November 04 2024
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Pemerhatian petani dalam mencari bahan yang dapat menghalang serangan serangga dan penyakit tanaman telah berlangsung berabad-abad lamanya. Apa lagi apabila timbul konsep pertanian organik yang mengutamakan keselamatan pengguna dengan tidak menggunakan kimia merbahaya dalam pengeluaran hasil pertanian. Pelbagai ekstrak tumbuhan digunakan antara yang popular ialah bawang putih, daun mambu (neem), ubi ara/gadung, abu kayu, akar tuba dan banyak lagi tetapi yang sangat dikenali sehingga ke peringkat antarabangsa ialah cuka kayu.
Cuka kayu dikenali dengan pelbagai nama. Antaranya ialah wood vinegar, asap cair, air asap, sulingan kayu, dan asid piroligneus.
Cuka kayu berwarna kuning keemasan hinggalah kepada coklat gelap. Cuka kayu merupakan cairan organik yang dihasilkan dari proses penyulingan asap pembakaran kayu dalam gok atau tanur dalam industri pembuatan arang kayu. Cuka kayu terbentuk dari proses pembakaran kayu yang tidak sempurna kerana jumlah oksigen yang terhad dalam tanur.
Tanur atau gok ini direka khas bagi mengawal kandungan oksigen. Jika berlaku keretakan pada dinding gok, kebocoran udara akan berlaku menyebabkan oksigen dari luar akan masuk. Semua kayu di dalam gok akan terbakar sempurna hingga menjadi abu, tiada arang dihasilkan.
Komponen utama cuka kayu adalah asid asetat, aseton, dan metanol dengan pH antara 2.5 - 3. Suatu ketika dahulu cuka ini digunakan sebagai sumber asid asetat komersial yang dipanggil cuka padi.
Cuka ini yang direndam dengan herba- herba tertentu dijadikan sebagai ubat penyakit organ dalaman seperti sakit dada. Selain itu, cuka kayu mengandung 80-90% air berserta sekitar 200 unsur organik mikro lain.
Pengeluaran Berkurangan Akibat Bekalan Kayu Bakau Terhad
Antara kawasan yang masih banyak menghasilkan kayu bakau dan mengusahakan industri arang di Malaysia ialah di Kuala Sepetang, kira-kira 42 km dari bandar bersejarah Taiping.
Industri pembuatan arang di Kuala Sepetang bermula dari sekitar tahun 1940-an lagi bagi kegunaan peleburan bijih besi dan sedikit untuk kegunaan domestik. Pada zaman itu kebanyakan rumah menggunakan dapur arang untuk memasak kerana belum ada kemudahan dapur elektrik dan tong gas seperti sekarang.
Kini industri pembuatan arang masih berjalan tetapi pada sekala yang kecil. Bekalan kayu bakau sebagai bahan mentah utama pembuatan arang sangat berkurangan.
Mengikut seorang bekas pekerja gok arang, Wong Ah Kau, 74 tahun yang dijumpai sedang santai menghirup udara pagi di jeti Kuala Sepetang, hanya pokok bakau berumur lebih dari 30 tahun sesuai dibuat arang.
Beliau berkata penebangan berleluasa hutan bakau pada era 1970-an untuk mengambil kayu dan membuat kolam udang telah memusnahkan kawasan yang mengandungi pokok dewasa yang menjadi sumber benih pokok bakau. Tanpa biji benih bakau yang disebarkan atas lumpur laut semasa air pasang, tiada generasi pokok baru terbina.
Kini Jabatan Hutan mengawal tiap aktiviti penebangan hutan dan kerja menanam semula hutan bakau. Kawasan yang dibuka untuk tebangan perlu mengalami poses tender yang sangat ketat. Oleh kerana bilangan lesen lebih banyak dari kawasan yang dibuka, banyak gok pembuatan arang terbiar tidak diusahakan kerana tiada bahan mentah. Banyak yang runtuh kerana tidak diselenggara.
Harga bagi membuat gok baru saiz 8 x 6 meter pada hari ini mungkin mencecah RM 300 ribu.
Mengikut Wong kos berkenaan bukan sahaja untuk bahan binaan tetapi upah tukang yang semakin pupus. Jika ada yang tinggal pun sudah seusia dengan beliau. “Otak masih boleh berfikir, nafsu masih ada tetapi tenaga sudah ke laut” kata beliau sambil ketawa mengakhiri perbualan kami.
Terdapat sebuah kilang arang yang masih diusahakan dan dibuka untuk lawatan. Tiada sebarang cas dikenakan ke atas pelawat tetapi mereka menjual pelbagai produk hasil arang sebagai cenderamata termasuklah produk killernya, cuka kayu.
Hampir setiap pengunjung membeli cuka kayu untuk tanaman dan kawalan lalat. Walaupun tidak disedia untuk lawatan dengan baik seperti mengadakan galeri pameran dan sebagainya, kilang ini disinggahi oleh bas-bas robongan yang membawa pelajar sekolah.
Pemecahan Bahan Organik Melalui Pemanasan Tanpa Oksigen
Seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Lim melayan sapaan kami dengan ramah. Kami mengekorinya masuk ke kawasan yang menempatkan 8 biji gok dengan perasaan yang seram. Suasana di dalam agak gelap dengan panahan cahaya matahari yang tembus melalui lubang-lubang di bumbung. Kiri kanan kami penuh dengan susunan kayu bakau sebesar paha orang dewasa dengan ketinggian 2 meter disusun tegak berbaris rapi seperti askar.
Setelah mata dapat menyesuaikan dengan suasana kelam barulah dapat dilihat suasana sekeliling. Gok atau tanur mempunyai bentuk yang sangat ganjil, seperti igloo orang Eskimo dengan diameter 8 meter dan ketinggian 6 meter. Gok ini dibina di dalam gudang beratap seperti kilang biasa. Gok dibuat dari batu-bata merah dan diselaputi oleh selapisan tanah liat merah bercampur pasir halus.
Hanya 3 gok paling depan beroperasi manakala yang lain sudah lama berehat kerana tiada bekalan kayu bakau. Gok pertama dan kedua sudah dimatikan api pembakaran dan dalam fasa penyejukkan dan menunggu hari untuk dikeluarkan arang di dalamnya.
Hanya gok ketiga dalam proses pembakaran dan menunggu untuk ditutup pintu udaranya supaya proses pirolisis berlaku. Dalam proses ini berlakunya pemecahan bahan organik melalui pemanasan tanpa oksigen menjadikan kayu bakau bertukar menjadi arang. Tugas Lim adalah mengesan apabila pintu gok perlu ditutup bagi mengelakkan arang terbakar menjadi abu. Apabila ditanya apakah indikator yang digunakan, Lim hanya tertawa.
Sebenarnya tiada sebarang alat pengukur, bagi Lim penunjuknya ialah warna asap yang keluar dari cerobong dan bahang panas pada tangannya. Kepakaran yang terkumpul setelah bertugas dalam bidang ini selama 30 tahun!
Ini adalah masa yang tepat untuk memungut cuka kayu atau air asap. Alat sulingan atau Lim memanggilnya sebagai ‘ekzos’ akan dihidupkan dengan melalukan asap putih dari cerobong ke dalam paip yang berada dalam tangki air yang sentiasa berputar sebagai sistem penyejukan. Asap yang panas akan bertukar menjadi cecair atau distilat iaitu cuka kayu. Cecair ini disimpan dalam tangki yang tinggi bagi proses mengurangkan air di dalamnya.
Mendapat Sambutan Baik Daripada Pedagang Jepun
Menurut Lim, pembeli dari Jepun sangat mahukan cuka kayu dari Kuala Sepetang kerana keasliannya dan penggunaan kayu bakau minyak yang memberi kelebihan dari segi kualiti. Lim tidak pasti produk apa yang dihasilkan di sana tetapi pedagang Jepun telah membeli cuka kayu dari sini semenjak tahun 1960-an lagi.
Dua jenis bakau digunakan di sini terdiri dari 90% bakau minyak (Rhiziphora apiculato) dan 10% bakau kurap (Rhizophora mucronata) yang berumur tidak kurang dari 30 tahun untuk mendapat kualiti arang yang terbaik. Sedikit kayu getah digunakan bagi membantu pembakaran.
Kayu bakau minyak digemari kerana kulitnya yang nipis dan menghasilkan arang yang panjang dan tidak lerai serta tahan lebih lama semasa pembakaran. Tukang tempa besi dalam pembuatan parang, golok dan sabit pengait sawit hanya mahukan arang dari bakau minyak kerana ia menghasilkan api yang kuat apabila bergabung dengan hanya sedikit arang batu. Bakau kurap pula mempunyai kulit yang tebal akan terbakar habis semasa pembakaran dalam gok. Ini memberikan nisbah kayu basah dengan arang yang rendah. Kayu getah pula menghasilkan arang yang hancur dan mempunyai nilai kalorifik yang rendah.
Di hadapan kilang terdapat sebuah gerai yang menjual produk berasaskan arang seperti ubat gigi dari arang, serbuk arang sebagai biochar dalam campuran tanah pasu dan ketulan arang yang berbentuk unik sebagai hiasan dan penyerap toksik dari udara di dalam bilik.
Walau bagaimanapun, cuka kayu diketahui ramai boleh digunakan dalam berkebun. Seorang makcik dari Ipoh yang turut singgah memberi testimoni percuma mengenai kebaikan cuka kayu.
Beliau ada menanam kobis tanah rendah tetapi selalu diserang ulat Diamond Back Moth (Plutela xylostella). Sejak menggunakan cuka kayu dengan kadar kepekatan 1% sahaja kobisnya tidak rosak lagi malah menjadi besar-besar sehingga boleh dikongsi rezeki dengan jiran-jiran. Beliau ada memelihara beberapa ekor ayam dan kucing. Kandang haiwan ini juga disembur dengan cuka kayu bagi mencegah dari bau hamis. Lalat juga tidak lagi bertandang ke kandang ayamnya.
Suami makcik juga ada membuat kompos dari potongan rumput, sisa dapur dan kotoran dari kandang ayam. Dengan semburan cuka kayu kepada t imbunan komposnya, hasil yang diperolehi terurai sempurna, lebih cepat boleh digunakan dan sayuran yang ditanam menjadi lebih besar, manis dan tidak diserang serangga perosak.
Manfaat Dalam Pertanian Organik
Terdapat banyak kegunaan cuka kayu di bidang pertanian khasnya bidang penanaman secara organik. Petani Jepun telah menyedari hakikat ini dan menggunakannya untuk tanaman sayuran, buah-buahan hingga ke tanaman padi sejak tahun 1960-an. Ini terbukti dengan pembelian cuka kayu oleh pedagang Jepun sejak era berkenaan.
Tahun berlalu dan harga cuka kayu turut naik seiring dengan kurangnya pembuatan arang akibat dari kekurangan bahan mentah. Namun pesanan dari Jepun tidak pernah putus menunjukkan betapa pentingnya bahan ini untuk pertanian organik di sana dan tiada bahan lain sebagai pengganti.
Cuka kayu dikatakan dapat memulihkan tanah yang mati akibat dari penggunaan yang intensif kembali menjadi tanah yang subur. 1 bahagian cuka kayu dicampur dengan 200 bahagian air dan disembur dengan kadar 1 liter per meter persegi semasa penyediaan tanah akan dapat mengembalikan tanah seperti sediakala.
Kepekatan yang sama jika disembur kepada sayuran berdaun dapat meningkatkan kesuburan sehingga penghasilan meningkat lebih dari separuh. Jika digunakan sebagai rendaman biji benih, peratus percambahan boleh meningkat sehingga 98%.
Cuka kayu mampu meningkatkan prestasi sistem akar, buah menjadi lebih manis dengan warna yang lebih terang. Ia juga dapat mempercepatkan proses pengkomposan bahan organik sehingga sisa dari kandang ayam dan lembu terurai tanpa meninggalkan sebarang bau.
Penyakit bawaan bakteria juga dapat dihindarkan kerana cuka kayu dapat merangsang pertumbuhan bakteria baik yang menjadi pesaing bagi bakteria jahat.
Dari produk sampingan yang kurang diberi perhatian, cuka kayu mampu menakluk pasaran dunia.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.