March 14 2025

Pengeluaran Cendawan Tanpa Kukus dan Dedak

Pengeluaran Cendawan Tanpa Kukus dan Dedak - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Bushral Karim Md Yusob

Cendawan semakin popular di Malaysia, bukan hanya sebagai makanan yang lazat tetapi juga sebagai peluang perniagaan yang berpotensi memberikan pulangan lumayan. 

Walaupun begitu, banyak cabaran dihadapi oleh pengusaha cendawan, dan kegagalan kerap berlaku disebabkan penggunaan kaedah konvensional dalam penanaman cendawan. 


Encik Ayob Hashim, graduan bidang seni bina, telah membuat inovasi dalam tanaman cendawan.

 


Permintaan terhadap cendawan seperti cendawan tiram, lingzhi, dan cendawan butang adalah tinggi, baik di pasaran tempatan mahupun antarabangsa. Penanaman cendawan memiliki beberapa   kelebihan, termasuk kos permulaan yang lebih rendah berbanding tanaman lain, keperluan ruang yang kecil, dan tempoh pengeluaran yang pantas, iaitu antara 30 hingga 40 hari selepas penanaman. 

Selain itu, cendawan tidak memerlukan sistem   saliran yang rumit serta tidak menggunakan baja atau racun, menjadikannya mesra alam dan   membantu mengurangkan pencemaran. Namun, cabaran utama dalam penanaman cendawan adalah memastikan kesinambungan pengeluaran dan mengekalkan hasil yang tinggi. 

Proses   konvensional seperti penyediaan bongkah cendawan, pengukusan, dan kawalan penyakit sering menjadi halangan kepada pengusaha, terutama apabila   hasil mula merosot selepas beberapa kitaran. Dalam situasi ini, inovasi diperlukan untuk memastikan   keberkesanan dan kelestarian pengeluaran. 

Kisah Kejayaan En. Ayob Hashim

En. Ayob Hashim, seorang graduan Amerika   Syarikat yang kini berusia 60 tahun, mula terlibat   dalam perusahaan cendawan pada tahun 2018. Setelah membeli sebuah ladang cendawan di   Daerah Kulim, Kedah, beliau menghadapi pelbagai cabaran, termasuk serangan kulat hijau, kulat oren, dan serangga perosak. 


Pada awalnya, beliau   menggunakan kaedah konvensional yang melibatkan penyediaan bongkah cendawan dengan campuran habuk kayu dan dedak yang perlu dikukus. Keadaan menjadi lebih mencabar apabila pandemik COVID-19 melanda pada tahun 2020. Sekatan pergerakan menyebabkan gangguan bekalan dedak dan operasi ladang terjejas. 

Dalam keadaan ini, En. Ayob mengambil inisiatif untuk mendalami kajian mengenai penanaman cendawan. Beliau merujuk kepada jurnal penyelidikan antarabangsa dari era 80-an dan 90-an yang membincangkan kaedah penanaman cendawan tanpa proses   pengukusan dan tanpa penggunaan dedak. 

Hasil daripada kajian tersebut, En. Ayob mengenal pasti kehadiran bakteria tertentu yang mampu   hidup secara simbiosis dengan miselium cendawan t iram. Bakteria ini bukan sahaja membantu   pertumbuhan miselium tetapi juga berfungsi   mengawal pertumbuhan kulat hijau dan lain-lain perosak. Berdasarkan penemuan ini, beliau   menghasilkan serum nutrisi yang diberi nama “SuperbGrow”. 

Gabungan SuperbGrow yang dicairkan dan dicampur ke dalam media sehingga menjadi kental.

 


Inovasi SuperbGrow

SuperbGrow adalah hasil usaha penyelidikan dan eksperimen En. Ayob yang bertujuan mengatasi kelemahan dalam kaedah konvensional. Serum ini digunakan sebagai nutrisi tambahan dalam bongkah cendawan. 

Kaedah baru ini menghapuskan keperluan untuk mengukus bongkah dan menggunakan dedak, menjadikan proses lebih cekap dan kos efektif. Dalam kaedah konvensional, bongkah cendawan perlu dikukus selama empat jam untuk membunuh bakteria dan kulat perosak. 

Namun, proses ini turut memusnahkan bakteria baik yang diperlukan   untuk membantu pertumbuhan cendawan. Dengan SuperbGrow, bongkah hanya perlu diperam selama seminggu setelah dicampur dengan habuk kayu dan serum tersebut. Proses ini memanfaatkan bakteria baik yang mampu melawan bakteria jahat secara semula jadi. Kaedah ini telah terbukti berjaya di ladang En. Ayob dan beberapa ladang lain. 


Miselium mula merebak dalam media. Benih boleh diletakkan di bahagian bawah, tengah, atau atas. Jerami padi juga boleh digunakan kerana ia mudah diperoleh dalam kuantiti yang banyak dan percuma.

 


Selain meningkatkan hasil pengeluaran, cendawan yang dihasilkan mempunyai tekstur dan rasa yang lebih baik. Dalam satu kursus penanaman cendawan pada Disember 2024, 75% peserta memilih cendawan yang dihasilkan menggunakan kaedah alternatif ini kerana lebih kenyal dan sedap. 

Pengiktirafan dan Impak

Inovasi En. Ayob menarik perhatian Jabatan Pertanian Malaysia. Pada Hari Inovasi Jabatan   Pertanian 2023, beliau dianugerahkan Anugerah Emas atas kejayaannya memperkenalkan kaedah penanaman cendawan tanpa pengukusan dan tanpa dedak. Kaedah ini dianggap sebagai yang pertama seumpamanya di dunia. 

Dengan kaedah ini, pengusaha tidak lagi perlu melabur dalam peralatan mengukus yang mahal atau membeli dedak. Selain menjimatkan masa dan tenaga kerja, kaedah ini juga mesra alam. Media penanaman hanya memerlukan campuran habuk kayu dan SuperbGrow, menjadikan proses lebih mudah dan kurang bergantung pada bahan luar. 


Miselium mula menguasai habuk kayu dalam bongkah.

 


Masa Depan Penanaman Cendawan

Setelah tiga tahun menguji kaedah ini, En. Ayob kini giat memperkenalkannya kepada pengusaha cendawan di seluruh negara. Beberapa pengusaha seperti En. Fahrudin dari Kulim, Pn. Maznah dari Gemas, dan Pn. Zuraanita dari Kota Tinggi telah berjaya mengadaptasi kaedah ini dengan hasil yang memberangsangkan. 

Dengan inovasi seperti SuperbGrow, industri   penanaman cendawan di Malaysia berpotensi berkembang pesat, memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa. Kejayaan En. Ayob bukan sahaja membuktikan pentingnya inovasi dalam pertanian tetapi juga membuka jalan bagi pendekatan yang lebih lestari dan menguntungkan dalam penanaman cendawan.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag