October 30 2023
Disediakan oleh: Ali Hanafiah (FACULTY OF DURIAN)
Durian adalah salah satu tanaman hutan secara semulajadi hidup meliar dan telah dikomersilkan untuk pengeluaran hasil. Umumnya habitat durian di hutan boleh mencapai umur lebih puluhan tahun dan mencecah ratusan tahun. Apakah faktor yang mempengaruhinya? Taburan durian di dalam hutan membiak melalui penyebaran semulajadi biji benih yang bertaburan disebabkan penyebaran oleh manusia, haiwan dan penyebaran biji benih ketika buah gugur. Biji benih yang tumbuh melalui fasa pemilihan semulajadi mengikut kesesuaian keadaan semasa seperti kelangsungan hidup dan ia mampu hidup dengan tempoh yang panjang tanpa penyelenggaraan berkala, pembajaan dan sistem pengairan.
Bagi penanaman secara komersil, kadar kelangsungan pokok boleh dikatakan rendah dan ia disebabkan oleh banyak faktor. Antara faktornya ialah pokok tidak dapat memenuhi tahap kesesuaian asalnya.
Artikel pada kali ini akan menceritakan tentang kepentingan penanaman penutup bumi di dalam ladang durian. Sejauh manakah penutup bumi dapat mempengaruhi kadar kelangsungan hidup tanaman?
Boleh dikatakan kadar kematian atau kerosakan pokok disebabkan oleh masalah akar yang berpunca daripada ketepuan air yang tinggi di dalam tanah. Antara faktor yang menyebabkan gejala ini adalah disebabkan oleh saliran tidak lancar dan struktur tanah yang komposisinya tidak sesuai. Sejauh manakah amalan penyimpanan penutup bumi dapat memainkan peranan di dalam komposisi tanah?
Pengurusan yang baik untuk penanaman durian adalah dengan menyimpan penutup bumi di dalam ladang.
Penutup bumi merangkumi 2 kategori iaitu penyimpanan tumbuhan bermanfaat di ladang dan juga penanaman kekacang penutup bumi. Antara tujuan utamanya adalah untuk menjadi penampan ketika kerja penyiraman ataupun hujan yang tinggi secara terus ke tanah. Tanpa penanaman penutup bumi air yang jatuh ke tanah mampu memadatkan struktur tanah dan ia akan memberi impak kepada kepadatan rongga tanah.
Melalui pemerhatian perbandingan antara dua pengurusan ladang iaitu ladang yang tidak menyimpan penutup bumi apabila berlakunya hujan, air yang terhasil daripada kebun berwarna keruh. Ini disebabkan partikel tanah telah dihanyutkan sekali oleh aliran air.
Bagi kebun yang menyimpan penutup bumi, kadar air yang lalu adalah perlahan dan warna air tersebut adalah jernih. Ia adalah indikator bahawa aliran air atau pergerakan air dipengaruhi oleh penyimpanan rumput.
Kawasan Bercerun Kesan Lebih Serius
Kesan yang lebih serius akan berlaku adalah seperti berlaku runtuhan pada kawasan-kawasan yang bercerun atau berisiko. Ia adalah salah satu langkah bagi memastikan tragedi runtuhan tanah atau hakisan dapat dielakkan.
Penyimpanan penutup bumi menjadi salah satu elemen penting di dalam standard pensijilan MyGap.
Amalan meracun rumpai secara tidak terkawal/ bersistem dan tidak menyimpan rumput mendatangkan risiko kepada kepadatan tanah ketika musim hujan dan menyebabkan kepadatan tanah.
Kandungan Organik Lebih Tinggi Dihasilkan
Antara kelebihan lain penyimpanan penutup bumi adalah kandungan organik yang tinggi mampu dihasilkan di ladang melalui proses pereputan daun kering yang mampu diuraikan di dalam tanah.
Kerja pemotongan rumput mampu menghasilkan organik semulajadi dan penguraian sisa rumputakan memberi impak kepada kandungan organik di dalam tanah.
Kehadiran organik yang tinggi berpotensi mewujudkan populasi cacing tanah yang membantu lagi pengudaraan serta rongga di dalam tanah. Secara tidak langsung ia akan meningkatkan pengudaraan, saliran dan kandungan oksigen untuk keperluan akar di dalam tanah.
Penyimpanan penutup bumi juga mampu mengekalkan atau meningkatkan kelembapan di ladang terutama apabila memasuki musim panas atau kemarau.
Ia juga mampu mengekalkan satu ekosistem yang baik kepada hidupan seperti serangga yang turut berfungsi menjadi perumah kepada serangga pemangsa.
Amalan ini mampu mengimbangi populasi dan juga serangan serangga perosak. Melalui pemerhatian, kadar serangan belalang kepada tanaman adalah lebih kritikal jika tiada amalan penyimpanan penutup bumi. Ketika cuaca panas yang panjang, kadar serangan didapati meningkat kerana tumpuan makanan dan kelembapan hanya pada kawasan pokok durian sahaja. Melalui amalan penyimpanan penutup bumi, ia mampu mengurangkan kadar serangan kerana tumpuan makanan boleh didapati pada tanaman penutup bumi dan secara tidak langsung ia mampu mewujudkan ekosistem yang baik untuk alam.
Antara amalan ladang yang dipraktikkan adalah:
a. Penanaman kekacang penutup bumi seperti Mucuna bractaeta, Arachis pintoi, Pueraria javanica, Centrosema pubescens dan lain-lain.
b. Penyimpanan rumpai bermanfaat di dalam ladang
Kerja merumpai dijalankan hanya pada lorong dan bulatan kanopi pokok sahaja. Hanya rumput lembut (tidak berkayu) disimpan di dalam ladang. Contoh rumpai yang bermanfaat yang ditinggalkan di dalam ladang adalah seperti Asystasia intrusa, Micania micrantha dan lain-lain.
Pemerhatian awal mendapati rumpai bermanfaat ini serasi dan tidak memberi sebarang kesan kepada tanaman durian dari segi tumbesaran dan hasil.
c. Penyimpanan rumput kerbau (cow grass) dan amalan pemotongan rumput berkala
Melalui pemotongan rumput mengikut jadual mampu menghasilkan suasana yang sesuai untuk ladang durian dan menjadi landskap yang baik.
d. Aplikasi sungkupan sisa potongan rumpai
Amalan menyungkup pangkal pokok dengan sisa potongan rumpai dan sisa pangkasan dapat menyumbang kadar organik melalui sisa pereputan semulajadi.
Aplikasi sungkupan ini dijalankan dengan mengumpulkan sisa potongan rumput yang telah kering dengan ketebalan 2”-3” di sekitar pangkal pokok dan amalan yang berterusan akan menghasilkan zon sungkupan yang luas.
Masalah kawalan rumpai di pangkal pokok dapat dikawal dan memudahkan operasi kerja memotong rumput tanpa mencederakan pokok akibat kerosakan ketika memotong rumput.
Melalui pemerhatian, sisa potongan rumput yang kering akan mengundang cacing tanah yang turut membentuk satu kitaran semulajadi di dalam tanah. Kehadiran cacing akan menguraikan lagi sungkupan tersebut dan populasi cacing dapat menggemburkan tanah secara langsung meningkatkan kadar oksigen di dalam tanah.
Kadar pereputan yang cepat bagi rumpai lembut dan kawalan serangga berjadual mampu menyingkirkan andaian serta kemungkinan kaedah ini akan mengundang serangga perosak seperti anai-anai.
Melalui pemerhatian dan pengalaman pengusaha durian, kaedah yang diamalkan ini mampu mengolah serba sedikit habitat asal durian untuk penanaman secara komersil.
Kajian lebih lanjut perlu dijalankan agar ia boleh menjadi panduan bagi memperkasakan kelestarian industri durian.
Rujukan:
Jabatan Pertanian Malaysia, 2020, Garis Panduan Pembangunan Tanah Bercerun
Mohd Ali Hanafiah, 2016, Pembangunan Ladang Durian
Faculty of Durian, 2016, Pengurusan Rumpai
First Lady Durian Farm, 2021
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.