March 28 2025

Cendawan Susu Harimau: Harta Ditemui Semula

Cendawan Susu Harimau: Harta Ditemui Semula - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Sejak zaman-berzaman, masyarakat Melayu dan Nusantara menggunakan hutan belantara sebagai gedung sumber perubatan mereka. Banyak tumbuhan, haiwan, malah serangga digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit oleh tabib Melayu. 

Sayangnya, tidak banyak catatan yang ditinggalkan, mungkin hilang akibat banjir, kebakaran, atau dibawa lari penjajah ke negara mereka. Apa yang tinggal hanyalah ilmu yang disampaikan dari mulut ke mulut, dari generasi ke generasi berikutnya. 

Antara herba yang hilang seketika tetapi muncul kembali akhir-akhir ini ialah Cendawan Susu Harimau. Hasil daripada penyelidikan pakar-pakar tempatan dan luar negara, cendawan ini wujud semula umpama burung dodo yang disahkan pupus akibat kerakusan manusia tetapi dijumpai semula.


Spesimen besar seperti ini sangat jarang ditemui dan sukar diperoleh daripada hutan semula jadi.

 


Menurut mitos masyarakat Orang Asli, Cendawan Susu Harimau tumbuh daripada susu yang ditinggalkan oleh ibu harimau belang untuk anaknya. Dalam mitos ini, diceritakan bahawa menjadi kelaziman ibu harimau belang untuk menyorokkan anaknya di tempat tersembunyi seperti antara banir pokok atau rongga balak berlubang bersama-sama bekalan susu di dalam daun-daun lebar sebelum keluar berburu. Ia khuatir anak-anaknya akan kelaparan jika tidak dapat pulang tepat pada masanya untuk menyusu. 

Oleh kerana tidak habis diminum, susu yang ditinggalkan ini mengeras dan tumbuhlah cendawan sebagai temannya. Kebetulan, secara   realitinya, apabila cendawan ini ditemui di hutan,   di dalam tanah di bawah cendawan terdapat   ketulan umbisi berwarna perang seperti ubi   kentang yang kecut. Umbisi ini kini disebut sebagai sklerotium, berwarna putih di bahagian dalam, dan mempunyai rasa lemak seperti susu apabila dicicipi. Masyarakat Orang Asli sangat menghargai umbisi ini untuk merawat barah susu, lelah, batuk, demam, dan sakit sendi. 

Cendawan Susu Harimau dikatakan boleh   diperoleh dengan agak banyak suatu ketika dahulu di Cameron Highlands, terutama sekitar Lata   Iskandar. Orang Asli mencarinya di hutan untuk   dijual kepada pengamal perubatan Cina (sinseh) di pekan Tapah dan memperoleh habuan yang agak lumayan, kedua lumayan selepas teras hitam kayu depu/karas (Aquilaria malaccensis). Beberapa ketul umbisi Cendawan Susu Harimau dikatakan mampu   membeli bekalan makanan untuk sebulan bagi satu keluarga kecil Orang Asli. 

Namun, akibat harga yang ditawarkan begitu mahal, pengambilannya secara tidak terkawal dari hutan menyumbang kepada   kepupusan spesies ini. Habitatnya semakin mengecil akibat pembukaan hutan untuk aktiviti pertanian, dan kitaran hidupnya yang unik menyebabkan cendawan ini pupus di habitat asalnya dengan lebih cepat. Hanya penanaman dalam persekitaran   terkawal, bukan melalui kutipan di sumber liar, dapat menghasilkan Cendawan Susu Harimau   dengan banyak untuk tujuan perniagaan dalam bidang perubatan. 

Sejarah Cendawan Susu Harimau

Cendawan Susu Harimau dipercayai sudah   digunakan sebagai ubat sejak 400 tahun dahulu tetapi tiada catatan tepat diperoleh sehinggalah pada tahun 1879 apabila Cooke menerajui catatan saintifik dan menamakan Cendawan Susu Harimau sebagai Polyporus rhinoceros berdasarkan satu spesimen yang diperoleh dari Pulau Pinang. Pada   tahun 1902, Ridley dan Curtis menamakannya   semula sebagai Polystictus rhinocerotis dan menyebutnya sebagai tumbuhan yang mempunyai nilai ekonomi dalam “A Dictionary of the Economic Products of the Malay Peninsula”. 

Masa yang panjang diambil sejak disebutkan kali pertama dalam sejarah, mungkin kerana tiada spesimen berjaya ditemui sehinggalah pada tahun 1966 ia dicatatkan sebagai ‘sejenis cendawan yang dipanggil Cendawan Susu Harimau dalam bahasa   Melayu, sejenis cendawan menurut cerita rakyat yang tumbuh daripada susu harimau yang tumpah di tempat ia menyusukan anak-anaknya.’ 

Pada tahun 2009, sejarah Cendawan Susu Harimau tercipta semula apabila seorang penyelidik dari Malaysia berjaya menanamnya dengan kualiti dan genetik sama seperti yang ditemui di alam liar. Kejayaan pertama seumpamanya di peringkat dunia menggunakan teknologi dalaman ini membawa era baharu dalam penyelidikan Cendawan Susu Harimau sebagai bahan perubatan. Kajian keselamatan, bioaktiviti, kajian pra-klinikal, dan   kajian klinikal dijalankan bagi menyokong dakwaan tradisional bahawa cendawan ini dapat mengubati pelbagai penyakit daripada batuk hingga penyakit kanser. 


Hasil buruan Orang Asli yang dilakukan selama berminggu-minggu.

 


Penemuan teknik menanam oleh Prof. Dr. Fung Shin Yee pada tahun 2009 untuk spesies Cendawan Susu Harimau (Lignosus rhinocerus), yang lazim   digunakan sebagai ubat dengan kandungan   bioaktif hampir sama seperti yang dikutip di alam semula jadi, membuka lembaran baharu dalam rawatan pelbagai penyakit yang selama ini   dikatakan mustahil dapat disembuhkan atau hanya dapat dirawat dengan kesan sampingan yang   menyakitkan. 

Kaedah Pengeluaran

Penyelidikan mendalam mengenai cendawan ini tidak dapat dijalankan sebelum ini kerana   kekurangan sampel dan kualitinya yang tidak   seragam. Usaha untuk menanamnya juga kurang berjaya kerana teknik yang betul belum ditemui. Hasil yang diperoleh sangat rendah. Penuaian dari sumber hutan sangat berkurangan, dan harganya sangat mahal kerana pencarinya terpaksa   mengharungi kawasan yang luas dan sukar untuk mendapatkan sampel yang sedikit. 

Cendawan ini tumbuh agak berbeza dengan cendawan lain. Ia bermula dengan umbisi yang   terbentuk di dalam tanah dan hanya mengeluarkan cendawan di permukaan tanah apabila mencapai tahap matang dan ingin membebaskan spora bagi tujuan pembiakan. Jika cendawan biasa dikutip   bahagian fruiting body yang muncul untuk dimakan, Cendawan Susu Harimau diambil umbisi atau   sklerotium yang terbentuk di dalam tanah.   

Sklerotium ini sebenarnya ialah miselium yang   terbentuk secara sangat padat sehingga   membentuk seperti sebiji ubi kentang yang kecut. Jadi, benih (spawn) Cendawan Susu Harimau perlu ditanam di dalam polibeg yang diisi tanah. Tanah ini akan menjadi pelindung semasa pembentukan   sklerotium. Pengeluaran Cendawan Susu Harimau melibatkan empat langkah utama, iaitu penyediaan benih/ spawn, penyediaan media/substrat, inokulasi benih/spawn, dan menggalakkan pertumbuhan cendawan (fruiting body). 

Pelbagai bahan   digunakan, sama seperti media yang digunakan   untuk pengeluaran cendawan tiram, antaranya   habuk kayu getah, empulur kenaf, jerami padi, atau sebarang bahan sampingan industri yang   mempunyai lignin dan selulosa yang tinggi. Substrat habuk kayu getah atau lain-lain substrat (90%) perlu dicampur dengan kapur (1–1.5%) bagi   mendapatkan pH yang sesuai dan dedak padi (10%) sebagai makanan awal benih/spawn. 


Ramuan herba Melayu, termasuk cendawan susu harimau, serta akar, buah, dan bunga-bungaan hutan, digunakan untuk menghasilkan makjun, rebusan ubat periuk, dan minyak urut.

 


Selepas   diinokulasi, bongkah diperam dalam bilik gelap bersuhu 25–32 darjah Celsius selama 3–4 minggu. Substrat yang telah matang dikolonisasi oleh   miselium L. rhinocerus ditanam sedalam 15 cm di dalam tanah lom yang diisi dalam polibeg 24 x 24 inci bagi menggalakkan pembentukan sklerotia, batang, dan topi cendawan (stipe and pileus).   Sekitar lima bulan diperlukan sebelum sklerotia dapat dituai untuk dijadikan bahan mentah dalam pengeluaran ubat-ubatan. 

Kaedah-Kaedah untuk Memanfaatkan

Berbagai kaedah dapat diaplikasikan untuk mendapatkan manfaat Cendawan Susu Harimau bagi mengubati pelbagai penyakit. Secara tradisional, sklerotia atau umbisinya akan ditumbuk halus dan dicampur air bagi dijadikan minuman. Umbisinya juga boleh diracik halus dan direbus bagi   mengeluarkan khasiatnya sebagai ubat periuk dan diminum berulang kali sepanjang hari. Masyarakat Cina merendam kepingan nipis umbisi dalam arak beras selama beberapa hari dan meminumnya. 

Mereka juga mencampurkan ekstrak daripada   umbisi yang ditarik dengan pelarut alkohol bersama lemak sawit untuk dijadikan balm untuk sapuan luar bagi melegakan radang sendi. Masyarakat   Melayu yang masih mengamalkan budaya makan sirih meracik umbisi cendawan nipis-nipis lalu   memakannya bersama sirih dan pinang dengan   sedikit gula kelapa bagi melegakan sakit kerongkong dan batuk. 

Kaedah moden menggunakan berbagai teknik   untuk mengesan bahan aktif dalam Cendawan Susu Harimau dan hubungannya dalam menyembuhkan penyakit, seperti kromatografi, spektroskopi,   spektrometri-massa, dan banyak lagi. Pendekatan yang sistematik ini membantu memanjangkan hayat senyawa tertentu bagi tujuan penyimpanan. 

Malaysia sangat bertuah kerana dianugerahi Tuhan dengan satu spesies herba yang boleh dianggap   sebagai superfood kelas tertinggi (nutraceutical) yang tidak terdapat di benua lain. Walaupun hilang seketika, kemunculannya semula umpama harta karun yang timbul bagi membantu umat manusia dalam menghadapi pelbagai wabak penyakit dan lemahnya daya tahan badan terhadap penyakit.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag