August 16 2024

Kesan Kemarau Bagi Industri Akuakultur

Kesan Kemarau Bagi Industri Akuakultur - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Wizilla Janti Joshua

Perubahan cuaca yang tidak menentu dengan taburan hujan yang tidak sekata dan juga suhu yang tinggi telah menyebabkan banyak kesan negatif kepada kehidupan seharian. Industri akuakultur turut terjejas secara langsung.

Secara definisinya, aktiviti akuakultur adalah merujuk kepada pembiakan dan pemeliharaan organisma akuatik seperti udang, ikan, moluska dan juga tanaman akuatik seperti rumpai dan juga mikroalga. Ianya menyumbang kepada rantaian makanan yang berterusan dan mempunyai permintaan yang tinggi dan berlanjutan sejajar dengan peningkatan jumlah penduduk secara global. Selain itu, ianya juga menyediakan peluang pekerjaan dan menjadi sumber pendapatan kepada para penternak. 

Hasil keluaran atau produk akuakultur seperti ikan dan juga mikroalga adalah kaya dengan zat-zat penting termasuklah protein, omega-3 dan omega-6. Ianya amat penting untuk tubuh badan manusia kerana zat-zat ini hanya boleh didapati melalui diet atau pemakanan. 

Aktiviti akuakultur terbahagi kepada tiga jenis iaitu air tawar, air payau dan juga air masin. Kawasan yang dipilih untuk aktiviti akuakultur bergantung dengan geografi dan juga spesis ternakan akuatik. 

Sebagai contoh, ternakan udang putih (Penaeus vannamei) dan udang harimau (Penaeus monodon) yang umumnya diternak dalam air masin dan ternakan ikan kerapu (Epinephelus sp.) di air payau manakala ternakan ikan patin buah (Pangasius nasutus), ikan tilapia (Oreochromis niloticus) dan udang galah (Macrobrachium rosenbergii) pula diternak dalam air tawar. 


Kolam ternakan air masin ketika awal musim kemarau, permukaan air kolam yang kehijauan dapat dilihat akibat pancaran matahari berterusan lalu meningkatkan kadar fotosintesis mikroalga. Foto: Wizilla Janti Joshua

 

Kesan Suhu Tinggi dan Kemarau

Fenomena kemarau dan suhu tinggi adalah tidak asing dan berlaku pada suatu jangka masa setiap tahun. Menurut laporan dari Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca panas kering dan suhu tinggi telah dilaporkan bermula pada bulan Februari dan dijangka akan berterusan sehingga hujung bulan Mei. Pada ketika ini, aktiviti akuakultur mengalami cabaran yang kritikal. Para penternak akuakultur berkemungkinan akan berhadapan dengan beberapa krisis yang diakibatkan oleh cuaca panas yang berterusan.

Krisis yang Diakibatkan Oleh Cuaca Panas:

1.  Penurunan Kualiti Air

Kualiti air merupakan salah satu faktor yang amat penting dalam industri akuakultur. Ianya mampu mengawal fisiologi dan keseimbangan organisma akuatik. Kekurangan sumber air berterusan boleh meningkatkan kepekatan dan kandungan terlarut sisa buangan aktiviti ternakan seperti amonium dan nitrit. Kesihatan ikan boleh terjejas secara langsung dan ini boleh menyebabkan kematian ikan. 


Kawasan kolam ternakan air tawar ketika awal pagi, para pekerja kolam turun untuk memerhatikan keadaan ikan. Foto: Wizilla Jantu Joshua

 

Keadaan paras air sungai (punca air) yang turut terkesan semasa musim kemarau. Foto: Wizilla Janti Joshua

 

2. Penurunan Paras Air 

Aktiviti kondensasi boleh mencapai tingkat yang tinggi ketika suhu persekitaran dan cuaca panas mencapai ambang melebihi keadaan yang normal. Penyejatan air yang berlebihan menyebabkan paras air menurun secara mendadak. Ini juga akan mempengaruhi kepadatan organisma akuatik seperti ikan. 

3. Peningkatan Suhu Air dan Kekurangan Oksigen 

Keadaan air yang cetek akan cenderung kepada peningkatan suhu secara dramatik. Perubahan suhu secara umumnya dapat memberikan tekanan terma (thermal stress) kepada ikan dan spesis akuatik lain. Sehubungan dengan itu, kadar oksigen terlarut dalam air turut dipengaruhi dan menurun ketika suhu tinggi. Kekurangan oksigen dapat mengancam kelangsungan hidup organisma akuatik. 

4. Gangguan Rantaian Makanan 

Mikroalga dan plankton lazimnya adalah sumber makanan semula jadi bagi ikan, lebih-lebih lagi pada kolam atau sistem ternakan terbuka. Keadaan cuaca panas yang menjurus kepada pengurangan kadar oksigen terlarut dan disebabkan oleh fenomena eutrofikasi (eutrophication), di mana populasi mikroalga dan plankton akan meningkat secara berlebihan (bloom), selari dengan kandungan nutrien yang tinggi dalam kolam ternakan. 

5. Masalah Penyakit dan Parasit

Organisma akuatik akan mudah terdedah dan berisiko tinggi ketika berhadapan dengan keadaan yang stres atau dalam tekanan yang disebabkan oleh suhu tinggi dan cuaca panas yang berterusan. Kepadatan ternakan yang berpunca dari paras air rendah dan saliran yang terhad mendorong kepada masalah penyakit dan parasit. Situasi ini akan menimbulkan keresahan kepada para penternak dan langkah pencegahan dan solusi proaktif haruslah dilakukan dengan segara untuk mengelakkan kerugian. 


Pekerja kolam yang menuai hasil ikan ketika paras kolam semakin berkurangan untuk mengelakkan kerugian dan kematian ikan secara berlebihan. Foto: Wizilla Janti Joshua

 


6. Kenaikan Kos dan Pengurangan Pengeluaran 

Segala krisis yang berlaku ketika musim panas berpanjangan mengurangkan kadar kelangsungan hidup dan mengakibatkan kerugian kepada para penternak terutamanya di kawasan yang bergantung kepada aktiviti akuakultur sebagai punca mata pencarian. Pertumbuhan ikan yang terganggu dan kematian ikan turut menyebabkan penurunan hasil dan ini mampu memberi kesan kepada ekonomi tempatan. 

Cara Mengatasi 

Terdapat beberapa cara untuk mengatasi isuisu yang berkaitan dengan cuaca kemarau dan peningkatan suhu dalam industri akuakultur. Para penternak perlu ambil tahu dan mengambil langkah berjaga-jaga dalam menangani cuaca panas dan tidak menentu. Misalnya, penternak boleh menyediakan tangki simpanan air ternakan yang secukupnya sebagai langkah persediaan awal serta mempunyai keterbukaan untuk menggunakan teknologi pengurusan air yang lebih efisen. 

Selain itu, penternak juga disarankan untuk mengambil kira aspek penjagaan biosekuri dengan lebih ketat terutamanya ketika ternakan terdedah kepada masalah jangkitan penyakit. Dalam langkah kontigensi ketika musim kemarau, para penternak harus bersedia untuk mengurangkan hasil tuaian ternakan seperti ikan dan udang. Ini boleh mengelakkan kerugian yang berterusan.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag