May 15 2024

Memelihara Kakaktua Jenis Hobi Mahal dan Eklusif

Memelihara Kakaktua Jenis Hobi Mahal dan Eklusif - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Memelihara burung lahir dari kekaguman melihat keindahan kejadian tuhan berupa makhluk yang berbulu cantik dan mampu terbang. Tanpa sedar orang meminati burung mempunyai minat ini sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Ahli psikologi mendapati peminat burung mempunyai karakter yang tersendiri, agak misteri dan rapuh. Lambang burung dikaitkan dengan kebebasan dan keamanan seperti simboliknya burung merpati putih yang dilepaskan ketika perasmian sukan. Tidak hairanlah jika ada peminat burung sanggup berbelanja besar hingga berpuluh ribu ringgit bagi mendapatkan seekor burung impiannya, burung kakaktua atau parrot.


Cockatoo

 


Burung kakaktua jarang tidak dapat menarik perhatian umum, apalagi bagi kanak-kanak. Kehadiran kakaktua African Grey yang mampu mengajuk sehingga seribu patah perkataan tentunya menghairankan bukan sahaja kepada kanak-kanak malah orang dewasa juga. Dengan bank perkataan yang begitu banyak dan disebut pada masa dan ketika yang betul tentulah orang menganggap ia memang boleh bercakap. Seorang peminat African Grey pernah dilaporkan membelanja sebanyak RM150k bagi dua ekor kakaktua African Grey yang berumur sekitar 1 tahun. 

Bagi kakaktua Blue and Gold pula warna birunya yang gemilang pada sayap dan warna kuning keemasan pada dadanya pasti dapat menangkap mata yang memandang. Bagi warga lama, Blue and Gold menjadi simbol kepada seorang ahli gusti yang popular di era 80-an. Burung setinggi satu meter itu akan dibawa ke atas medan tinju sambil menari-nari. Walaupun tidak dapat mengajuk suara sepetah African Grey, Blue and Gold tetap menarik perhatian, apalagi untuk swafoto.

Ramai yang berhasrat untuk memiliki kakaktua tetapi hanya segelintir yang sanggup berbelanja besar dan punyai masa dan pengetahuan untuk menjaganya. Banyak pantang larang bagi kakaktua dari sudut makanan kerana orang yang kagum dengannya sering cuba menyuapkan makanan yang ada di tangan mereka tanda penghargaan terutama bagi kanak-kanak. Kakaktua tidak boleh makan buah avacado kerana ia akan membunuhnya. Begitu juga dengan coklat dan makanan bergula dapat membuatnya sakit. Kakaktua biasanya akan makan biji-bijian seperti biji bunga matahari dan sayuran seperti brocoli dan sawi.


Conure

 


Kakaktua Putih / Alba asal Indonesia.

 


Boleh Hidup Sehingga 80 Tahun

Bagi yang mempunyai budget rendah pula, boleh memelihara budgerigar yang berharga di bawah RM100 atau lovebird , cokcatiel dan sun conure yang lebih mahal sedikit. Keempat jenis ini juga dapat menjadi haiwan kesayangan yang menarik jika disuap (hand-feeding) semasa belum tumbuh bulu dan buka mata. 

Ianya satu pengalaman yang sangat berharga bagi memahami karakter burung dari genus ini. Akan ada satu hubungan akrab yang sangat hebat antara burung dengan tuannya umpama ibu dan anak. Ada kala burung dewasa yang pernah disuap ketika baby akan memuntahkan makanan kepada tuannya, seolah-olah ingin berkongsi makanan dalam lingo mereka.

Terdapat lebih dari 20 spesis kakaktua dalam keluarga Cacatuidae dan Psittacidae di mana adanya Macaw dan Cockatoo. Keluarga kakaktua mempunyai umur yang panjang, terdapat spesis yang boleh hidup sehingga berumur 80 tahun jika diberi makanan berkhasiat dan dirawat sempurna. Ini mendatangkan masalah kepada pewaris yang ditinggalkan tetapi tidak meminati untuk menjaganya. Ada kisah menyayat hati bagaimana kakaktua menderita merindui tuan asalnya yang telah pergi. 

Lalang Kibar pemilik Kibar Exotic Pet yang berpengkalan di Surabaya memiliki seratus pasang African Grey, kakaktua yang paling handal mengajuk suara manusia, dikatakan boleh mengingati hingga seribu perkataan selain membentuk ayat menggunakan tiga perkataan sekaligus. African Grey berasal dari Afrika mempunyai permintaan yang tinggi. Harganya terus naik saban tahun kerana permintaan yang tinggi tetapi tidak ramai mempunyainya. Sepasang African Grey induk yang tengah produktif boleh dijual dengan harga RM12k sementara anaknya berharga RM5k, kira-kira 3 kali ganda berbanding harga 4 tahun lalu. Harga ini akan berganda lagi jika mempunyai warna bulu mutasi, misalnya jika ada warna merah di dada boleh mencapai harga RM42k.


Kakatua biasanya akan makan biji-bijian seperti biji bunga matahari dan sayuran seperti brocoli dan sawi.

 



Macau Blue ang Gold asal Amerika Selatan.

 


Harga African Grey naik memuncak selari dengan kenaikan popularitinya. Semakin ramai peminat mengetahui kebolehan African Grey hasil dari perkongsian pemiliknya dalam media sosial dan aktiviti pameran haiwan eksotik. Seekor African Grey jantan bernama Prudle memegang rekod dunia kerana boleh menyebut 800 perkataan. Ada juga kakaktua jenis ini boleh mengenali objek, warna dan berbalas-balas cakap.

Mesti Sentiasa Berinteraksi dengan Kakaktua

Mengikut Lalang, tuan burung mesti sentiasa berinteraksi dengannya secara berulang-ulang bagi mengukuhkan perkataan sedia ada dan memperkenalkan perkataan baru. Sebelum melatih perlu dibina hubungan supaya burung jinak dan menyukai tuannya. Walaupun semua African Grey mempunyai potensi yang sama, kebolehannya untuk mengajuk cakap bergantung kepada keakraban antara burung dan pemilik. Lalang biasanya melatih menggunakan MP3. Dulu beliau pernah memiliki seekor African Grey yang mampu mengucapkan salam tetapi sudah dijual. Walaupun tidak dilatih African Grey boleh mengajuk perkataan yang sering didengarnya. Beliau sangat berhati-hati untuk tidak mencarut dan memaki hamun di hadapan burung-burungnya, takut-takut ditiru oleh sang burung, cerita Lalang mengakhiri perbualannya.


Boleh diasuh hingga jinak dan mampu 'free-fly'.

 

 


If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag