durian)
Siasatan hasil ladang adalah satu rutin wajib bagi pelabur atau pekebun durian lakukan bagi mengenalpasti tahap pencapaian kebun. Pernilaian dilakukan bagi mengenalpasti punca dan masalah pada hasil yang menyebabkan kehilangan pulangan agar tidak mengulangi kesilapan yang sama untuk masa hadapan. Pemeriksaan hasil jualan perlu diteliti untuk mengenalpasti punca-punca kehilangan hasil.
Artikel kali ini mengupas serba sedikit masalah umum yang menjadi kehilangan potensi hasil sebenar.
Buah yang bertindih atau rapat sering mengalami masalah diserang pengorek buah.
Semakan Agihan Gred Buah Pada Hasil Jualan
● Selain daripada saiz buah, bentuk buah yang bengkok dan kecil, gejala lain seperti serangan pengorek buah, buah merekah / pecah, blossom end rot serta serangan patch kanker menjadi salah satu penyebab kehilangan potensi hasil yang besar.
● Penyemakan gred adalah untuk menilai keadaan semasa dan mencari punca agar ia tidak diulangi pada masa hadapan.
Aplikasi Fogging menggunakan racun jenis ULV dan bifentrin EC (Cofenrin) disembur keseluruhan ladang ketika fasa kudup bunga dan putik buah.
Serangan Pengorek Buah Mudaria sp. Dan Conogethes sp.
● Buah berbentuk bulat yang berpotensi untuk Gred A jatuh mendadak ke gred CCCC disebabkan oleh satu lubang pengorek buah pada buah tersebut. Kehilangan gred ini mempunyai nilai perbezaan yang sangat signifikan dari segi nilai hasil.
● Simptom serangan ini berpunca daripada amalan penyemburan racun serangga yang tidak mengikut jadual dan juga operasi kerja yang tidak cekap.
● Semburan racun serangga seperti Lambda chylothrin (Alanda) dan Chlorfluazuron (Aron) perlu disembur secara giliran setiap 2 minggu sekali bermula pada fasa berbunga (peringkat ceri) sehingga buah bersaiz epal.
● Aplikasi fogging boleh dijalankan jika perkebun mengalami kekangan masa dan keadaan pokok yang terlalu tinggi. Fogging boleh dijalankan pada peringkat putik bunga dan sehingga putik buah bersaiz ping-pong.
● Penyeliaan semburan perlu dijalankan daripada peringkat bancuhan dan ketika aplikasi penyemburan.
● Penjarangan buah perlu dijalankan bagi buah yang terlalu rapat dan juga bertindih kerana kadar semburan berisiko tidak rata.
Larva Mudaria yang menyerang buah sehingga bahagian biji buah.
Hujung buah kekeringan dan kehitaman.
Gejala hujung buah hitam dan merekah ataupun Blossom End Rot.
Serangan Patch Kanker (Phythopthora)
● Salah satu buah yang tidak boleh dijual ataupun tidak bernilai adalah buah yang rosak disebabkan oleh Phythopthora.
● Serangan merebak dengan cepat apabila berlaku hujan yang tinggi pada sebelum buah gugur. Percikan dan aliran air menjadi salah satu punca perebakan kulat ini.
● Sebagai pencegahan aplikasi racun kulat a.i Dimethomorph (FORUM) perlu dilakukan ketika fasa putik buah lagi bagi memastikan tiada jangkitan daripada peringkat awal.
● Penjarangan buah juga perlu ditekankan kerana agihan nutrien yang tidak seimbang akan menyebabkan antibodi pokok serta buah menurun dan risiko menerima jangkitan adalah tinggi.
● Kawalan siraman pada zon akar menggunakan Metalaxyl-m (Fetto) dan Phosphorus acid (P400) ketika fasa lepas habis musim adalah salah satu juga kaedah mengawal Phythopthora pada pokok.
Blossom End Rot
● Simptom hujung buah kehitaman dan kering menyebabkan nilai kosmetik buah jatuh menurun. Walaupun isinya masih boleh dimakan, tetapi daya tarikan luaran buah menjatuhkan nilai premium buah itu sendiri.
● Kekurangan kalsium dan air ketika buah pesat membesar mempunyai kaitan penting di dalam isu ini kerana tahap mobiliti kalsium adalah sangat perlahan (immobil) serta memerlukan air sebagai media untuk sintesis pokok.
● Aplikasi kalsium melalui semburan kapur cecair (nanocalcium) dan foliar CBK (Calcium, Boron, Potassium) adalah disyorkan untuk mengatasi masalah ini.
Buah merekah akibat ketegasan air yang tinggi dan kekurangan kalsium ketika buah pesat membesar.
Buah Pecah dan Mudah Merekah
● Perkara ini juga berlaku akibat kekurangan unsur kalsium pada pokok.
● Tempoh buah merekah bermula selepas fasa buah gugur, iaitu tidak sampai tempoh 6 - 12 jam dan ada juga merekah ketika di atas pokok.
● Kekurangan kalsium dan air ketika buah pesat membesar mempunyai kaitan penting di dalam isu ini kerana tahap mobiliti kalsium adalah sangat perlahan (immobil) serta memerlukan air sebagai media untuk sintesis pokok.
● Aplikasi kalsium melalui semburan kapur cecair (nanocalcium) dan foliar CBK (Calcium, Boron, Potassium) adalah disyorkan untuk mengatasi masalah ini.
● Penyimpanan covercrop juga diperlukan bagi memastikan kadar kelembapan kebun dapat dikekalkan (dikawal) terutama menjelang musim panas yang panjang.
● Isi buah yang berwarna sedikit pucat daripada sifat asal varieti dan tekstur yang lembik menunjukkan juga gejala kekurangan kalsium pada pokok.
Diharap artikel ini dapat memberi gambaran awal walaupun ia hanya merangkumi beberapa perkara asas. Pengenalpastian simptom atau gejala ini perlu dititikberatkan agar pulangan musim mendatang lebih tinggi.
Penyeliaan ladang yang ketat dan pelaksanaan operasi kerja yang baik mampu meningkatkan lagi pulangan hasil ke ladang.
Buah yang baru gugur dan merekah.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.