May 09 2024
oleh: Jamaludin Mat Rashid
Pemandangan biasa di sekitar rumah masyarakat India ialah 2 jenis pokok yang tidak dapat dipisahkan iaitu Mambu (A. indica) dan Kelor (Moringa oleifera). Ditanam di sempadan rumah-rumah dalam kejiranan, mambu digunakan untuk rawatan pelbagai jenis penyakit dan masalah dari untuk mengubati demam campak hinggalah merawat beras dari diserang bubuk/kutu beras manakala kelor lebih kepada untuk sumber makanan dari daun hinggalah ke buahnya walaupun dapat juga menjadi herba dalam perubatan alternatif.
Selain dipanggil kelor, ia juga dikenali sebagai murunggai (tamil), munggai (Melay Utara), gemunggal (Melayu Kelantan), munggephali (Urdu), makhonkom (Thai) atau drumstick (Eng.).
Kelor dipercayai berasal dari Utara India bersempadan dengan Pakistan namun kini boleh ditemui di seluruh Asia dan tropika Australia dan Amerika.
Buah aneh seakan-akan kayu pemukul gendang ini menjadi bahan pelazat dalam kari dhal dan dalca. Buah yang hampir matang ini dibuang kulit arinya dan dipotong panjang seruas jari dan dimasukkan ke dalam kuah dhal yang sedang mendidih. Selain bijinya yang lemak, jus buahnya menjadi pelazat semula jadi kepada kuah.
Bagi menikmatinya, potongan kelor dalam mulut dikepah memecahkan pulpa dan bijinya yang lemak dan disedup segala jus buahnya.
Sepahnya dibuang dan perlu berhati-hati supaya tidak tertelan bilahnya yang mungkin tajam.
Pernah terjadi seorang peminat kari kelor bersama udang tertelan bilahnya. Hanyai disedari beberapa hari kemudian apabila menjadi pucat dan hairan mendapati najisnya berwarna hitam. Apabila dibuat endoskopi, doktor dapati ada luka di kerongkong akibat tertusuk bilah kelor. Kebetulan beliau ada mengambil Warfarin,ubat pencair darah membuatkan pendarahan berterusan dan turun ke usus. Nasib menyebelahinya kerana mendapat rawatan awal.
Kelor boleh ditanam menggunakan biji benih yang telah matang dan kering tetapi paling mudah menggunakan batang tua yang berwarna perang. Hanya korek tanah menggunakan penggali dan cacakkan batang tua sebesar betis seperti menanam turus pagar.
Paling sesuai dibuat pada musim hujan, tidak sampai 2 minggu tunas-tunas muda akan muncul dan membesar menjadi ranting dan berbuah apabila matang dalam tempoh beberapa bulan sahaja mengikut musim.
Boleh Tanam di Tanah Kurang Subur
Oleh kerana sifatnya yang senang tumbuh, ia digunakan sebagi turus pagar dan penanda sempadan. Sering juga berfungsi sebagai penyokong pukat terpakai bagi mengurung ayam kampung, kambing dan menjauhi dari serangan ular sawa dan babi hutan. Pohonnya yang berakar tunjang yang kukuh sesuai ditanam walaupun di tanah yang kurang subur, berpasir atau berbatu kecil tanpa sebarang penjagaan intensif. Daunnya juga boleh dijadikan fodder bagi kambing dan lembu terutama bagi pengeluaran susu. Kandungan mineral yang tinggi di dalam daunnya dapat memekatkan susu serta pengeluaran susu yang banyak dan berkualiti. Untuk tujuan sebagai makanan ternakan, kelor ditanam bersama petai belalang di perimeter padang ragut dan sekitar kandang.
Kelor digelar pokok ajaib atau miracle tree kerana terlalu banyak faedahnya kepada manusia. Penemuan terkini menunjukkan kelor berada di carta teratas sebagai super-duper food mengatasi chia seed, karot, brokoli, bayam dan banyak lagi. Ia menjadi booster daya-tahan terhadap penyakit, kaya dengan vitamin dan bersifat antioksidan, anti kanser, anti kolestrol dan anti diabetik. Sesuai dengan keperluan pengguna masa kini yang mementingkan kesihatan, kelor dapat mengurangkan rasa lapar bagi tujuan kawalan berat badan, mengekalkan awet muda/anti penuaan, meremajakan kulit, menyihatkan rambut dan mencegah tumbuhnya uban.
Daun Paling Mudah Diproses
Bahagian yang paling mudah diproses untuk mendapakan khasiat kelor ialah daunnya. Daun boleh diambil sepanjang tahun dan akan tumbuh semula dengan waktu yang singkat berbanding dengan buah. Walaupun begitu, buah mempunyai konsentrasi khasiat yang tinggi tetapi hanya akan berbuah setahun sekali. Daun yang telah dibersihkan biasanya akan dikeringkan dan dijadikan serbuk seperti teh hitam. Hanya tambahkan air panas untuk menghasilkan teh moringa, diminum pagi dan petang bagi mengurangkan tekanan darah dan menurunkan kandungan gula dalam darah. Sudah ramai juga menghasilkan tepung dari daun kelor untuk memenjangkan hayat simpanan dan mudah diproses menjadi kapsul.
Tepung dari daun kelor didapati sangat berkesan mengurangkan lemak dan paras glukos dalam darah bagi pesakit kencing manis. Ini dapat mencegah kerosakan sel saraf dalam badan pesakit dan mengurangkan rasa kebas pada kaki dan tangan. Meminum bancuhan teh dari tepung daun kelor dapat mencegah pembentukan kolestrol dalam darah yang menjadi plak yang menyumbat saluran darah ke jantung. Bagi pengidap sakit sendi pengambilan moringa dapat mengurangkan keradangan yang boleh menyebabkan penyakit diabetik, gangguan pernafasan, arthritis dan penyakit jantung menjadi kronik. Dalam daun kelor terdapat antioksidan terdiri dari asid askobik, poliphenol dan flavonoid. Antioksidan dapat melawan radikal bebas yang menyebabkan tekanan oksidatif, keradangan dan kerosakan sel. Kajian mendapati ekstrak dari daun adalah terbaik dalam aktiviti antioksidan dan melawan radikal bebas berbanding dari bunga dan biji.
Biji kelor didapati mengandungi 7 kali ganda Vitamin C berbanding buah oren, 10 kali ganda Vitamin A berbanding lobak merah , 17 kali ganda kalsium berbanding susu dan 15 kali ganda Potasium berbanding pisang. Biji kelor juga mampu memerangkap logam berat dan menjernihkan air. Ia telah digunakan dengan meluas dalam industri pembuatan penapis air pintar. Serbuk dari biji kelor dikatakan dapat menjadi agen pembeku bagi memerangkap kotoran dalam air yang tercemar dan bersifat anti bakteria sehingga mampu membunuh E.coli sepenuhnya bagi mencegah penyakit taun.
Dengan penelitian dan penyelidikan, kelor mampu menjadi tanaman selingan yang berharga bagi membantu petani meningkatkan pendapatan. Sifatnya yang lasak dan dapat beradaptasi di tanah yang miskin unsur baja dapat diusahakan di tanah terbiar yang tidak ekonomik untuk diusahakan dengan tanaman komersial lain. Tebing sungai, tepian lebuhraya dan perimeter ladang dapat digunakan untuk menanam kelor. Selain digunakan sebagai sayuran dan fodder bagi ternakan, kelor boleh dibekal kepada industri kecil untuk pengeluaran produk industri herba tempatan.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.