November 08 2023
oleh: Jamalidin Mat Rashid
Beberapa baka lembu tempatan dan kacukan menjadi pilihan penternak tempatan. Antara yang popular ialah baka Kedah-Kelantan (KK), Lokal Indian Diary (LID) dan Brahman.
Baka-baka ini telah dapat beradaptasi baik dengan cuaca tempatan yang panas dan lembab.
Sejak lembu sado menjadi kegilaan penternak hobi terutama di Pantai Timur, beberapa baka eksotik yang dulu tidak pernah didengar kini menjadi perkara biasa. Antaranya Charolete, Limosine, Belgian Blue. Tetapi terdapat satu baka eksotik yang sudah lama wujud tetapi kini mendapat perhatian --penternak pedaging dan hobi kerana sangat sesuai dengan iklim tempatan, bertubuh sederhana, tidak cerewet memilih rumput dan sesuai ditempatkan di ruang yang lebih sempit iaitu Lembu Bali.
Baka Bali adalah salah satu dari 4 baka tempatan Indonesia yang masih wujud. 3 yang lain ialah baka Aceh, Pesisir dan Madura. Baka Bali banyak terdapat di Jawa, Bali, Lombok. Malah tersebar hingga ke Australia, Malaysia dan Filipina. Sebelum penggunaan trektor, lembu Bali digunakan untuk membajak dan menarik pedati. Terdapat permainan lama yang menggunakan lembu Bali dan Madura untuk berlumba selesai musim menuai atau keramaian setempat yang dipanggil Lomba Sapi.
Ibu Lembu Sorok Anak Semasa Beranak
Lembu baka Bali (Bos javanicus domesticus) (eng. balinese cow) dipercayai berasal dari Banteng liar yang dijinakkan oleh orang-orang dahulu kala sekitar tahun 3500 s.m. Setelah ribuan generasi ia menjadi haiwan ternakan yang jinak namun beberapa sifat liarnya masih kelihatan. Misalnya ketika hendak melahirkan anak, ibu lembu Bali akan menghilangkan diri dalam belukar untuk beranak dan menyorokan anaknya di sana. Walaupun mempunyai kromosom paling hampir dengan bison dan seladang, lembu Bali jauh lebih kecil dari seladang dan tidak garang.
Lembu Bali mempunyai ciri berbeza antara jantan dan betina. Lembu betina dan anak berwarna merah bata dengan garis hitam yang jelas atas tulang belakang. Anak jantan secara perlahan-lahan bertukar menjadi hitam apabila berumur 1 ke 1.5 tahun. Jantan dan betina mempunyai kaki dari paras lutut ke bawah berwarna putih seolah-olah memakai stokin. Tanpa mengira jantina lembu Bali mempunyai punggung putih membawa kebahagian dalam paha. Perawakan mereka sangat utuh dengan otot yang sasa. Jantan dewasa boleh mencapai berat 330 - 360 kg dan betina 270 kg. Apabila mencapai umur 20 tahun, lembu jantan Bali akan mempunyai tanda putih di kepala seolah-olah mencapai tahap kematangan yang tinggi.
Walaupun berasal dari Banteng, lembu Bali jauh lebih kecil kerana perubahan cara hidup apabila dijinakkan. Pemakanannya berubah kepada rumpai yang terdapat di sekitar rumah penternak manakala banteng mendapat tumbuhan yang prima di hutan membuatkan lembu Bali lebih kecil. Kemungkinan juga pembiakan dengan adik beradik dalam keluarga yang sama (in-breeding) membuatkan vitaliti jatuh.
Tahan Serangan Kutu
Baka Bali menghasilkan nisbah daging yang tinggi iaitu 40 – 45% dari berat keseluruhan. Peratus lemak karkes juga sangat rendah, sesuai untuk dijadikan sebagai baka daging. Peratus kelahiran juga sangat baik mencapai 70% dan kadar kematian kurang dari 3% menjadikan baka Bali sangat berpotensi dikembangkan intuk industri lembu pedaging. Bila berumur 2 tahun lembu Bali sudah boleh dikawinkan untuk berkembang-biak sama ada secara natural atau secara permanian beradas (artificial insemination). Jarak antara kelahiran ialah 12 - 14 bulan, menunjukkan baka Bali sangat produktif.
Lembu baka Bali sangat sesuai dengan iklim tropika yang panas dan lembab seperti di Malaysia. Sifatnya yang tahan lasak tanpa hirau hujan dan panas membuatnya senang dijaga sesuai dengan teknik sedia ada yang diadaptasi oleh penternak tempatan. Daya cernanya sangat bagus sehingga dapat memperguna segala jenis rumpai yang ada sebagai sumber makanan. Jika diberi rumput berprotein tinggi seperti Napier Pak Chong 1 tentu prestasinya naik mendadak. Baka Bali pandai membawa diri walau diternak dalam persekitaran belukar dan ladang kelapa sawit dengan tiada kecederaan dan luka kecil. Persekitaran tempatan yang penuh dengan kutu tidak menjadi masalah bagi lembu Bali kerana mereka rintang terhadap serangan kutu tetapi tidak bagi baka eksotik yang diimport.
Walaupun baka Bali secara semula jadinya agak liar tetapi akan jinak jika selalu dibawa bermain. Mengikut Dr Zaidi, seorang pakar yang membuat obsevasi baka Bali dalam satu projek Universiti Putra Malaysia, baka ini perlu diurus secara lembut. Ia bersifat pemalu dan mudah stress. Jka terkejut ia akan diserang panik dan akan merempuh pagar, tembok atau apa sahaja sehingga mencederakannya. Baka ini sangat popular di selatan tanahair dan mudah dijual hidup kerana lebih ringan berbanding baka lain seperti Brahman, banyak daging dan daging bertekstur halus dan sedap.
Tidak Boleh Silang Biak Dengan Lembu Lain
Satu kelemahan baka Bali ialah ia tidak boleh silang biak dengan lembu lain kerana perbezaan kromosom. Anak jantan yang lahir hasil dari persilangan baka Bali dengan baka lain akan jadi mandul, jadi pembaik-baka dengan memasukkan karektor baik baka lain tidak dapat dibuat. Walaupun begitu, penyelidik terus berusaha mencari jalan untuk menambah-baik baka Bali bagi menjadi baka utama penternakan lembu tempatan. Terdapat beberapa kelompok besar baka lembu Bali di tangan agensi-agensi pertanian dan penternakan di Malaysia seperti MPOB, Infoternak dan Jabatan Veterinar.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.