August 09 2024

Sarawak Ke Arah Pertanian Moden

Sarawak Ke Arah Pertanian Moden - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Wizilla Janti Joshua

“Kerajaan Sarawak selalu meneliti dan menerokai teknologi baharu, model perniagaan serta konsep pembangunan selaras dengan pembangunan transformasi sektor pertanian bagi memenuhi keterjaminan makanan, peningkatan pendapatan komuniti tani dan menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih makanan menjelang tahun 2030,” ujar Dato Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) ketika ditemu bual semasa lawatan ke Briar Modern Technology Durian Farming, Linggi, Negeri Sembilan.

Sarawak kini telah memulakan langkah untuk bergiat di dalam aktiviti pertanian tanaman durian. Secara anggaran, keluasan tanaman durian di Sarawak adalah 1,947 hektar. Tambahan Dr Rundi turut mengulas, “kebanyakan pengusahaan tanaman durian dijalankan oleh pekebun kecil sahaja. Teknologi yang digunakan adalah rendah dan pengurusan ladang agak kurang sistematik”. Berdasarkan keluasan kawasan penanaman, pengeluaran hasil durian di Sarawak adalah lebih kurang 34, 000 tan metrik pada tahun 2021. 


Dr. Rundi (kiri) mendengar penerangan dari pakar Briar Resources semasa melawat ke Briar Modern Technoloogy Durian Farming. Foto: Wizilla Janti Joshua

 

Justeru, pengenalan teknologi pertanian moden dijangka dapat membantu pekebun kecil untuk menaiktaraf teknik penanaman dan menambahbaik kaedah pengurusan serta meningkatkan produktiviti. Strategi pemilihan varieti durian juga penting dalam usaha membangunkan sektor tanaman durian.

Dr Rundi turut mengulas “varieti durian yang dipilih untuk tanaman haruslah bersesuaian dengan pasaran terkini demi menjamin keuntungan para pengusaha. Pada masa kini, pihak Jabatan Pertanian Sarawak menggalakkan penanaman varieti durian yang mempunyai potensi pasaran domestik dan juga antarabangsa seperti D168 (Hajjah Hasmah), D197 (Musang King) dan D200 (Duri Hitam).

Menghulur Tangan Kepada Pekebun

Sehubungan dengan itu, beliau turut berkongsi dengan majalah AgriMag bahawa kerajaan Sarawak melalui Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) mempunyai program untuk pembangunan tanaman durian untuk pekebun sedia ada dan pekebun baru. Ini termasuk saluran bantuan melalui bahan tanaman dan juga input pertanian oleh pihak DOA. Bantuan kewangan dalam bentuk geran dan pinjaman (soft loan) turut disediakan oleh kerajaan Sarawak melalui Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (LKTS) kepada petani dan pengusaha yang berminat dalam tanaman durian. Manakala untuk para pelabur, pihak M-FICORD sentiasa bersedia untuk membantu dalam permohonan pembangunan tanah NCR. Seterusnya, penglibatan generasi muda dalam sektor tanaman durian khususnya dalam konteks teknologi pertanian moden di Sarawak. 


Perbincangan dan perkongsian mengenai tanaman durian di Briar Modern Technology Durian Farming. Foto: Wizilla Janti Joshua

 

Hidangan durian Musang King yang disajikan kepada Dr Rundi selepas melawat kawasan kebun. Foto: Wizilla Janti Joshua

 

Menggalak Lebih Anak Muda Menceburi Bidang Pertanian

Dr Rundi juga mengkongsikan inisiatif dan usaha kerajaan Sarawak bagi menggalakkan lebih ramai anak muda untuk menceburi bidang pertanian berasaskan teknologi moden, termasuklah penyediaan bantuan kewangan (geran dan pinjaman), latihan pengembangan dalam aktiviti seperti pengurusan ladang, lepas tuai, penggunaan teknologi digital dan khidmat nasihat teknikal, dan pembangunan Sarawak Agrotechnology Park (SARTECH) dan Precision Farming Park yang telah dikenalpasti sebagai kawasan pengeluaran makanan menggunnakan teknologi digital seperti Internet of Things (IoT). 

Di samping itu, kerajaan Sarawak telah membangunkan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan, Agrofood Terminal dan pasar borong bagi memastikan kemampanan industri pertanian dan memperkasakan rangkaian pasaran. Dr Rundi juga memberi pandangan dan mengulas ketika ditanya mengenai potensi kerjasama dengan pihak Briar Resources Sdn Bhd, pengeluar baja pertanian rumusan khas. 

Beliau berkata “Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) mengalu-alukan cadangan kolaborasi dengan pihak swasta dalam membangunkan industri tanaman durian secara moden di Sarawak. Penggunaan teknologi moden bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengeluaran hasil tuaian tetapi pada masa yang sama juga dapat menambahbaik produktiviti dan mengurangkan kos pengeluaran tanaman. Walau bagaimanapun, perbincangan yang lebih lanjut perlu dilakukan di antara kedua-dua pihak bagi memperincikan skop kerjasama dan juga keperluan peruntukan”.


Gambar kenangan bersama dengan Dr Rundi, pihak Briar Resources Sdn Bhd, Briar Modern Technology Durian Farming dan juga AgriMag. Foto: Wizilla Janti Joshua

 


If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag