November 10 2025
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Perjalanan kami menyusuri jalan tar mini menuju ke kebun kopi Pak Lang Che Nai di Kampung Bandar Hilir, Daerah Sik, Kedah disambut dengan bau harum semerbak seakan-akan bunga melur. Setiba di pintu kebun, kelihatan bunga kopi yang memutih pada setiap pohon, berbaris seperti askar menyambut ketibaan kami. Cantik sungguh, mengalahkan bunga Tekoma di Bandaraya Alor Setar. Daerah Sik yang mempunyai cuaca kering pada bulan Disember dan Januari pada setiap tahun merangsang pokok-pokok kopi mengeluarkan bunga.
Che Nai Hassan, 65, yang lebih mesra disapa Pak Lang, mengusahakan kebun kopi varieti Robusta seluas tujuh relung (4.8 ekar).
Pokok-pokok kopi yang telah berusia sembilan tahun dengan jumlah 2000 pokok kelihatan renek berbanding usianya, jauh dari apa yang saya bayangkan.
Menurut Pak Lang, pokok kopinya dibuat pemangkasan (pruning) pada setiap kali selepas penuaian buah musim utama bagi mengawal ketinggian.
Tanpa pemangkasan, agak sukar untuk memetik buah kerana terpaksa melentur pokok yang mungkin membuatkan dahan patah. Lagipun, pokok yang meninggi seperti galah mempunyai sedikit ranting sekunder yang mengeluarkan buah.
Pak Lang menyimpan empat tunas utama dari perdu yang kemudian dipangkas lagi bagi membentuk pokok yang rimbun dan mempunyai ranting buah yang banyak serta rendah.
Jika terdapat pokok yang malas berbuah atau mengeluarkan buah yang kecil, Pak Lang akan membuat cantuman baji pada tunas utama semasa ia masih muda dengan tunas dari pohon yang berkualiti dan berhasil tinggi.
Pak Lang menggunakan sumber mata tunas kopi Robusta asal Ivory Coast yang dibekalkan oleh Jabatan Pertanian. Pak Lang mempunyai kemahiran yang sangat tinggi dalam bidang agronomi tanaman kopi, dari pengurusan tapak semaian hinggalah membuat pembiakan tampang dan cantuman.
Ini tidaklah menghairankan kerana Pak Lang pernah bertugas di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Caruk Tualang yang mengusahakan tanaman kopi.
Mesin dua dalam satu ini memproses hingga 50 kg buah kopi sehari, menanggalkan kulit dan mengeluarkan biji siap panggang.
Dari sinilah Pak Lang menimba ilmu dan terus jatuh cinta dengan tanaman kopi di bawah seorang mentor yang dipinjamkan oleh sebuah syarikat pengeluar produk kopi terkemuka.
Selepas bersara, Pak Lang membuka kebun kopi sendiri bagi meneruskan minatnya dan menjadi contoh kepada usahawan lain di Sik.
Kepakaran Rawatan dan Proses Penuaian Kopi
Selain mengusahakan kebun kopi dan memproses biji kopinya sendiri, Pak Lang adalah seorang perawat yang handal. Beliau mahir dalam rawatan patah tulang, terseliuh, dan salah urat.
Ramai juga yang datang mendapatkan rawatan untuk penyakit kayap. Kini tidak ramai yang mampu merawat penyakit rare ini.
Pak Lang hanya menggunakan bedak sejuk (bedak buatan tradisi berasaskan beras) dan herba-herba kampung seperti setawar dan sagu bemban untuk merawat kayap.
Pemprosesan dan Penjemuran Biji Kopi
Jabatan Pertanian ada membekalkan mesin bagi memproses biji kopi. Mesin dua dalam satu ini mampu memproses buah kopi sehingga 50 kilogram sehari bagi membuang kulit luar kopi dan mengeluarkan selapus biji sehingga siap untuk dipanggang.
Sebelum buah kopi dapat diproses, ia perlu dijemur dahulu hingga kering supaya kulit luar mudah tanggal. Buah kopi yang dibawa balik dari ladang diserakkan ke atas kain terpal tebal dan dijemur selama tujuh hari dalam panas matahari untuk mengeringkan, kadangkala lebih lama jika cuaca mendung.
Mujurlah kopi Robusta yang ditanamnya mampu masak serentak pada musim panas, kerja menjemur tidaklah menjadi masalah.
Kadangkala ada juga buah dari luar musim tetapi jumlahnya tidak banyak. Memadailah dikeringkan sedikit-sedikit dan diproses untuk kegunaan sendiri. Biasanya kualiti buah luar musim utama lebih rendah.
Pengurusan Kebun dan Musim Penuaian
Kebun seluas tujuh relung itu hanya diusahakan sendiri oleh Pak Lang. Hanya kerja membaja perlu dilakukan sebanyak empat pusingan setahun, setiap tiga bulan sekali.
Baja dibekalkan oleh Jabatan Pertanian, kadangkadang Pak Lang membeli sendiri baja organik bagi meningkatkan kesuburan tanah.
Cuma pada musim buah masak ranum, beliau dibantu oleh anak-menantu bagi mempercepatkan kerja penuaian sebelum musim hujan tiba.
Rumah pengering biji kopi yang disumbangkan oleh Jabatan Pertanian.
Hujan yang menimpa buah masak akan membuatkan buah menjadi hitam dan menurunkan kualiti biji kopi selepas diproses.
Antara masalah utama ialah musang dan kelawar yang memakan buah masak sebelum siap dituai.
Musang tidak mengurangkan hasil dengan banyak, tetapi kelawar memberi masalah jika tidak dikawal. Kelawar dapat dikawal dengan memasang pukat burung (cloud net).
Seekor dua yang tersangkut di pukat akan membuat bising dan menjauhkan kawanan yang lebih besar supaya tidak datang merosakkan buah kopi.
Semasa penuaian, semut kecil yang bersarang di gugusan buah kopi agak menjengkelkan kerana dapat memasuki baju dan merayap ke seluruh tubuh. Semut yang dipanggil Semut Biawak Jatuh ini sangat menyukai pokok kopi dan sangat sakit bila menggigit.
Terdapat juga kerengga yang dapat dikawal dengan membakar sarangnya menjelang buah masak dan menggunakan semburan kabus penghalau nyamuk.
Pasaran dan Pemprosesan Akhir
Pak Lang membekalkan majoriti biji kopi yang siap diprosesnya kepada Nestle, sebuah pengilang makanan antarabangsa yang mengeluarkan kopi jenama Nescafe Kopi Kedah.

Serbuk kopi segera menggunakan 100% biji kopi Robusta itu dikemas dalam tin ala era awal 1900-an dengan motif batik yang sangat menarik untuk dijadikan ole-ole ketika berkunjung ke Kedah.
Iklan yang muncul di kaca televisyen bagi mengiklankan Nescafe Kopi Kedah menggunakan imej yang menyerupai Pak Lang Che Nai, penulis hampir tertipu dengannya. Selain itu, Pak Lang juga ada menggoreng (memanggang) kopi dengan cara tradisi.
Kopi digoreng menggunakan kayu api dalam kuali besar dan dicampur gula karamel hasil memasak gula putih dan gula merah.
Campuran biji kopi dan karamel yang dibiarkan keras dan sejuk, dimesin pada dua hari kemudian bagi menghasilkan serbuk kopi khas untuk membancuh "kopi O".
Pengunjung yang datang berubat di rumahnya tidak lepas mendapat bekalan serbuk kopi yang dibungkus tanpa jenama dengan harga RM5 bagi pek 250 gram.
Begitu juga dengan penduduk kampung dan warung kopi sekitar Sik, hanya kopi Pak Lang yang dicari. Kalau bekalan terputus, barulah dibeli kopi serbuk dari kedai runcit.
Biji kopi mentah pula dijual dengan harga RM25-30 sekilogram. Ramai pengusaha kafe mendapat bekalan biji kopi dari Pak Lang dan memanggangnya dengan resipi sendiri.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.