June 11 2025

Persediaan Berbunga Untuk Tanaman Durian

Persediaan Berbunga Untuk Tanaman Durian - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Disediakan oleh: Ali Hanafiah 

(FACULTY OF DURIAN)

Kelayakan dan Syarat Pokok Berbunga dan Berbuah

Antara penantian usaha dan penat lelah pelabur tanaman durian adalah waktu pokok mula berbunga dan berbuah. Secara umumnya, kebanyakan pokok mula menghasilkan bunga sekitar umur 5-7 tahun selepas bertanam. Walau bagaimanapun, ada juga pokok yang mula menghasilkan bunga dan berbuah dalam tempoh 3-4 tahun selepas bertanam tetapi ia bergantung kepada keadaan semasa pokok serta ketersediaan pokok ketika itu. 

Waktu Pokok Mula Menghasilkan Bunga atau Berbuah

1. Pokok layak untuk berbunga apabila ukur lilit pokok pada paras ketinggian 1.0 m - 1.2 m dari tanah adalah sekitar 25”-30”. 

2. Status daun semasa yang diperlukan ialah tahap kematangan daun sudah melebihi 75% matang tanpa kehadiran pucuk baru. 

3. Keserasian cuaca panas dan kering yang diperlukan adalah sekitar 14-21 hari bagi   membolehkan pokok mengeluarkan bunga. 


Keadaan pokok yang berumur 4 tahun yang sihat telah mencapai saiz untuk menghasilkan bunga dan buah.

 


Operasi penyiraman dihentikan dalam tempoh ini bagi memastikan keadaan tanah kering. Konsistensi cuaca amat diperlukan bagi merangsang pengeluaran bunga. Aplikasi kompos seperti FOM361 mampu mempercepatkan pengeringan kawasan kerana struktur tanah yang mempunyai bahan organik tinggi lebih mudah untuk kawalan air.

Syarat Asas Pokok Berbunga

Kesihatan Pokok

1. Keadaan pokok mestilah sihat daripada penyakit dan bebas daripada serangan perosak. Ini adalah asas utama bagi memastikan daun dalam keadaan sihat dan bebas daripada penyakit serta perosak kerana daun merupakan penentu bagi pokok menjalankan fotosintesis. Kekurangan daun yang sihat dan kerosakan pada daun mampu mempengaruhi kadar kejadian bunga serta buah. 

Contohnya, serangan hawar daun pada musim hujan (November - Disember) boleh menjadi tidak terkawal jika tidak dicegah daripada awal. Kerosakan daun yang serius boleh menyebabkan daun yang berpotensi sebagai ‘kilang makanan’ terjejas dan ini mampu menjejaskan kadar penghasilan bunga. 

Antara kawalan yang boleh dijalankan ialah menggunakan pencycuron (Monceren) dan   digilirkan dengan penggunaan Captan (Betan 80G) dengan kadar pusingan 10-14 hari sekali. 


Keadaan hawar daun yang telah kering menggunakan rcun kulat bahan aktif pencycuron dan digilir dengan captan.

 


Bancian dan rawatan pencegahan Phytophthora perlu dijalankan untuk keseluruhan lot. Bagi pokok yang mempunyai simptom serangan Phytophthora, ia perlu ditanda dan tidak disyorkan untuk pembungaan kerana tekanan yang tinggi akan meningkatkan risiko kematian pokok. 

Aplikasi racun kulat Metalaxyl-M (Fetto480) disyorkan dilakukan dengan semburan pada zon akar sebagai   pencegahan, dengan kadar bancuhan 0.25 ml/liter air. 

Persediaan Pengudaraan yang Lancar

2. Pengudaraan pada pokok perlu dipastikan lancar melalui kerja pemangkasan. Dahan yang bertindih, dahan yang rapat, dahan yang menegak dan tunas air perlu dibuang. Kerja pemangkasan perlu dijalankan dalam tempoh 4-6 bulan sebelum musim bunga. Jika pemangkasan dilakukan terlalu hampir dengan musim bunga, kadar pengeluaran bunga akan terjejas akibat pengeluaran pucuk baru. 


Aplikasi pemangkasan yang betul iaitu pemilihan dahan datar melempai dapat menghasilkan bunga dengan baik dan juga pengudaraan yang baik.

 


3. Amalan mengikis kulit kering, saprofit, dan alga pada pokok perlu dijalankan secara rutin tahunan bagi memastikan keadaan batang tidak terlalu lembap. Kehadiran alga dan saprofit seperti pokok duit-duit mampu mendominasi pertumbuhan bunga kelak. Operasi ini perlu dijalankan 4-6 bulan sebelum musim berbunga bagi mengelakkan gangguan pada zon pengeluaran bunga sekiranya dilakukan terlalu hampir dengan tempoh berbunga. 


Kerja mengikis pokok duit-duit, alga dan kulit kering secara manual menggunakan alat pengikis kulit durian.

 



Kawalan alga menggunakan teknologi Biostimulant-Amino Acid Complex (A-Taigo). Pemerhatian tindakbalas dan kesan yang dijalankan pada plot durian.

 


Aplikasi semburan Amino Acid Complex, A-Taigo dijalankan bagi mengawal kehadiran alga, lichen dan lain-lain.

 

Pengurusan Nutrisi

Syarat utama pokok untuk menghasilkan bunga ialah daun yang sihat, matang, berkilat serta   mempunyai ketebalan yang sesuai. 

Pengurusan nilai pH tanah perlu dipastikan berada dalam keadaan stabil, iaitu antara 5.5 - 6.5, dan aplikasi pengapuran cecair seperti nanocalcium perlu dijalankan untuk meningkatkan pH tanah. Kecekapan pokok dalam menyerap nutrien adalah bergantung kepada tahap pH tanah semasa. 

Aplikasi pembajaan selepas musim buah ataupun 6 bulan sebelum musim berbunga   melibatkan pembajaan kompos organik, Baja Sebatian Organik SP1 (Vegetatif) atau NPK   Vegetatif CRF (Supergreen 12:12:12) bagi   menyokong pertumbuhan dan keperluan nutrisi   keseluruhan pokok. 

Pembajaan Reproduktif seperti NPK High K dan Baja Sebatian Organik SP2 (High P&K) diperlukan selepas fasa daun hampir matang bagi merangsang pertumbuhan bunga. Kadar P dan K yang tinggi amat diperlukan oleh pokok bagi penghasilan bunga.


Keadaan daun yang matang berwarna hijau berkilat dan tiada pucuk baru menunjukkan ketersediaan pokok untuk bergerak ke fasa penghasilan bunga.

 


Ketebalan daun turut memainkan peranan penting. Daun yang tebal dan berwarna hijau berkilat menjadi syarat utama untuk penghasilan bunga. Penekanan unsur nitrogen, kalsium (A Cal Mix) dan magnesium (Green MY) diperlukan dalam pembentukan daun yang sihat dan tebal. 

Bagi meningkatkan warna hijau berkilat pada daun, aplikasi unsur fosforus diperlukan seperti dalam pembajaan foliar G232. Indikator kadar kehijauan dan kilat daun menunjukkan pokok mempunyai cukup unsur fosforus. 

Rujukan: 

1.Plot pemerhatian Jabatan Pertanian, Kg.Ulu Gali, Raub 

2.Pengurusan agronomi pokok matang, Jabatan Pertanian 

3. Durian Academy Durian Seminar, Lim Chin Khee 

4.Jutawan Jewel Plantations, Lim Chin Khee

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag