February 06 2025

Industri Penanaman Durian Di Kemboja

Industri Penanaman Durian Di Kemboja - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Disediakan oleh: Ali Hanafiah (FACULTY OF DURIAN)

Kemboja, sebuah negara di Asia Tenggara dengan keluasan 181,035 km², menjadikan Sungai Mekong sebagai sumber air utama yang menyokong industri pertanian di sana. 

Muka buminya yang pelbagai, terdiri   daripada kawasan pamah, beralun (berbukit), serta pergunungan, memberikan peluang untuk pelbagai jenis tanaman   diusahakan. 

Sektor pertanian adalah   industri utama, menyumbang sebanyak 80% peluang pekerjaan di Kemboja.   Komoditi utama termasuk tanaman padi,   jagung, keledek, kacang tanah, kacang soya, getah, dan lain-lain. 


Monumen Durian Kampot menjadi ikon durian Kemboja.

 


Topografi di Kemboja yang meliputi tanah rata, landai, beralun, berbukit, serta kawasan pergunungan   sesuai untuk penanaman durian. Walau   bagaimanapun, teknologi dan amalan penanaman yang sesuai diperlukan bagi memastikan pokok   durian tumbuh dengan sihat dan kuat. 

Keadaan pokok yang seragam dan sihat di Kemboja.

 


Cuaca dan Iklim di Kemboja

Secara amnya, Kemboja mempunyai dua musim utama: 

• Musim Panas (November–April) selama 6 bulan 

• Musim Hujan (Mei–Oktober) selama 6 bulan 

Taburan hujan tahunan di Kemboja adalah antara 1,400 mm hingga 2,000 mm. Oleh itu, keperluan air menjadi aspek penting, dan kolam tadahan perlu mampu memenuhi permintaan air sekurang- kurangnya selama enam bulan. 

Rujukan:   https://climateknowledgeportal.worldbank.org/


Saiz kolam tadahan yang dibina berdasarkan keperluan maksimum pokok dan kebarangkalian kemarau yang Panjang bagi memastikan pokok tidak mengalami masalah kekurangan air.

 


Adakah Durian Sesuai Ditanam di Kemboja?

Durian, yang merupakan tanaman asli di Kemboja, telah mula ditanam secara komersial dalam   tempoh sepuluh tahun terakhir. Varieti seperti   Musang King dan Duri Hitam semakin mendapat perhatian. Antara wilayah tumpuan penanaman durian adalah Mondulkiri, Ratanakiri, Preah Vihear, Snuol, dan Pursat. 

Berikut adalah amalan terbaik untuk memastikan kejayaan penanaman durian di Kemboja,   berdasarkan keadaan cuaca dan topografi: 

1. Rekabentuk Penanaman Secara “Mounding System” 

Hujan lebat selama 5–6 bulan menjadi cabaran bagi kawasan penanaman di kawasan pamah, kerana risiko air bertakung boleh menyebabkan akar reput, mengakibatkan kematian pokok. 

Teknologi mounding system, yang diamalkan di   Malaysia, telah digunakan untuk mengatasi masalah saliran yang lemah. Durian memerlukan air yang mencukupi dengan saliran yang baik. 

Menurut   En. Lim Chin Khee, kadar kematian pokok durian sering kali berpunca daripada pengurusan air dan saliran yang tidak sempurna. Oleh itu, kaedah ini   disyorkan sebagai langkah pencegahan. 


Rekabentuk penanaman secara "mounding system" salah satu kaedah penanaman yang menjadi pilihan pelabur.

 


Pembinaan parit dijalankan bagi memastikan paras air dapat dikawal dan kadar ketepuan air dapat dikawal.

 


2. Kaedah Sungkupan 

Sisa pemotongan rumput digunakan sebagai   sungkupan pada pangkal dan zon akar pokok. Kaedah ini membantu mengekalkan kelembapan tanah semasa musim kemarau serta memperlahankan pergerakan air ketika musim hujan.

Dalam tempoh sebulan selepas sungkupan,   populasi cacing tanah meningkat, membantu   menggemburkan tanah dan meningkatkan   pengudaraan tanah. Ini memenuhi kriteria   pertumbuhan pokok yang sihat. 

Sisa tinja cacing tanah didapati di bawah sungkupan di pangkal pokok.

 


3. Kaedah dan Teknologi Penyiraman 

Cuaca panas yang panjang dengan kadar   pencahayaan optimum adalah kelebihan bagi   pelabur di Kemboja. Tenaga suria dimanfaatkan   untuk menghasilkan bekalan elektrik,   mengurangkan keperluan bahan api dan kos   operasi. 

Sistem solar dipraktikkan di ladang bagi menjimatkan kos bahan api untuk keperluan ladang.

 


Sistem penyiraman menggunakan kaedah renjis untuk setiap pokok.

 


4. Kaedah Penghasilan Bunga dan Buah 

Perbezaan musim panas dan hujan memudahkan proses penghasilan bunga dan buah. Durian   memerlukan cuaca kering selama 21–25 hari untuk berbunga. Keadaan cuaca kering juga   memudahkan pengurusan air, sekali gus   meningkatkan kualiti pembesaran buah. 


Keadaan buah durian yang terhasil di sana.

 


Pokok Musang King yang berumur 4 tahun mula menghasilkan buah.

 


5. Teknologi Pembajaan 

Aplikasi baja seperti Supergreen dan Superfruit   sesuai digunakan di Kemboja kerana kadar larut   resap yang perlahan membantu pertumbuhan pokok. Kompos seperti FOM361 juga digunakan   untuk memperbaiki struktur tanah dan merangsang pertumbuhan akar. 

Aplikasi Supergreen mampu mengawal kadar larut resap baja pada musim panas dan musim hujan yang panjang.

 


Pertumbuhan pucuk dan daun yang sihat tanpa kesan lecur, saiz daun, ketebalan daun dan warna daun yang sihat terhasil daripada pengambilan baja Supergreen.

 


Perkongsian ini adalah berdasarkan temubual   bersama En. Lim Chin Khee yang merupakan   Pengarah Teknikal dan juga jururunding di sana. Perkongsian teknologi ini dapat dijadikan sebagai gambaran dan rujukan di dalam industri pertanian negara.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag