January 11 2024

Porang Tanaman Emas Belum Popular

Porang Tanaman Emas Belum Popular - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

oleh: Jamaludin Mat Rashid

Suatu ketika dalam tahun 1942 apabila Jepun menduduki Indonesia, rakyat dikenakan perintah berkurung. Orang ramai tidak dibenarkan keluar rumah, yang degil akan ditembak tanpa amaran. Konvoi lori tentera Jepun bertali arus mengangkut muatan yang ganjil dari hutan ke pelabuhan. Yang berjaya mencuri lihat muatan lori berkenaan agak hairan kerana yang diangkut ialah umbi tanaman hutan yang dipanggil iles-iles atau porang. 

Pada zaman perang, orang menganggap apa yang diangkut Jepun berkaitan dengan pembuatan bahan letupan. Rahsia ini tersimpan kemas sehinggalah ianya terbongkar pada tahun 1975, porang yang diangkut Jepun rupanya digunakan untuk membuat beras yang dipanggil beras shirataki. Jepun telah merahsiakan perkara ini daripada rakyat Indonesia sebagai strategi perang.

Sejak 1975, petani di Indonesia sudah mengeksport porang ke China, Jepun dan Korea Selatan. Kebanyakan porang diambil dari hutan kerana porang merupakan tumbuhan endemik di Indonesia dan seluruh nusantara termasuk Malaysia. Oleh kerana harga yang sangat lumayan, berpusu-pusu penduduk desa meninggalkan kerja rutin harian mereka dan masuk hutan mencari umbisi porang untuk dijual. 

Porang tahan naungan dan dapat tumbuh di bawah rumpun buluh, pohon jati dan di bawah kanopi hutan tebal. Setiap pelosok hutan dibongkar bagi mengambil umbisi porang. 

Indonesia Sangat Memahami Nilai Ekonomi Porang

Selepas beberapa ketika porang liar semakin sukar diperolehi dan petani yang cerdas melihat jauh peluang ini dan mula menanam porang.  Porang yang ditanam dituai selepas berumur 2 - 3 tahun dan dieksport sama ada dalam bentuk umbisi yang segar atau pun cip porang nipis yang dijemur kering.

Pada 19 Ogos, 2021 petani Indonesia sekali lagi terkejut kerana porang. Presiden Indonesia sendiri, Joko Widodo mengumumkan porang akan menjadi hasil pertanian untuk eksport utama terbesar di Indonesia. Bapak presiden yang mesra disapa Pak Jokowi menegaskan sifat porang yang baik untuk pengidap diabetes, boleh mencegah obesiti dan tiada kolestrol akan menjadi superfood   rebutan penduduk dunia di masa hadapan. 

Beliau terus mengharamkan eksport porang keluar negara dalam bentuk umbisi segar melainkan diproses terlebih dahulu di dalam negara. Secara logiknya, bapak presiden mahu memaksimumkan guna tenaga tempatan dalam rantaian pengeluaran porang bagi mengeksploitasi permintaan dunia dengan mengeluarkan produk hiliran yang ditambah nilai berupa bahan makanan seperti beras shirataki, produk farmaseutikal dan bahan baku industri. 


Presiden Indonesia Joko Widodo meninjau fasiliti pabrik pengolahan porang PT Asia Prima Konjac pada tahun 2021. -Foto: BPMI Sekretariat Presiden

 


Petani dan usahawan perintis yang mengambil peluang baru ini telah mendapat pendapatan yang besar hasil dari harga jualan ke luar negara yang sangat baik. Semasa wabak Covid-19 melanda, sektor pertanian lain menunjukkan trend yang menurun di Indonesia tetapi porang memberi petunjuk yang positif sehingga dapat menarik perhatian Bapa Presiden untuk menyiasat dengan lebih mendalam lalu dengan kuasanya mengarahkan aktiviti industri porang diberi perhatian khusus oleh kementerian pertanian. Beliau turut mencabar usahawan Indonesia untuk menjalankan R&D bagi mengeluarkan produk hiliran porang. Tidak sampai 2 tahun berikutnya sudah ada kilang yang mengeluarkan tepung glukomanan dan beras shirataki  untuk pasaran eksport di Indonesia.

Keluarkan Bau Seakan-akan Bangkai Reput

Porang atau nama latinnya Amorphophallus muelleri dari famili Araceae (keladi) juga terkenal dengan panggilan bunga bangkai kerana bunga yang kembang mekar akan mengeluarkan bau seakan-akan daging atau bangkai yang mereput. Ini adalah bagi menarik perhatian serangga polinasinya berupa beberapa spesis lalat.

Tanaman herba liar dwi musim ini boleh mencapai ketinggian sehingga 1.5 meter tumbuh di bawah kanopi hutan tropika. Sosok pohonnya agak ganjil dengan batangnya yang berbatik seperti ular sawa dan daun yang berjari-jari terbit dari batang utama seakan tumbuhan primitif di zaman dinosaur. Di pertemuan batang sekunder dan ketiak daun ada bintil bulat berdiameter 10 - 45 mm yang dipanggil bubil ataupun katak. Ini adalah umbi generatif yang boleh digunakan sebagai benih, untuk tanaman generasi berikutnya. Saiznya berbeza, akan lebih besar bagi tanaman yang lebih berumur. Porang akan jadi dorman di hujung kitaran tahunannya. 



Nasi Shirataki

 

Bahagian tumbuhan atas dari paras tanah akan layu dan mengering, tinggal umbisi di dalam tanah di musim kemarau dan akan bertunas kembali apabila tiba musim hujan. Seperti kebanyakan tanaman dalam keluarga keladi, umbisi malah semua bahagian tanaman porang mengandungi kristal Kalsium oksalat yang boleh mengakibat kegatalan lidah dan kerongkong apabila dimakan.

Kaya dengan Glukomanan

Mengikut statistik tahun 2020, Indonesia mengeksport 142 ribu tan porang, 90% dalam bentuk cip/kepingan kering umbisi porang ke 3 negara pengimport terbesar iaitu Jepun, Korea dan Taiwan. Cip kering ini dikisar menjadi tepung di mana kandungan glukomanannya diekstrak. Porang varieti ubi kuning mengandungi 55% glukomanan manakala porang varieti ubi putih mengandungi 45% glukomanan. Kandungan glukomanan tinggi ialah ciri spesifik porang. Glukomanan ialah serat semulajadi dengan kandungan karbohidrat, vitamin, gula penurunan dan serat larut air.

Glukomanan ini berbentuk emulsi dan dapat dimanfaatkan sebagai pengental makanan, gam untuk badan pesawat terbang yang mesra alam, tepung alternatif yang cepat kenyang bagi tujuan diet, mengatur gula darah kepada pesakit diabetes, mempunyai anti-ghrelin yang mengawal rasa lapar dan melambat resapan karbohidrat dan membantu keluarnya kolestrol dari dalam badan melalui sistem perkumuhan. Di Jepun, Taiwan dan Korea, tepung glukomanan dibuat tohu konyaku dan mi shirataki yang popular di sana . Glukomanan juga menjadi bahan asas dan bahan pembantu bagi produksi makanan seperti jeli, sosej dan beras shirataki

Pokok porang boleh mencapai ketinggian sehingga 1.5 meter tumbuh di bawah kanopi hutan tropika.


Dalam industri kimia dan farmasi, glukomanan menjadi bahan pengisi dan pengikat tablet, lapisan penyalut boleh dimakan, bahan pelekat, glu, gam, cat, pelapis kedap air, penguat tenunan dalam industri tekstil, media pertumbuhan mikrob dalam makmal dan kertas tipis kalis air.

Di Malaysia, porang belum mendapat perhatian petani. Agak menghairankan kenapa porang boleh terlepas masuk ke sini sedangkan negara jiran sekitar ada terlibat dengan industri porang. Kemampuan porang bertahan di bawah teduhan menjadikannya berpotensi untuk ditanam sebagai tanaman selingan di bawah kebun getah, sawit dan dusun buah-buahan. Berdasarkan fakta ini, porang berpotensi menjadi satu produk pertanian penting di Malaysia. Apa lagi dengan permintaannya yang bakal tinggi sebagai makanan gaya hidup masa hadapan yang boleh menghalang penyakit diabetes, mencegah obesiti dan anti-kolestrol. Ditambah dengan kekurangan pengeluaran beras di peringkat global akibat daripada perubahan iklim, kemampuan porang untuk mengganti nasi yang menjadi makanan ruji separuh penduduk dunia menjadi jalan keluar untuk mengatasi kebuluran.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag