April 04 2024

Industri Tanaman Cili di Malaysia

Industri Tanaman Cili di Malaysia - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Asimilasi pelbagai budaya yang membentuk bangsa Malaysia menghasilkan kepelbagaian dalam cara hidup seharian. Antara yang unik dan tidak dapat dipisahkan dengan budaya Malaysia ialah makanannya. Pelancong asing mendapati makanan tempatan kaya dengan cita rasa yang unik hasil dari gabungan rempah ratus sumbangan dari pelbagai budaya dan semestinya pedas hasil dari penggunaan pelbagai jenis cili : cili besar, cili api mahupun cili kering.


Cili Api

 

Cili menjadi produk hortikultura yang sangat penting bagi masyarakat petani Malaysia kerana bersifat tanaman bernilai tinggi (high value crop) yang boleh ditanam di tanah rendah mahupun di tanah tinggi. 

Walaupun hanya sebagai bahan penyedap rasa, cili saban bulan menjadi bahan polimik baik bagi para penggubal undang-undang mahu pun bahan bualan di kedai kopi. 

Ada kala kerana harga terlalu mahal menjelang perayaan-perayaan utama nasional, di ketika yang lain harga terlalu rendah akibat dari lambakan bekalan cili luar yang diimport masuk dari Thailand mahupun Vietnam. Terkini bekalan cili kering dan bawang sukar diperolehi kerana negara pengeksport seperti India mengawal eksport untuk menjamin keperluan tempatan mereka. 


Cili Kering

 


Setiap kali berlaku kemelut bekalan, kerajaan campur tangan menggalakkan petani menanam cili. tetapi seperti kita sedia maklum, tanaman cili terkesan secara langsung dengan cuaca. Hujan yang berterusan, serangan penyakit dan perosak membantut pengeluaran cili. 

Bekalan Buruh dan Harga Baja Naik Mendadak

Menanam cili memerlukan tenaga buruh yang intensif dan menggunakan banyak baja, racun kulat dan racun serangga. Malangnya bekalan buruh menjadi komoditi yang semakin langka manakala harga baja dan racun makhluk perosak yang naik berganda-ganda membuatkan ramai petani tidak lagi menanam cili atau mengecilkan saiz kebun.


Dianggarkan terdapat hampir 5,000 hektar tanah yang ditanam cili di Malaysia, baik ditanam terus atas tanah mahupun secara fertigasi.

 


Terdapat 5 spesis cili yang terkenal. Cili Besar dan Cili Kerinting untuk cili kering (Capsicum annum) yang paling popular dikenali dengan beberapa nama mengikut dialek tempatan seperti Cabai (utara) dan Lada (Pantai Timur). Dialek Minang memanggilnya lado dan cabe dalam dialek Sunda. Ada juga cili api yang dipanggil cili burung, cabai melaka ataupun cabai rawit (Capsicum frutescens) yang lebih kecil tetapi tahap kepedasannya mencapai 50,000 SHU(Scoville Heat Unit) berbanding cili besar hanya sekitar 20,000 SHU dan cili benggala 0 SHU. 3 lagi spesis cili ialah C. pubescence, C.baccatum dan C.chinensis. 

Untuk resepi tradisional Malaysia cili besar atau cili kerinting digunakan dengan meluas dan ditambah cili api bagi masakan asli Melayu, Minang, Padang dan Nyonya.

Diperkenal di Asia Tenggara Sekitar Abad ke-16

Tanaman cili bukanlah tanaman asal alam Nusantara. Ia diperkenal di daerah sebelah Asia Tenggara sekitar abad ke-16 apabila dibawa ke sini oleh pedagang-pedagang Eropah. Orang Eropah mendapatkannya dari pengembaraan Columbus yang menjumpai benua Amerika. Pelaut yang turut sama dalam pelayaran itu membawa balik benih cili ke Portugis dan Sepanyol dari wilayah tropika Amerika Selatan khasnya Peru dan Columbia dan memanggil buah pedas yang boleh memanaskan badan di musim sejuk ini chili mengikut panggilan tempatan di tempat asalnya, lekat hingga ke hari ini. Penemuan sejarah mendapati orang-orang Inca dan Mexico telah menanam dan menggunakan cili sejak 5000 tahun dahulu.


Hujan yang berterusan, serangan penyakit dan perosak membantut pengeluaran cili. Foto-FB Syamsul Matusin

 


Cili memberi kesan pedas dan panas kepada pemakannya kesan dari zat capsaicin. Zat ini berbeza-beza tahap kepedasannya bergantung kepada jenis cili. 

Ada pertandingan bagi mencari cili paling pedas di dunia yang kini dipegang oleh Pepper X dari Amerika Syarikat yang mengalahkan penyandang juara dunia selama 12 tahun, Carolina Reaper. Dihasilkan oleh pembiak baka terkemuka yang sama, kedua-dua varieti ini mempunyai kepedasan masing-masing 2,693,000 SHU dan 2,200,000 SHU berbanding dengan cili padi yang hanya mencatat 50,000 SHU.

Penanaman Tempatan Hanya 5% Adalah Cili Api

Dianggarkan terdapat hampir 5,000 hektar tanah yang ditanam cili di Malaysia, baik ditanam terus atas tanah mahupun secara fertigasi. Sebanyak 95% tanaman adalah cili besar manakala 5% lagi adalah cili api. Cili besar menghasilkan pengeluaran purata sekitar 2.5 kilogram/pokok tiap satu pusingan manakala cili padi hanya sekitar 1.5 kg/pokok. Cili besar mengambil masa 75 hari untuk berbuah manakala cili api mengambil masa 90 hari. Walaupun cili padi mendapat harga yang lebih tinggi, kos menuai juga tinggi antara RM5 - 6 tiap sekilogram. Ini kerana sifat fizikal yang kecil, agak rumit untuk dituai. Kebanyakan pengusaha cili padi menggunakan buruh keluarga untuk kerja penuaian. Penanam cili padi masih mengusahakannya kerana harganya lebih stabil, pokok yang tahan lama, lebih tahan terhadap serangan penyakit dan mempunyai pembeli tetap walaupun mempunyai kekurangan seperti di atas.

Berbeza dengan tanaman lain, cili masih ditanam menggunakan biji benih. Para saintis masih mencari teknik bagi menggandakan tanaman cili dari sel tunggal seperti dalam pengeluaran bahan tanaman dari sumber vegetatif menggunakan teknik kultur tisu. Walaupun dibuat penghibridan, penggunaan bijih benih masih menghasilkan pokok dan hasil buah yang tidak seragam. Varieti benih F1 dari siri Kulai seperti Kulai 469, Kulai 568 didapati sesuai dengan cuaca di Malaysia. Terdapat juga varieti baru seperti Hot Volcano dari Crop Power yang dikatakan dapat menandingi varieti lama dari segi berat per buah, hasil sehektar dan rintang kepada penyakit Mosaic Virus. Manakala bagi cili padi antara varieti yang popular ditanam ialah Cili Bara, Cili Centel, Cili Semerah dan Cili Kandis/Kampung.

Tanaman cili sangat rentan terhadap penyakit bawaan air dan tanah (water and soil-born diseases). Oleh itu, teknik fertigasi adalah kaedah terbaik untuk menanam tanaman dari keluarga Solanacea termasuk terung dan tomato berbanding kaedah menanam terus atas batas tanah. Penggunaan media bukan tanah dalam polibeg seperti sekam bakar atau cocopeat terbukti dapat mencegak serangan cacing nematod, penyakit reput pangkal, hawar phytophthora, layu Fusarium, layu bakteria dan akar tonggkol. Pemberian air dan baja melalui sistem titis dalam teknik fertigasi memberi hasil tinggi 3-5 kali ganda berbanding teknik tanam atas tanah.

Penggunaan struktur pelindung hujan juga dapat mengawal serangan penyakit disebabkan oleh kelembapan tinggi di musim tengkujuh. Kesan negatif titisan air hujan berasid boleh dihindari kerana ia boleh menyebabkan bunga rosak dan mempengaruhi faktor kelekatan buah.



If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag