November 01 2024
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Kampung Sungai Rui di Grik yang menjadi gerbang masuk ke Lebuhraya Timur-Barat melintasi Tasik Banding yang indah itu mungkin kelihatan tenang sahaja pada hari-hari biasa tetapi akan sibuk menerima pengunjung menjelang bulan September/Oktober tiap tahun.
Pemburu ikan air tawar sejauh Perlis atau Ipoh berbondong-bondong dengan anak- isteri ke sini hanya untuk ‘menyauk’ sejenis ikan air tawar di Sungai Rui yang dipanggil ikan Loma. Ikan sebesar 3 jari dengan panjang lebih sejengkal ini tidak seenak mana jika digoreng biasa, dengan tulang yang banyak seperti ikan selangat tetapi menjadi emas apabila dibuat pekasam.
Hasil fermentasi dalam proses menjadikannya pekasam, segala tulang kasar dan halus menjadi lembut hingga tidak lagi terasa kehadirannya apabila digoreng. Apa lagi jika dinikmati bersama pulut, mahu tambah berkali-kali.
Seringkali kita menonton siri National Geographic di televisyen mengenai ikan salmon di luar negara yang mudik ke hulu untuk bertelur. Di Sungai Rui, fenomena yang sama berlaku. Ikan loma dengan jumlah beribu-ribu ekor akan mudik menongkah arus untuk bertelur di hulu sungai apabila paras air naik serta menjadi keruh akibat dari hujan lebat. Banyaknya ikan yang mudik hingga mengeluarkan bunyi yang hanya boleh dicam oleh pemburunya. Berduyun-duyun warga Grik dan sekitarnya keluar memburu ikan loma dengan tangguk atau penyauk dari tebing sungai.
30 kg Ikan Loma Sehari
Penyauk yang dibuat daripada jaring saiz 1 inci berbentuk kon sepanjang 3-5 kaki dipasang pada bingkai besi berbentuk bulat dengan garis pusat 2-3 kaki. Penyauk ini diikat pada sebatang buluh galah sehingga 25 kaki panjang sebagai pemegang. Untuk menangkap loma hanya turunkan penyauk mengarah ke hilir dan gerakan penyauk mengikut arus deras yang menghanyutkan jaring.
Ikan loma yang berenang menongkah arus akan masuk ke dalam sauk tanpa disedarinya. Apabila terasa ada getaran menandakan ada ikan yang terperangkap dalam jaring, hanya angkat muka jaring ke atas. Akan ada beberapa ekor loma di dalamnya.
Pada waktu jujuh mungkin sehingga 10 ekor loma akan terperangkap tiap kali penyauk diturunkan dalam tempoh 2 - 3 minit. Bukan sahaja orang lelaki boleh menangkapnya malah remaja dan wanita juga mampu menangkap ikan loma menggunakan teknk ini. Ada yang mampu menaikkan sehingga 30 kilogram ikan loma sehari pada hari yang baik. Kebanyakan dibawa balik untuk makanan keluarga, selebihnya disiang dan direndam dalam larutan garam untuk dibuat pekasam.
Ikan loma (Thynnichthys thynnoides) daripada famili Cyprinidae merupakan ikan endemik kepada tributari Sungai Perak. Walaupun dilaporkan dijumpai di Sungai Pahang tetapi tidak terdapat di sungai-sungai besar yang lain seperti Sungai Muda di Kedah. Ikan loma mempunyai sisik yang halus seperti ikan Tongsan Sisik Halus dan mempunyai tabiat pemakanan yang sama dengan memakan alga dan hidupan seni dalam air. Ia juga dikenali sebagai Tongsan Loma atau Lomah.
Kadangkala ikan loma boleh ditemui dalam lombong tinggal yang bersambungan dengan sungai besar. Ia akan timbul di permukaan air seakan-akan rintik hujan yang turun dalam kawasan yang luas dan turun semula apabila terkejut. Ikan loma mendiami pertengahan air hingga ke permukaan. Selain disauk menggunakan penyauk ketika ikan loma mudik, ia boleh juga ditangkap menggunakan jala dan pukat.
Satu jenis perangkap ikan yang dinamakan lei oleh penduduk tempatan mampu menangkap loma sehingga ratusan kilogram sehari pada musimnya. Namun kerajaan telah mengharamkan penangkapan menggunakan teknik lei bagi melindungi populasi ikan loma di Sungai Perak. Pada tahun 2022 penangkapan ikan loma ditutup sepenuhnya kerana populasi ikan loma dikesan turun pada paras yang sangat rendah.
Unik kepada Lembangan Sungai Rui
Mengikut kajian penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), fenomena ikan loma mudik dan bertelur di sini adalah unik kepada Lembangan Sungai Rui yang menjadi salah-satu dari hulu Sungai Perak. Ikan loma mencari makan, membesar dan berlindung di kawasan sungai sekitar Bersia hingga Kenering. Hujan yang turun dengan lebat dan keruh menjelang bulan Ogos hingga Oktober memicu ikan loma untuk naik dan singgah di Kuala Rui bagi menunggu telur cukup matang dan keadaan air yang sesuai untuk naik dan mengempas telur (spawning) di Kampung Alai.
Kebanyakan ikan loma yang ditangkap di sini membawa telur yang matang dan sepatutnya dikawal bagi survival ikan loma di masa akan datang. Walaupun ikan loma dikategorikan sebagai spesis yang paling tidak terancam di bawah Status Senarai Merah (IUCN) pada masa ini, penangkapan yang tidak terkawal terutama pada musim pembiakan dan lokasi bertelur mungkin akan menurunkan populasi dengan drastik.
Ditambah dengan alat penangkapan yang memusnahkan seperti perangkap lei dan pencemaran air dari aktiviti perlombongan di hulu Sungai Rui, ikan loma tetap diambang kepupusan. Sistem kawalan dari penangkapan berlebihan seperti sistem tagal ke atas ikan kelah perlu diamalkan. Keseimbangan antara pemuliharaan dengan kepentingan ekonomi penduduk perlu dipertimbangkan dengan segera supaya ikan loma tetap mudik untuk bertelur saban tahun.
Setiap tahun Majlis Daerah Grik akan mengadakan Pesta Loma di Dataran Loma Kampung Sungai Rui. Dataran ini sangat unik kerana berada di tepi jalan besar dan rapat ke sungai. Orang ramai boleh menangkap loma terus dari sini dengan kemudahan tangga hingga ke pinggir sungai dan dataran yang diturap. Ramai pengunjung dari luar daerah memasang khemah dan bermalam di sini. Selain menangkap ikan loma, orang ramai berkelah di sini beramai-ramai.
Untuk tahun 2024, Pesta Loma Grik telah diadakan pada 4-6 Oktober. Antara yang menarik ialah pertandingan rakit buluh antara 70 kampung dalam daerah Grik. Pertandingan ini sangat unik kerana berlumba di bahagian hulu sungai yang deras dan memerlukan kemahiran untuk mengemudikannya.
Membina rakit buluh itu sendiri memerlukan kemahiran yang sangat tinggi. Tanpa ikatan yang betul dan bilangan buluh yang sesuai rakit bakal terburai dalam perjalanan atau terbalik akibat dari tiada imbangan. Acara utama ialah menyauk ikan loma terbanyak dan ikan loma terbesar dipertandingkan pada tiap kali Pesta Loma dianjurkan. Penduduk kampung turut mengambil kesempatan memasarkan hasil keluaran kampung masing-masing termasuklah pekasam loma Grik yang terkenal itu.
Kehadiran ikan loma dengan banyak di Kuala Rui adalah suatu rahmat kepada penduduk daerah Grik. Selain berpotensi menjadi tarikan pelancong, ikan loma di sini telah dibuat pekasam dan dipasarkan hampir ke seluruh Semenanjung Malaysia dengan harga sekitar RM5 - 7 sepeket bagi pek seberat 350 gram dengan 3 -4 ekor ikan loma sepeket mengikut saiz.
Oleh kerana pekasam mempunyai hayat panjang iaitu 3 - 9 bulan, kehadiran ikan loma setahun sekali tidak menimbulkan masalah malah memberi ruang yang cukup untuk pengusaha mematangkan proses fermentasi bagi mendapat kualiti pekasam terbaik. Penduduk tempatan juga menangkap loma dan membuat pekasam bagi kegunaan sendiri. Ini menjamin bekalan protein percuma bagi rakyat terutama ketika musim hujan apabila ramai golongan berpendapatan rendah tidak boleh menoreh getah.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.