October 24 2024

Kelestarian Penternakan Ayam Secara Bebas

Kelestarian Penternakan Ayam Secara Bebas - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Wizilla Janti Joshua

Ayam kampung sering kali dipasarkan sebagai ternakan bebas ataupun “free range”. 

Selain itu, ayam kampung merujuk kepada jenis baka ayam yang umumnya diternak secara intensif dalam ruang yang terhad. Namun bagi penternak dari Integrated Farmers Sdn. Bhd., Encik Joshua Aaron dan Encik Ryan Lee, etika penternakan ayam kampung adalah penting bagi menghasilkan daging ayam yang berkualiti. 

Kedua-dua anak muda yang berusia 25 tahun ini merupakan pencinta kelestarian alam. Mereka mempunyai kebun sebesar 0.5 ekar dan telah bekerjasama untuk menjalankan operasi penternakan ayam kampung kacuk mengunakan sistem ternakan bersama tumbuhan atau lebih dikenali sebagai sistem “pasture raised”. 

Sistem ini telah lama wujud sebelum penggunaan sistem penternakan ayam yang ada pada masa kini. Ia menumpukan kepada kelestarian penternakan ayam dan memberikan ruang yang luas kepada ternakan ayam. 

Integrated Farmers pada awalnya menjalankan aktiviti akuaponik. Idea penternakan ayam bersama tumbuhan ini tercetus apabila mereka menghadapi cabaran dalam menjaga, mengawal dan menyelanggar pertumbuhan rumput yang cepat di kawasan kebun yang terbuka tanpa penggunaan racun rumpai. 

Merendahkan Kadar Stres

Secara amnya, penternakan ayam dalam keadaan terbuka dan dikelilingi oleh rumput adalah seperti keadaan semula jadi untuk ayam. Ia dapat memberikan perlindungan kepada ayam ternakan serta merendahkan kadar stres pada ternakan. Menurut perkongsian daripada Encik Joshua, cara penternakan ini dapat menghasilkan ayam kampung kacuk yang berkualiti tinggi. 

Pada awalnya, mereka telah mengorak langkah dengan menternak 100 ekor bibit ayam kampung kacuk dan menghadapi pelbagai cabaran kerana kekangan pengalaman dalam bidang ternakan ayam kampung kacuk. Menurut Encik Ryan, mereka berusaha untuk mencari penyelesaian dan telah mendapat pelbagai nasihat dan tunjuk ajar dari individu yang berpengalaman dalam bidang ini. 

Sebagai sebuah pengusaha kecil yang diterajui oleh dua anak muda, Integrated Farmers berpandangan bahawa industri penternakan ayam kampung kacuk bersama tumbuhan mempunyai potensi yang luas. Salah satu faktor yang turut memberikan motivasi kepada mereka untuk menjalankan penternakan jenis ini adalah penggunaan antibiotik dalam mengelakkan penyakit pada ternakan ayam. Mereka berpandangan bahawa ia bukanlah penyelesaian untuk jangka masa panjang dan akan menjejaskan tahap kesihatan manusia. 


Encik Ryan Lee dan Encik Joshua Aaron merupakan rakan kongsi penternakan ayam kampung kacuk secara bebas dan juga pencinta kelestarian alam.

 


Selain itu, mereka menitikberatkan kelestarian alam dan etika dalam mengendalikan penternakan ayam kampung kacuk. Ternakan ayam kampung kacuk dalam keadaan yang optimum akan menyumbangkan kepada kadar stres yang rendah dan sekaligus memberikan kualiti daging yang baik. 

Penggunaan racun makhluk dan serangga perosak dalam ternakan ayam kampung kacuk tidak diamalkan di Integrated Farmers. Konsep rantaian makanan semula jadi adalah panduan bagi Encik Ryan dan juga Encik Joshua. Reban ternakan ayam kampung kacuk di Integrated Farmers adalah dilitupi oleh tumbuhan seperti bayam. 


Integrated Farmers menekankan konsep penternakan secara lestari dan rendah stres untuk memberikan kualiti produk yang baik.

 


Ayam kampung kacuk di Integrated Farmers adalah diternak menggunakan sistem ternakan bersama tumbuhan atau lebih dikenali sebagai sistem "pasture raised".

 


Serangga seperti kumbang dan belalang akan tertarik kepada bayam dan keadaan ini akan menarik ayam kampung kacuk untuk bergerak aktif supaya memburu serangga dan pada masa yang sama turut makan bayam tersebut. Ini dapat meningkatkan kualiti dan memberikan tekstur ayam kampung yang baik. 

Memberi Probiotik Kurangan Bau Najis

Selain itu, baja makanan ayam sentiasa dibekalkan di dalam reban pada setiap masa untuk memberikan ternakan ayam kampung kacuk makanan aliran bebas. Ternakan ayam kampung kacuk turut diberikan makanan tambahan seperti probiotik untuk memberikan tahap kesihatan yang baik dan pada masa yang sama, dapat mengurangkan bau dalam sisa buangan najis ayam dan mengurangkan impak terhadap alam sekitar. 

Sisa najis ayam turut dirawat terlebih dahulu dan digunakan sebagai baja untuk pelbagai tumbuhan di sekitar kebun ternakan. Proses ini meningkatkan kelestarian alam dan memberikan peluang untuk ekosistem sekeliling untuk mencerna dan mengitar semula bahan semula jadi. 

Kawasan ternakan adalah dikelilingi oleh tumbuhan seperti bayam yang dapat menarik serangga seperti belalang dan keadaan ini menarik ayam kampung kacuk untuk bergerak aktif memburu serangga.

 

Pasaran untuk ayam kampung kacuk keluaran Integrated Farmers adalah tertumpu kepada pasaran khusus terutamanya pengguna yang inginkan daging ayam kampung yang organik bebas dari penggunaan antibiotik dan diternak dalam ruang terbuka dan dilitupi oleh tumbuhan. Pada tahap awal, Encik Ryan dan Encik Joshua memasarkan hasil ternakan ayam kampung kacuk mereka kepada ahli keluarga dan sahabat sekeliling. 

Seterusnya, mereka mengambil keputusan untuk menembusi pasaran luar dengan mengedarkan risalah mengenai produk ternakan ayam kampung yang dilabelkan sebagai premium namun kurang mendapat sambutan. 

Pada masa yang sama, Encik Ryan dan Encik Joshua bergiat aktif dalam aktiviti pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar dan memberikan pelbagai ceramah mengenai vermikompos di sekolah-sekolah antarabangsa di sekitar Lembah Klang. Mereka mengambil peluang ini untuk memberikan kesedaran kepada pengguna tentang kepentingan rantaian makanan yang sihat dan berkualiti tinggi dan berjaya meraih tumpuan para pengguna yang terdiri daripada lapisan masyarakat yang menginginkan kualiti ayam kampung yang baik dan lestari. 


DOC yang pada awalnya diternak sehingga mencapai 77 hari dan memasuki pasaran.

 


Kini, terdapat dua jenis kategori ayam kampung premium keluaran Integrated Farmers. Ia terdiri daripada saiz kecil iaitu seberat 1.3kg hingga 1.7 kg manakala saiz besar iaitu 1.8 kg hingga 2.5 kg. Berat ayam kampung merupakan garis panduan untuk memastikan ayam kampung adalah sihat dan bersedia untuk jualan. 

Menurut Encik Joshua, ayam kampung dari kebun mereka adalah segar dan hanya akan dijual sekiranya mendapat tempahan. Penyembelihan ayam kampung akan dilakukan sehari sebelum penghantaran ke para pengguna untuk memastikan otot ayam mengecut dan empuk. Permintaan yang tinggi untuk daging ayam kampung premium telah menjurus kepada kerjasama dengan penternak ayam kampung yang lain. 

Integrated Farmers kini turut menjalankan aktiviti penternakan ayam kampung menggunakan konsep yang sama secara kontrak dengan beberapa penternak lain. Ini adalah untuk memenuhi permintaan pasaran yang kian meningkat. 


Integrated Farmers tidak menggunakan sebarang rumpai atau kawalan perosak dan pemangsa tetapi sebaliknya menggunakan kawalan biologi dalam menangani masalah ini.

 


Sebagai penternak muda, Encik Ryan dan Encik Joshua menyatakan bahawa mereka mengamalkan sikap keterbukaan dan mengambil kira setiap pandangan serta cadangan daripada para pengguna untuk menambahbaik produk keluaran mereka. Selain itu, mereka turut menimba pelbagai ilmu dan nasihat dari pemain industri ternakan ayam kampung yang lebih senior dan berpengalaman. 

Dari segi latihan para pekerja, mereka memastikan pekerja faham mengenai segala operasi di kebun termasuklah pemberian makanan tambahan, pemerhatian kesihatan ayam dan juga penjagaan biosekuriti. 

Kesihatan ternakan ayam kampung di Integrated Farmers adalah terjamin dengan penjagaan biosekuriti yang ketat dan pemberian vaksin ayam yang mengikut keperluan dan nasihat dari doktor haiwan. 

Encik Ryan dan Encik Joshua turut berhasrat untuk menarik lebih ramai penglibatan belia dalam industri ini. Bagi mereka, ia dapat membuka ruang dari segi ekonomi dan juga rantaian makanan yang lestari untuk penjagaan kesihatan para pengguna dalam jangka masa yang panjang terutamanya dalam peningkatan pelbagai jenis penyakit global.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag