August 27 2025
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Malaysia, yang terkenal dengan perladangan secara estet sejak zaman kolonial, hanya mampu mencapai tahap sara diri beras sebanyak 65%! Negara-negara jiran semuanya mampu mengeluarkan beras 100% untuk rakyatnya, malah mampu mengeksport bagi mendapatkan tukaran asing.
Apabila keterjaminan makanan dalam negara menjadi isu di mana-mana bahagian dunia, ketidakmampuan menghasilkan makanan ruji menggambarkan betapa rapuhnya ekonomi sesebuah negara.
Terkini, Indonesia dan India secara terbuka melaungkan penutupan eksport beras, malah diikuti dengan pelbagai bahan lagi, hinggalah kepada bawang, cili kering, dal, dan sebagainya.
Secara total, dunia menghasilkan sebanyak 530 juta metrik tan beras siap dikisar setahun, dengan China dan India mendominasi separuh daripadanya. Negara-negara Asia, selain menjadi jaguh pengeluaran, turut menjadi pengguna terbesar. Beras menjadi makanan ruji hampir keseluruhan negara di dunia sebelah timur. Amerika Syarikat dan Brazil turut menjadi penyumbang terbesar, walaupun hanya mempunyai pasaran niche.
Pengeksport terbesar makanan ruji kepada separuh penduduk dunia ini ialah India dengan jumlah yang besar, diikuti oleh Thailand dan Vietnam. Asia merupakan pengguna terbesar beras. Permintaan global untuk beras sentiasa meningkat walaupun perubahan cuaca global menjadi faktor yang memperlahankan pengeluaran. Pengeluaran yang mampan sentiasa menjadi matlamat, seperti penjimatan air dalam penanaman dan teknik tanaman yang melestarikan alam sekitar.
Inovasi Dan Budaya Dalam Industri Padi
Institut penyelidikan, universiti dan sektor swasta sentiasa bekerja keras mencari varieti yang memberi hasil tinggi, kebal terhadap penyakit dan perosak, serta dapat beradaptasi dengan perubahan cuaca global. Nilai pemakanan juga cuba ditingkatkan dan semua bahagian tanaman digunakan untuk mencapai pembaziran sifar.
Menjangkau lebih daripada sekadar sumber makanan semata-mata, penanaman padi telah menjadi sebahagian daripada budaya dan cara hidup tempatan. Walaupun tahu bertani padi tidak akan menjadikan mereka kaya, aktiviti bertani diteruskan juga demi legasi yang ditinggalkan nenek moyang. Situasi industri padi dan beras di Malaysia menuntut suatu reformasi dari bawah hingga ke atas jika tidak mahu membelenggu petani dan pengguna dengan masalah yang tidak kunjung padam.
Petani menanggung segala risiko perbelanjaan untuk mengeluarkan hasil, tetapi orang lain dalam rantaian perniagaan padi dan beras menyedut keuntungan. Jika rakyat yang menikmati keringat petani dengan membeli beras murah masih dapat diterima, tetapi malangnya rakyat terpaksa membayar harga beras import bagi hasil dari sawah tempatan.
Reformasi Dasar Beras Malaysia
Sebagai negara yang belum mencapai tahap sara diri bagi beras dan masih perlu mengimport 35% beras untuk kegunaan dalam negara, Malaysia memerlukan dasar yang tegas untuk jangka masa panjang. Negara pengeksport beras seperti Thailand dan Vietnam mengamalkan konsep yang bertentangan. Mereka perlu mengisar seberapa segera dan mengeksport bagi mendapatkan tukaran asing.
Sebaliknya, Malaysia memerlukan satu gred beras sahaja dengan satu harga yang terpakai di seluruh negara. Kewujudan pelbagai gred beras dengan harga yang berbeza-beza seperti sekarang memberi peluang kepada pembungkus dan pengedar memanipulasi harga demi keuntungan peribadi sahaja. Tiada perbezaan antara beras yang diimport dari Vietnam dengan hasil tanaman tempatan melainkan dibuat ujian DNA.
Adakah ekonomik pemantauan melalui DNA yang pernah dicadangkan sekadar untuk membezakan mana yang import dan mana yang lokal? Yang import belum tentu lebih baik.
Peningkatan Mutu Benih Padi Untuk Petani
Petani padi berhak mendapat benih padi yang bermutu hasil penyelidikan saintifik dan terbukti memberi nilai tambah seperti hasil yang tinggi sehingga berpotensi mencapai 10 metrik tan/hektar, tahan terhadap serangan penyakit yang dapat mengurangkan hasil secara drastik seperti hawar/bom, serta membekalkan racun rumpai yang berkesan bagi mengawal padi angin dan keladi agas.
Melantik pengeluar benih padi secara tangkap-muat, termasuk di kalangan PPK setempat dan kilang memproses benih padi yang tidak higienik, patut menjadi sejarah. Bagaimana hendak mengawal rumpai jika benih padi datang bersama benih padi angin dan sambau?
Penyesuaian Varieti Padi Mengikut Kearifan Tempatan
Benih padi tidak sepatutnya dihasilkan dalam satu saiz yang sama untuk semua keadaan! Kearifan lokal petani perlu diambil kira dan digunakan mengikut kesesuaian. Varieti yang memberi hasil tinggi di Sekinchan belum tentu dapat memberikan hasil yang sama di Tobiar.
Kawasan yang agak tinggi/darat dan mendapat bekalan air pada akhir musim pasti tidak sesuai untuk ditanam dengan varieti yang sesuai untuk tanah subur di tepi tali air yang mendapat bekalan air di awal musim. Berilah kebebasan kepada petani untuk memilih, bukan memaksa mereka. Sia-sia pengalaman mereka selama belasan tahun jika hal seperti ini perlu mengikut perintah pegawai pengembangan yang baru bergraduasi dua tahun lalu.
Politik Dalam Kalangan Petani
Petani juga terikat dengan politik, bukan politik kepartian tetapi politik dalam PPK. Asyik orang yang sama sahaja dilantik setiap tahun, selagi masih boleh berjalan walaupun terpaksa menggunakan tongkat. Jarang yang mahu melepaskan jawatan kerana mendapat peluang berniaga, daripada menabur kapur sehingga menarik padi ke kilang. Menyewa dron pula. Sudah-sudahlah, berikan peluang kepada anak muda pula.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.