October 11 2023

Program IPR INTAN Basmi Kemiskinan dengan Bertani

Program IPR INTAN Basmi Kemiskinan dengan Bertani - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Demi menyeru lebih ramai golongan muda terutama komuniti dari golongan B40 menceburi bidang agrikultur, Pusat Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) telah dilancarkan. Ia berperanan sebagai pusat perkongsian dan latihan melatih para usahawan agrikultur tentang penanaman moden, penternakan ikan dan penggunaan agro teknologi.

Dunia agrikultur sebenarnya meliputi lima cabang penting iaitu pertanian, perikanan, ternakan, industri makanan dan asas tani serta agroteknologi. Kini dengan peredaran waktu, industri agrikultur semakin berkembang dengan pelbagai kaedah dan teknologi moden yang bersesuaian dan boleh diguna pakai. 

Demi menyeru lebih ramai golongan muda terutama komuniti dari golongan B40 menceburi bidang agrikultur, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli telah melancarkan Pusat Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai pusat perkongsian dan latihan melatih para usahawan agrikultur tentang penanaman moden, penternakan ikan dan penggunaan agro teknologi. 

Program Usahawan Tani 

Kerajaan melabur sebanyak RM34.75 juta bagi program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) dengan memfokuskan pertanian dan perikanan dengan penggunaan teknologi serta kaedah moden.


Program ini menawarkan para usahawan agro latihan tentang pertanian moden sebelum mereka mula membuka ladang atau mengurus ladang sedia ada menerusi penggunaan teknologi agrikultur bagi meningkatkan hasil dan keuntungan. 

Bukan itu saja, program ini juga mensasarkan matlamat untuk meningkatkan penghasilan dan pengeluaran makanan serta sekaligus menjamin keselamatan makanan negara bagi jangka masa yang panjang. 

130 Usahawan Sertai IPR – INTAN 

Kumpulan pertama yang menyertai program usahawan tani ini adalah dari para graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga peserta yang menyertai eKasih di bawah kementerian. Seramai 130 orang peserta program usahawan tani ini akan dilatih selama 18 bulan dalam sektor agrikultur dan akuakultur.

Memetik dari The Star, kerajaan akan membantu peserta dengan menyediakan model operasi sebanyak RM3.2 juta bagi setiap pusingan dan dalam masa yang sama membimbing peserta usahawan agro ini untuk menjana pendapatan bersih antara RM2000 hingga RM2500 sebulan. 

Buka Peluang & Pelajari Agro Teknologi 

Dengan adanya program seumpama ini para usahawan agrikultur dan akuakultur berpeluang memanfaatkan segala ilmu dan kaedah pertanian dan perikanan moden dengan mengadaptasi kepada ladang para peserta usahawan ini. 

Berdasarkan temubual yang dikongsikan The Star, salah seorang peserta program, Irham Sauti yang berusia 31 tahun menyatakan bahawa menerusi program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), beliau dapat mempelajari segala ilmu tentang agro teknologi dan kemudian menggunakan kaedah yang telah dipelajari pada ladang milik ibubapanya di Kedah. 


Menurut Irham lagi, beliau berharap sektor agrikultur dapat mengembangkan pertanian fertigasi ke seluruh negeri sehingga negara tidak perlu lagi mengimport produk pertanian dari luar kerana Malaysia telah mampu membuat pengeluaran sendiri. Malah harga yang produk di pasaran juga boleh didapati dengan harga yang lebih rendah. 

Seorang lagi peserta, Alif Aiman juga mengatakan bahawa beliau berharap agar suatu hari nanti semua petani dapat mempelajari dan mengguna pakaikan pelbagai kaedah dalam agrikultur. Apatah lagi program ini juga bermanfaat dalam menyampaikan kecekapan dan produktiviti. 

Hasilkan Usahawan Profesional 

Menteri Ekonomi negara Rafizi Ramli mengatakan bahawa kumpulan pertama seramai 130 orang peserta usahawan tani ini akan difokuskan tentang pendedahan tanaman moden secara professional dan tugas berat bagi memikul tanggungjawab melatih para peserta ini adalah Universiti Putra Malaysia (UPM). 

Menurut Rafizi lagi, menerusi program IPR – INTAN ini juga bukan saja berkongsi tentang kemahiran perniagaan dan ilmu teknikal. Malah dengan program ini juga mengajar mentaliti dan kelincahan para peserta menghadapi musim tuaian sehingga berjaya.

 

26 Rakan Kongsi Strategik 

Bagi menjayakan program ini, kerajaan telah bekerjasama dengan 26 syarikat sebagai rakan kongsi yang strategik dan sekaligus memastikan pemasaran hasil tanaman dilakukan dengan baik. Bukan Itu saja dengan ekosistem yang sedia ada direka, Rafizi mengatakan dengan kajian, penilaian dan semakan berterusan ia dapat membuat penambahbaikan berkaitan dengan industri agrikultur.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag