March 13 2024

Industri Ayam Kampung Di Malaysia

Industri Ayam Kampung Di Malaysia - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

oleh: Jamaludin Mat Rashid

Ayam merupakan sumber protein popular kerana dapat diterima baik oleh semua bangsa dan agama di dunia. Sama ada makan di rumah, di restoran tradisi malah di restoran makanan segera antarabangsa, ayam tetap menjadi pilihan ramai baik di kalangan dewasa mahupun kanak-kanak. Menjadi kelaziman kebanyakan keluarga mengunjungi restoran makanan segera berasaskan ayam saban bulan atas permintaan anak-anak. Tidak syak lagi usaha menternak ayam merupakan satu usaha yang sangat berpotensi dan anti gagal jika diusahakan dengan betul sama ada ayam daging (broiler)  mahupun ayam kampung.

Kesedaran terhadap makanan bebas racun makhluk perosak dan antibiotik  membuatkan permintaan terhadap daging dan telur ayam kampung meningkat walaupun terpaksa membayar harga yang lebih tinggi. Dengan gerai dan restoran ala kampung giat mempromosi menu ayam kampung, potensi untuk mengusahakan ternakan ayam kampung sangat cerah walaupun terdapat beberapa halangan untuk ayam kampung menjadi komoditi yang stabil bagi diniagakan secekap ayam daging. 

Antara halangan dalam industri ayam kampung ialah:

i) Kenaikan Harga Makanan Ayam dan Penggunaan Sumber Alternatif Tempatan

Kenaikan harga jagung import yang menjadi komponen utama makanan ayam menjadi masalah nombor wahid bagi industri ayam masa kini. Sejak seabad lampau jagung menjadi makanan utama bagi industri ayam lebih-lebih lagi apabila teknik membuat dedak pelet ditemui. Selanjutnya dengan pengenalan formula 25 peratus mil (meal) soya dan 55 peratus jagung dalam makanan ayam menjadikannya 80 peratus lengkap. Tambahan sumber tenaga, kalsium, fosforus, mineral dan vitamin menjadikannya lengkap. Formula ini diguna oleh syarikat-syarikat besar yang memonopoli industri ayam dan mereka enggan berubah untuk menggunakan sumber tempatan seperti yang dicadangkan oleh kerajaan bagi menurunkan harga makanan ayam dan harga ayam di pasaran.

Berbanding dengan bekalan sumber tempatan yang tidak menentu, bekalan jagung dan mil (meal) soya sentiasa ada dan telah mempunyai jaringan perniagaan yang kukuh dari negara pembekal, sistem perkapalan pengangkut hinggalah sistem pemunggahan di pelabuhan negara pengimport.  Mesin-mesin pengisar dan pengadun sekala besar juga direka khas untuk 2 bahan ini. Formulasi baru dengan menggunakan sumber alternatif tempatan masih di peringkat makmal tetapi untuk produksi skala besar mungkin memerlukan masa yang lama lagi. Oleh itu harapan untuk menurunkan harga makanan ayam dengan menggunakan sumber tempatan adalah nipis. 

Antara bahan alternatif tempatan untuk mengganti sebahagian penggunaan jagung dan soya import ialah cip ubi kayu, produk sampingan padi (dedak, kepala padi, beras hancur), ikan baja, kepala ikan bilis dan kernel sawit. Bahan alternatif ini mempunya kualiti, kandungan lembapan, bentuk fizikal dan bekalan yang tidak sekata.

Bagi penternakan ayam kampung skala kecil campuran sisa makanan, sisa industri kecil makanan dan sisa sayur boleh diberi makan kepada ayam sama ada secara langsung atau diberi makan kepada penternakan lalat askar hitam (BSF) dan larvanya diberi makan secara terus kepada ayam.  Telah ada petani yang memberi makan anak ayam pada 14 hari pertama dengan dedak permulaan (starter mash) diikuti dengan 100 peratus larva BSF hingga dijual. Larva kering juga boleh diproses menjadi tepung BSF untuk sumber protein dedak yang diadun bersama bahan lain seperti sisa pemprosesan dalam agro industri.

 Bekalan Anak Ayam Kampung Bermutu

Ayam kampung asli sering dikaitkan dengan ayam tempatan yang membiak di sesuatu lokaliti hingga membentuk suatu identiti yang tersendiri. Kepulauan Indonesia misalnya mempunyai maskot ayam kampung masing-masing. Keadaan yang terpisah dengan lautan dan gunung-ganang membentuk karakter yang tersendiri dan silang biak antara mereka dengan beberapa  generasi memurnikan turunan menjadi baka asli dengan sifat-sifat yang tetap dan seragam. 


Kenaikan harga jagung import yang menjadi komponen utama makanan ayam menjadi masalah nombor wahid bagi industri ayam masa kini.

 


Ayam kampung di Malaysia dikatakan berasal dari ayam hutan merah (red junglefowl) dan ayam dibawa oleh pedagang dari China yang bernama ayam Canton. Selepas beberapa ketika kemasukan orang Eropah pula memperkenalkan baka dari barat. Percampuran baka-baka ini membentuk ayam kampung yang pada hari ini. Mungkin kerana persilangan sesama sendiri menyebabkan kebugaran ayam kampung menurun menjadikan FCR (feed convertion ratio) ayam kampung sangat lemah, mengambil masa sehingga 6 bulan untuk mencapai berat boleh pasar 1.2 hingga 1.5 kg. 

Pengeluaran telur juga sangat rendah, sekitar 50 hingga 60 biji setahun sedangkan baka ayam kampung yang dibuat pembiakan terpilih (selective breeding) mampu bertelur 180 hingga 250 biji setahun. Ciri ini penting kerana selain dapat menjual telur, penternak harus mampu mengeluar anak ayam DOC sendiri menggunakan inkubator dari induk terpilih (Parent Stok PS) miliknya. Harga DOC agak mahal jika terpaksa membeli tiap kali mahu memasukkan anak ayam, sekitar RM3.50 seekor. DOC yang berkualiti juga boleh dijadikan satu produk tambah nilai kepada penternak untuk menjana pendapatan tambahan. 


Ayam Saga mempunyai sifat-sifat ayam kampung biasa dengan dagingnya yang kenyal dan pejal sesuai dengan masakan orang Malaysia tetapi dapat membesar dengan lebih pantas dan seragam.

 


Terdapat sekurang-kurangnya 2 baka ayam kampung premium yang dihasilkan oleh agensi kerajaan bagi membantu penternak:

 i) Ayam  Saga MARDI

Bagi mengisi kelopongan sukarnya penternak untuk mendapatkan DOC ayam kampung yang berkualiti, Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sejak 2008 telah menjalankan pembangunan baka Ayam Saga bagi meningkatkan mutu baka ayam kampung dalam jangka masa panjang. Melalui beberapa ladang induk PS yang mengandungi 1000 ekor induk betina, MARDI mengeluarkan sehingga 100 ribu DOC anak ayam kampung sebulan. Baka Ayam Saga ini adalah baka serampang dua mata, boleh digunakan untuk ayam sembelihan dan juga ayam petelur. MARDI menjangka dapat mengeluarkan 500 ribu ekor ayam saga sebulan menjelang 2025 sebagai ayam kampung sembelihan atau ayam penelur.

Ayam Saga mempunyai sifat-sifat ayam kampung biasa dengan dagingnya yang kenyal dan pejal sesuai dengan masakan orang Malaysia tetapi dapat membesar dengan lebih pantas dan seragam. Ia boleh mencapai berat yang sesuai untuk disembelih 1.2 hingga 1.5 kg dalam tempoh 8 minggu berbanding 24 minggu untuk ayam kampung biasa. MARDI membangunkan baka Ayam Saga ini menggunakan gabungan sumber genetik dari ayam kampung tempatan.  Ayam Saga boleh mencapai berat sekitar 1.8kg bagi ayam jantan dan 1.5kg bagi ayam betina pada umur 10 minggu hingga 12 minggu.

Ibu Ayam Saga sebagai penelur pula mampu menghasilkan sekurang-kurangnya   100 biji hingga 120 biji telur seekor selama 70 minggu berbanding 50 biji hingga 60 biji bagi tempoh sama untuk ayam kampung biasa. 

Empat strain ayam kampung bagi menghasilkan Ayam Saga ialah Alfa, Beta, Gamma dan Tetta dengan matlamat bagi menghasilkan ayam yang cepat membesar (FCR terbaik) penghasilan telur yang banyak dengan menggunakan bahan tempatan alternatif kepada jagung dan soya yang lazim digunakan. Penggunaan bahan tempatan menjimatkan 15 peratus kos dedak berbanding penggunaan dedak komersial konvensional. Keupayaan Ayam Saga menkonsumsi makanan tempatan alternatif yang berserat tinggi adalah ciri positif berbanding ayam daging baka import, menjadikan Ayam Saga boleh diternak secara separa intensif atau lepas bebas dalam dusun dan ladang bagi meragut rumpai liar. Ini menjimatkan kos makanan yang semakin meningkat saban hari dan mengurangkan kos merumpai bagi dusun dan ladang. 

MARDI menjangka penghasilan Ayam Saga dapat membantu mengurangkan kebergantungan import induk dan baka ayam jantan dan berharap penternak perseorangan dan syarikat mengambil manfaat darinya.

 ii) Ayam Jerai @ Akar Putra UPM

Setahun mendahului MARDI, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2007 memulakan usaha membaik biak ayam kampung asli yang kemudiannya dinamakan Ayam Akar Putra sempena ayam hutan merah (red junglefowl) yang 'berakar' dalam dusun dan ladang 'Kampus Hijau'nya. 

Ayam hutan merah menyumbang genetiknya dalam titisan asli induk jantan yang menghasilkan baka Ayam Akar Putra. Baka baru ini dikatakan boleh menghasilkan lebih dari 200 biji telur dalam tempoh bertelurnya berbanding ayam kampung tradisi yang mampu menghasilkan hanya seperempat dari itu selain tahan terhadap wabak penyakit. Akar Putra ialah baka ayam dual-purpose penelur atau pedaging. 

Orang kuat yang menjadi penggerak bagi kejayaan ini Profesor Madya Dr Azhar Kassim, seorang penyelidik dan pakar ternakan, penggiat isu-isu pengguna yang berkaitan dengan ternakan dan kini setelah pencen menjadi pengusaha bidang ternakan ayam kampung asli premium, menjelaskan ayam kampung asli adalah ternakan warisan nenek moyang kita yang amat bernilai dan tidak boleh disia-siakan kewujudannya. 

Menurutnya dari kajian, didapati ayam kampung mempunyai sifat-sifat premium sebagai sumber protein. Pengguna memberi testimoni yang positif megenai ayam kampung terutama pesakit yang perlu mengawal pemakanan atas nasihat doktor. Stigma yang mengatakan ayam kampung liat dan berhampas juga tidak benar kerana Ayam Jerai, produk yang diusahakannya bersama Rukambu Ranch di Yan Besar, Kedah sangat lembut dan manis jika disembelih ketika berumur kurang dari 4 bulan dengan berat bagi ayam jantan sekitar 1.5 kilogram. 

Walaupun telah pencen, Dr Azhar terus aktif membuat pembiakan terpilih (selective-breeding) hingga lahirnya baka tulen (pure lines) Ayam Jerai sempena mengambil nama lokasi ladangnya di kaki Gunung Jerai. Lokasi yang terpencil ini sangat sesuai bagi mengelak dari wabak penyakit yang merebak melalui manusia. Kedudukan di bawah gunung memberi bekalan air bersih tidak berklorin bagi ayam induk peringkat PS (parent stock) bagi pengeluaran anak ayam DOC (day old chick / anak ayam umur sehari) baka Jerai.


Daging Ayam Jerai enak, mempunyai rasa manis semula jadi dengan teksturyang kenyal seakan-akan daging burung atau ayam hutan liar.

 


Baka tulen sangat mustahak diperolehi dan dijaga ketulenannya supaya kesamaan fizikal dari segi corak dan warna bulu dan kadar pembesaran yang pesat dapat dikekalkan secra berterusan. Anak-anak DOC yang dijual kepada penternak akan menjadi lebih produktif melalui fenomena heterosis (hybrid vigour) cepat membesar dengan FCR yang bagus dan dapat menghasilkan telur dengan banyak. Baka tulen juga menjamin sifat-sifat baik ayam kampung seperti cergas, cerdas, imuniti tinggi, tekstur daging yang kenyal serta rasa daging yang enak dapat dikekalkan.

Penciptaan ayam kampung asli baka Jerai yang dilahirkan melalui peyelidikan Ayam Akar Putra UPM adalah untuk mendapatkan sifat-sifat yang ekonomik. Ayam Jerai hanya memerlukan satu jenis suntikan vaksin sahaja, iaitu ND (New Castle Disease) dan tidak perlu diberi vaksin Mareks dan IBD (Gumboro). Mereka juga mempunyai daya tahan tinggi kepada penyakit berak berdarah. 

Ayam Jerai didapati mewarisi kecergasan dan kelincahan ayam hutan. Dagingnya enak, mempunyai rasa manis semula jadi dengan tekstur yang kenyal seakan-akan daging burung atau ayam hutan liar.

Penguatkuasaan dari segi pengkelasan dan perlabelan adalah perlu kerana secara langsung memangsakan pasaran ayam kampung asli premium melalui manipulasi harga yang perlu dinobatkan dengan adil kerana kos pengeluaran yang lebih tinggi.

 

Penyelidikan yang sangat lama, menjangkau hampir 20 tahun berjaya mempercepatkan pertumbuhan ayam Jerai untuk saiz pasaran 1 kg dalam tempoh 2 bulan sahaja berbanding baka ayam kampung tradisi yang mengambil masa hingga 6 bulan. 

Keperluan pasaran ayam kampung hidup dengan bentuk fizikal dan warna bulu tertentu dikekalkan. Walaupun diternak dalam sistem separa bebas ataupun menggunakan kaedah lepas bebas, Ayam Jerai tetap bergerak dengan aktif menjadikannya mempunyai otot, kulit yang nipis dan kurang lemak. Ia sesuai untuk diet yang sihat terutama bagi ibu-ibu lepas bersalin, ahli sukan, orang yang mengawal berat badan dan kanak-kanak. Ia sesuai disembelih bermula dari umur 2 bulan bagi mendapatkan tekstur daging lembut atau 3 bulan bagi tekstur yang lebih kenyal mengikut jenis masakan orang Malaysia yang berbagai. Karkes Ayam Jerai mempunyai saiz yang seragam, lebih besar dan berisi dengan warna kulit yang tidak sebam hasil dari FCR yang efektif.

Ayam Bulu Berwarna (coloured broiler)

Kehadiran ramai buruh asing terutama dari Bangladesh dan Vietnam yang menyukai ayam hidup berbanding ayam daging yang siap diproses sama ada segar atau sejuk beku, membuatkan permintaan terhadap ayam bulu berwarna (colored broiler) menjadi besar. Terdapat 2 jenis ayam hidup yang ditawarkan, ayam telur pencen (culled layer hens) yang harganya jauh lebih murah dan dijual per ekor dan ayam daging berwarna (colored feather broiler) selalunya baka Sasso yang dipanggil ayam kampung kacuk. Keadaan ini biasa berdasarkan permintaan dan penawaran, yang abnormalnya ialah manipulasi harga atas nama ayam kampung. 

Penguatkuasaan dari segi pengkelasan dan perlabelan adalah perlu kerana secara langsung memangsakan pasaran ayam kampung asli premium melalui manipulasi harga yang perlu dinobatkan dengan adil kerana kos pengeluaran yang lebih tinggi.

Berdasarkan beberapa faktor positif yang wujud dalam isu penternakan ayam kampung seperti bekalan makanan dari sumber tempatan dan wujudnya sumber baka ayam kampung premium, industri ini boleh menjadi satu lagi cabang penting penternakan dalam negara. 

Selain matlamat utama untuk menjana ekonomi, usaha ini dapat memberi alternatif kepada pengguna yang mengutamakan sumber makanan selamat, mereka yang sensitif dan elergik kepada kimia dalam makanan dan penggemar rasa semula jadi ayam seperti di zaman nenek moyang dahulu. 

Usaha hiliran seperti restoran menu tempatan juga lebih senang mendapat bahan mentah berupa ayam kampung siap sembelih yang berisi, berkualiti dan sedap pada harga yang munasabah. 

Seterusnya pengguna dapat menikmati menu ayam kampung asli yang gurih dan lazat pada harga mampu milik.


If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag