July 01 2024

Pendedahan dan Ketahui Gejala Penyakit Udang

Pendedahan dan Ketahui Gejala Penyakit Udang - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Wizilla Janti Joshua

Penularan penyakit dalam industri akuakultur telah dikenalpasti dari semasa ke semasa mengikut spesis ternakan. Usaha seperti ini pada amnya telah dilakukan oleh pakar-pakar yang mengkaji dan mengetahui jenis-jenis penyakit serta gejalanya dalam usaha untuk memberi pengetahuan kepada para penternak. 

Penularan penyakit merupakan salah satu cabaran yang besar bagi penternak dan pengusaha ternakan akuakultur dan langkah pencegahan dan rawatan haruslah dijalankan dengan segara. 

Melalui perkongsian dari Dr. Wan Zabidii Wan Morni, Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu di AgTech International Expo 2024,  ternakan udang juga menghadapi pelbagai masalah penyakit dan ianya adalah sesuatu yang sangat membimbangkan bagi para penternak kerana ianya akan menyebabkan kualiti udang menurun.

Terdapat beberapa jenis penyakit udang yang telah diidentifikasi. Ianya terbahagi kepada 3 kategori iaitu jangkitan virus, bakteria dan juga kulat. Dr. Wan turut berkongsi mengenai agen etiologi atau lebih dikenali sebagai penyebab atau pembawa penyakit. Tambahan, tanda-tanda klinikal juga boleh menjadi rujukan kepada para penternak untuk memastikan kesihatan udang sentiasa terjamin.

Berikut merupakan penyakit-penyakit udang mengikut kategori dan juga agen etiologi atau dikenali sebagai agen penyebab:

Jangkitan Virus

Beberapa jangkitan virus pada ternakan udang seperti udang harimau hitam (Penaeus monodon), udang putih (Litopenaeus vannamei), dan udang galah (Macrobrachium rosenbergii) bersama dengan tanda-tanda klinikal yang boleh menjadi rujukan para penternak adalah seperti yang berikut.


Ternakan udang merupakan salah satu industri yang mudah terdedah kepada jangkitan penyakit. Ianya merupakan isu yang menjadi tumpuan para penternak udang di Malaysia.

 

Monodon Baculovirus (MBV) atau dikenali juga sebagai Baculovirus Sfera adalah penyakit jangkitan virus yang disebabkan oleh baculovirus jenis Penaeus monodon. Beberapa tanda klinikal yang boleh diperhatikan sekiranya udang ternakan dijangkiti virus ini adalah penurunan berat udang yang ketara.

Selain itu, pencemaran sekunder pada insang dan permukaan badan udang oleh ektoparasit (Zoothamnium spp. dan Vorticella spp.) boleh diperhatikan dari semasa ke semasa. Jangkitan yang lebih serius boleh menyebabkan kehilangan sel epitel hepatopancreas pada udang dan menjadikan udang kurang aktif.

Jangkitan virus seterusnya adalah Hepatopancreatic parvo-like virus (HPV). Ianya disebabkan oleh virus seakan-akan parvo. Ternakan udang yang dijangkiti oleh virus ini akan menunjukkan kadar pertumbuhan yang minimal. Pengumpulan bahan asing pada permukaan badan dan insang udang dapat dilihat ketika jangkitan virus ini berlaku dan terdapat pengurangan aktiviti membersihkan badan (preening activity) udang. Hepatopancreas udang juga wujud tanda keputihan yang ketara berbanding dengan udang yang sihat.

Jangkitan Nekrosis hipodermal dan hematopoietik berjangkit (IHHN) adalah berpunca dari Parvovirus. Ianya menyebabkan kadar pertumbuhan udang menurun dan menjadi tidak sekata pada tahap tumbesaran udang juvana dan udang subdewasa. Sindrom kecacatan pada udang seperti kecacatan pada antena udang dapat diperhatikan pada udang yang dijangkiti oleh virus ini. Contoh tanda klinikal lain yang boleh dirujuk oleh para penternak udang ialah udang harimau hitam (Penaeus monodon) akan kelihatan seakan-akan kebiru-biruan. 

Penyakit bintik putih juga merupakan sejenis jangkitan virus pada udang dan disebabkan oleh Whispovirus. Ternakan udang yang dijangkiti oleh virus ini akan menunjukkan tanda klinikal seperti cangkerang longgar. Pada masa yang sama, bintik-bintik putih, iaitu kalsium putih tertanam pada cangkerang juga dapat diperhatikan. Namun begitu, penyakit bintik putih masih boleh menjangkiti udang tanpa tanda klinikal ini. Selain bintik putih, permukaan badan udang kelihatan merah atau merah jambu gelap dan usus tengah mempunyai garis keputihan sepanjang abdomen. Kebiasaannya penyakit ini menjangkiti larva dan pasca larva udang.


Penjagaan rapi dan kepakaran yang khusus adalah penting dalam usaha untuk memastikan udang ternakan bebas dari sebarang jangkitan penyakit kerana ianya mampu menjejaskan kualiti udang yang dituai.

 


Penyakit kepala kuning juga adalah salah satu penyakit yang tidak asing lagi dalam ternakan udang dan ianya disebabkan oleh Yellowhead virus (YHV), iaitu virus seakan-akan corona-RNA virus. Tanda klinikal yang dapat diperhatikan ialah insang udang akan kelihatan berwarna kekuningan atau kecoklatan. Tambahan, cephalothorax udang akan berwarna kekuningan dan terdapat kelunturan pada warna badan. Kelenjar pencernaan udang juga akan kelihatan bengkak dan kepala udang kelihatan berwarna kekuningan. 

Sindrom taura adalah penyakit yang dibawa oleh Taura syndrome virus (TSV). Ianya dapat dikesan melalui tanda klinikal seperti permukaan udang kelihatan merah kepucatan. Selain itu, cangkerang udang akan menjadi lembut dan usus kosong. Ini menjurus kepada kematian ternakan udang pada tahap molting (pertukaran kulit). 

Penyakit ekor putih pada udang pula adalah disebabkan oleh Macrobrachium rosenbergii Nodavirus (MrNV) dan virus kecil tambahan (Extra small virus) (XSV). Tanda klinikal yang ketara adalah abdomen atau bahagian badan, terutamanya ekor udang kelihatan legap dan berwarna putih. Perubahan warna ini selalunya bermula dari ekor dan beransur sehingga bahagian kepala. Pasca larva udang yang dijangkiti akan kelihatan keputihan dan lebih legap berbanding dengan pasca larva udang yang tidak dijangkiti. Jangkitan virus ini boleh menyebabkan kematian pada pasca larva udang yang tinggi sehingga 95%. 

Myonekrosis berjangkit adalah dibawa oleh Virus myonekrosis berjangkit. Jangkitan virus ini boleh dilihat melalui tanda kasar dan kematian secara mengejut. Pada masa yang sama, tahap awal jangkitan virus sehingga tahap kronik juga dapat diperhatikan melalui kematian secara berterusan. 

Jangkitan Bakteria

Selain daripada jangkitan virus, jangkitan bakteria juga adalah antara cabaran yang dihadapi dalam ternakan udang. Beberapa jenis jangkitan bakteria turut dikongsikan oleh Dr. Wan adalah seperti yang berikut. 

Hepatopankreatitis nekrotik yang diakibatkan oleh sejenis alpha-proteobacterium, iaitu bakteria NHP. Pada luarannya, udang ternakan yang telah dijangkiti oleh bakteria ini akan kelihatan lesu dan tidak aktif. Ini turut menyebabkan tumbesaran udang terbantut dan menjadi minimal dan berkurangan. Selain itu, tanda klinikal yang boleh diperhatikan ialah cangkerang udang akan menjadi lembut dan terdapat tanda kehitaman pada insang udang. 

Vibriosis luminesen pula adalah jangkitan bakteria yang disebabkan oleh Vibrio harveyi dan Vibrio vulnificus. Jangkitan bakteria ini boleh menyebabkan kadar kematian yang tinggi terutamanya pada tahap udang juvana. Tanda klinikal lain yang dapat dikesan ialah udang akan timbul di atas permukaan air atau pada tepi kolam dan seakan-akan bercahaya, hampir mati dan timbul. Selain itu, tingkah laku berenang secara menegak dapat diperhatikan pada udang sebelum kematian secara mendadak berlaku. 

Penyakit Nekrosis Hepatopankreas Akut (AHPND) adalah disebabkan oleh Vibrio parahaemolyticus. Bakteria ini telah dikenalpasti dan dibawa oleh beberapa perumah termasuk udang vaname (Penaeus vannamei), Penaeus chinensis, Penaeus japonicus dan Artemia. Tanda klinikal yang boleh diperhatikan ketika jangkitan ini ialah perut dan usus udang akan kelihatan legap, keputihan, lembut dan kosong. Selain itu, kehadiran sisa buang berwarna putih dalam tangki atau kolam ternakan juga dapat dilihat. Jangkitan yang serius akan mengakibatkan kadar kematian sehingga 80% hingga 100% dari keseluruhan ternakan, kebanyakannya dijumpai pada bahagian bawah kolam atau tangki ternakan. Udang juga akan menunjukkan tingkah laku melompat keluar dari air sebelum mati. Untuk sesetengah tahap jangkitan, kadar kematian tinggi akan dapat diperhatikan seawal 10 hingga 30 hari selepas stok udang dimasukkan pada kolam atau tangki ternakan. 

Jangkitan bakteria yang dikenali sebagai Mikrosporidiosis Hepatopankreas (HPM) pula adalah disebabkan oleh patogen, Enterocytozoon hepatopenaei (EHP). Jangkitan bakteria ini mampu mempengaruhi kadar tumbesaran ternakan udang dan menyebabkan pertumbuhannya terbantut dan mengambil masa yang lama untuk membesar. Selain itu, jangkitan ini akan menyebabkan sisa buangan udang berwarna keputihan dan tidak menunjukkan kesan pada aktiviti pemakanan dan kematian udang. Selalunya, bakteria ini menjangkiti tahap pasca larva ke udang dewasa. 


Contoh udang ternakan yang terkena jangkitan penyakit kepala kuning atau yellow head virus. Kepala udang kelihatan berwarna kekuningan dan terdapat kelunturan pada warna badan.

 

Jangkitan Kulat 

Penyakit kulat juga telah diidentifikasi dalam ternakan udang. Ianya juga mampu mempengaruhi kualiti ternakan udang. Di antara jangkitan kulat yang dijumpai pada ternakan udang adalah seperti yang berikut. 

Mycosis larva adalah jangkitan kulat yang dibawa oleh kulat berfilamen dari genus Lagenidium spp. dan juga kulat berfilamen lain seperti Sirolpidium spp. dan Haliphthoros spp. Ianya selalu menyerang telur atau larva udang. Ketika jangkitan ini berlaku, telur dan larva udang akan kelihatan lemah dan berwarna keputihan. Kulat mycelium akan mengantikan tisu larva dan bercabang kepada semua bahagian pada badan udang sehingga ke luar badan udang dan membentuk sporangia. Keadaan ini boleh menyebabkan kadar kematian mencecah sehingga 100% dalam masa dua hari. 

Penyakit insang hitam pula adalah disebabkan oleh Fusarium spp. dan Aspergillus spp. iaitu spesis fungi yang berfilamen. Tanda klinikal ketara yang dapat diperhatikan pada ternakan udang yang dijangkiti oleh penyakit ini ialah terdapat penempelan berwarna kehitaman pada sebelah atau kedua-dua insang udang. Fungi berbentuk bulat dapat dilihat melekat pada nodul insang udang dan ini menyebabkan perubahan warna insang dari kecoklatan ke warna kehitaman, dan selalunya udang juvana akan terkesan oleh penyakit ini. 

Jangkitan Parasit 

Jangkitan parasit juga boleh mempengaruhi kesihatan udang dan juga mengurangkan kualiti ternakan udang. Salah satu penyakit jangkitan parasit yang telah dikongsikan oleh Dr Wan ialah penyakit udang kapas. Penyakit ini dibawa oleh mikrosporidia seperti Thelohania spp., Nosema spp. dan Pleistophora spp. Udang yang dijangkiti oleh parasit ini akan berwarna legap dan seolah-olah masak. Tambahan, mikrosporidia akan mengantikan insang, otot, gonad dan hepatopancreas pada udang dan menyebabkan nekrosis pada bahagianbahagian tersebut. Kadar kematian yang rendah dan berterusan boleh diperhatikan dari masa ke semasa.

Cara Pengawalan Penyakit 

 Cara pengawalan penyakit juga turut dikongsikan oleh Dr. Wan. Ianya penting untuk menggelakan dan mengawal tahap jangkitan penyakit pada ternakan udang. Kerugian yang berterusan juga dapat dielakkan melalui pengawalan penyakit. Latihan atau kesedaran mengenai topik ini dapat membantu para penternak untuk mengambil langkah berjaga-jaga. Tambahan lagi, Dr. Wan turut menyatakan sekiranya jenis jangkitan telah identifikasi, jangkitan tersebut haruslah dikawal dengan serta-merta untuk mengelakkan jangkitan dari merebak ke kolam ternakan berdekatan atau kawasan punca air berdekatan. Selain itu, pihak berkuasa juga harus dimaklumkan dengan kadar segera untuk membantu menyebarkan maklumat mengenai jangkitan penyakit udang kepada pengusaha atau penternak udang yang lain. 

Kawalan Perosak dan Pemangsa 

Kawalan perosak dan pemangsa juga merupakan aspek yang penting sebagai langkah untuk mengelakkan jangkitan atau penyebaran penyakit. Perosak atau pemangsa seperti burung bangau, buaya dan memerang merupakan makhluk yang biasa dijumpai pada kolam ternakan udang. Pengusaha ternakan udang haruslah mampu mengawal risiko serangan perosak dan pemangsa kerana ianya berkemungkinan merupakan agen penyebaran penyakit dan mampu menganggu ternakan. Salah satu daripada langkah yang boleh diambil ialah sentiasa memastikan kawasan sekitar kolam sentiasa bersih. Pemeriksaan kolam secara berkala juga harus dilakukan untuk memastikan keadaan kolam bebas dari serangan perosak dan pemangsa.


Dr. Wan Zabidii Wan Morni, Pensyarah Kanan UPM Kampus Bintulu.

 

Langkah kebersihan juga amat penting dalam membendung atau mengawal masalah jangkitan penyakit dalam ternakan udang.

Pembinaan rangka bio-keselamatan fizikal seperti perangkap, pagar dan juga jaring burung merupakan langkah fizikal untuk mengelakkan perosak seperti burung dari masuk ke kawasan ternakan. Pada masa yang sama, haiwan peliharaan dan haiwan domestik juga harus dielakkan dan memasuki kawasan ternakan udang. Tambahan lagi, langkah pembasmian juga harus dilakukan pada kawasan masuk dan keluar dari tempat ternakan udang menggunakan mandian kaki (foot bath) yang mengandungi potassium permanganate atau menggunakan iodophore. Begitu juga dengan peralatan yang digunakan di dalam kawasan penternakan, ianya harus dibasmi setiap kali selepas penggunaan untuk mengelakkan pencemaran bersilang. Dr. Wan juga menyarankan bahawa untuk kawasan ternakan udang, cuma satu pintu masuk dan keluar sahaja dibenarkan untuk mengurangkan pergerakan yang menyebabkan pencemaran atau membawa sumber pencemeran ke kawasan ternakan. 

 

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag